Pages

Sunday, February 28, 2010

Dua guru terkorban dalam nahas

PASIR PUTEH 28 Feb. – Setiap awal pagi Ahad, Ab. Halim Mustapa, 27, yang tinggal di jajahan Bachok akan datang menjemput dua rakannya, Rosdi Ismail dan Wajidi Mayushoh di Kota Bharu dengan menaiki kereta untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop di Gua Musang.

Bagi tiga orang guru ini, jarak 200 kilometer ke sekolah itu bukanlah satu masalah untuk berulang-alik setiap minggu bagi menunaikan tanggungjawab sejajar dengan kerjaya yang mereka pilih.

Bagaimanapun, pagi ini ketiga-tiga mereka tidak sampai ke sekolah setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 80.6, Jalan Kota Bharu- Gua Musang yang menyebabkan Rosdi dan Wajidi maut manakala Ab. Halim mengalami cedera ringan.

Dalam nahas kira-kira pukul 5.10 pagi itu, Rosdi, 32, yang berasal dari Kampung Selising, Pasir Puteh, maut di tempat kejadian manakala Wajidi, 32, dari Tanah Merah, meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK) kira-kira pukul 8 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Supritendan Ab. Rahim Che Ghani memberitahu, kereta Perodua Kancil yang dipandu Ab. Halim cuba mengelak sekumpulan lembu yang berada di atas jalan.

“Kenderaan itu kemudian dikatakan membrek secara mengejut menyebabkan ia terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas.

“Berikutan pertembungan itu, bahagian kiri kereta Kancil itu rosak teruk menyebabkan penumpang yang berada di sebelah kiri kenderaan itu cedera teruk pada bahagian kepala dan badan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, balu kepada Allahyarham Rosdi, Cik Nur Ilyana Che Mat, 30, berkata, suami dan dua rakannya itu akan tinggal di kuarters guru pada hari persekolahan dan pulang setiap hujung minggu dengan berkongsi kenderaan.

Suaminya yang memulakan tugas di sekolah berkenaan awal Januari lalu sentiasa berazam untuk membantu pelajar di sekolah itu cemerlang dalam pelajaran kerana menyedari ia bukan suatu tugas yang mudah.

“Dia sangat komited terhadap kerjanya. Kemalangan yang tidak terduga itu berlaku dalam perjalanannya bersama-sama rakan guru untuk memulakan tugasnya pada pagi Ahad.

“Suami saya sering berulang-alik dari Ulu Kelantan ke rumah kerana pada masa yang sama amat bertanggungjawab dan menyayangi keluarga. Lebih-lebih lagi anak tunggal kami, Amir Wafiq Tabrani, 4, yang begitu manja dengannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Cik Nur Ilyana yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di pejabat Bernama Kota Bharu berkata, beberapa hari sebelum kejadian, suaminya bersikap pelik apabila sering melarangnya daripada melakukan kerja rumah.

“Saya tidak dibenarkan mengemas rumah atau memasak, sebaliknya semua tugas itu dilakukan olehnya. Apa yang saya hairan ialah dia tidak pernah bersikap sedemikian sebelum ini,” katanya sebak.

Boleh mohon semula KWAPM

PENSIANGAN 27 Feb. - Para pelajar yang belum menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) tetapi tersenarai dalam program e-Kasih dibenarkan untuk membuat permohonan semula.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, bagaimanapun mereka perlu mendapatkan pengesahan pihak sekolah atau ketua kampung bagi memastikan benar-benar layak menerimanya.

"Sebelum ini kita gunakan senarai e-Kasih tetapi masih ada yang tercicir daripada menerimanya. Justeru dalam mesyuarat baru-baru ini kita putuskan untuk tidak menggunakan sepenuhnya senarai e-Kasih bagi pemberian KWAPM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatannya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Salung, di Nabawan, dekat sini, malam semalam.

Perjalanan ke sekolah tersebut mengambil masa kira-kira sejam dari pekan Nabawan menggunakan jalan balak.

Sementara itu Puad berkata, langkah tersebut akan membolehkan nasib pelajar miskin khususnya di luar bandar dapat dibela selain membolehkan mereka meneruskan persekolahan.

Mengenai permintaan supaya jalan-jalan balak yang digunakan untuk menghubungkan sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dinaik taraf, beliau berkata, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa jika jalan itu tidak digazet sebagai rizab jalan.

