Pages

Wednesday, May 19, 2010

Transformasi pendidikan melalui sukan - TPM


Muhyiddin Yassin sempat berbual dengan ketua kontinjen Sarawak pada majlis perasmian kejohanan olahraga MSSM Ke-52 di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU -- Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sukan mampu memberikan impak besar kepada proses transformasi pendidikan yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Menurut beliau, ia selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara iaitu melahirkan pelajar yang mempunyai keseimbangan antara jasmani, emosi, rohani dan intelek.

"Sehubungan itu, Dasar 1Murid 1Sukan akan dilaksanakan mulai tahun depan, iaitu seorang murid terlibat dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan," katanya ketika merasmikan kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-52 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohamad Ali Hassan; Timbalan-timbalan Menteri Pelajaran, Mohd. Puad Zarkashi dan Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Kejohanan MSSM yang berlangsung empat hari mulai semalam, menawarkan 96 pingat emas.

Tambah Muhyiddin, dasar tersebut pada asasnya dilaksanakan untuk mengembalikan kemeriahan sukan sekolah dan ia bukanlah perkara baru kerana sukan merupakan aktiviti wajib di sekolah.

"Antara aspek yang diberikan penekanan dalam transformasi ini adalah perubahan dalam kurikulum sekolah, supaya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan menyeronokkan," jelasnya.

Justeru, katanya, sebuah jawatankuasa ad-hoc yang dipengerusikannya telah pun mengadakan mesyuarat dan membuat beberapa keputusan strategik termasuk memberi bantuan kewangan sukan kepada sekolah-sekolah.

No comments:

Post a Comment