Pages

Tuesday, May 25, 2010

Kambing bukan punca darah tinggi


Noh Omar melancarkan promosi daging kambing keluaran tempatan di Wisma Tani Putrajaya semalam sambil diperhati Datuk Johari Baharum (tengah).


PUTRAJAYA 24 Mei - Persepsi orang ramai terhadap daging kambing perlu diubah kerana amalan pemakanan daging itu bukan penyebab utama penyakit berbahaya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kajian membuktikan daging kambing mempunyai kandungan kolestrol, kalori dan lemak paling rendah berbanding sumber daging lain.

Berikutan itu, katanya, sebuah pasukan petugas khas akan diwujudkan dalam masa terdekat bagi meningkatkan promosi pemakanan daging kambing tempatan sekali gus mengikis stigma negatif mengenai pemakanan daging itu.

''Kementerian juga akan menjalankan kajian bersama Kementerian Kesihatan bagi meyakinkan orang ramai bahawa pemakanan daging kambing tidak menjadi sebab utama penyakit darah tinggi.

''Promosi juga akan dilakukan di tempat-tempat tumpuan pelancong khususnya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur iaitu di kawasan tumpuan pelancong Timur Tengah supaya orang ramai tidak risau untuk makan daging kambing yang menjadi makanan utama orang Arab," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan promosi daging kambing keluaran tempatan di sini hari ini.

Noh berkata, pelbagai langkah turut diatur bagi meningkatkan pemasaran daging kambing tempatan berikutan rungutan penternak kambing bahawa pengeluaran lebih tinggi daripada permintaan.

''Justeru, Jabatan Veterinar akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membuka lebih banyak gerai menjual daging kambing terutama di pasar tani seluruh negara.

''Pelbagai program juga telah dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan ke atas daging kambing import dari negara luar," katanya.

Bagaimanapun, Noh berkata, pengeluaran daging kambing dalam negara telah dapat ditingkatkan dari 1,600 tan metrik pada tahun 2006 kepada 2,100 tan metrik pada tahun lalu.

''Ini selari dengan peningkatan keperluan daging negara dari 17,800 matrik tan pada 2006 kepada 21,970 matrik tan pada tahun lalu," katanya.

Terapi seni mampu kawal pemikiran berkeceramuk

KUALA LUMPUR 25 Mei — Bidang seni bukan hanya untuk dinikmati oleh pencintanya tetapi juga boleh digunakan oleh doktor serta pakar psikologi dalam menyelami perasaan para pesakit melalui kaedah disebut “Art Therapy”.

Menegaskan demikian, Pegawai Psikologi dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Mohd Faeez Zakaria berkata, ”Art Therapy” merupakan terapi luahan melalui lukisan, tarian dan drama bagi mendiognasis masalah pesakit.

"Cara ini dapat membantu doktor dan pakar psikologi mengenalpasti masalah pesakit dan dapat memberikan rawatan yang tepat terutama bagi pesakit yang tidak mampu meluahkan masalah atau menceritakan sesuatu peristiwa yang menyakitkan hati mereka,” katanya pada pada seminar kaedah “Art Therapy”, di sini hari ini.

Mohd Faeez berkata, kaedah terapi ini juga dapat membantu merangsang minda kreatif pesakit malah sekaligus menonjolkan personaliti sebenar dalam diri mereka melalui hasil ciptaan mereka sendiri.

"Selain membantu pesakit meluahkan perasaan, kaedah itu juga secara perlahan dapat membantu pesakit mental mengawal pemikiran mereka yang berkecamuk,” katanya sambil menambah bahawa kaedah itu kini dipraktikkan di hospital di negara ini.

Seminar dua hari itu anjuran Balai Seni Lukis Negara dihadiri oleh 150 anggota Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dan dirasmikan Setiausaha Kanan (Pengurusan) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Dr Rothiah Omar. - Bernama

Sunday, May 23, 2010

CUEPACS mahu 2 bulan bonus

PULAU PINANG 22 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mempertimbangkan semula permintaannya untuk mendapatkan bonus dua bulan gaji dan memanjangkan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari.

Presidennya, Omar Osman berkata, permintaan tersebut seharusnya diberikan perhatian berikutan keadaan ekonomi yang semakin pulih dan untuk mengurangkan beban kira-kira 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.

Jelas beliau, kedua-dua tuntutan tersebut terkandung di dalam kertas cadangan kesatuan yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tahun lalu tetapi tidak dapat dipertimbangkan berikutan krisis ekonomi.

"Kita sedar, tuntutan berkenaan tidak ditolak kerajaan tetapi tidak dapat dipenuhi apabila negara dilanda krisis ekonomi pada tahun lalu.

"Ceupacs amat memahami keadaan yang berlaku dan setuju ia ditangguh buat sementara tetapi tahun ini ekonomi negara semakin pulih dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan 10.1 peratus untuk suku pertama.

"Jadi, amat wajar kedua-dua cadangan ini terutama pemberian bonus disemak semula. Kita harap ia akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2011 di Parlimen Oktober ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat kepada kira-kira 200 ahli Kesatuan Pembantu Tadbir Kesihatan Pulau Pinang di sini hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri mengumumkan ekonomi negara mencatat prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan 10.1 peratus dalam suku pertama tahun ini, berbanding 4.4 peratus bagi suku keempat tahun lalu.

Peningkatan itu adalah yang tertinggi sejak suku pertama 2000, iaitu ketika KDNK mencatat pertumbuhan 11.7 peratus.

Omar berkata, tuntutan tersebut adalah wajar untuk menambah kuasa beli, selain meningkatkan kebajikan kakitangan awam supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan, produktif dan cemerlang.

"Untuk tujuan tersebut, saya telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk yang terbaru pada 5 April lalu bagi memastikan cadangan berkenaan dikaji semula dan dipertimbangkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Omar berkata, pihaknya memberikan sokongan penuh terhadap usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta kerajaan memanjangkan tempoh cuti bersalin daripada 60 kepada 90 hari.

Katanya, cadangan Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu perlu dilaksanakan segera berdasarkan tekanan dan bebanan hidup yang terpaksa dipikul oleh pekerja wanita ketika ini.

Jelas beliau, tempoh cuti bersalin yang tidak mencukupi selain cuti rehat yang sudah dikurangkan kepada 25 hari antara faktor yang menyukarkan pekerja wanita meluangkan masa bersama keluarga selain mencari kemudahan menjaga anak.

"Kami merasakan sudah tiba masa kerajaan memenuhi tuntutan supaya cuti itu ditambah. Jika tidak 90 hari, sekurang-kurangnya 80 hari kerana ia amat munasabah.

"Walaupun ada pekeliling menyatakan setiap agensi perlu menyediakan kemudahan menjaga anak, namun hanya 10 peratus agensi kerajaan yang melaksanakannya.

"Perkara ini memberikan tekanan kepada golongan pekerja bawahan yang kurang mampu," katanya

Lesen perguruan tidak akan dilaksana

KUALA LUMPUR 22 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, para pendidik tempatan tidak perlu memiliki lesen perguruan yang dikeluarkan oleh mana-mana badan profesional bagi mengajar di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, setelah diteliti, cadangan itu tidak praktikal untuk dilaksanakan kerana kerajaan telah mempunyai sistem tersendiri bagi menilai prestasi guru-guru yang sedang berkhidmat.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, pengeluaran lesen perguruan oleh badan profesional juga dilihat tidak sesuai memandangkan sistem persekolahan awam di negara ini disediakan secara percuma oleh kerajaan.

''Saya sudah meneliti perkara itu dan berpendapat ia tidak sesuai. Kita tidak akan laksanakan.

''Kalau didapati prestasi mereka (guru-guru) ini tidak begitu baik kita akan hantar kursus, jadi soal pelesenan ini tidak bangkit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari Keluarga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus sempena Program Juara Rakyat Parlimen Setiawangsa anjuran Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas tentang cadangan supaya guru-guru tempatan perlu memiliki lesen perguruan yang dikeluarkan oleh sebuah badan profesional seperti diumumkan timbalannya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi di Kota Bharu semalam.

Mohd. Puad memberitahu, pengeluaran lesen perguruan seperti yang dimiliki oleh doktor atau peguam berupaya memastikan guru-guru tempatan terus dipercayai masyarakat.

Muhyiddin menjelaskan, idea lesen perguruan itu disuarakan oleh sebahagian guru besar dan guru-guru yang menyertai program 'retreat' Kementerian Pelajaran baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, para penduduk PPR di seluruh negara digalakkan supaya mendapatkan bantuan kerajaan dalam menubuhkan prasekolah di penempatan masing-masing.

Selain mendapatkan bantuan RM10,000 daripada kerajaan seperti diumumkan baru-baru ini, jelas beliau, kementeriannya juga bersedia melatih guru-guru bagi mengajar kanak-kanak peringkat prasekolah yang dibina di PPR.

Satu murid satu sukan mulai 2011

KUALA LUMPUR 22 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dasar satu murid bergiat dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sebagai salah satu komponen program transformasi pendidikan bermula tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar yang mendapat reaksi positif warga pendidikan itu bertujuan mengembalikan kegemilangan sukan ke peringkat sekolah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, melalui penglibatan dalam bidang sukan, negara mampu melahirkan pelajar yang mempunyai semangat untuk bertanding dan bersaing secara sihat.

“Sebab itu saya yakin bila kemeriahan aktiviti sukan dikembalikan di sekolah, anak-anak kita akan terbentuk sahsiahnya bukan sahaja dari segi akademik bahkan kurikulum yang tidak kurang pentingnya.