"Jalan balak yang menghubungkan sekolah di pedalaman tidak digazetkan sebagai rizab jalan, oleh itu kementerian tidak dapat berbuat apa-apa kerana jalan itu milik konsesi balak.

"Kalau kita buat pun, ia akan rosak cepat kerana digunakan untuk membawa balak, tambahan pula kementerian tidak mempunyai kuasa menaik taraf jalan kerana ia di bawah bidang kuasa pihak lain," katanya.

Bagaimanapun kata Puad, bagi kemudahan lain, pihak kementerian akan berusaha menyediakannya termasuk projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang masih belum dilaksana.

Jelas Puad, jika projek-projek RMK-9 tidak sempat disiapkan, ia akan disenaraikan dan menjadi keutamaan dalam RMK-10.

"Kita memang ada kekurangan dalam Bajet 2010 tetapi kita akan kaji semula perkara itu memandangkan pada September nanti, kita akan menerima peruntukan tambahan," katanya.

Friday, February 26, 2010

Sambutan Maulidur Rasul meriah

PUTRAJAYA 26 Feb. - Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431H/2010 yang bertemakan 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah' di sini disambut meriah dengan penyertaan 106 kontinjen perarakan melibatkan 6,979 orang peserta.

Uniknya pada tahun ini, selepas perarakan berlangsung bermula di Istana Kehakiman hingga ke Dataran Putra, majlis diteruskan di Masjid Putra sebagai simbolik bagi mengingati perjuangan Nabi Muhammad SAW menyampaikan risalah kepada umat Islam.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut berkenan ke majlis tersebut.

Turut sama memeriahkan majlis ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditemani isteri masing-masing.

Di Kota Kinabalu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah mengetuai perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri bersama lebih 5,000 umat Islam bermula dari Padang Merdeka ke Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Di Pulau Pinang, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Dewan Sri Pinang di sini disambut dengan kehadiran lebih 2,500 umat Islam dari seluruh negeri.

Majlis yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas itu dimulakan pada pukul 8 pagi dengan perarakan masuk 55 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang diketuai Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman.

Di Kuala Terengganu, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Stadium Negeri dekat sini disambut meriah dengan kehadiran lebih 5,000 umat Islam dari seluruh negeri.

Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan acara perarakan yang dimulakan seawal pukul 8 pagi melibatkan 3,855 peserta.

Sementara itu di Taiping, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah serta Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun berkenan berangkat ke sambutan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Dataran Perbandaran Taiping.

Sambutan itu, turut disertai kira-kira 3,000 orang mewakili pelbagai agensi kerajaan, swasta, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir pada majlis itu.

Di Johor Bahru, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melahirkan kekesalan terhadap sikap 'kaki judi' di negeri ini yang tidak mempunyai perasaan malu sehingga sanggup melakukan perbuatan syirik untuk mengejar kemewahan.

Baginda bertitah pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.

Di Melaka, sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati keputeraan Nabi Muhammad SAW peringkat negeri disambut seluruh masyarakat Islam di negeri ini.

Acara kemuncak sambutan itu apabila kira-kira 8,000 umat Islam melibatkan 137 kontinjen berarak dari Stadium Fatimah, Bukit Serindit berakhir di Kompleks Al-Azim dan ia turut disertai Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan isteri, Datin Seri Asmah Abd. Rahman.

Thursday, February 25, 2010

68 SMT ditukar jadi SMV tahun depan

PENSIANGAN 25 Feb. - Mulai tahun depan sebanyak 68 daripada 87 buah Sekolah Menengah Teknik (SMT) di seluruh negara akan distruktur semula menjadi Sekolah Menengah Vokasional (SMV).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, keputusan mengenai perkara itu sedang dibincang di peringkat akhir dan akan diumum dalam masa terdekat.

"Setakat ini (kita) sudah bersetuju (melalui) di peringkat pasca Kabinet. Keputusan akan diumumkan dalam tahun ini dan langkah itu akan dimulakan di seluruh negara pada tahun depan.

"Keputusan ini dibuat bagi memenuhi pasaran kerja masa kini yang lebih mengutamakan sijil kemahiran. Jadi langkah kita memperkasa bidang vokasional adalah tepat," katanya.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Sekolah Kebangsaan Saliliran, kira-kira dua jam perjalanan menaiki bot dan tujuh jam berjalan kaki dari sini, semalam.

