Pages

Thursday, May 6, 2010

Program Akhbar@Sekolah didik pelajar jadi usahawan

KUALA LIPIS 6 Mei - Program Akhbar@Sekolah yang dijalankan dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) dan Kumpulan Utusan bertujuan mendidik pelajar menjadi usahawan berjaya.

Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Datuk Fattah Abdullah berkata, program sedemikian dapat mendedahkan pelajar mengenai asas-asas perniagaan.

''Setiap pelajar akan diajar cara menjual akhbar. Saya berpendapat dengan pembelajaran seperti ini mungkin pelajar akan lebih memahami asas-asas perekonomian," katanya ketika ditemui pada majlis taklimat program Koperasi Sekolah Zon 3 2010 di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 100 guru dan guru besar daerah Lipis, Raub dan Bentong diberi penerangan mengenai konsep koperasi sempena Hari Koperasi Sekolah pada 27 Jun hingga 3 Julai ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Zon 3, Abdul Aziz Abdullah.

Sebanyak 1,821 koperasi sekolah yang berada di bawah naungan Angkasa kini menjual akhbar Utusan Malaysia pada harga istimewa di kedai koperasi di bawah program Akhbar@Sekolah.

Langkah tersebut ekoran kelulusan Kementerian Pelajaran yang membenarkan Utusan Malaysia dijual dan diedar di sekolah-sekolah melalui koperasi berdaftar.

Fattah berkata, program itu juga sekali gus meningkatkan minat membaca di kalangan pelajar.

"Dengan penjualan akhbar ini, pelajar boleh mengikuti perkembangan isu-isu semasa dalam dan luar negara," katanya.

No comments:

Post a Comment