Pages

Monday, May 17, 2010

Huzaire dianugerah Guru Cemerlang OKU kebangsaan


Mohd. Huzaire Ahmad ditemani isterinya, Siti Nor Azizah Mohd. Noor Yusof gembira melihat anugerah yang diterimanya sempena Festival Hari Guru Ke-39 Peringkat Kebangsaan 2010 di Kuantan, semalam.


KUANTAN 16 Mei - ''Anugerah ini sepatutnya menjadi milik isteri saya kerana dia yang banyak berkorban dan membantu setiap hari sama ada di sekolah mahupun di rumah."

Demikian kata-kata penerima Anugerah Guru Cemerlang kategori Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat kebangsaan, Mohd. Huzaire Ahmad, 34.

Mohd. Huzaire yang mengajar Pendidikan Muzik di Sekolah Kebangsaan (SK) Mempaga 2, Karak begitu terharu apabila dipilih menerima anugerah tersebut.

Beliau yang disahkan lumpuh sejak 10 tahun lalu akibat terjatuh dari pokok rambutan, bertekad meneruskan cita-cita sebagai seorang guru.

''Kejadian tersebut berlaku semasa saya berada di semester akhir pengajian di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang.

''Sepatutnya saya menjalani praktikum tetapi disebabkan kejadian tersebut, saya terpaksa membatalkan hasrat untuk menjadi seorang guru.

''Bagaimanapun atas keprihatinan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang ketika itu sebagai Ketua Pemuda UMNO, saya kembali menyambung praktikum dan kini bergelar seorang guru," katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan Makan Malam Negeri 'Selera Inderapura' sempena Festival Hari Guru peringkat kebangsaan di sini malam tadi.

Hadir pada majlis tersebut, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff.

Menurut Mohd. Huzaire, isterinya, Siti Nor Azizah Mohd. Noor Yusof, 27, adalah orang penting dalam hidupnya kerana 'bertanggungjawab' mengangkat kerusi rodanya setiap hari untuk ke sekolah.

''Isteri saya bekerja di sekolah yang sama sebagai Pembantu Tadbir dan dia yang akan mengangkat kerusi roda ke kelas di tingkat dua.

''Setiap hari saya akan datang awal ke sekolah iaitu kira-kira pukul 7 pagi dan saya akan mengesot naik tangga secara bersendirian kerana tidak mahu menyusahkan orang lain terutama isteri.

''Isteri juga yang akan menemani saya di sekolah sehingga pukul 7 malam bagi menyelesaikan segala aktiviti sekolah bersama murid-murid," katanya yang juga dinobatkan Anugerah Guru Inovatif OKU peringkat negeri tahun lalu.

Mohd. Huzaire bersyukur kerana diberi anugerah tersebut kerana walaupun hanya mengajar Pendidikan Muzik, beliau bangga dapat membina keyakinan diri dan sahsiah yang baik terhadap anak muridnya.

Anak sulung daripada enam beradik itu pernah menerima Anugerah Pekerja Cemerlang 2008 dan Anugerah Khas Hari Guru 2005 atas pengorbanannya dalam bidang pendidikan walaupun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

No comments:

Post a Comment