Sekolah itu adalah sekolah terakhir dalam siri lawatannya ke enam buah sekolah pendalaman di daerah ini selama tiga hari berturut-turut.

Beliau berkata, bagi memantapkan lagi langkah itu, pihaknya akan melawat Finland tidak lama lagi berikutan kemajuan negara tersebut dalam bidang vokasional di peringkat sekolah.

Mengenai langkah kementerian yang mula menyerap lebihan guru bahasa Inggeris di sekolah bandar ke kawasan luar bandar, beliau meminta warga pendidik menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Mohd. Puad berkata, pihaknya memang ada menerima rungutan atau rasa tidak puas hati sebilangan guru dengan keputusan tersebut tetapi berharap mereka tidak mempersoalkannya.

Jelasnya, langkah tersebut adalah terbaik dan untuk jangka masa panjang bagi mengatasi masalah kekurangan guru bahasa Inggeris yang begitu kritikal sebelum ini di sekolah luar bandar.

Mengenai lawatannya, Mohd. Puad berkata, kementerian akan menyelesaikan masalah sekolah-sekolah pedalaman di daerah ini seperti ketiadaan kemudahan asrama dan rumah guru.

Tambahnya, begitu juga dengan masalah lain seperti kekurangan bilik darjah, ketiadaan kemudahan asas seperti air dan elektrik termasuk ketiadaan sekolah menengah di satu-satu kawasan.

48,446 calon lulus penuh STPM

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Sebanyak 48,446 atau 92.55 peratus daripada 55,663 calon yang mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas lulus penuh dengan sekurang-kurangnya mencatatkan kelulusan satu mata pelajaran.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak memberitahu, daripada jumlah itu sebanyak 4,316 calon lulus lima mata pelajaran, 29,670 lulus empat mata pelajaran), 9,797 lulus tiga mata pelajaran, 7,412 lulus dua mata pelajaran dan 6,251 lulus satu mata pelajaran.

Tambahnya, sebanyak 15 calon mencapai keputusan cemerlang iaitu memperoleh Gred A dalam lima mata pelajaran iaitu enam dalam aliran sains dan sembilan dalam aliran sastera berbanding 13 orang pada tahun 2008.

''Jumlah calon yang lulus lima dan empat mata pelajaran meningkat sebanyak 2,855 kepada 24,986 berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak 22,131 calon.

''Prestasi calon yang memperoleh keputusan yang baik iaitu Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 ke atas ialah 35.93 peratus dengan 331 calon mendapat PNGK 4.00,'' katanya.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkata demikian ketika mengumumkan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 di Majlis Peperiksaan Malaysia di sini hari ini.

Dzulkifli memberitahu, daripada 331 calon yang mendapat PNGK 4.00 sebanyak 184 adalah perempuan dan 147 pula calon lelaki.

Tambahnya, sebanyak 10 mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Arab, Kesusasteraan Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Sejarah, Geografi, Ekonomi, Perakaunan, Matematik T dan Biologi mencatatkan peningkatan prestasi.

Sementara itu katanya, tiga mata pelajaran iaitu Matematik Lanjutan T, Komputer dan Sains Sukan mencatatkan penurunan prestasi.

''Sebanyak 10 mata pelajaran lagi tidak berubah prestasi iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Syariah, Usuluddin, Pengajian Perdagangan, Matematik S, Fizik, Kimia dan Seni Visual,'' katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 97.5 peratus calon menjawab dalam Bahasa Inggeris untuk tujuh mata pelajaran iaitu Matematik S, Matematik T, Matematik Lanjutan T, Komputer, Fizik, Kimia dan Biologi.

Katanya, jurang prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara berdasarkan jumlah yang mendapat kelulusan lima A, empat A dan tiga A iaitu 12.14 peratus bagi kawasan bandar dan 7.06 peratus bagi kawasan luar bandar.

Mengenai pelajar cemerlang, Dzulkifli memberitahu, terdapat dua calon dari aliran sains dan tiga calon dari aliran sastera mencapai gred A dalam semua kertas peperiksaan yang diambil.