“Sukan merupakan aktiviti yang boleh merapatkan hubungan, meningkatkan kesepakatan dan menyemarakkan semangat esprit de corp iaitu saling bantu membantu antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Perlawanan Bola Sepak Piala Sultan Azlan Shah 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Victoria, di sini hari ini.

Pada perlawanan berkenaan, SMK Victoria menang bergaya menewaskan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dengan jaringan 4-0.

Perlawanan bola sepak Piala Sultan Azlan Shah yang sebelum ini dikenali sebagai Laksamana Cup merupakan perlawanan tradisi setiap tahun antara kedua buah sekolah sejak 1949.

Mengulas mengenai penganjuran Piala Sultan Azlan Shah, Muhyiddin berkata, ia merupakan satu medan terbaik untuk mencungkil bakat bola sepak di kalangan pelajar kedua buah sekolah untuk ditingkatkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, kerajaan sememangnya berhasrat untuk melihat sekolah-sekolah premier seperti SMK Victoria dan MCKK melahirkan pelajar yang seimbang dan melakar kecemerlangan dalam bidang akademik dan sukan.

Friday, May 21, 2010

Perluas aspek keselamatan jalan raya di peringkat sekolah


Ismail Lasim bersama Rozano Saad (tengah) menyampaikan piala kepada Sekolah Kebangsaan Seremban 2B yang muncul juara keseluruhan bagi kategori sekolah rendah dan Sekolah Menengah Kebangsaan King George V muncul juara kategori sekolah menengah pada majlis penutup pertandingan lalu lintas Shell/MKJR peringkat negeri di Gelanggang Basikal MPS, semalam.


SEREMBAN 20 Mei – Kerajaan negeri akan memperluaskan aspek keselamatan jalan raya melalui penubuhan Kelab Keselamatan Jalan Raya di peringkat sekolah bagi memupuk kesedaran di kalangan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim berkata, penubuhan kelab itu bukan sahaja memberi impak positif kepada pelajar malah ia membentuk kesedaran mengenai undang-undang jalan raya.

Jelasnya, setakat ini sebanyak 60 buah sekolah di seluruh negeri ini telah menubuhkan kelab berkenaan dan sambutannya amat menggalakkan.

“Kita melihat aspek pendidikan jalan raya bukan hanya tertumpu untuk golongan tertentu sahaja, tetapi ia boleh diperluaskan di semua peringkat lebih-lebih lagi pelajar sekolah.

“Oleh itu, penubuhan Kelab Keselamatan Jalan Raya di sekolah mampu memberi impak positif terhadap nilai kesedaran apabila mereka berada di jalan raya,” katanya.

Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Pertandingan Lalu Lintas Shell dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kilang Penapis Shell, Port Dickson, Rozano Saad.

Sementara itu, Ismail juga menjelaskan pihaknya menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat korporat bersama kerajaan negeri dalam usaha memupuk kesedaran mengenai aspek keselamatan jalan raya.

Malah katanya, ia juga dilihat sebagai satu perkongsian pintar dalam memastikan jumlah kemalangan yang dilihat terus meningkat dikurangkan melalui program pendidikan seperti ini.

“Kita di peringkat kerajaan negeri juga akan menganjurkan pelbagai program yang bersesuaian termasuklah memberi kursus kepada guru-guru sekolah mengenai aktiviti keselamatan jalan raya.

“Pendekatan ini diambil bagi membolehkan para pelajar dan guru diberi pendedahan mengenai keselamatan jalan raya supaya dipraktikkan di semua sekolah di negeri ini,” katanya.

Jangan sisihkan anak istimewa


Petugas Program Pemulihan Dalam Komuniti bergambar bersama pelatih di Kompleks Serting, baru-baru ini.


JEMPOL 20 Mei – “Jangan tunggu elaun naik, baru hendak hantar anak ke sini. Tolong fikirkan masa depan anak ini, sudahlah mereka kurang berkeupayaan tidak dapat ke sekolah biasa.”

Demikian kata-kata yang diluahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli mengenai segelintir ibu bapa yang hanya ingin menghantar anak ke Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sekiranya elaun pelatih dinaikkan.

Beliau yang juga penaung di PDK Serting menyifatkan anak-anak ini terlalu istimewa dan harus diberi kasih sayang yang lebih dari insan yang normal.

“Jangan sisihkan mereka, anggaplah mereka seperti anak yang normal. Curahkan kasih sayang pada mereka. Mereka tidak minta dilahirkan sebegitu dan jangan sekat hak mereka.

“Hantarlah mereka ke PDK, di sini mereka akan memperoleh ilmu dan kemahiran. Kadangkala anak kita kelihatan normal, tetapi hasil ujian mendapatinya mempunyai masalah. Terimalah kenyataan andai perkara itu berlaku,” katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian itu menekankan menuntut ilmu amat penting kepada semua golongan termasuk ‘insan istimewa’ ini.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Jempol, Mustafal Bakri Muhammad Yusof, berkata setiap pelatih yang mendaftar di PDK akan diberi elaun sebanyak RM150 sebulan.

“Bagi kes terlantar pula RM300 akan dimasukkan ke dalam akaun penjaga mereka. Ia boleh digunakan untuk membeli barang keperluan pelatih. Wakil dari PDK akan melawat mereka di rumah dan memberikan latihan susulan.

“Di sini kami juga mengamalkan sistem ‘punch card’. Ia bertujuan melatih pelatih berdisiplin dan menepati masa. Jadi mereka tidak akan lewat ke PDK,” katanya.

Tambah beliau, pihak JKM juga sentiasa melakukan pemantauan untuk mencari anak-anak istimewa yang belum didaftarkan ke PDK.

“Seandainya JKM mendapat tahu ada penjaga yang mempunyai anak istimewa tetapi tidak menghantarnya ke PDK, mereka akan ke rumah itu dan cuba memujuk agar penjaga menghantar anaknya di sini. Semuanya demi kebaikan anak-anak ini,” katanya lagi.

Jumlah keseluruhan pelatih yang mendaftar di PDK Jempol sebanyak 328 manakala kes terlantar mencapai jumlah 106 orang.

Sehingga kini terdapat tujuh PDK di dalam kawasan Jempol dan sebuah lagi dijangka dibuka di Jeram Padang.

Wednesday, May 19, 2010

Transformasi pendidikan melalui sukan - TPM


Muhyiddin Yassin sempat berbual dengan ketua kontinjen Sarawak pada majlis perasmian kejohanan olahraga MSSM Ke-52 di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU -- Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sukan mampu memberikan impak besar kepada proses transformasi pendidikan yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Menurut beliau, ia selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara iaitu melahirkan pelajar yang mempunyai keseimbangan antara jasmani, emosi, rohani dan intelek.

"Sehubungan itu, Dasar 1Murid 1Sukan akan dilaksanakan mulai tahun depan, iaitu seorang murid terlibat dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan," katanya ketika merasmikan kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-52 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohamad Ali Hassan; Timbalan-timbalan Menteri Pelajaran, Mohd. Puad Zarkashi dan Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Kejohanan MSSM yang berlangsung empat hari mulai semalam, menawarkan 96 pingat emas.

Tambah Muhyiddin, dasar tersebut pada asasnya dilaksanakan untuk mengembalikan kemeriahan sukan sekolah dan ia bukanlah perkara baru kerana sukan merupakan aktiviti wajib di sekolah.

"Antara aspek yang diberikan penekanan dalam transformasi ini adalah perubahan dalam kurikulum sekolah, supaya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan menyeronokkan," jelasnya.

Justeru, katanya, sebuah jawatankuasa ad-hoc yang dipengerusikannya telah pun mengadakan mesyuarat dan membuat beberapa keputusan strategik termasuk memberi bantuan kewangan sukan kepada sekolah-sekolah.

Enam pelajar digantung sekolah kerana majlis hari jadi


Sebahagian daripada enam pelajar sekolah bersama ibu bapa menunjukkan surat gantung sekolah yang diterima baru-baru ini.


JEMPOL 18 Mei - Enam pelajar perempuan sebuah sekolah di Batu Kikir dekat sini dikatakan digantung sekolah sebanyak dua kali dalam bulan ini hanya kerana mengadakan majlis hari jadi salah seorang daripada mereka di sebuah kelas kosong.

Pihak sekolah dikatakan mendakwa enam pelajar perempuan itu menceroboh sebuah kelas kosong untuk mengadakan majlis itu pada pukul 4.30 petang, 6 Mei lalu selain mengadakannya tanpa kebenaran sekolah.

Berikutan itu, kesemua pelajar yang berusia 15 tahun itu dikenakan tindakan gantung sekolah pada 12 hingga 14 Mei lalu oleh pihak sekolah.

Namun, apabila pelajar itu kembali untuk meneruskan sesi pembelajaran, mereka sekali lagi dikejutkan dengan tindakan pihak sekolah yang dikatakan mengeluarkan sepucuk lagi surat penggantungan bermula semalam hingga esok.

Apa yang mendukacitakan ibu bapa pelajar terbabit, tindakan pihak sekolah dianggap keterlaluan dan tidak munasabah lebih-lebih lagi pelajar berkenaan akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Seorang ibu pelajar terbabit, Sri Sheida Abdullah, 51, berkata, dia pergi ke sekolah berkenaan pada 12 Mei lalu untuk mendapatkan penjelasan.

''Malangnya, anak saya diarah pulang kerana digantung sekolah bermula 12 Mei hingga 14 Mei lalu. Oleh kerana tiada surat yang dikeluarkan pihak sekolah, saya pergi sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan dan pihak sekolah mendakwa telah menghantar surat pada 10 Mei lalu," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dia terkejut apabila menerima sepucuk surat yang mengatakan anaknya digantung sekolah bermula semalam hingga esok.

''Apa masalahnya dengan pihak sekolah. Mereka menggantung persekolahan anak saya sampai dua kali atas kesalahan yang sama. Itu hukuman yang paling berat," katanya.

Seorang lagi ibu pelajar, Murti Mohsin, 46, berkata, dia tidak menduga hasrat anaknya untuk menyambut hari jadi bersama rakan-rakan berakhir dengan kisah malang itu.

''Hendak meraikan hari jadi pun kena gantung sekolah. Saya tidak faham kenapa pihak sekolah bertindak demikian," katanya.

Menurutnya, tindakan penggantungan itu akan memberi kesan berpanjangan kepada anaknya dan rakan-rakannya itu.

Murti berkata, biarpun anaknya itu bersalah atau melanggar peraturan sekolah, tindakan penggantungan itu bukan satu penyelesaian yang wajar.

''Saya harap selepas ini pihak sekolah tidak lagi mengeluarkan surat sedemikian hanya kerana mengadakan majlis hari jadi kecil-kecilan," ujarnya.

Dalam pada itu, cubaan Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan daripada pengetua sekolah terbabit tidak berhasil apabila dia enggan mengulas mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad ketika dihubungi berkata, beliau mahu laporan mengenai perkara itu diserahkan kepadanya segera.

''Saya mahu pihak sekolah memberikan penjelasan dan saya minta penjaga usah bimbang. Selepas saya menerima laporan dan penjelasan dari pihak sekolah, kami akan ambil tindakan yang perlu.

''Biasanya hukuman sebegitu adalah untuk mendidik dan mengajar pelajar yang melakukan kesalahan, bagaimanapun kita mahu lihat sama ada ia relevan atau tidak,'' katanya.

Monday, May 17, 2010

Huzaire dianugerah Guru Cemerlang OKU kebangsaan


Mohd. Huzaire Ahmad ditemani isterinya, Siti Nor Azizah Mohd. Noor Yusof gembira melihat anugerah yang diterimanya sempena Festival Hari Guru Ke-39 Peringkat Kebangsaan 2010 di Kuantan, semalam.


KUANTAN 16 Mei - ''Anugerah ini sepatutnya menjadi milik isteri saya kerana dia yang banyak berkorban dan membantu setiap hari sama ada di sekolah mahupun di rumah."

Demikian kata-kata penerima Anugerah Guru Cemerlang kategori Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat kebangsaan, Mohd. Huzaire Ahmad, 34.

Mohd. Huzaire yang mengajar Pendidikan Muzik di Sekolah Kebangsaan (SK) Mempaga 2, Karak begitu terharu apabila dipilih menerima anugerah tersebut.

Beliau yang disahkan lumpuh sejak 10 tahun lalu akibat terjatuh dari pokok rambutan, bertekad meneruskan cita-cita sebagai seorang guru.

''Kejadian tersebut berlaku semasa saya berada di semester akhir pengajian di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang.

''Sepatutnya saya menjalani praktikum tetapi disebabkan kejadian tersebut, saya terpaksa membatalkan hasrat untuk menjadi seorang guru.

''Bagaimanapun atas keprihatinan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang ketika itu sebagai Ketua Pemuda UMNO, saya kembali menyambung praktikum dan kini bergelar seorang guru," katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan Makan Malam Negeri 'Selera Inderapura' sempena Festival Hari Guru peringkat kebangsaan di sini malam tadi.

Hadir pada majlis tersebut, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff.

Menurut Mohd. Huzaire, isterinya, Siti Nor Azizah Mohd. Noor Yusof, 27, adalah orang penting dalam hidupnya kerana 'bertanggungjawab' mengangkat kerusi rodanya setiap hari untuk ke sekolah.

''Isteri saya bekerja di sekolah yang sama sebagai Pembantu Tadbir dan dia yang akan mengangkat kerusi roda ke kelas di tingkat dua.

''Setiap hari saya akan datang awal ke sekolah iaitu kira-kira pukul 7 pagi dan saya akan mengesot naik tangga secara bersendirian kerana tidak mahu menyusahkan orang lain terutama isteri.

''Isteri juga yang akan menemani saya di sekolah sehingga pukul 7 malam bagi menyelesaikan segala aktiviti sekolah bersama murid-murid," katanya yang juga dinobatkan Anugerah Guru Inovatif OKU peringkat negeri tahun lalu.

Mohd. Huzaire bersyukur kerana diberi anugerah tersebut kerana walaupun hanya mengajar Pendidikan Muzik, beliau bangga dapat membina keyakinan diri dan sahsiah yang baik terhadap anak muridnya.

Anak sulung daripada enam beradik itu pernah menerima Anugerah Pekerja Cemerlang 2008 dan Anugerah Khas Hari Guru 2005 atas pengorbanannya dalam bidang pendidikan walaupun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

Sunday, May 16, 2010

Pantun Hari Guru

Tujuh belas tahun rindu tersemat,
Tanjung Aru tempat berjumpa,
Enam belas Mei tarikh keramat,
Jasa guru jangan di lupa.

Anak kancil pergi berguru,
Tidak terbiasa kerja yang sia,
Dari kecil diasuh guru,
Agar dewasa menjadi manusia.

Hendak berburu ke luar kota,
Seluas alam bumi terentang,
Tanpa guru siapalah kita,
Ibarat malam tanpa bintang.

Jalan ke barat berpilin-pilin,
Cuaca redup menawar duka,
Guru ibarat cahaya lilin,
Menyuluh hidup tiap ketika.

Angin menderu dengan sepoinya,
Di anak tangga duduk berperikan
Kasih guru akan muridnya,
Masa dan tenaga rela korbankan.

Meski Utarid kabur pandangannya,
Hanya percaya kuasa Tuhan,
Kasih murid akan gurunya,
Gapai jaya di hari depan.

Putik baru mekar di laman,
Kembang kudup kumbang terikat,
Hargai guru sepanjang zaman,
Agar hidup beroleh berkat.

Istana kota sebelas langkat,
Tempat baharu Nakhoda Pekan,
Sama kata sama sepakat,
Hari guru mari raikan.

Friday, May 14, 2010

Bacaan Yasin, tahlil sempena Hari Guru


Puad Zakashi (dua dari kiri) hadir pada Majlis bacaan Yassin dan solat hajat bagi sambutan hari guru ke-39 peringkat kebangsaan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 13 Mei - Kementerian Pelajaran malam ini buat pertama kalinya mengadakan majlis solat hajat, bacaan Yasin dan tahlil sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 Ahad ini.

Majlis yang diadakan di Masjid Negara itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Turut hadir 1,000 orang yang terdiri daripada pegawai kanan kementerian dan guru sekitar Lembah Klang.

Majlis tersebut dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan diikuti solat Hajat, bacaan Yasin dan tahlil.

Para jemaah kemudiannya mendengar ucapan Alimuddin dan juga bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh Qari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mujahidin Syahid Nasrudin sebelum menunaikan solat Isyak.

Alimuddin dalam ucapannya, melahirkan penghargaan kepada semua kakitangan kementerian yang menghadiri majlis tersebut.

Beliau juga berharap majlis terbabit dapat dijadikan sebagai acara tahunan.

Hari Guru disambut pada setiap 16 Mei dan sambutan kali ke-39 tahun ini akan diadakan di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang.

Ia akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tema Hari Guru pada tahun ini ialah Guru Pembina Negara Bangsa.

Wednesday, May 12, 2010

Hidup berjimat atasi kenaikan kos harian

Oleh SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL


Apabila kita ke pasar raya atau pasar biasa untuk membeli barang dapur dengan berbekalkan RM50, macam tidak percaya hanya mampu membawa balik dua kilogram ikan kembung dan sekilogram udang serta beberapa jenis sayur-sayuran.

Bayangkan, kalau keluarga kita besar seramai lapan orang atau lebih dengan anak yang sedang membesar itu pula mengikut fitrahnya memang berselera makan dan kita tidak boleh menyekatnya kerana itu adalah cara hidup harian kita selama ini.

Oleh itu, kita memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan untuk menampung belanja makan untuk satu keluarga saja dan itu tidak termasuk belanja dan tambang sekolah anak dan juga sewa rumah.

Bagaimanakah kita mengkategorikan keluarga ini? Adakah mereka ini dianggap sebagai golongan miskin dan memerlukan bantuan daripada pusat zakat atau pertubuhan kebajikan terutama sekali mereka yang mempunyai keluarga yang besar?

Ketua keluarga mesti pandai memainkan peranan demi untuk kesejahteraan keluarga itu sendiri.

Jangan biasakan berhutang di institusi kewangan atau secara bayaran ansuran kerana walaupun nampak kecil tetapi apabila terlalu banyak tempat berhutang tanpa disedari gaji hanya tinggal beberapa ratus.

Kita tidak perlu berlagak seperti orang berada, jika kita tahu sejauh mana tahap kemampuan dan jangan ikut orang lain kerana mungkin ekonomi mereka teguh.

Kalau kita bijak berbelanja, berjimat cermat dan tahu menguruskan kewangan rumah tangga hingga dapat membesarkan anak dengan pelajaran sempurna dan hidup berkat.

Dakwah Yang Berhikmah

Hadith :


“Daripada Abu Hurairah r.a. katanya:” Seorang Arab Badwi telah membuang air kecil di dalam masjid, lalu orang ramai pun bangun hendak bertindak ke atasnya. Maka rasulullah s.a.w bersabda (yang maksudnya): “Biarkan dia (hingga selesai ia membuang air kecil) dan siramkan sebaldi atau segayung air ke atas kencingnya itu. Sesungguhnya kamu diperintah untuk memberi kemudahan, bukan untuk mendatangkan kesusahan.”

Riwayat al-Bukhari

Huraian:

1. Teguran Rasulullah s.a.w di dalam hadith tersebut adalah sebagai panduan kepada umat Islam agar bertindak dengan penuh hikmah dan menegur secara baik. Bahkan ia termasuk dalam strategi dakwah yang amat penting.

2. Masjid merupakan tempat suci yang amat perlu dijaga kebersihannya. Oleh itu setiap ahli jemaah mestilah mematuhi peraturan masjid yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan masjid agar memberi kemudahan kepada semua pihak.

3. “Memudah dan tidak menyukarkan” adalah antara prinsip asas Islam yang harus diutamakan dalam melakukan segala perkara selagi mana ia tidak melanggar batas-batas syarak.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Syarat kelayakan kursus perguruan tak dilonggar

Syarat kelayakan dalam permohonan kemasukan kursus perguruan tidak akan dilonggarkan untuk mencapai nisbah 50 peratus calon lelaki pada sesi pengambilan Jun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, perkara itu tidak timbul kerana bilangan pemohon lelaki yang memenuhi merit kelayakan ditetapkan adalah mencukupi, malah terpaksa bersaing sesama mereka berikutan jumlahnya melebihi kuota diperuntukkan.

“Sebelum ini, perempuan lebih ramai menjadi guru kerana sebahagian besar permohonan adalah daripada mereka, bukan disebabkan calon lelaki gagal memenuhi syarat kelayakan. Walaupun jumlah permohonan lelaki lebih rendah berbanding perempuan, bilangan yang layak tetap ramai dan mencukupi (untuk mengisi kuota 50 peratus).

“Tahun ini, kuota 50 peratus tempat diperuntukkan kepada calon lelaki bagi pengambilan kedua-dua Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM).

“Bagaimanapun, pelaksanaan ini adalah percubaan dan sekiranya sesuai, barulah diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Laporan akhbar baru-baru ini memetik Mohd Puad sebagai berkata, kerajaan akan menyeimbangkan pengambilan guru tahun ini pada kadar sama, iaitu masing-masing 50 peratus untuk calon lelaki dan perempuan.

Beliau juga dipetik sebagai berkata, keperluan untuk mempunyai guru lelaki adalah penting di sekolah, terutama membabitkan aspek disiplin dan pembangunan sukan pelajar, selain bagi memudahkan kerajaan menempatkan mereka ke kawasan pedalaman.

Secara keseluruhan, Mohd Puad berkata, Kementerian Pelajaran akan mengambil seramai 2,529 calon untuk memasuki KPLSPM, manakala program KPLI pula menyediakan sebanyak 1,878 tempat, tahun ini.

Tuesday, May 11, 2010

Kerajaan sedia timbang kenaikan gaji guru

SIBU 10 Mei - Isu kenaikan gaji dan elaun guru yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan profesion itu akan diperhalusi sebelum ia dilanjutkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengakui skim kakitangan guru sedia ada perlu mengalami penambahbaikan tetapi perkara itu perlu penelitian terperinci sebelum dimuktamadkan untuk kebaikan 380,000 orang guru di seluruh negara.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran turut berkata, beberapa skim baru membabitkan elaun guru dan kenaikan pangkat yang lebih komprehensif akan diumumkan pada Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ahad ini.

"Pada sambutan Hari Guru, saya akan menyampaikan beberapa perkara penting untuk hala tuju pendidikan dan profesion perguruan masa depan," katanya pada sesi dialog di Majlis Perjumpaan Guru-Guru Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Centenary Sekolah Menengah Sacred Heart di sini hari ini.

Skim itu dijangka memberi manfaat kepada pengetua dan guru besar serta guru daripada segi kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain, jelas beliau.

Turut disentuh ialah menambah baik skim bagi guru yang mengajar di pedalaman yang kini menerima elaun kesusahan RM1,500 sebulan disebabkan kos pengangkutan yang tinggi, katanya.

Muhyiddin berkata, satu kajian perlu dilakukan berhubung keperluan guru di pinggir bandar kerana ia juga harus mengambil kira pembangunan infrastruktur 10,000 sekolah di seluruh negara termasuk 1,500 buah di Sarawak.

Mengenai pengambilan ke maktab perguruan, beliau berkata, kerajaan mungkin menimbang untuk mengambil penduduk tempatan di kawasan-kawasan yang amat memerlukan tenaga guru di Sarawak dan Sabah bagi mengurangkan masalah penempatan guru dan kos pengangkutan.

Sambil mengingatkan semua guru supaya berkhidmat dengan penuh dedikasi, Muhyiddin berkata, kementerian tidak mengamalkan diskriminasi dalam penempatan guru berkelayakan dan berkemahiran di Sarawak, Sabah atau di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) amat mementingkan pendidikan dan meletakkan ia perkara paling atas dalam pembangunan negara.

Malah katanya, lebih 25 peratus belanjawan negara diperuntukkan untuk pembangunan pendidikan supaya dapat melahirkan modal insan yang berkeupayaan dan berkemahiran tinggi.

Bersyukurlah dapat menjadi Guru

Sejak kebelakangan ini, banyak sungguh rungutan daripada mereka yang bergelar guru. Ada sahaja yang tidak puas hati terhadap apa yang dinikmati sekarang.

Bermula dengan isu guru penat mengajar, guru teraniaya, guru tersiksa mengajar di kawasan pedalaman dan entah apa-apa lagi, setiap rungutan dipaparkan bagi meraih simpati kerajaan dan orang ramai.

Meneliti setiap rungutan yang dipaparkan oleh media, nampaknya guru sekarang terlalu berkira dan tidak lagi ikhlas bekerja demi agama, bangsa dan negara.

Pepatah, guru menerangi kehidupan orang lain tidak lagi sesuai dipraktikkan kerana segala apa yang dilakukan guru sekarang, mereka mahukan pembalasan sama ada gaji lebih, elaun lebih dan lain-lain.

Jika itulah rungutan guru sekarang, cuba fikirkan tentang rakan penjawat awam atau swasta lain yang sesetengahnya bergaji jauh lebih rendah, walaupun memiliki kelulusan akademik yang sama.

Kalau tak sanggup pikul tugas sebagai guru, lebih baik letak jawatan agar murid dan pelajar tidak menjadi mangsa guru yang terlalu berkira dan tidak ikhlas bekerja.

PENOREH GETAH
Jeli, Kelantan

Keistimewaan Khadijah

Hadith :

Dari ‘Aisyah r.a katanya:”Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.”

(Bukhari)

Huraian:

Rasulullah s.a.w memperisterikan saidatina Khadijah bukan kerana status sosialnya yang yang tinggi yang terkenal sebagai seorang yang hartawan lagi dermawan tetapi adalah kerana sifat saidatina Khadijah itu sendiri yang mempunyai peribadi dan akhlak yang mulia.

Saidatina Khadijah adalah seorang yang berfikiran tajam, sabar dan berpandangan jauh. Lebih daripada itu, Khadijah adalah seorang isteri yang benar-benar memahami keadaan suaminya.

Ini terbukti ketika mana pertama kali baginda menerima wahyu dilantik menjadi utusan Allah, Khadijahlah yang menenangkan hati baginda dan kemudian mempertemukan baginda dengan sepupunya Waraqah bin Naufal yang mengatakan bahawa baginda adalah seorang Nabi.

Khadijah sebenarnya adalah seorang isteri yang mampu menyuntik semangat seorang suami dalam menyempurnakan amanah kepada Allah bahkan beliaulah orang yang mula-mula memeluk Islam sebelum nabi berdakwah di kalangan para sahabat baginda yang lain.

Dalam diri Khadijah ditemui teladan wanita terbaik; wanita yang subur dengan kasih-sayang yang juga telah melahirkan anak-anak baginda iaitu: al-Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayya, Umm Kulthum dan Fatimah.

Dalam perjuangan baginda menegakkan agama Islam, Khadijahlah orang yang paling banyak berkorban, harta dan tenaga dalam mempertahankan baginda dari disakiti oleh kaum Quraisy.

Begitu banyak peranan yang telah dimainkan oleh khadijah bahkan boleh dikatakan bahawa beliau telah menjadi tulang belakang dalam kegiatan dakwah Rasulullah.

Dan berpadanan dengan jasa dan pengorbanannya itu Allah S.W.T telah mengurniakannya sebuah rumah di dalam tempat yang paling mulia iaitu syurga.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Monday, May 10, 2010

CD khas prasekolah


Pengarah Eksekutif Idwal Systems Sdn. Bhd., Faezah Abd. Rahman bersama koleksi CD pendidikan terbitannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 9 Mei – Program pendidikan berbentuk cakera padat (CD) yang interaktif amat menarik minat kanak-kanak kerana ia mengaplikasikan konsep pembelajaran yang menyeronokkan.

Faktor ini mendorong Idwal Systems Sdn. Bhd. (Idwal) untuk memberi fokus kepada pembangunan multimedia berupa perisian program pendidikan berbentuk CD khas untuk kanak-kanak prasekolah dan awal sekolah rendah.

