Pages

Tuesday, May 4, 2010

Ramai sedar pelan persaraan tetapi tidak bertindak - Citibank

Kajian terbaru Ciitibank Bhd. (Citibank) mendedahkan ramai yang tidak memiliki pelan persaraan meskipun mereka menyedari penting untuk memilikinya.

Citibank ketika mendedahkan kajian tabiat pengurusan kewangan terbaru, Citi Fin-Q 2009 yang dijalankan tahun lalu, mendapati hanya 27 peratus daripada 500 responden mempunyai pelan berkenaan.

Ketua Perniagaan Pelaburannya, Jeremy Ho berkata, meskipun wujud kesedaran yang tinggi, tindakan selanjutnya adalah bergantung kepada keputusan individu.

Beliau berkata, seseorang itu tidak perlu menjadi kaya terlebih dahulu untuk mempunyai pelan persaraan rasmi, tetapi sebaliknya mengambil langkah pelaburan yang bijak.

Katanya, mana-mana individu boleh mendapatkan khidmat rundingan dengan institusi kewangan bergantung kepada kestabilan kewangan masing-masing.

''Citibank juga mempunyai perkhidmatan rundingan mengenai pelbagai aspek pelaburan termasuk persaraan. Ia memberi pilihan kepada pelanggan untuk membuat pelaburan bijak masing-masing,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Mengulas lanjut tentang kajian Citi Fin-Q 2009, beliau berkata, kajian itu merupakan kali ketiga dilaksanakan oleh Citibank di seluruh Malaysia membabitkan 500 responden yang dipilih secara rawak menerusi laman webnya sekitar Oktober tahun lalu.

Ho berkata, kajian itu menunjukan 42 peratus juga amat mengetahui apa yang ingin dilakukan dengan wang gaji masing-masing dalam tempoh enam bulan tersebut manakala 51 peratus pula mempunyai idea yang baik tentang melaburkannya.

Beliau menambah, kajian itu turut melaporkan sebanyak 74 peratus responden mengetahui tentang kepentingan persaraan dan menyedari mereka akan menuju ke arah tersebut.

"Apabila seseorang berada di tahap usia masih muda, mereka belum memikirkan untuk memiliki sebarang pelan persaraan sebaliknya memberi tumpuan kepada mengumpul harta dan kekayaan,'' katanya.

Ketika ditanya sama ada kajian itu menunjukkan terdapat perubahan dalam aliran pelaburan di kalangan responden, Ho menambah, ia menunjukkan peningkatan dalam pengurusan kewangan.

Katanya, sebanyak 53 peratus responden berkata, mereka mahu membuat pelaburan dalam saham dan unit amanah manakala 48 peratus lagi pula melabur di dalam simpanan tetap.

"Setelah kegawatan ekonomi memberi kesan pada separuh kedua 2008 dan separuh pertama 2009, rakyat didapati semakin berhati-hati dalam pelaburan masing-masing dan memilih untuk melabur dalam simpanan tetap.

"Namun, sekarang, kami meramalkan aliran itu akan berubah iaitu semakin ramai yang akan membuat pelaburan dalam saham dan unit amanah sejajar dengan pemulihan ekonomi,'' tambah beliau.

No comments:

Post a Comment