Pelajar terbabit ialah Yap Jun Fai dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik Petaling Jaya, Yong Kai Yi dari Sekolah Menengah Tinggi Muar, Ayu Faridah Nor Azman dari Sekolah Menengah Dato' Haron Tanjung Karang, Hoo Xiao Mei dari Sekolah Menengah Clifford Kuala Lipis dan Muhamad Najmuddin Firdaus Abdullah dari Sekolah Menengah Ayer Lanas Jeli.

Sementara Nurul Imani Zakaria dari Sekolah Menengah Seri Aman Pasir Puteh diumumkan sebagai pelajar cemerlang bagi kategori luar bandar dengan mencapai Gred A untuk lima mata pelajaran.

''Masmin Mensih dari Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi pelajar istimewa cemerlang bagi kategori rabun dengan mendapat kelulusan Gred A bagi Sejarah, Gred B bagi Pengajian Am dan Bahasa Malaysia serta Gred C bagi Ekonomi.

''Muhammad Raizan Ab. Rahman dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Petaling Jaya pelajar istimewa cemerlang dalam kategori spastik iaitu mendapat Gred A bagi Pengajian Am, Bahasa Malaysia dan Ekonomi serta Gred C bagi Matematik T,'' katanya.

Dzulkifli memberitahu, Loh Wei Siong dari Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lintang, Kuching pula pelajar istimewa cemerlang dalam kategori buta dengan memperoleh Gred A untuk mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah dan Pengajian Perniagaan.

Universiti Politeknik menjelang tahun 2015

PUTRAJAYA 25 Feb. - Kerajaan menyasarkan penubuhan sebuah Universiti Politeknik menjelang 2015 sejajar dengan langkah transformasi menjadikan politeknik peneraju pendidikan vokasional dan teknik di negara ini.

Serentak itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiga buah politeknik perintis dinaik taraf sebagai Politeknik Premier iaitu Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Politeknik Ungku Omar, Ipoh dan Politeknik Johor Bahru.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Politeknik Premier yang akan ditambah jumlahnya pada masa depan dijadikan asas kepada penubuhan universiti politeknik.

Kata beliau, penubuhan universiti itu akan meletakkan pendidikan teknik dan vokasional di peringkat pasca menengah dan tinggi di bawah satu bumbung tanpa para pelajarnya perlu menyambung pengajian ke institusi lain.

''Dengan menawarkan pakej pendidikan di peringkat diploma, diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda, sistem politeknik pastinya akan menarik minat pelajar-pelajar terbaik di negara ini.

''Ia kerana bidang vokasional dan teknikal bertambah penting selaras dengan Model Ekonomi Baru yang memerlukan kepakaran lebih tinggi dan menguasai bidang-bidang baru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Transformasi Politeknik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kurikulum pelajaran vokasional dan teknik di sekolah-sekolah menengah juga akan diteliti semula bagi menjayakan proses transformasi bidang kemahiran tersebut.

Beliau yang menyarankan proses inovasi dilakukan kepada sistem politeknik berkata, institusi kemahiran itu perlu menawarkan laluan pendidikan tinggi yang lebih singkat.

''Ini sekali gus menjadikan politeknik sebagai institusi pilihan utama bagi pelajar yang ingin menyambung pengajian ke universiti-universiti teknikal di negara ini.

''Ia boleh dikembangkan dengan memberikan pengecualian kredit kepada lepasan sekolah menengah yang memasuki politeknik," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, bidang dan program yang ditawarkan oleh politeknik harus selaras dengan perubahan semasa antaranya mempergiatkan kursus animasi digital, reka bentuk, insurans dan kewangan.

''Bidang-bidang baru seperti bioteknologi dan nano-teknologi juga perlu dibangunkan sebagai jurusan kepakaran politeknik," katanya.

Wednesday, February 24, 2010

6,000 pelajar menengah di Terengganu disifat bermasalah

KUALA TERENGGANU 24 Feb. - Seramai 6,000 orang pelajar sekolah menengah di Terengganu dikenal pasti terlibat dengan gejala ponteng sekolah, mat rempit, jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, walaupun angka itu kecil berbanding 250,000 pelajar sekolah menengah di Terengganu, tetapi kerajaan negeri tetap memandang serius masalah itu.

Katanya, kerajaan negeri dan jabatan pendidikan negeri sedang mengambil tindakan bagi membendung gejala tidak sihat itu.

"Apabila ada seorang pelajar berisiko tinggi duduk di sebuah sekolah, ini akan menyusahkan semua guru dan pelajar yang lain,” kata Ahmad Razif.

