Pages

Wednesday, May 12, 2010

Syarat kelayakan kursus perguruan tak dilonggar

Syarat kelayakan dalam permohonan kemasukan kursus perguruan tidak akan dilonggarkan untuk mencapai nisbah 50 peratus calon lelaki pada sesi pengambilan Jun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, perkara itu tidak timbul kerana bilangan pemohon lelaki yang memenuhi merit kelayakan ditetapkan adalah mencukupi, malah terpaksa bersaing sesama mereka berikutan jumlahnya melebihi kuota diperuntukkan.

“Sebelum ini, perempuan lebih ramai menjadi guru kerana sebahagian besar permohonan adalah daripada mereka, bukan disebabkan calon lelaki gagal memenuhi syarat kelayakan. Walaupun jumlah permohonan lelaki lebih rendah berbanding perempuan, bilangan yang layak tetap ramai dan mencukupi (untuk mengisi kuota 50 peratus).

“Tahun ini, kuota 50 peratus tempat diperuntukkan kepada calon lelaki bagi pengambilan kedua-dua Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM).

“Bagaimanapun, pelaksanaan ini adalah percubaan dan sekiranya sesuai, barulah diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Laporan akhbar baru-baru ini memetik Mohd Puad sebagai berkata, kerajaan akan menyeimbangkan pengambilan guru tahun ini pada kadar sama, iaitu masing-masing 50 peratus untuk calon lelaki dan perempuan.

Beliau juga dipetik sebagai berkata, keperluan untuk mempunyai guru lelaki adalah penting di sekolah, terutama membabitkan aspek disiplin dan pembangunan sukan pelajar, selain bagi memudahkan kerajaan menempatkan mereka ke kawasan pedalaman.

Secara keseluruhan, Mohd Puad berkata, Kementerian Pelajaran akan mengambil seramai 2,529 calon untuk memasuki KPLSPM, manakala program KPLI pula menyediakan sebanyak 1,878 tempat, tahun ini.

No comments:

Post a Comment