Pengarah Eksekutifnya, Faezah Abd. Rahman memberitahu, CD keluarannya sesuai untuk kanak-kanak berusia dari empat hingga enam tahun kerana isi kandungan program ini lebih menekankan kepada pembelajaran asas seperti membaca, mengeja, mewarna dan mengira.

Beliau memberi contoh CD Bacaan Komprehensif Interaktif yang direka khusus bagi membantu kanak-kanak yang belum menguasai kemahiran membaca.

“Ia merangkumi kemahiran lisan iaitu mendengar dan bertutur dalam dwibahasa dengan tiga struktur penulisan iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Jawi,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Faezah, CD lain terbitannya ialah Kaedah Cepat Menguasai Membaca dan Menulis (KCM2M), Program Pembelajaran ICT Tematik Prasekolah, Guide Me - Early English dan Program Intelek Jawi.

Ujar beliau, semua CD pendidikan ini boleh dicetak bagi menghasilkan buku latihan atau buku aktiviti mewarna sebagai alternatif kepada pembelajaran menggunakan komputer.

“Ia juga sesuai dijadikan bahan tambahan bantu mengajar kepada ibu bapa untuk memantapkan lagi pemahaman anak-anak mereka di rumah dengan apa yang dipelajarinya di dalam kelas,” ujarnya.

Untuk sebarang maklumat lanjut dan pembelian secara atas talian, sila layari www.idwal.com.my

Biarlah kehadiran anda dirasai!

HARI guru pada tahun ini disambut dalam suasana yang cukup berhemah. Sambutan besar-besaran di peringkat sekolah mungkin tidak perlu - tetapi ia tetap perlu diadakan juga. Masih ada murid yang mahu meraikan dan menghargai jasa anda. Sekurang-kurangnya anda perlu membuat sesuatu supaya kewujudan dan kerja anda dirasai.

Al-Mukadimah, banyak cabaran yang menanti guru bagi yang mengikuti perkembangan pendidikan semasa. Harapan yang diletakkan di bahu guru bukan sahaja daripada kelompok pelanggan iaitu ibu bapa, tetapi juga pembuat dasar, iaitu kerajaan.

Bagi yang telah memenuhi tuntutan Bai'ah, anda bolehlah tersenyum pada Hari Guru ini.

Maka, pada Hari Guru tahun ini, apa sahaja pengumuman - sama ada ia tokok tambah kepada gaji atau imbuhan lain - maka ia perlu disusuli dengan rasa insaf bahawa tanggungjawab mendatang bukan kepalang beratnya. Guru di bandar, pedalaman, di kampung atau di sektor-sektor khas lain perlulah dapat merasai bahawa Hari Guru 2010 ialah titik tolak kepada perubahan yang bakal mereka galas.

Perlu juga dibangkitkan di sini, kepada lebih 100 guru pedalaman yang telah diberi tunjuk sebab kerana ponteng dan pelbagai masalah lain, anda fikirlah sendiri. Jawablah surat tersebut kalau masih berstamina menjadi guru.

Yang mereka perlu sedar juga ialah tindak tanduk dan output kerja mereka kini diperhatikan secara kuantitatif dan kualitatif. Hal ini senang sahaja dilaksanakan kerana di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) pendidikan yang menjadi dasar Program Transformasi Kerajaan (GTP), maka KPI keberhasilan dan KPI tindakan akan menjadi petunjuk kepada pencapaian kuantitatif dan kualitatif masing-masing.

Rakyatlah yang memerhatikan KPI kita kelak. Sedarlah wahai guru, bahawa ibu bapa pada hari ini sudah pintar dan malah ada yang cukup arif tentang makna dan rubrik penilaian KPI. Mungkin selepas ini laporan kertas kerja berkajang-kajang kepada ketua jabatan terhadap apa yang kita buat tidak penting lagi, tetapi produk yang akan menentukan cara dan hala tuju kita.

Jadi, berhenti daripada terus cuba bermain dengan sentimen simpati terhadap diri sendiri, sebaliknya bekerja keraslah di bawah bidang tugasan di mana kita diletakkan. Kalau kita benar-benar mengakui apa yang kita lakukan demi the national duty, maka nawaitu kita selepas ini akan dipamerkan melalui keputusan atau output kerja masing-masing.

Kita bukanlah hebat sangat sehingga boleh diletakkan sebagai yang terbaik di dunia. Malah di peringkat Asia pun bukan. Indeks pencapaian pendidikan kita secara umumnya pun makin merosot (lihat laporan TIMMS dua tiga tahun kebelakangan ini) berbanding negara kecil Singapura dan Hong Kong. Nampaknya, semakin banyak dasar baru yang diperkenalkan, kesannya ialah antagonis. Apa sudah berlaku dan di mana ketirisan berlaku? Tepuk dada, tanyalah selera.

Dunia mungkin telah berubah, dan kita juga sebenarnya mesti berubah.

Pelbagai mekanisme dan enjin diperkenalkan dalam sistem kita. Kita ialah pengamal carrot and stick yang handal. Terlalu banyak carrot menyebabkan kita karat.

Pelbagai usaha dilakukan. Paling terbaru, Kementerian Pelajaran Malaysia mahu membantu sekolah dengan memperkenalkan apa yang disifatkan sebagai Program Peningkatan Prestasi Sekolah (PPPS). Program ini begitu cantik tetapi sejauh mana ia akan tercapai terletak di tangan guru. Satu hal lagi ialah sejauh mana guru mahu membuka pintu dan pemikirannya terhadap perubahan yang hendak dibawa oleh PPPS.

Sekolah akan menerima lagi pelbagai bentuk sokongan dan bantuan di bawah PPPS. Program berbentuk bottom-up ini akan berfokus terus ke sekolah, dengan menolak terus konsep one size fits all.

Begitu juga terdapat cadangan supaya guru diberikan sijil profesional. Lesen ini perlu diperbaharui melalui pemantauan dan program tertentu yang mereka perlu ikuti dari semasa ke semasa.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 usaha besar-besaran akan dilakukan untuk mensiswazahkan hampir 100,000 guru yang masih belum memegang ijazah. Jumlah itu besar berbanding jumlah guru pada hari ini yang berjumlah 4000,000 orang.

Bagi pihak Utusan Malaysia, kami mengucapkan selamat Hari Guru 2010, semoga kita semua berada dalam sihat sejahtera dan mendapat keberkatan Allah dalam setiap tindak tanduk kita. Sebagai penganjur bersama festival Hari Guru, Utusan Malaysia menjemput semua guru dari seluruh negara ke Festival Hari Guru di East Coast Mall Kuantan bermula 13 hingga 16 Mei. Banyak ilmu menanti anda.

Kira raikan Hari Guru 2010.

Maksud Habeas Corpus

Habeas Corpus - Terma Latin yang membawa maksud "seseorang mesti bertubuh". Oleh itu, seseorang yang ditahan berhak diberitahu tentang jenayah yang dilakukannya atau tuduhan keatasnya, dan memohon supaya penahanannya disemak semula oleh badan kehakiman. Seseorang yang ditahan secara haram seharusnya dibebaskan.

Sunday, May 9, 2010

Tips Kempiskan Perut

Di sini ada beberapa cara untuk mengatasi atau mengurangkannya. Tips berikut sangat sesuai bagi mereka yang berkenaan.


Minum Banyak Air

Jika perut penuh disebabkan oleh penyimpanan air, anda sebenarnya dapat mengurangi masalah tersebut dengan minum air lebih banyak. Hal ini akan mencairkan konsentrasi sodium/garam dalam tubuh sehingga meningkatkan jumlah air yang dikeluarkan dari sistem tubuh. Minum lebih banyak air juga menjamin fungsi hempedu efektif untuk mengeluarkan bahan toksin. Jangan kurangkan pengambilan air ketika berdiet, kerana banyak bahan yang sukar dicernakan dan akan menyebabkan perut menggelembung.


Makan perlahan-lahan

Jangan makan gelojoh, kerana ketika anda menelan terlalu cepat, udara tertahan dalam usus dan membentuk gas yang dapat mengakibatkan penggelembungan perut. Duduk ketika makan dan kunyah makan secara perlahan-lahan. Makanan yang tidak terkunyah menjadi bahagian-bahagian kecil tidak dapat dicerna dengan sempurna yang kemudian menghasilkan banyak gas yang menimbulkan penggelembungan .


Mengurang Pengambilan Garam

Terlalu banyak garam dalam diet menambah lebih sodium terhadap cairan tubuh yang memperlambatkan mekanisme sehingga mendorong air keluar dari sel. Akibatnya perut terasa penuh dan menggelembung.


Pengambilan Serat

Serat adalah elemen penting dalam diet, tetapi untuk mengimbangi penyimpanan air yang menyebabkan penggelembungan, makanlah serat dalam buah-buahan seperti epal dan pear yang memiliki banyak kandungan air.


Awasi Ubat-Ubatan

Perut yang mengembang adalah kesan sampingan dari pengambilan ubat. Aspirin kadang-kadang menyebabkan masalah perut yang mengakibatkan sembelit dan penggelembungan, termasuk pil kontrasepsi.


Hindari Sembelit

Sembelit didefinisikan sebagai memiliki lebih sedikit dari tiga kali buang air besar dalam seminggu atau jika terlibat ketegangan. Akibatnya perut terasa bertambah besar. Untuk merangsang isi perut, tingkatkan pengambilan serat dari buah-buahan dan sayuran, amalkan secara berterusan untuk menghindari fermentasi dan pengeluaran gas yang berlebihan.


Bersenam

Olahraga atau bersenam akan membantu menggerakkan cairan dalam perut yang dapat menyebabkan perut besar dengan mendorongnya keluar dari jaringan dan masuk aliran darah di mana akan dikeluarkan sebagai peluh atau dibawa ke hempedu untuk dikeluarkan sebagai urin. Senaman yang disarankan seperti aerobik.


Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah.

Cabaran usahawan mi


Norlaile Jalaludin mengira bekalan mi dan kuetiau sebelum di hantar kepada pemborong.

JIKA diberi peluang menjengah ke kilang memproses mi dan kuetiau, anda pastinya akan teruja menyaksikan keunikan produk makanan itu disediakan.

Selama ini kita hanya melihat ia dijual di pasar secara mentah selain disediakan dalam bentuk yang telah di masak sama ada goreng atau berkuah.

Baru-baru ini, sekumpulan wartawan dan jurugambar dari beberapa organisasi media tempatan telah dibawa oleh Agrobank melawat kilang memproses makanan itu di Kampung Bendang Panjang, Perak.

Bercerita dengan pemilik kilang, Norlaile Jalaludin, 40, dia amat bersyukur kerana akhirnya berjaya membangunkan syarikat perniagaan yang diberi nama Bendang Panjang Enterprise setelah melalui pelbagai cabaran.

Bermula sebagai peniaga mi dan kuetiau goreng di pasar malam sekitar Kuala Kangsar, Perak, idea untuk menghasilkan bahan mentah sendiri timbul pada tahun 2003.

''Ketika saya berniaga di pasar malam, ramai pelanggan yang bertanya tentang dari mana saya memperoleh sumber mi dan kuetiau.

''Ini kerana, mereka ingin mendapatkan kepastian supaya makanan yang dibeli datang dari sumber yang baik dan halal.

''Bermula dari situ, saya mencadangkan kepada suami untuk cuba memproses sendiri mi dan kuetiau mentah,'' jelas ibu kepada enam anak itu.

Nasib menyebelahi Norlaile apabila abang iparnya telah memperkenalkan dia dengan seorang pengusaha kuetiau dari Kelantan.

Bagi memenuhi hasratnya, dia tidak melepaskan peluang keemasan itu dengan berkunjung sendiri ke Kelantan dan berjumpa dengan pengusaha tersebut.

Selama seminggu, dia menuntut ilmu serta mempelajari teknik yang betul dalam proses membuat mi dan kuetiau.

Lanjutan daripada itu, dengan modal RM45,000 hasil duit simpanannya, Norlaile telah membeli lima mesin memproses mi untuk memulakan perusahaan.

Pada peringkat awal, dia hanya menyewa di tapak industri kecil dan sederhana (IKS) di Lubuk Merbau, Perak selama tiga tahun.

Menjelang tahun 2004, Norlaile telah membuat pinjaman daripada Mara sebanyak RM150,000 untuk membeli beberapa peralatan tambahan termasuk mesin memproses kuetiau.

Walaupun sibuk dengan perusahaan berkenaan, namun dia dan suami Sanit Kimi, 49 masih meneruskan perniagaan di pasar malam.

Ketika itu, dia memperoleh sumber mi sebanyak 300 kilogram (kg) dan kuetiau (300 kg) dari pengusaha di Pulau Pinang yang dihantar kepadanya setiap dua hari sekali.

Tidak semudah yang disangka, selama hampir dua tahun beroperasi , dia berhadapan kesukaran dalam proses pembuatan yang tidak menjadi di samping menanggung kos yang tinggi.

''Pada peringkat awal, saya gunakan tujuh guni tepung sehari bagi menyediakan mi dan kuetiau. Bayangkan, lebih sebahagian daripadanya tidak boleh digunakan kerana adunan tidak menjadi.

''Keadaan itu memang memeritkan kerana tiada langsung untung ketika itu.

''Selain kos bahan mentah seperti tepung dan minyak, saya juga perlu menanggung kos bahan api diesel sebanyak RM250 sebulan untuk tujuan menghidupkan mesin pembakar,'' jelasnya yang ketika ini mempunyai 10 kakitangan untuk membantu proses di kilang.

Tahun demi tahun, dia semakin mahir dalam aktiviti tersebut dan hari ini, dianggarkan sebanyak 30 guni tepung bersamaan 1,500 kg diperlukan untuk membuat mee dan 1500 kg lagi untuk kuetiau.

Pada tahun 2005 pula, dia telah menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian untuk membina bangunan kilang dan stor simpanan di Kampung Bendang Panjang, Perak.

Tahun 2009 pula menyaksikan penerimaan pinjaman oleh pihak Agrobank bernilai RM50,000.

''Dana itu saya gunakan untuk membeli beberapa mesin tambahan seperti mesin pembungkus bagi melicinkan lagi operasi di kilang,'' katanya.

Melihat daripada sudut pasaran, produk mi dan kuetiau di bawah penjenamaan An-Nur itu kini diedarkan ke beberapa lokasi sekitar Perak.

Antaranya seperti Gopeng, Teluk Intan, Gerik, Bagan Serai, Ipoh, Taiping dan Kuala Kangsar.

''Selain dijual kepada pemborong, kami juga mengedarkan produk-produk ini ke pasar-pasar utama di sini.

''Kami turut menerima permintaan daripad a pemborong di Selangor. Di samping itu, kami juga berharap produk ini dapat dijual ke pasar raya besar suatu hari nanti,'' kata Norlaile.

Bagi tujuan penghantaran, syarikatnya mempunyai tiga orang pemandu supaya bekalan tiba tepat pada waktu yang dijanjikan.

Kesemua produk mi dan kuetiau di pek dalam bungkusan plastik dengan pilihan berat setengah kg, satu kg dan dua kg mengikut permintaan.

Berdasarkan harga pula, produk makanan itu dijual pada harga berbeza mengikut lokasi iaitu sekitar RM1 untuk setengah kg dan RM2 untuk satu kg.

Ketika ditanya mengenai cabaran lain yang dihadapinya, Norlaile memberitahu, dia perlu bersaing dengan beberapa pengusaha bukan bumiputera dari segi ruang pasaran dan juga harga.

Masalah lain yang dihadapi adalah seperti aktiviti penyelenggaraan mesin dan kelengkapan secara berkala.

''Jika mesin-mesin ini menghadapi masalah, kita terpaksa mencari jalan alternatif dengan mengambil bekalan daripada pengusaha lain bagi memenuhi permintaan sedia ada,'' jelasnya lagi.

Beliau yang menjadikan suami dan adik-beradik sebagai pendorong turut bercadang melengkapkan kilangnya dengan mesin moden dan berteknologi tinggi seperti mesin pembungkus automatik pada masa depan.

Ia bertujuan meningkatkan pengeluaran produknya di samping memenuhi kualiti seperti yang diinginkan pengguna.

Insentif untuk tenaga pengajar cemerlang - TPM

SIBU 8 Mei - Kerajaan akan memberi insentif kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya menjadikan sekolah mereka mencapai tahap cemerlang dalam Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, insentif penggalak itu akan menjadikan tanggungjawab memajukan sekolah dan meningkatkan kecemerlangan pelajar bukan hanya dipikul pada bahu seorang guru, pengetua atau guru besar tetapi adalah tanggungjawab semua sebagai satu kumpulan.

"Ini adalah satu insentif penggalak untuk guru-guru, guru besar atau pengetua yang berjaya menaikkan prestasi dan kecemerlangan sekolah dalam SIP," kata beliau berucap di Majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kesatuan Guru Sarawak (STU) Bahagian Sibu kali ke-45 di sini hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Pelajaran mahu semua sekolah di negara ini yang berjumlah lebih kurang 10,000 buah sekolah menjadi cemerlang dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru persatuan dan kesatuan guru bekerjasama dan menjalinkan hubungan yang rapat dengan kerajaan.

Mengulas mengenai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengakui bahawa tiada sekolah di Sarawak yang dipilih menyertai kumpulan elit tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pemilihan sekolah untuk menjadi kumpulan elit tersebut dilakukan berdasarkan penanda aras yang tinggi mengikut piawaian global supaya sekolah di Malaysia setanding di peringkat antarabangsa.

"Kenapa sekolah di Sarawak tiada (SBT)...ia bukan kerana sekolah di Sarawak tiada yang bagus, tetapi kerajaan memerlukan sekolah yang setanding di peringkat antarabangsa.

"Kerajaan bukan amalkan diskriminasi atau selektif sebab selain Sarawak, Sabah, Pahang, Terengganu juga tiada SBT. Kerajaan ada kriteria yang telah ditentukan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada tahun ini akan ada lagi 30 buah sekolah yang dinilaikan untuk dimasukkan dalam SBT dan ia akan melibatkan sekolah di Sarawak.

Beliau juga memberitahu, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sektor pendidikan, bidang yang ditekankan ialah untuk meningkatkan pendidikan prasekolah daripada 67 peratus pada masa ini kepada 87 peratus termasuk di pedalaman.

Dalam merealisasikan usaha itu, kerajaan akan memberi geran sebanyak RM10,000 kepada bekas guru atau pihak swasta yang membuka prasekolah termasuklah di rumah-rumah panjang dan sebagainya, jelas beliau.

Katanya, amalan 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira juga akan ditetapkan pada tempoh tiga tahun pertama persekolahan yang bermaksud murid-murid di darjah tiga semestinya telah menguasai tiga perkara asas tersebut.

Muhyiddin juga mengumumkan hasrat kementerian untuk melaksanakan dasar pemindahan guru ke luar bandar yang lebih baik dan memerlukan semua guru perlu bertukar ke sekolah lain dalam tempoh perkhidmatan.

"Disebabkan tiada dasar jelas atau rekod, menyebabkan ada guru yang lama bertugas di sebuah sekolah sahaja," katanya.

Thursday, May 6, 2010

Program Akhbar@Sekolah didik pelajar jadi usahawan

KUALA LIPIS 6 Mei - Program Akhbar@Sekolah yang dijalankan dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) dan Kumpulan Utusan bertujuan mendidik pelajar menjadi usahawan berjaya.

Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Datuk Fattah Abdullah berkata, program sedemikian dapat mendedahkan pelajar mengenai asas-asas perniagaan.

''Setiap pelajar akan diajar cara menjual akhbar. Saya berpendapat dengan pembelajaran seperti ini mungkin pelajar akan lebih memahami asas-asas perekonomian," katanya ketika ditemui pada majlis taklimat program Koperasi Sekolah Zon 3 2010 di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 100 guru dan guru besar daerah Lipis, Raub dan Bentong diberi penerangan mengenai konsep koperasi sempena Hari Koperasi Sekolah pada 27 Jun hingga 3 Julai ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Zon 3, Abdul Aziz Abdullah.

Sebanyak 1,821 koperasi sekolah yang berada di bawah naungan Angkasa kini menjual akhbar Utusan Malaysia pada harga istimewa di kedai koperasi di bawah program Akhbar@Sekolah.

Langkah tersebut ekoran kelulusan Kementerian Pelajaran yang membenarkan Utusan Malaysia dijual dan diedar di sekolah-sekolah melalui koperasi berdaftar.

Fattah berkata, program itu juga sekali gus meningkatkan minat membaca di kalangan pelajar.

"Dengan penjualan akhbar ini, pelajar boleh mengikuti perkembangan isu-isu semasa dalam dan luar negara," katanya.

SMK Convent Bukit Nanas muncul johan



PELAJAR SMK Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur meraikan kejayaan menjadi juara pada pertandingan Choral Speaking Sekolah-Sekolah Malaysia yang berlangsung di Kuantan, Pahang, kelmarin.


KUANTAN 6 Mei - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas mencipta sejarahnya tersendiri apabila muncul johan pertandingan Choral Speaking peringkat kebangsaan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang, Beserah di sini semalam.

Kemenangan tersebut membolehkan sekolah terbabit membawa pulang piala pusingan dan sijil penyertaan.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff.

Dalam pertandingan sama, SMK La Salle, Selangor menduduki tempat kedua manakala tempat ketiga dimenangi SMK Sultan Abu Bakar, di sini.

Jurulatih SMK Convent Bukit Nanas, Joan Foo ketika ditemui berkata, dia bangga dengan kemenangan itu yang merupakan hasil usaha bersungguh-sungguh peserta yang berlatih sejak dua minggu sebelum pertandingan.

"Selama tiga tahun kami menyertai pertandingan choral speaking peringkat wilayah tetapi tidak berjaya memenanginya.

"Kekuatan sekolah ini adalah semua peserta boleh bertutur bahasa Inggeris dengan fasih dan telah banyak memenangi pertandingan choral speaking peringkat nasional sejak berada di sekolah rendah," katanya.

Pelajar lahirkan bayi dalam tandas

KUALA TERENGGANU 5 Mei - Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di Dungun yang dibawa ke klinik selepas mengadu sakit perut dan cirit-birit rupa-rupanya sakit hendak bersalin apabila melahirkan seorang bayi hari ini.

Remaja berusia 16 tahun itu melahirkan bayinya di tandas Klinik Kesihatan Jerangau, Felda Jerangau, Dungun ketika mahu mendapatkan rawatan kononnya menghidap sakit perut kira-kira pukul 11 pagi ini.

Sumber yang hanya mahu dikenali sebagai Intan, 30, memberitahu Utusan Malaysia, pelajar tersebut pergi ke klinik kesihatan berkenaan bersama-sama seorang jiran selepas mengadu tidak sihat badan, sakit perut dan cirit-birit.

Apabila tiba di klinik itu, remaja itu yang berasal dari Jerangau Barat kemudiannya pergi ke tandas kononnya kerana sakit perut.

Bagaimanapun, seorang pesakit yang ketika itu pergi ke tandas yang sama tiba-tiba ternampak air bercampur dengan darah meleleh keluar dari dalam tandas tersebut lalu terus memaklumkan kepada orang ramai yang berada di klinik berkenaan.

"Orang ramai kemudiannya cuba membuka tandas tersebut dan terkejut apabila mendapati seorang remaja baru sahaja melahirkan seorang bayi," kata sumber berkenaan.

Ekoran kejadian itu, remaja berkenaan dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Dungun, Asisten Supritendan Alias Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, kes tersebut masih dalam siasatan memandangkan keterangan masih belum diambil daripada remaja itu kerana keadaannya yang masih lemah.

"Jantina bayi juga masih belum dikenal pasti," jelasnya.

Tuesday, May 4, 2010

Doa malaikat, pahala besar buat jemaah bersolat di saf depan

Kita biasa melihat jemaah yang memenuhi saf depan ketika bersolat jemaah di masjid atau di surau, kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas. Kalau ada anak muda sekali pun, maka ia boleh dihitung dengan jari.

Yang muda, yang gagah bertenaga dan belia remaja santai lebih selesa bersolat di barisan saf belakang. Tahukah kita bahawa beruntungnya jika kita bersolat di saf paling hadapan kerana kita akan didoakan oleh malaikat dan mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW ada berpesan kepada kita semua: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat berselawat kepada orang yang berada di saf yang pertama.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Inilah bukti anjuran Islam dalam menggalakkan umat agar berebut untuk menunaikan solat di barisan pertama.

Kemudian Rasulullah SAW juga mengatakan bahawa jika manusia mengetahui fadilat bersolat di saf hadapan, nescaya mereka berebut-rebut untuk mendapatkan tempat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Jadi, seharusnyalah kita sebagai umat Islam bermotivasi untuk berada di saf depan ketika melaksanakan solat berjemaah. Sekarang marilah kita secara jujur meninjau keadaan di masjid dan surau ketika ini yang menunjukkan betapa ramai di kalangan kita sudah tidak menghiraukan akan pesanan Nabi kita agar mengambil peluang untuk berada di saf depan.

Dalam keadaan dewasa ini, kita terpaksa akui bahawa kebanyakan daripada kita sudah tidak mementingkan kelebihan berada di saf depan ketika menunaikan solat. Apa yang penting, asalkan solat berjemaah saja?

Marilah kita ghairah untuk merebut tempat di saf pertama setiap kali mendirikan solat berjemaah. Tanamkan azam yang mantap supaya kita tidak ketinggalan saf itu. Untuk menjayakan visi itu maka hendaklah kita segera ke masjid untuk solat berjemaah.
Marilah kita hayati peringatan Nabi SAW ini: “Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan.” (Hadis riwayaat Abu Daud, At-Tirmidzi).

Ini ada satu kisah bagaimana Nabi SAW mendidik sahabat dalam mengerjakan solat berjemaah. Daripada Sa’ed Al-Khudry R.A. bahawa Rasulullah SAW mendapati ada di kalangan sahabatnya melambat-lambatkan diri mereka untuk menyertai saf pertama, lantas Baginda SAW mengingatkan mereka:

“Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka.” (hadis riwayat Muslim). Perhatikan baik-baik akan sabda Nabi SAW itu. “….akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan meninggalkan saf yang pertama…”. Mungkin kitalah kaum yang dikatakan Nabi SAW itu? Fikir dan renungkanlah.

Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW ada mengatakan: “Hadirilah solat Jumaat, dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan berterusan menjauhkan sehingga ia akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun ia memasukinya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Sewajarnya pesanan Nabi SAW itu menjadi pedoman buat kita supaya tidak membiarkan diri memilih saf belakang untuk bersolat jemaah di masjid. Jangan biarkan diri kita berasa selesa dan seronok bersolat di saf belakang, sebaliknya mulalah memilih dan segera mara ke saf paling depan dan hampir dengan imam.

Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa solat berjemaah yang berkualiti ialah solat seseorang yang di saf paling hadapan. Inilah golongan yang didoakan malaikat dan mendapat jaminan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

Ramai sedar pelan persaraan tetapi tidak bertindak - Citibank

Kajian terbaru Ciitibank Bhd. (Citibank) mendedahkan ramai yang tidak memiliki pelan persaraan meskipun mereka menyedari penting untuk memilikinya.

Citibank ketika mendedahkan kajian tabiat pengurusan kewangan terbaru, Citi Fin-Q 2009 yang dijalankan tahun lalu, mendapati hanya 27 peratus daripada 500 responden mempunyai pelan berkenaan.

Ketua Perniagaan Pelaburannya, Jeremy Ho berkata, meskipun wujud kesedaran yang tinggi, tindakan selanjutnya adalah bergantung kepada keputusan individu.

Beliau berkata, seseorang itu tidak perlu menjadi kaya terlebih dahulu untuk mempunyai pelan persaraan rasmi, tetapi sebaliknya mengambil langkah pelaburan yang bijak.

Katanya, mana-mana individu boleh mendapatkan khidmat rundingan dengan institusi kewangan bergantung kepada kestabilan kewangan masing-masing.

''Citibank juga mempunyai perkhidmatan rundingan mengenai pelbagai aspek pelaburan termasuk persaraan. Ia memberi pilihan kepada pelanggan untuk membuat pelaburan bijak masing-masing,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Mengulas lanjut tentang kajian Citi Fin-Q 2009, beliau berkata, kajian itu merupakan kali ketiga dilaksanakan oleh Citibank di seluruh Malaysia membabitkan 500 responden yang dipilih secara rawak menerusi laman webnya sekitar Oktober tahun lalu.