Katanya, pihak polis telah memberikan taklimat kepada kerajaan negeri dan juga jabatan pelajaran mengenai sekolah-sekolah yang berisiko tinggi di Terengganu. – Bernama

Tuesday, February 23, 2010

Transformasi kurikulum sekolah

Oleh LUQMAN HAZIQ dan KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my

MUAR 23 Feb. - Kementerian Pelajaran akan melakukan perubahan dalam kurikulum sekolah bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan tidak hanya berorientasikan peperiksaan.

Untuk itu, aspek penerokaan ilmu akan diberi penekanan dengan lebih banyak tumpuan kepada pelajar dan bilik darjah, bukan lagi dominasi oleh guru.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan yang dilakukan dari semasa ke semasa itu bertujuan menerapkan budaya berfikir yang kreatif dan inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

"Proses pembelajaran ini akan lebih mementingkan interaksi di antara murid, guru dan rakan sekelas yang diharapkan dapat membantu percambahan idea yang kreatif dan inovatif.

"Di samping itu, budaya kreativiti dan inovasi juga boleh dipupuk melalui aktiviti kokurikulum seperti bengkel, seminar dan pertandingan," katanya semasa melancarkan program MyIdeas@Schools di Sekolah Kebangsaan Lenga, Pagoh dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran percaya kunci pemupukan budaya inovasi adalah kurikulum yang seimbang dari aspek penyampaian ilmu dan penjanaan budaya berfikir.

Katanya, kerjasama kementeriannya dengan Yayasan Inovasi Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) bagi menjayakan MyIdeas@Schools adalah inisiatif yang dapat melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi.

"Kementerian Pelajaran dengan kerjasama MDeC telah melatih seramai 42 guru dari 21 sekolah bestari luar bandar dalam fasa pertama program ini.

"Latihan ini bertujuan memastikan guru-guru mempunyai kemahiran yang diperlukan bagi membimbing murid-murid menggunakan portal MyIdeas@Schools dan melaksanakan strategi berkesan bagi menggalakkan murid menghasilkan idea yang kreatif dan inovatif," katanya.

Beliau berharap ia akan menjadi landasan menghimpunkan idea-idea inovatif murid-murid supaya dapat diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

"Saya percaya, dalam usaha kita untuk menjadi negara maju, kita perlu memiliki teknologi tempatan yang dihasilkan oleh anak watan.

"Contoh terbaik ciptaan satelit RazakSAT yang dihasilkan anak tempatan dan kini mengelilingi garisan Khatulistiwa," katanya.

Transformasi kurikulum: Pembelajaran lebih menyeronokkan

MUAR 23 Feb. – Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi kurikulum bertujuan membantu percambahan idea kreatif dan inovatif dalam kalangan murid sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, transformasi itu akan menekankan aspek penerokaan ilmu secara lebih mendalam melalui pembelajaran yang lebih menyeronokkan serta tidak berorientasikan peperiksaan.

"Dengan pelaksanaan transformasi kurikulum ini, proses pembelajaran dalam bilik darjah tidak akan didominasi oleh guru.

"Proses pembelajaran akan lebih mementingkan interaksi antara murid, guru dan rakan sekelas yang diharapkan akan dapat membantu percambahan idea-idea yang kreatif dan innovatif,” katanya di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian semasa melancarakan Myideas@School di Sekolah Kebangsaan Lenga, Pagoh yang turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili. – Bernama

Monday, February 22, 2010

Rumah guru, kuarters dibaik pulih

MARAN 22 Feb. - Kerajaan akan membaik pulih rumah guru atau kuarters institusi pendidikan di seluruh negara yang mengalami kerosakan kerana tidak diselenggarakan dengan sempurna.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Mohd.Yassin berkata, beliau menyedari masalah tersebut dan akan mengambil tindakan membaik pilih kerosakan tersebut supaya guru yang tinggal di kuarters berkenaan dapat tinggal dengan selesa.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran mengakui hampir separuh rumah guru terutamanya kediaman bertingkat kini kosong kerana mengalami kerosakan.

Ia kata beliau berlaku kerana tidak ada pihak yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan membaik pulih kerosakan berkenaan.

