Pages

Tuesday, May 11, 2010

Kerajaan sedia timbang kenaikan gaji guru

SIBU 10 Mei - Isu kenaikan gaji dan elaun guru yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan profesion itu akan diperhalusi sebelum ia dilanjutkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengakui skim kakitangan guru sedia ada perlu mengalami penambahbaikan tetapi perkara itu perlu penelitian terperinci sebelum dimuktamadkan untuk kebaikan 380,000 orang guru di seluruh negara.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran turut berkata, beberapa skim baru membabitkan elaun guru dan kenaikan pangkat yang lebih komprehensif akan diumumkan pada Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ahad ini.

"Pada sambutan Hari Guru, saya akan menyampaikan beberapa perkara penting untuk hala tuju pendidikan dan profesion perguruan masa depan," katanya pada sesi dialog di Majlis Perjumpaan Guru-Guru Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Centenary Sekolah Menengah Sacred Heart di sini hari ini.

Skim itu dijangka memberi manfaat kepada pengetua dan guru besar serta guru daripada segi kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain, jelas beliau.

Turut disentuh ialah menambah baik skim bagi guru yang mengajar di pedalaman yang kini menerima elaun kesusahan RM1,500 sebulan disebabkan kos pengangkutan yang tinggi, katanya.

Muhyiddin berkata, satu kajian perlu dilakukan berhubung keperluan guru di pinggir bandar kerana ia juga harus mengambil kira pembangunan infrastruktur 10,000 sekolah di seluruh negara termasuk 1,500 buah di Sarawak.

Mengenai pengambilan ke maktab perguruan, beliau berkata, kerajaan mungkin menimbang untuk mengambil penduduk tempatan di kawasan-kawasan yang amat memerlukan tenaga guru di Sarawak dan Sabah bagi mengurangkan masalah penempatan guru dan kos pengangkutan.

Sambil mengingatkan semua guru supaya berkhidmat dengan penuh dedikasi, Muhyiddin berkata, kementerian tidak mengamalkan diskriminasi dalam penempatan guru berkelayakan dan berkemahiran di Sarawak, Sabah atau di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) amat mementingkan pendidikan dan meletakkan ia perkara paling atas dalam pembangunan negara.

Malah katanya, lebih 25 peratus belanjawan negara diperuntukkan untuk pembangunan pendidikan supaya dapat melahirkan modal insan yang berkeupayaan dan berkemahiran tinggi.

No comments:

Post a Comment