Pages

Wednesday, May 19, 2010

Enam pelajar digantung sekolah kerana majlis hari jadi


Sebahagian daripada enam pelajar sekolah bersama ibu bapa menunjukkan surat gantung sekolah yang diterima baru-baru ini.


JEMPOL 18 Mei - Enam pelajar perempuan sebuah sekolah di Batu Kikir dekat sini dikatakan digantung sekolah sebanyak dua kali dalam bulan ini hanya kerana mengadakan majlis hari jadi salah seorang daripada mereka di sebuah kelas kosong.

Pihak sekolah dikatakan mendakwa enam pelajar perempuan itu menceroboh sebuah kelas kosong untuk mengadakan majlis itu pada pukul 4.30 petang, 6 Mei lalu selain mengadakannya tanpa kebenaran sekolah.

Berikutan itu, kesemua pelajar yang berusia 15 tahun itu dikenakan tindakan gantung sekolah pada 12 hingga 14 Mei lalu oleh pihak sekolah.

Namun, apabila pelajar itu kembali untuk meneruskan sesi pembelajaran, mereka sekali lagi dikejutkan dengan tindakan pihak sekolah yang dikatakan mengeluarkan sepucuk lagi surat penggantungan bermula semalam hingga esok.

Apa yang mendukacitakan ibu bapa pelajar terbabit, tindakan pihak sekolah dianggap keterlaluan dan tidak munasabah lebih-lebih lagi pelajar berkenaan akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Seorang ibu pelajar terbabit, Sri Sheida Abdullah, 51, berkata, dia pergi ke sekolah berkenaan pada 12 Mei lalu untuk mendapatkan penjelasan.

''Malangnya, anak saya diarah pulang kerana digantung sekolah bermula 12 Mei hingga 14 Mei lalu. Oleh kerana tiada surat yang dikeluarkan pihak sekolah, saya pergi sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan dan pihak sekolah mendakwa telah menghantar surat pada 10 Mei lalu," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dia terkejut apabila menerima sepucuk surat yang mengatakan anaknya digantung sekolah bermula semalam hingga esok.

''Apa masalahnya dengan pihak sekolah. Mereka menggantung persekolahan anak saya sampai dua kali atas kesalahan yang sama. Itu hukuman yang paling berat," katanya.

Seorang lagi ibu pelajar, Murti Mohsin, 46, berkata, dia tidak menduga hasrat anaknya untuk menyambut hari jadi bersama rakan-rakan berakhir dengan kisah malang itu.

''Hendak meraikan hari jadi pun kena gantung sekolah. Saya tidak faham kenapa pihak sekolah bertindak demikian," katanya.

Menurutnya, tindakan penggantungan itu akan memberi kesan berpanjangan kepada anaknya dan rakan-rakannya itu.

Murti berkata, biarpun anaknya itu bersalah atau melanggar peraturan sekolah, tindakan penggantungan itu bukan satu penyelesaian yang wajar.

''Saya harap selepas ini pihak sekolah tidak lagi mengeluarkan surat sedemikian hanya kerana mengadakan majlis hari jadi kecil-kecilan," ujarnya.

Dalam pada itu, cubaan Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan daripada pengetua sekolah terbabit tidak berhasil apabila dia enggan mengulas mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad ketika dihubungi berkata, beliau mahu laporan mengenai perkara itu diserahkan kepadanya segera.

''Saya mahu pihak sekolah memberikan penjelasan dan saya minta penjaga usah bimbang. Selepas saya menerima laporan dan penjelasan dari pihak sekolah, kami akan ambil tindakan yang perlu.

''Biasanya hukuman sebegitu adalah untuk mendidik dan mengajar pelajar yang melakukan kesalahan, bagaimanapun kita mahu lihat sama ada ia relevan atau tidak,'' katanya.

No comments:

Post a Comment