"Selain kerosakan, kuarters guru dibiarkan kosong di seluruh negara apabila ramai juga guru-guru yang lebih suka menyewa rumah lain atau sudah membeli rumah sendiri," kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menutup majlis Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Khazanah Alam, Bandar Jengka dekat sini semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Paya Luas, Kuala Krau, Shaarin Yaman berkata, ramai guru yang tidak mempunyai rumah berminat untuk menduduki kuarters guru.

Bagaimanapun kata beliau, oleh kerana sering mengalami kerosakan mereka (guru-guru) terpaksa menyewa rumah lain apabila tidak ada pihak yang menjalankan kerja-kerja penyelengaraan dan membaiki kerosakan.

"Apabila berlaku kerosakan guru-guru berkenaan tidak tahu kepada siapa mereka hendak mengadu kerana pihak Jabatan Pelajaran Negeri dan Daerah tidak mempunyai peruntukan untuk membaiki kerosakan tersebut.

"Akhirnya mereka terpaksa keluar dan menyewa rumah lain dan jika kerajaan tidak mengambil tindakan segera menangani masalah itu ia akan menyebabkan kuarters guru menjadi projek gajah putih," katanya.

Menurut beliau, hasrat kerajaan membina kuarters guru adalah baik bagi membantu dan mengatasi masalah guru-guru yang tidak mempunyai rumah terutamanya yang mengajar di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau juga turut melahirkan rasa bimbang kuarters yang kosong akhirnya akan menjadi sarang penagihan dadah dan maksiat.

"Kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit membina kediaman guru yang selesa tetapi matlamatnya tidak tercapai apabila rumah tersebut akhirnya terbiar kosong dan membazir wang rakyat," kata Shaarin.

Jawatankuasa Pembangunan Sukan di Sekolah ditubuh

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Kementerian Pelajaran menubuhkan satu Jawatankuasa Pembangunan Sukan di Sekolah bagi merancang, melaksana dan memantau program membangunkan sukan di sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, dalam kenyataan media hari ini, berkata, jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan dianggotai wakil pelbagai pihak yang berkepentingan dalam sukan di negara ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu selaras dengan dasar kementerian yang ingin mewajibkan setiap pelajar menyertai sekurang-kurangnya satu sukan mulai 2011.

"Semua pengetua, pejabat pelajaran daerah (PPD) dan jabatan pelajaran negeri telah diarah mengambil tindakan di atas pelaksanaan dasar ini sejajar dengan hasrat kita untuk melaksanakan konsep 1Malaysia dan mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah,” katanya.

Beliau berkata, dasar ini akan dapat meningkatkan penyertaan menyeluruh di kalangan pelajar sekolah yang berjumlah 5.4 juta di 10,000 sekolah di negara ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan untuk mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan bagi mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah.

Di bawah dasar itu, pelajar akan diberi kredit atau markah bagi membuka peluang yang lebih cerah untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi. – Bernama

Sunday, February 21, 2010

Pelajar sekolah wajib sertai sukan mulai tahun depan

BANDAR JENGKA: Kementerian Pelajaran akan mewajibkan setiap pelajar sekolah menyertai aekurang-kurangnya satu jenis sukan mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata setiap penyertaan pelajar dalam sukan akan diberi mata kredit.

Katanya cadangan itu bertujuan mengembalikan kecermerlangan sukan di sekolah.

Saturday, February 20, 2010

Kegemilangan sukan sekolah akan dikembalikan, kata TPM

PETALING JAYA 20 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kegemilangan sukan dikembalikan ke sekolah-sekolah memandangkan ia adalah institusi utama mengembangkan bakat sukan di peringkat akar umbi.

"Sudah hampir 10 atau 20 tahun sukan di sekolah tidak diutamakan, apa sebabnya tidak diketahui. Sehinggakan di sekolah-sekolah, sukan bukan sesuatu yang dibanggakan berbanding zaman saya muda dulu.

"Ketika itu, sukan suatu yang kita pandang sebagai acara yang menceriakan dan menyeronokkan. Saya telah buat keputusan untuk kembalikan semula kegemilangan sukan di sekolah kerana pembangunan sukan negara bermula di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah SAM-100Plus 2009 anjuran Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan, menggariskan lima unsur penting untuk dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Antaranya, beliau telah mengarahkan Bahagian Seni, Sukan dan Ko-Kurikulum di Kementerian Pelajaran supaya dirombak dan meletakkan sukan berasingan daripada yang lain.