Ho berkata, kajian itu menunjukan 42 peratus juga amat mengetahui apa yang ingin dilakukan dengan wang gaji masing-masing dalam tempoh enam bulan tersebut manakala 51 peratus pula mempunyai idea yang baik tentang melaburkannya.

Beliau menambah, kajian itu turut melaporkan sebanyak 74 peratus responden mengetahui tentang kepentingan persaraan dan menyedari mereka akan menuju ke arah tersebut.

"Apabila seseorang berada di tahap usia masih muda, mereka belum memikirkan untuk memiliki sebarang pelan persaraan sebaliknya memberi tumpuan kepada mengumpul harta dan kekayaan,'' katanya.

Ketika ditanya sama ada kajian itu menunjukkan terdapat perubahan dalam aliran pelaburan di kalangan responden, Ho menambah, ia menunjukkan peningkatan dalam pengurusan kewangan.

Katanya, sebanyak 53 peratus responden berkata, mereka mahu membuat pelaburan dalam saham dan unit amanah manakala 48 peratus lagi pula melabur di dalam simpanan tetap.

"Setelah kegawatan ekonomi memberi kesan pada separuh kedua 2008 dan separuh pertama 2009, rakyat didapati semakin berhati-hati dalam pelaburan masing-masing dan memilih untuk melabur dalam simpanan tetap.

"Namun, sekarang, kami meramalkan aliran itu akan berubah iaitu semakin ramai yang akan membuat pelaburan dalam saham dan unit amanah sejajar dengan pemulihan ekonomi,'' tambah beliau.

Peluang guru menulis

Pendidik yang berminat untuk menghasilkan buku dalam bidang pendidikan, pengurusan dan pentadbiran boleh menemui Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. untuk merealisasikan impian anda.

Pengarah Urusannya, Mok Sheau Bin berkata, syarikatnya bersedia menjadi platform kepada pendidik yang berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing untuk diterbitkan sama ada dalam bahasa Melayu, Inggeris atau Mandarin.

Menurut beliau, mereka yang berminat boleh bertemu dengannya atau wakil syarikat di Festival Hari Guru (FHG) 2010 anjuran Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran di East Coast Mall, Kuantan, Pahang pada 13 hingga 16 Mei ini.

Penyertaan itu, ujar Sheau Bin, akan mengukuhkan lagi penerimaan masyarakat umum dan warga pendidik khasnya terhadap produk terbitan syarikat yang ditubuhkan pada 2005 itu.

"Pada peringkat awal kami hanya menerbitkan buku-buku bagi memenuhi keperluan guru pelatih sahaja tetapi kini terdapat lebih daripada 100 tajuk dalam pelbagai peringkat pendidikan, pengurusan dan pentadbiran bermula dari sekolah menengah sehingga ke tahap kolej dan universiti," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya lagi, melalui penglibatan dalam FHG, syarikat itu berharap dapat memberi sumbangan dalam bidang pendidikan negara terutamanya dalam penerbitan buku berbahasa Melayu.

Pada masa sama, kata Sheau Bin, pihaknya berharap usaha ini akan menarik minat lebih ramai guru dan pensyarah untuk turut sama memberi sumbangan idea dan sukatan dalam menerbitkan buku sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme mereka.

"Ia juga akan membantu dalam memberi peluang kepada guru-guru untuk meneruskan pembelajaran sepanjang hayat selain dapat meningkatkan mutu pendidikan negara," jelas Sheau Bin.

Penerbitan Multimedia, jelasnya, amat menggalakkan pensyarah khususnya dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk berkarya menghasilkan buku-buku bermutu yang memenuhi aspirasi bakal guru, pendidik dan generasi 1Malaysia.

Selain itu, katanya, buku-buku dan bahan rujukan yang diterbitkan memenuhi keperluan semua peringkat perguruan dari Gred 17 hingga Gred 54 yang lengkap dan terbaru serta menepati format peperiksaan terkini.

Produk lain terbitannya termasuk buku Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), komik subjek Sejarah Tingkatan satu hingga lima, set perpustakaan, bahan sokongan pembelajaran berbentuk perisian multimedia, bahan rujukan dan latihan peperiksaan guru di samping pelbagai rangkaian tajuk buku pendidikan bagi pelajar IPGM, institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan IPT swasta.

"Bahan rujukan dan set perpustakaan yang dikeluarkan sesuai digunakan oleh guru di sekolah, Jabatan Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri yang boleh dijadikan bahan bacaan umum dan khusus untuk tujuan pembelajaran sepanjang hayat," ujarnya.

Beliau memberitahu, Penerbitan Multimedia turut berjaya memenuhi keperluan para penjawat awam khasnya dari Kementerian Pelajaran Malaysia dalam aspek kemajuan kerjaya.

"Kami diiktiraf sebagai penerbit bahan rujukan peperiksaan PTK yang produktif dan berautoriti," katanya.

Monday, May 3, 2010

Mahasiswa OKU terima bantuan kewangan tambahan

TEMERLOH 3 Mei – Penuntut orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan menerima kadar bantuan bulanan baru mulai Julai ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementerian itu akan memperuntukkan RM300 sebulan kepada penuntut OKU sebagai tambahan kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan yang diterima mereka ketika ini.

Beliau berkata, kadar baru itu berdasarkan keperluan masa kini dalam membantu mengurangkan bebanan hidup golongan berkenaan.

"Dengan bantuan baru ini, maka tiada lagi alasan mahasiswa OKU untuk tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi seperti mana orang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis gotong-royong dan beramah mesra dengan pelatih-pelatih Pusat Latihan Orang Buta Taman Harapan di sini, semalam.

Beliau berkata, pada masa ini, terdapat 979 mahasiswa OKU di IPTA seluruh negara yang mengikuti pengajian dalam pelbagai jurusan termasuk sastera, ekonomi dan undang-undang. – Bernama

Sunday, May 2, 2010

Kesatuan guru mohon ditimbang 11 insentif

KUALA LUMPUR 1 Mei - Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyenaraikan 11 insentif bagi golongan pendidik untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Penetapan insentif berkenaan dibuat pada Mesyuarat Khas Memartabatkan Profesion Perguruan yang diadakan oleh Kongres hari ini untuk dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran.

Presiden Kongres, Jamale Paiman berkata, insentif itu termasuk mewujudkan kaedah perkhidmatan bersepadu guru lulusan diploma dan ijazah, penambahbaikan struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kenaikan pangkat pegawai pendidikan lepasan diploma (PPLD), mewujudkan gred tambahan DGA40 dan penambahan staf sokongan.

Menurutnya, permohonan insentif itu telah dikemukakan dua tahun lepas dan pernah dibincangkan di peringkat menteri.

''Perkara yang dipohon merupakan kaedah terbaik dalam membentuk laluan kerjaya di sektor pendidikan. Ia bertujuan mengurangkan beban tugas guru,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.

Tambah Jamale, Kongres turut bersetuju supaya Kementerian Pelajaran mempertimbangkan untuk mempercepatkan pengesahan jawatan gred DGA34 dan DGA48, memperluaskan gred DG38 untuk guru besar dan pengelola cemerlang kepada semua jawatan manakala kedudukan pegawai pendidikan daerah (PPD) pada gred DG52 dan DG54.

''Di samping itu, kami berharap kementerian tidak meletakkan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam Kementerian Pelajaran serta mengambil semula guru bagi program pengajian Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF).

''Kami juga berharap kerajaan mengkaji peruntukan tuntutan perjalanan para pegawai kerana jumlahnya yang rendah menjejaskan tugasan pemantauan dan penyeliaan yang lebih kerap,'' katanya.

PIBG diminta tingkat usaha bantu tangani masalah sosial pelajar

KOTA KINABALU 2 Mei - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diminta supaya bergerak lebih aktif dalam memainkan peranan penting membantu usaha menangani masalah sosial di kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, peningkatan jumlah remaja yang terjebak dengan gejala sosial antara lain disebabkan kegagalan masyarakat mendidik dan memantau aktiviti harian mereka.

"Jadi saya berharap pihak PIBG akan memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pihak pengurusan sekolah demi memastikan pembangunan akademik dan sahsiah diri pelajar dapat dibentuk sebaik mungkin sekali gus menyumbang kepada prestasi cemerlang sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis perasmian program jualan pasar ria Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Likas di sini hari ini. - Bernama

Pengagihan wang ihsan kepada murid sekolah dikaji semula

BACHOK 2 Mei - Pengagihan wang ihsan daripada Kerajaan Pusat kepada lebih 100,000 pelajar miskin di sekolah rendah di Kelantan yang membabitkan peruntukan RM20 juta akan dikaji semula.

Pengerusi Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, ini berikutan keputusan kerajaan untuk meneruskan semula bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajaran Miskin (KWAPM) yang ditangguh sebelum ini berikutan ekonomi negara semakin pulih.

"Kita tidak mahu mereka menerima bantuan sebanyak dua kali berturut-turut”, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan berhubung pengagihan wang ihsan kepada penerima lain akan diketahui dalam tempoh terdekat selepas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed mendapat kelulusan Kabinet.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan RM5 juta untuk membantu keluarga yang menjadi mangsa bencana alam seperti ribut dan banjir serta waris kepada satu keluarga yang maut dalam kemalangan jalan raya akan diteruskan.

Dr. Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, ekonomi negara dijangka berkembang lebih lima peratus tahun ini. - Bernama