"Kita akan wujudkan pegawai atau pengarah tertentu yang akan ditetapkan untuk menjaga pembangunan sukan di sekolah,” katanya. – Bernama

Kementerian Pelajaran timbang guna kaedah PFI – Puad

BATU PAHAT 20 Feb. – Kementerian Pelajaran bercadang menggunakan kaedah Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) bagi membina infrastruktur sukan di sekolah-sekolah, kata Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Beliau berkata, kementeriannya bercadang menggunakan kaedah itu berikutan kekurangan peruntukan yang diterima tahun ini serta kos pembinaan infrastruktur sukan yang tinggi.

"Pada tahun ini, sebagaimana yang dimahukan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sukan akan menjadi elemen yang penting di sekolah-sekolah dan selaras itu, kita akan meningkatkan infrastruktur sukannya, “ katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan pelancaran Skim Khairat Kematian Percuma Parlimen Batu Pahat.

Mohd. Puad memberi contoh tentang perbelanjaan tinggi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan jika ia membuat keputusan untuk membina sekolah sukan di mana kos pembinaannya boleh mencecah sehingga RM120 juta sebuah.

"Di dalam pembinaan sebuah sekolah sukan, kerajaan bukan hanya membina bangunan sekolah tetapi juga stadium yang siap dengan trek olahraga dan balapan serta gelanggang untuk sukan-sukan yang berlainan” katanya. – Bernama

Friday, February 19, 2010

Keputusan STPM 2009 diumum Khamis, 25 Februari

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 akan diumumkan pada 25 Februari ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai pukul 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon-calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip “STPM (jarak) nombor kad pengenalan” dan hantar ke 36363, atau menaip “STPM Result (jarak) nombor kad pengenalan” dan hantar ke 15888.

Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh tersebut.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pukul 11.30 pagi pada tarikh yang sama di pejabat MPM, Persiaran 1, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lalu, 52,348 calon menduduki peperiksaan STPM.

Daripada jumlah itu, 47,260 orang atau 90.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 1,747 (3.34 peratus) calon sekolah swasta dan 3,241 (6.38 peratus) calon persendirian. – Bernama

Pemilihan calon KPLI diperketat

KUCHING: Pemilihan bakal calon guru terlatih di negara ini, termasuk di kalangan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) yang ingin mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) akan diperketatkan lagi.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Latihan Dalam Perkhidmatan, Abdul Halim Abdul Razak, berkata setiap calon perlu melalui beberapa tapisan bagi mengenal pasti pemohon layak dan sesuai untuk menjadi guru.

Beliau berkata, setiap pemohon perlu menduduki ujian kelayakan bertulis, diikuti dengan temuduga dan beberapa saringan lain.

Katanya, hanya mereka berjaya melalui tapisan itu akan diterima mengikuti latihan perguruan di semua Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di negara ini.

"Langkah memperketatkan lagi pemilihan bakal calon guru terlatih berikutan tidak mahu kerjaya guru sebagai pilihan terakhir.

"Saringan itu juga untuk mengelakkan terlalu ramai lelaki lembut keterlaluan menjadi guru," katanya selepas menghadiri Konvokesyen Ke-59 IPGM Kampus Batu Lintang, di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini, semalam.

Seramai 254 graduan KPLI dinobatkan sebagai guru terlatih pada konvokesyen itu, namun hanya 181 yang dapat hadir di majlis berkenaan.

Terdahulu beliau mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datin Asariah Mior Shaharudin, menyampaikan Diploma Pendidikan kepada 181 graduan KPLI.

Pada majlis itu juga Abdul Halim membaca teks ucapan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Alimuddin berkata, seorang guru tidak boleh bersikap lepas tangan apabila melihat atau terserempak dengan perkara yang boleh menjejaskan imej keguruan seperti masalah sosial, disiplin dan amalan songsang.

Beliau berkata, ini kerana menjadi tanggungjawab guru untuk membetulkan perkara seperti itu, apatah lagi kalau perkara berkenaan berlaku dalam persekitaran sekolah.

Katanya, pada masa yang sama, guru tidak boleh memandang ringan sebarang perubahan positif yang berlaku di sekitar mereka, terutama perkara yang dapat melonjakkan imej perguruan ke tahap disegani dan disanjungi.

"Setiap guru perlu mengikuti perkembangan dan perubahan pantas yang berlaku di sekitar mereka, berikutan pelbagai maklumat baru akan ditemui sekali gus mengubahkan keadaan. Sekiranya kita tidak mengikuti perkembangan terkini, maka kita akan ketinggalan," katanya.

Berita harian Online

Sunday, February 14, 2010

Guru baru ke pedalaman

PULAU PINANG 13 Feb. - Kementerian Pelajaran membayangkan bakal mengenakan syarat supaya guru baru dihantar mengajar ke kawasan pedalaman sekurang-kurangnya selama tiga tahun.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia akan diwajibkan ke atas lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

''Bagaimanapun, perkara ini masih lagi di peringkat cadangan sebagai satu strategi melahirkan guru yang lebih terlatih dalam pelbagai bidang.

''Kita merasakan ia cadangan yang baik kerana dapat memberi pendedahan dan pengalaman kepada guru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, dua Naib Ketua bahagian masing-masing ialah Muhammad Farid Saad serta Syed Amerruddin Syed Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Aziaan Ariffin.

Tambahnya, walaupun syarat itu pernah diguna pakai, namun objektifnya tidak seperti yang dihasratkan kerana sering kali ada sahaja campur tangan atau sokongan pihak luar untuk guru baru bertukar.

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, kementerian juga akan mencadangkan pelajar aliran sekolah kemahiran dan vokasional dibenar mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi bahasa Melayu sahaja.

''Cadangan itu bagi membolehkan pelajar ini dapat meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi antaranya institut kemahiran kelolaan Kementerian Sumber Manusia atau agensi kerajaan lain.

''Ia adalah idea Bahagian Penyelidikan Teknik dan Vokasional berikutan ramai pelajar kumpulan ini tidak berminat untuk mengikuti kelas akademik sebaliknya cenderung di bidang teknikal dan kemahiran," ujarnya.

Beliau memberitahu, perkara itu sedang diperhalusi oleh Bahagian Peperiksaan Kementerian Pelajaran dan akan dilaksanakan pada bila-bila masa sebaik ia mendapat kelulusan pihak terlibat.

Friday, February 12, 2010

Impian Kanak-kanak Istimewa

Setiap orang mempunyai impian dan cita-cita tersendiri. Jika diberi peluang pastinya mereka dapat meneroka dan memperkembangkan minat masing-masing. Dengan minat yang ada, sudah tentunya ia akan membuahkan hasil dan menampakkan kejayaan. Ini sudah pastinya meningkatkan motivasi dan kepercayaan diri dalam diri individu.


Mungkin anda sebagai ibu bapa mempunyai impian melihat anak –anak anda menjadi pilot, doktor, peguam dan menjawat jawatan yang tinggi. Persoalannya apakah jawatan tersebut sesuai dengan kemampuan anak anda yang mempunyai sifat-sifat yang terbatas? Namun begitu, anda seharusnya tidak berputus asa kerana meskipun mereka dilahirkan dengan keadaan yang tidak sempurna, mereka masih dapat mengecap nikmat kehidupan dengan gembiranya. Apa yang penting, kepuasan dalam bidang yang diceburi mengikut minat masing-masing.


Meskipun golongan istimewa mempunyai kebolehan yang terbatas, ibu bapa seharusnya memberi kepercayaan dan galakan kepada mereka dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Dengan pendidikan dan latihan yang sepatutnya, orang-orang istimewa mampu beroleh kejayaan. Sejarah telah membuktikan, golongan istimewa juga mampu melakukan tugas seperti orang lain malah kadangkala lebih baik lagi!

Thursday, February 11, 2010

Terapi Berkuda

Pengenalan - Terapi Berkuda merupakan salah satu komponen Kemahiran Manipulatif di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran. Ia memberi fokus kepada perkembangan kefungsian tahap kemahiran motor kasar, motor halus dan pengamatan murid. Terapi Berkuda membolehkan murid-murid berkeperluan khas beriadah sambil bersosial dengan masyarakat sekeliling. Aktiviti ini juga dilihat mampu meningkatkan perkembangan motor halus pelajar yang akan memberi kesan yang baik kepada pembelajaran di dalam kelas selepas itu


Falsafah Pendidikan Khas

  1. Menyediakan peluang yang sama kepada pelajar-pelajar khas seperti yang diberi kepada pelajar-pelajar biasa
  2. Menyelaraskan sistem pendidikan untuk memenuhi matlamat negara melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih