Pages

Tuesday, March 30, 2010

'Saya tidak mahu ke sekolah lagi'

MIRI 29 Mac - "Minggu ini saya sudah berhenti sekolah," kata Liziana Layah, 12, dengan sayu memberitahu penulis.

Dia yang sepatutnya mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terpaksa melupakan hasratnya itu kerana faktor kemiskinan keluarga. Bapanya, Layah Lerang terlantar sakit kerana disyaki diserang demam malaria. Di sisi Layah, duduk isteri, Isi Deng dan anak bongsu mereka, Joshua, 2, yang sedang menggaru-garu mukanya akibat kudis.

Liziana yang fasih berbahasa Melayu leka bermain-main dengan Joshua.

Gadis cilik itu terpaksa melupakan hasratnya untuk belajar kerana memberi laluan kepada dua orang adiknya yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Long Jekitan.

Layah memberitahu, sudah dua minggu dia terlantar dan tidak terdaya untuk bangun mencari rezeki.

Walaupun petugas Jabatan Kesihatan Miri mengunjungi Ba'Purau untuk melakukan semburan kabus dan memberi ubat malaria, namun ketika itu Layah tiada di kampung.

"Mereka datang ketika saya sedang mengusahakan padi huma, jadi tiada ubat untuk saya," katanya ketika ditemui semasa operasi pendaftaran bergerak oleh Unit Khas Bergerak (UKB) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Miri dan Limbang.

Tambahnya, sebelum sakit, doktor udara ada mengambil sampel darah berikutan kawasan tersebut mudah mendapat jangkitan malaria.

Mengenai kudis pada muka Joshua, Layah memberitahu telah membawa anak bongsunya itu mendapatkan rawatan.

"Mula-mula kelihatan baik tetapi apabila ubat sudah tiada, anak saya itu mula menggaru-garu kudisnya sehingga luka dan berdarah," katanya.

Seorang lagi kanak-kanak yang keciciran sekolah ialah Amy Hashim, 18. Dia bagaimanapun memang tidak mahu bersekolah dan hanya sempat menamatkan persekolahan sehingga ke darjah enam.

Amy yang baru berkahwin itu mengakui tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah menengah.

"Memang saya tidak mahu sekolah lagi dan saya boleh membaca sikit-sikit.

"Selepas darjah enam saya tidak mahu lagi ke sekolah," katanya sambil menambah perjalanan jauh menyebabkan dia bosan ke sekolah.

Wednesday, March 24, 2010

SIP di semua sekolah akhir Mac - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Pelajaran akan melaksanakan Program Pembangunan Sekolah (SIP) bermula hujung bulan ini bagi membantu melonjakkan pencapaian semua sekolah di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, SIP mempunyai matlamat jangka panjang bagi membolehkan sebanyak mungkin sekolah termasuk di luar bandar dan pedalaman mencapai tahap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Katanya, melalui SIP juga, permasalahan sesebuah sekolah dapat ditangani secara khusus dan ia akan bermula melalui analisis Toolkit Pembangunan Prestasi Sekolah (SIT) dengan mengambil kira empat elemen utama iaitu kepimpinan, guru, murid, ibu bapa dan infrastruktur.

"Hasil analisis SIT, setiap sekolah akan merangka dan merancang Pelan Pembangunan Prestasi Sekolah masing-masing.

"Pelan pembangunan yang telah dirangka akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Program Pembangunan Prestasi Sekolah yang berpusat di kementerian untuk dianalisis bagi menentukan pelan terbaik untuk sesebuah sekolah," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu meminta kementerian menyatakan mengenai strategi yang diambil dalam mencapai sasaran mewujudkan 100 buah SBT menjelang 2012

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau tidak menafikan bahawa program pembangunan sedemikian bukannya sesuatu yang baru namun kali ini pihaknya melakukan penambahbaikan dari aspek pelaksanaannya.

Katanya, pada kali ini ia akan menggunakan pendekatan dari bawah ke atas bagi memastikan masalah sebenar setiap sekolah dapat ditangani lebih-lebih lagi ia membabitkan pemantauan sistematik sejajar dengan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan.

"Laporan mingguan dan bulanan mengenai prestasi program akan dikemukakan kepada pihak Pemandu untuk dipantau," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri berkata, SIP juga akan memberi perhatian khusus kepada sekolah rendah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, ini kerana kementerian mendapati sekolah terbabit pada masa ini berada dalam kelompok sekolah berprestasi rendah.

Menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Muhyiddin berkata, kerajaan bersedia menimbangkan untuk memberi biasiswa selaras dengan amalan meritokrasi kepada pelajar yang berada dalam kelompok paling cemerlang.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun razak juga akan membuat pengumuman berhubung pemberian Biasiswa Nasional yang mempunyai semangat tersebut dalam masa terdekat.

"Tidak berapa lama lagi Perdana Menteri akan umum Biasiswa Nasional, ia akan diambil kira kriteria berdasarkan merit bukan kerana kaum, sesiapa sahaja sama ada Melayu, Cina dan India yang memenuhi kriteria yang terbaik di kalangan terbaik akan menerimanya," katanya.

Kementerian Pelajaran diminta perluaskan aktiviti tulisan jawi

KUALA LUMPUR 24 Mac — Kementerian Pelajaran diminta supaya memperluaskan lagi aktiviti penulisan jawi di sekolah-sekolah bagi meningkat dan membudayakan penggunaan tulisan itu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata walaupun Kementerian Pelajaran sudah melaksanakan program pengajian Jawi, Al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain yang dikenali sebagai j-QAF di sekolah-sekolah, usaha menjalankan aktiviti bagi membudayakan tulisan jawi di kalangan pelajar masih perlu ditingkatkan.

"Pengajian j-QAF adalah penentuan menerusi akademik, yang saya maksudkan adalah pergiatkan dari segi aktiviti atau usaha yang perlu diambil dalam membudayakan terutamanya pelajar, dalam menanam minat menggunakan tulisan itu.

"Contohnya pembekalan suratkhabar jawi (Utusan Mealyu) ke sekolah-sekolah, misalnya jika ada 10,000 sekolah yang beli akhbar (jawi) ini, maka sudah ada 10,000 naskah Utusan yang boleh dijual. Ini meringankan beban untuk mempromosi tulisan jawi,” katanya selepas melancarkan Wajah Baru Akhbar Jawi Utusan Melayu Mingguan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua PNM Datuk Raslin Abu Bakar dan Ketua Pengarah Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak. - Bernama

Monday, March 22, 2010

Ajar pendidikan seks di sekolah - Shahrizat

KUALA LUMPUR 22 Mac - Kementerian Pelajaran disaran memasukkan pendidikan seks dalam kurikulum pembelajaran di sekolah ekoran peningkatan kes buang bayi dan pelbagai gejala sosial di kalangan remaja.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, maklum balas diterima kementeriannya menunjukkan masih ada remaja yang tidak memahami implikasi yang mungkin berlaku jika mereka melakukan hubungan seks di luar nikah.

"Kita anggap rakyat di negara ini terpelajar dan serba tahu tetapi maklum balas diterima kementerian membuktikan masih ada anak muda terutama wanita yang tidak tahu mereka boleh mengandung dan akan berhadapan pelbagai implikasi jika melakukan hubungan intim.

"Disebabkan itu, kita minta Kementerian Pelajaran menimbangkan perkara ini. Kita tidak boleh menyapu isu ini di bawah karpet dan perlu menghadapinya sebaik mungkin.

"Kita perlu berani memberi pendidikan tentang implikasi dari sudut sains dalam kurikulum sekolah mengenai apa akan berlaku jika mereka melakukan hubungan intim," katanya ketika ditemu bual pada program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam ini.

Mengulas desakan sesetengah pihak agar kerajaan mewujudkan rumah perlindungan untuk bayi terbuang, Shahrizat menjelaskan, kementeriannya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Menurutnya, jika rumah perlindungan itu diwujudkan, ia seakan memberi isyarat negatif kepada masyarakat selain bimbang langkah tersebut akan disalah tafsir.

"Apa pun, jika ada berlaku 'sesuatu', ibu bapa atau ahli keluarga lain boleh beritahu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan mengambil anak itu dan memastikan mereka selamat dan terbela kerana kita ada rumah kanak-kanak dan institusi tertentu.

"Sebagai kerajaan prihatin, kita juga membelanjakan jutaan ringgit untuk membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat amal dalam perkara ini. Pergilah jumpa mereka untuk minta bantuan atau jumpa saja Ketua Wanita UMNO setiap cawangan dan mereka akan bantu melalui Skuad Sayang," katanya.

Sementara itu, Shahrizat memberitahu, setakat ini sebanyak 12 kes pembuangan bayi diterima kementeriannya dengan separuh daripada bayi tersebut meninggal dunia sebelum sempat diselamatkan.

Thursday, March 11, 2010

Tidak ponteng sekolah rahsia capai 13A+

SUNGAI PETANI 11 Mac Anak seorang pengurus syarikat pengiklanan akhbar, Beh Yuan Ye, 17, muncul antara pelajar terbaik Kedah apabila berjaya memperoleh 13A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Yuan Ye (gambar) dari Taman Widuri di sini membuktikan usaha gigih, konsisten dan fokus mencapai sesuatu matlamat menjadi azimatnya untuk mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Pelajar lelaki Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sin Min itu memperoleh A+ dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Sains, Matematik Tambahan, Prinsip Perakaunan, Fizik, Kimia, Biologi, Bahasa Cina dan Kesusasteraan Cina.

Kata Yuan Ye, tumpuan penuh semasa belajar dan tidak sekali-kali ponteng sekolah adalah kunci kejayaan untuk mencapai cemerlang.

"Saya belajar secara fleksibel kerana tiada penetapan waktu atau tempoh tertentu ulang kaji penting.

"Tetapi yang paling utama adalah jangan ponteng kelas atau sekolah kerana kita akan ketinggalan subjek yang diajar guru pada hari itu," kata Yuan Ye yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu.

Dia ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2009 di Dewan SMJK Sin Min di sini hari ini.

Yuan Yee merupakan salah seorang daripada sembilan pelajar yang menduduki SPM 2009 di negeri ini berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi A+ dalam semua mata pelajaran diambil.

Pada tahun lalu, 30,726 calon dari sekolah kerajaan di negeri Kedah menduduki peperiksaan berkenaan.

Yuan Ye berkata, dia bersyukur dan berpuas hati dengan keputusan 13A+ tersebut kerana membuktikan segala susah payah dirinya sebelum ini membuahkan hasil.

Katanya, kejayaannya hasil dorongan ayah dan ibu serta guru yang banyak berkorban dan memberi sokongan untuknya berjaya.

"Saya berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan kelak," katanya.

Sementara itu, bapa Yuan Ye, Beh Ku Chai, 44, berkata, dia berbangga dengan kejayaan anaknya itu setelah dia berusaha gigih untuk cemerlang dalam bidang pelajaran.

"Dia tidak banyak menimbulkan masalah malah sentiasa menunjukkan semangat yang tinggi untuk berjaya dalam pelajaran," katanya.

Calon separa buta peroleh kejayaan membanggakan

KUALA TERENGGANU 11 Mac - Yakin dengan kemampuan diri selain bantuan guru dan rakan berjaya membantu calon separa buta, Nur Najmi Syamila Mohd. Sakari, 18, (gambar) memperoleh keputusan 8A 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar di sini itu berbangga apabila mencapai A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Tassawur Islam.

Anak seorang petani itu juga memperoleh A dalam mata pelajaran Perdagangan dan Prinsip Perakaunan manakala A- untuk Ekonomi Asas dan keputusan B+ bagi Matematik dan Bahasa Inggeris.

Nur Najmi Syamila berkata, dia sejak awal menetapkan sasaran untuk mencapai keputusan 8A dalam SPM.

''Saya mengalami masalah untuk belajar dalam kelas jadi saya banyak belajar secara berkumpulan selain mengulangkaji pelajaran secara bersendirian pada waktu malam.

''Saya juga banyak bertanya dengan guru secara bersemuka terutama mata pelajaran Matematik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, dia juga sering memulakan ulang kaji pelajaran dengan berdoa sama ada secara sendirian atau bersama rakan-rakan.

Sementara itu bapa pelajar itu, Mohd. Sakari Muda berkata, dia bersyukur dengan kejayaan cemerlang Nur Najmi Syamilai.

Ibu cuti 9 bulan tanpa gaji

JOHOR BAHRU 11 Mac - Pengorbanan seorang jururawat Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengambil cuti sembilan bulan tanpa gaji bagi memastikan anaknya yang kurang upaya bersedia untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), nyata berbaloi.

Usaha gigih Zainab Sohod, 46, membantu Rehana Bakhrudin, 20, membuahkan hasil apabila anak sulungnya itu diumumkan sebagai salah seorang penerima anugerah pelajar cemerlang kategori calon istimewa.

Baginya, kejayaan Rehana yang mendapat 1A (Agama Islam), 1B (Sains), 4C (Bahasa Melayu, Sejarah, Perdagangan dan Matematik) dan 2D (Ekonomi dan Bahasa Inggeris) adalah hadiah kepada dia dan suaminya memandangkan keadaan diri anaknya tidak seperti insan normal lain.

Rehana yang menghidap penyakit cerebral palsy sejak kecil berkomunikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan komputer dengan ahli keluarga, guru dan rakan-rakannya.

"Saya sangat gembira dan bersyukur dengan apa yang diperoleh. Terkejut dengan pencapaiannya, namun saya dan suami sangat gembira.

"Semoga kejayaannya itu menjadi teladan kepada adik-adiknya nanti," katanya semasa ditemui selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2009 di sini hari ini.

Turut menerima anugerah sama ialah K.V Nadeera dari Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Convent, Mohamad Saifuddin Ishak (Maktab Sultan Abu Bakar) dan Lo Yee Wah (Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indera Putra Kulai).

Zainab memberitahu, tempoh sembilan bulan itu digunakan sepenuhnya untuk menghantar dan menjemput Rehana pergi dan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara 2.

Menurutnya, anaknya itu tidak pernah mengambil kelas tambahan melainkan bergantung sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah, buku rujukan, latihan dan kerja rumah.

"Rehana sudah belajar menggunakan komputer sejak berusia sembilan tahun manakala semasa belajar di sekolah, dia akan menggunakan komputer riba untuk berkomunikasi dengan guru dan rakannya," katanya.

Penyakit Cerebral palsy merupakan sejenis kekacauan atau gangguan kendalian terhadap fungsi motorik disebabkan oleh kerosakan pada otak yang sedang berkembang.

Nor Umairah cacat tetapi dapat 5A

IPOH 11 Mac - Kecacatan kedua-dua belah tangan dan terpaksa menulis menggunakan kaki tidak menghalang seorang pelajar perempuan di sini mencatat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Nor Umairah Ahmad Jamhari, 18, yang mengalami masalah saraf sehingga menyebabkan kedua-dua belah tangannya lumpuh, memperoleh 2A+, 3A, 3B+, 1B dan 1C dalam peperiksaan tersebut.

Dia mencatat A+ bagi kertas Bahasa Melayu dan Sejarah; Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Matematik (A); Kimia, Biologi dan Bahasa Inggeris untuk Sains dan Teknologi (B+); Fizik (B) dan C untuk kertas Matematik Tambahan.

Anak sulung daripada dua beradik itu bergantung sepenuhnya kepada keupayaan kaki untuk melakukan aktiviti seharian termasuk menulis dan makan.

Atas keazaman tinggi untuk berjaya, Nor Umairah sebelum ini berjaya mencatatkan keputusan 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2007 sehingga diberi Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2008.

Walaupun keputusan SPM itu tidak seperti diharapkannya, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, Teluk Intan ini tetap berpuas hati dengan apa yang diperolehi.

"Semasa peperiksaan percubaan, saya mendapat 6A dan berharap mendapat keputusan lebih baik daripada itu dalam peperiksaan sebenar.

"Namun, saya bersyukur dan berpuas hati dengan keputusan ini kerana telah melakukan yang terbaik," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2009 peringkat negeri Perak di sini hari ini.

Menarik mengenai anak kepada seorang guru ini ialah dia enggan diberi keistimewaan semasa menduduki peperiksaan itu kecuali meja yang lebih rendah bagi memudahkan dia menjawab soalan.

Menurut ibunya, Sanisah Mohamed, 39, anaknya itu berkeras tidak mahu diberi masa tambahan semasa menduduki peperiksaan SPM kerana mahu dilayan seperti pelajar normal walaupun terpaksa menulis menggunakan kaki.

"Dia mahu mengambil peperiksaan sama seperti pelajar lain kerana dia tidak mahu melihat kekurangan pada dirinya sebagai satu kelemahan," katanya.

Ditanya tentang perancangan, Nor Umairah memberitahu, dia mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi mengejar cita-citanya menjadi seorang peguam.

"Saya sudah pun menghantar borang permohonan masuk ke universiti dan berharap dapat mengambil bidang perundangan di sana," katanya.

Pada majlis tersebut, Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Radzi Abd. Jabar turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Nor Umairah dan seorang lagi pelajar OKU yang mencatatkan kecemerlangan dalam SPM, Tan Bing Xuan.

Kementerian tanggung bayaran air, elektrik sekolah

KINABATANGAN 11 Mac - Isu sekolah perlu mencari dana tambahan bagi membayar bil elektrik dan air tidak sepatutnya timbul kerana bayaran itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan dibuat setelah Kementerian mendapat dana tambahan selepas masalah tersebut dibangkitkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mungkin sekolah terbabit belum mendapat makluman berhubung keputusan baru itu," jelas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam di sini yang terletak kira-kira 120 kilometer dari bandar Sandakan, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas masalah yang dihadapi sekolah apabila Jabatan Pelajaran Daerah mengehadkan peruntukan bagi membayar bil air dan elektrik kepada hanya RM2,000 setahun.

Ini menyebabkan sesetengah sekolah perlu mencari dana tambahan jika bayaran kemudahan air dan elektrik itu melebihi jumlah diperuntukkan.

Muhyiddin berkata, masalah pengurangan dalam kos operasi bukan sahaja dihadapi oleh Kementerian Pelajaran tetapi semua kementerian lain.

Dalam hal ini, katanya, semua pihak digalakkan mengamalkan langkah berjimat cermat bagi memastikan pentadbiran berjalan lancar.

"Sebagai contoh dalam soal bekalan air dan api, jika kita dapat berjimat cermat sehingga 10 atau 20 peratus ia akan membawa kesan besar kerana kita ada 10,000 sekolah.

"Bayangkan, jika 10,000 sekolah perlukan RM2,000 untuk elektrik dan air, tidakkah kita sudah membelanjakan kira-kira RM20 juta," katanya.

Guru baru ingkar arahan boleh dikenakan tindakan

KUALA TERENGGANU 11 Mac - Mana-mana guru baru yang mengingkari arahan apabila dihantar untuk berkhidmat di kawasan pedalaman akan dikenakan tindakan tegas termasuk disingkir daripada kerjaya perguruan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ketika memberi amaran itu menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur mengenai perkara itu dan mereka yang terbabit perlu menerima hakikat dikenakan tindakan sedemikian.

Katanya, guru-guru yang baru tamat perkhidmatan jika dihantar berkhidmat ke kawasan pedalaman mesti mematuhi arahan tersebut bagi mengelak timbul masalah kekurangan guru di kawasan itu.

"Bagaimanapun mereka masih boleh merayu dengan alasan yang munasabah, tapi kalau mereka langsung tak datang lapor diri, kita akan ambil tindakan.

''Mereka akan disingkirkan dan tak boleh jadi guru lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Mengabang Telipot dan majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh serta Pengarah Pelajaran Negeri, Ariffin Embong.

Mohd. Puad seterusnya menjelaskan, amaran keras seumpama itu tidak melibatkan guru-guru yang sudah lama berkhidmat dan turut dihantar bertugas di pedalaman.

Beliau berkata, guru berpengalaman yang enggan berkhidmat di kawasan pedalaman tidak akan dikenakan tindakan keras tetapi mereka mungkin tidak berpeluang menikmati faedah lain termasuk kenaikan pangkat.

Mohd. Puad juga menempelak guru-guru yang sanggup mendapat sokongan orang berpengaruh atau kenamaan untuk merayu agar tidak ditempatkan di kawasan pedalaman.

"Saya tak kira mereka dapat sokongan daripada sesiapa termasuk orang berpengaruh, ada kes selepas setahun, baru datang balik untuk mengajar, mereka ini juga akan dikenakan tindakan," ujarnya.

Pindah sekolah terjejas banjir

KINABATANGAN 11 Mac - Usaha memindahkan lebih 50 sekolah di Sabah dan Sarawak yang sering ditenggelami banjir akan diletakkan di bawah projek keutamaan utama di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masalah tersebut perlu diselesaikan segera bagi mengelak ia terus berlarutan sehingga menjejaskan pembelajaran pelajar.

"Kita telah menyenaraikan sekolah-sekolah tersebut dan sebahagiannya sudah dilaksanakan di bawah RMK-8.

"Oleh kerana jumlahnya banyak dan melibatkan kos besar maka ia akan mengambil sedikit masa," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri. Mohd. Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Timbalan Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Sabah melawat tapak projek penempatan mangsa banjir di Kampung Pelangi di sini.

Menteri Pelajaran itu berkata, pada masa ini perkara yang perlu diselesaikan kementerian adalah masalah berkaitan tapak dan peruntukan yang akan digunakan bagi membina sekolah-sekolah tersebut.

Sementara itu, dalam ucapannya, Muhyiddin menjelaskan, masalah pembangunan rakyat yang belum selesai bukan bermakna kerajaan gagal menunaikan janji kepada rakyat.

Beliau berkata, sebagai sebuah masyarakat yang dinamik dan bercita-cita mahu maju ke hadapan, permintaannya juga akan pelbagai dan sentiasa berubah-ubah.

Oleh itu, katanya, kerajaan tidak mampu melaksana atau menunaikannya secara menyeluruh.

"Bagaimanapun apa yang kerajaan lakukan adalah berusaha memastikan pendapatan setiap isi rumah sentiasa bertambah, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM30.3 juta bagi membangunkan Jalan Tundun Bohangin - Kinabatangan yang dijangka memberi manfaat kepada 800 penduduk.

Selain itu, RM17.6 juta diperuntukkan bagi membekal air bersih ke 13 kampung membabitkan 1,016 rumah manakala RM39.5 juta disediakan untuk membekal elektrik menggunakan sistem solar hibrid ke empat kampung membabitkan 217 rumah.

"Sebanyak RM400,000 diperuntukkan bagi membina empat jeti untuk kemudahan penduduk di daerah ini," kata Muhyiddin.

SPM: 7,987 cemerlang

# Seramai 7,987 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 memperoleh gred cemerlang (A+, A, dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

# Daripada jumlah itu, seramai 255 calon mendapat gred cemerlang tertinggi A+ iaitu 214 calon dari sekolah Kementerian Pelajaran manakala 41 calon lagi merupakan calon persendirian, swasta dan sekolah tajaan agensi.

# Pada keseluruhannya pencapaian calon kali ini amat membanggakan dan melebihi pencapaian tahun sebelumnya.

# Pencapaian calon mengikut lokasi bandar dan luar bandar juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Wednesday, March 10, 2010

Jadi teks utama Kesusasteraan Melayu

KUALA LUMPUR 9 Mac - Kementerian Pelajaran disaran menjadikan buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Airmata sebagai teks utama mata pelajaran Kesusasteraan Melayu khususnya di tingkatan enam.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, ini kerana buku tersebut mengandungi semangat perjuangan bangsa dan agama serta berupaya menjadi teladan bagi menghadapi kehidupan dalam era globalisasi kini.

Menurutnya, kisah Natrah atau nama Kristiannya Huberdina Maria Hertogh @ Bertha juga menceritakan tentang dasar hegemoni penjajah yang sentiasa berusaha mendominasi penduduk asal tanah jajahan.

"Pada hemat saya, penghasilan buku ini bukan sekadar biografi biasa kerana penulis berjaya mengungkapkan pelbagai tema besar yang melingkungi kehidupan masyarakat ketika itu dan masih relevan hingga masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku itu di UTM Kampus Antarabangsa di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zaini berkata, UTM telah mewujudkan lebih 50 stesen bacaan (Reading Stations) sejak awal 2009 di tempat menunggu serta laluan utama kampus bagi membolehkan warganya berkongsi bahan bacaan dalam bentuk buku, novel dan majalah.

"Saya berpendapat, konsep stesen bacaan ini perlu diperluaskan termasuklah ke sekolah dan maktab," katanya.

Giatkan usaha cari istilah ilmiah

KUALA LUMPUR 9 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia- Malaysia (Mabbim) menggiatkan usaha mengembangkan istilah-istilah ilmiah khususnya dalam bidang sains dan teknologi dalam Bahasa Melayu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan masyarakat di rantau ini dapat mengungkapkan makna dan konsep baru pelbagai disiplin ilmu secara tepat dalam Bahasa Melayu.

‘‘Oleh itu, sudah tiba masanya Mabbim memberikan tumpuan kepada usaha pembinaan istilah, terutamanya melalui penghasilan karya-karya ilmiah.

‘‘Dengan cara ini ia bukan sahaja dapat mengembangkan istilah bahasa Melayu dengan lebih rancak, malah ia juga akan berkembang sebagai bahasa ilmu yang maju,,’’ katanya ketika berucap merasmikan Sidang ke-49 Mabbim di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom; Pengerusi Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Perwakilan Malaysia, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Dalam pada itu Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi meningkatkan usaha pengembangan istilah, penghasilan karya bahasa Melayu dan bahasa Indonesia perlu dipergiatkan lagi melalui penerbitan secara bersama oleh semua negara anggota Mabbim.

‘‘Misalnya, hasil penyelidikan institusi-institusi pengajian tinggi di ketiga-tiga negara terutamanya dalam bidang sains dan teknologi boleh diterbitkan secara bersama untuk meningkatkan kebolehpasaran karya.

‘‘Dengan demikian, kita bukan sahaja dapat berkongsi penemuan baru dalam pelbagai disiplin ilmu, tetapi juga memperkaya perpustakaan ilmu dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia,’’ katanya.

Selain istilah, Muhyiddin turut menyarankan agar pemasaran buku antara negara-negara anggota Mabbim dipermudahkan supaya buku berbahasa Melayu dan Indonesia dapat menembusi pasaran yang lebih luas.

‘‘Pada masa ini industri buku yang berbahasa Melayu atau Indonesia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan penerbitan dalam bahasa Inggeris.

‘‘Oleh itu saya yakin melalui cara ini, industri buku bahasa Melayu dan Indonesia dapat berkembang dengan lebih rancak lagi, sekali gus meningkatkan penggunaan bahasa ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Timbalan Perdana Menteri memberitahu, bahasa Melayu merupakan bahasa kelima paling ramai penuturnya iaitu menjangkau 280 juta penduduk seluruh dunia.

Monday, March 8, 2010

70% SAR, SMAN berdaftar SABK

GURUN 7 Mac - Kira-kira 30 peratus Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di seluruh negara masih belum berdaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, meskipun permintaan untuk mendaftar sebagai SABK meningkat, masih ada SAR atau SMAN tidak berbuat demikian kerana kekangan tertentu.

Kata beliau, antaranya tapak sekolah yang tidak diwakafkan kerana pemilikan secara individu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum urusan pendaftaran dapat dilakukan.

"Harapan kita adalah semua SAR dan SMAN berdaftar sebagai SABK demi kepentingan pelajar dan kebajikan guru-guru.

"Jika berdaftar sebagai SABK, mereka akan dapat merasai kemudahan seperti dikecapi oleh sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang lain," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Agama Pekan Gurun di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, pada tahun ini berlaku pertambahan sebanyak empat buah sekolah SABK di seluruh negara iaitu tiga buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah.

Mengenai Akta Halal yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada pertengahan tahun ini, beliau berkata, semua produk yang mempunyai logo halal yang tidak diiktiraf kerajaan tidak akan dibenarkan dipamerkan di ruang halal kedai atau pasar raya selepas akta itu berkuat kuasa.

Katanya, pihak yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan yang bakal ditetapkan kelak.

Menurut beliau, kesedaran individu, peniaga, pengusaha dan pengguna terhadap logo halal yang diiktiraf oleh kerajaan kini juga semakin tinggi selepas penyeragaman sijil dan logo halal oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

Sunday, March 7, 2010

Guru tingkat pencapaian sekolah turut diberi insentif

TANJUNG MALIM 6 Mac – Semua pengetua, guru besar dan guru yang berupaya meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa akan diberi pelbagai insentif termasuk kenaikan pangkat mulai tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemberian tersebut perlu diberikan secara menyeluruh kerana kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada seorang pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru.

Beliau berkata, maklumat terperinci berhubung pelaksanaan insentif baru menerusi Pelan Menambah Baik Sekolah-Sekolah itu akan diumumkan pada 16 Mei ini.

“Kalau mereka menunjukkan kecemerlangan tak kira di bandar atau luar bandar, ikut ukuran apa yang kita sebut kumpulan-kumpulan tertentu.

“Tetapi kalau meningkat sedikit pun (cemerlang) kita akan bagi juga imbuhan kepada guru besar, pengetua dan guru-guru di sekolah itu.

“Maknanya, bukan hanya bagi pengetua atau guru besar tetapi kepada semuanya, kerana kita iktiraf peranan itu bukan hanya dimainkan oleh seorang pemimpin dalam sekolah, sebaliknya semua guru mesti bekerja sama. Kalau (sekolah) meningkat, semua dapat kredit,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Perak di Slim River dekat sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Pusat dan negeri Perak.

Muhyiddin berkata, pemberian insentif tersebut adalah sebagai galakan kepada pihak sekolah tanpa mengira sama ada ia sekolah bandar atau luar bandar untuk bekerjasama dalam mencapai kecemerlangan.

“Kita boleh melihat kalau di sekolah itu ada kepimpinan yang baik, walaupun tidak mendapat peruntukan tetapi mampu meningkatkan pencapaian, maka ia akan diberi penilaian dan akan diiktiraf,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan memberi geran pelancaran kepada pihak swasta yang membuka kelas-kelas prasekolah di negara ini.

Langkah tersebut, katanya, bagi menjayakan matlamat memastikan 87 peratus kanak-kanak yang akan memasuki alam persekolahan dalam tempoh tiga tahun lagi mempunyai pendidikan asas.

Selain itu, jelas beliau, kementerian juga akan menampung kos melatih guru-guru yang ditempatkan di prasekolah terbabit.

Terdahulu, dalam pertemuannya dengan warga pendidik di Politeknik Sultan Azlan Shah (Polisas) Behrang, Muhyiddin mahu guru-guru berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai kecemerlangan pendidikan.

Beliau berkata, langkah kementerian memperkenalkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) adalah sebagai persediaan untuk melonjakkan lagi bidang pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita minta guru-guru bersama-sama membantu mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang disasarkan kerana kita tidak mahu juara kampung tetapi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kalau guru-guru bersemangat meningkatkan pencapaian murid-murid dan para pelajar, langkah-langkah ini akan diiktiraf oleh pihak kementerian dan juga layak untuk mendapat imbuhan insentif tahun depan,” katanya.

Friday, March 5, 2010

Lima pelajar pintar sertai program di AS

SEREMBAN 5 Mac - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengumumkan nama lima pelajar pintar cerdas negara yang akan mengikuti program Perkhemahan Musim Panas 2010 di Universiti Johns Hopkins - Pusat Belia Berbakat di Amerika Syarikat (AS) Jun ini.

Mereka ialah Rabiatul Adawiyah Ishak, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, Kuching, Sarawak; Kalithashinee Sivabalan, 14, dari SMK Dato' Onn, Butterworth, Pulau Pinang dan Ahmad Asyraf Burhani, 15, dari SMA Al-Maarif Bukit Goh, Kuantan, Pahang.

Dua lagi pelajar yang terpilih itu ialah Philip Chin Zhen Yew, 16, dari SMJK (C) Chung Ling, Butterworth, Pulau Pinang dan Muhammad Akmal Hasbullah, 16, dari Maktab Rendah Sains Mara, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara memberitahu, mereka akan mengikuti program berkenaan selama sebulan di negara itu bermula 16 Jun ini hingga pertengahan Julai depan.

"Mereka yang terpilih ini merupakan duta PERMATApintar dan diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman berada bersama-sama kanak-kanak pintar cerdas dari luar negara di Universiti Johns Hopkins itu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Tahun Ke-2 Ujian Saringan Pertama PERMATAPintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1 di Kolej Tunku Kurshiah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom serta Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Shahabudin.

Menurut beliau, di AS nanti pelajar ini diberi pendedahan meluas mengenai mata pelajaran yang didedahkan seperti kriptologi, pengenalan kepada robotik, reka cipta, penaakulan mantik, menjadi saintis selain penulisan kreatif.

"Mereka akan memperoleh pengalaman secara terus serta bergaul dengan kanak-kanak pintar dari negara lain.

"Di samping itu, mereka dapat bertukar pandangan serta idea dan memahami kebudayaan, agama dan cara hidup antara satu negara dengan negara yang lain," katanya.

Rosmah menjelaskan, apa yang lebih penting, lima duta PERMATApintar yang dihantar ke universiti itu akan menerangkan juga kepada kanak-kanak luar negara mengenai Malaysia.

"Inilah salah satu cara kita meletakkan Malaysia di peta dunia melalui projek PERMATApintar dan kita tidak mahu ketinggalan dalam menyatakan kepada dunia bahawa Malaysia juga mempunyai ramai kanak-kanak pintar," jelas beliau.

Rosmah berkata, menjadi harapan negara pada masa hadapan, lima duta PERMATApintar ini akan menjadi penceramah sekembali mereka daripada menjalani program di universiti tersebut.

"Ini akan dapat meningkatkan semangat kanak-kanak pintar Malaysia untuk mencontohi mereka," kata beliau.

Sehubungan itu juga, katanya, dalam program Perkhemahan Cuti Sekolah 2010 pada bulan Disember ini, sekretariat PERMATApintar Negara akan menjemput 10 kanak-kanak dari luar negara untuk turut serta dalam program ini.

"Ia sebagai galakan kepada kanak-kanak Malaysia berkongsi pengalaman dengan mereka," tambah beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, Rosmah memberitahu, projek PERMATApintar sedang menyediakan program pembelajaran yang lebih formal melalui sebuah sekolah yang akan dikenali sebagai Akademi PERMATApintar Negara.

Katanya, akademi berasrama penuh itu sedang dibina dan dijangka siap akhir tahun ini.

Jelas Rosmah lagi, pada Januari 2011, seramai 150 pelajar berbilang kaum di tingkatan 4 akan diambil melalui pemilihan secara ujian.

"Mereka akan mengikuti pembelajaran arus perdana dan diberi peluang mengambil peperiksaan antarabangsa seperti SAT, Advance Placement atau O dan A Level.

"Ini akan memberikan mereka satu jaringan keselamatan yang lebih luas untuk meneruskan pengajian mereka di universiti terkemuka dunia," jelas Rosmah.

Pelajar asing wajib ambil subjek bahasa Melayu

PUTRAJAYA 5 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi akan mewajibkan kesemua 65,000 pelajar asing di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) mengambil subjek bahasa Melayu bagi membolehkan mereka memahami budaya setempat sekali gus mengembangkan bahasa tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kehadiran para pelajar asing di negara ini merupakan satu peluang untuk menambah bilangan penutur bahasa Melayu di dunia.

"Dalam konteks ini, Jabatan Bahasa Melayu dan Akademi Pengajian Melayu dalam universiti awam dilihat boleh membantu usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu.

"Jabatan-jabatan tersebut perlu mempunyai sasaran agar menjadi pusat perkembangan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, sama ada melalui penyediaan guru bahasa untuk memenuhi keperluan pelajar asing mahupun menjayakan program mobiliti pensyarah bahasa Melayu untuk mengajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada malam kemuncak Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Thursday, March 4, 2010

Keputusan SPM, STAM diumumkan Khamis ini

KUALA LUMPUR 4 Mac - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 akan diumum pada Khamis ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, keputusan akan dikeluarkan di sekolah-sekolah mulai pukul 10 pagi.

Calon persendirian pula akan menerima keputusan masing-masing melalui pos yang dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sejumlah 165,853 calon menduduki peperiksaan bertulis SPM di 3,569 pusat peperiksaan di seluruh negara yang bermula pada 18 November hingga 16 Disember lepas, katanya.

Seramai 6,920 calon pula menduduki peperiksaan STAM di 98 buah pusat peperiksaan yang berlangsung dari 19 hingga 27 Oktober lepas. - Bernama

Gambaran Alam Mahsyar

1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti
tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali
Izrail & beberapa malaikat yg lain.. Selepas itu, Izrail pun mencabut
nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman
mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang
menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan
Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa". Ini menunjukkan kebesaran &
keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak
mati.

3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya
meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula
di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang
rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz
Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia
umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih.

5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan
hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat
takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi
kelak.

6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh
yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar.
Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal),
berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi
yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan
lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan
cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya.
Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu
turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta'ala. Seluruh
makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang
menakutkan.

9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda.
Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas
kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti
keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-
bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan
dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul
atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan
mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10. Terdapat satu kolam kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama
Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang
mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang
menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam
ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air
kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan
rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir
dari syurga.

11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7
golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

1. Pemimpin yang adil.

2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

3. Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.

4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan
berkata "Aku takut pada Allah".

6. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang
ramai).

7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air
matanya kerana takutkan Allah.



12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua
manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian
mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka
mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia
ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi
Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah
Ta'ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s.,
Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan
sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah
saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun
perjalanan.

13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah
Ta'ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga
menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun.
Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang
malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun)
sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba
dibumi.

15. 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah
(bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul
oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia
seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan
malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya
yang sangat kuat.

16. Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy
yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih
kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah
ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu
dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan
masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa
silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab.
Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib
& 'Atid / Kiraman Katibin.

18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-
masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang
zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w.,
dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum
yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat
akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil
dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika
orang bukan mukmin.

21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca
Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai
lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang
gelap untuk menimbang dosa.

22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4
mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam,
maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap
akan ditimbang.

24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-
kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan.
Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang
ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang
dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya
menyeberangi titian sirat.

26. Syafaat Nabi Muhammad s.a..w. di akhirat :

a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan
mempercepatkan hisab.

b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta'ala.


27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh
Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini
berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000
orang yang lain.

28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga
melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian)
yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti
sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang.
Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000
tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun.
Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang
binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya
disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh
ke dalamnya.

30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap
makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang
sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam
neraka.



Rujukan:

Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-
Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

Dalam sepotong ayat dan hadis ada menerangkan:

"Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong ." (An-Nahl ayat 105)

"Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."(HR: Az-Zahabi dlm Al-Kabair.)

Wednesday, March 3, 2010

Pendidikan seks perlu berlandaskan Islam

KUALA LUMPUR 3 Mac - Tokoh agama dan cendekiawan menyokong penuh usaha kerajaan melaksanakan pendidikan seks di peringkat sekolah bagi menyediakan golongan muda pengetahuan mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun, mereka meminta kerajaan menerapkan sukatan pelajaran itu dengan berlandaskan ajaran agama Islam.

Mereka juga berharap langkah itu dapat memberi kesedaran kepada golongan muda bahaya hubungan seks luar nikah selain menyelesaikan kes pembuangan bayi dan gejala negatif yang lain.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut berkata, pendidikan seks merupakan satu perkara besar kerana ia melibatkan hukum agama, sosial dan budaya yang berlainan di negara ini.

"Langkah terbaik adalah dengan melaksanakan pendidikan di peringkat sekolah terlebih dahulu.

"Bagaimanapun satu perbincangan perlu diadakan antara wakil para ulama, pegawai kesihatan, ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, para guru di negara ini belum bersedia untuk mengendalikan pendidikan seks di sekolah kerana mereka kurang latihan profesional dalam subjek itu.

Menurutnya, walaupun kesatuan itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan seks di sekolah-sekolah, sesuatu yang menyedihkan para guru sebenarnya kurang latihan formal dari segi kerumitan dan sensitiviti subjek itu dan tidak yakin untuk mengajarnya.

Nooh berkata, guru-guru perlu yakin mengajar pendidikan itu secara berperingkat agar teori yang sedia ada dapat diperbaiki lagi bersesuaian dengan hukum agama, kajian dan peredaran zaman.

"Sukatan pendidikan seks dari barat tidak sesuai digunakan di negara ini kerana ia bukanlah jalan penyelesaian terbaik tetapi ia lebih mendatangkan masalah jika kita mengikut sukatan mereka," katanya.

Sementara itu, bekas Imam Besar Masjid Putra Putrajaya, Tan Sri Abdul Kadir Talib berkata, pendidikan seks merupakan sesuatu yang semulajadi dan harus diajar kepada setiap yang bernafsu agar seninya tidak disalah erti.

"Pendidikan seks di negara ini perlu diberikan sebaik sahaja anak-anak muda mencapai usia akhil baligh iaitu sembilan tahun bagi perempuan dan 12 tahun bagi lelaki.

"Pelaksanaan pendidikan ini perlu berhati-hati manakala teorinya perlulah kemas dan mudah difahami agar tidak terjadinya perkara yang tidak diingini selepas mereka mempelajarinya," katanya.

Beliau berkata, pendidikan seks perlu diberikan sesuai mengikut peredaran zaman dan faktor sekeliling juga perlu diambil kira.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Dr. Ahmad Kamsari Samingan pula berkata, guru-guru yang terlibat dalam mengendalikan pendidikan seks di sekolah perlu merujuk kepada ajaran Islam.

"Pendidikan ini bukan sekadar mengajar mengenai hubungan kelamin yang suci dalam Islam malah ia turut memberikan pendedahan tentang tanggungjawab anak-anak muda.

"Pendidikan ini juga perlu mengutamakan sukatan pelajaran tentang aspek pergaulan seharian lelaki dan wanita serta mempelajari mengenai organ seksual," katanya.

Guru sedia ke pedalaman - NUTP

KUALA LUMPUR 3 Mac - Penempatan guru di kawasan pedalaman bukan suatu masalah malah golongan itu telah menyahut cabaran tersebut sejak ia dilaksanakan awal 1970-an.

Walaupun terpaksa mengajar dalam keadaan serba kekurangan pada masa itu, guru-guru tersebut masih mampu memastikan anak didik mereka berjaya tanpa memikirkan soal ganjaran.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, keadaan itu berlaku disebabkan semangat patriotisme yang tinggi di kalangan mereka untuk mendidik anak bangsa.

"Saya sendiri pernah ditugaskan mengajar di pedalaman Sarawak pada awal 1970-an dan mampu mengharunginya berbekalkan semangat tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, semangat patriotisme yang tinggi juga secara tidak langsung membantu para guru bertugas secara lebih efektif di kawasan berkenaan.

Justeru, kata beliau, semangat itu perlu disemai sejak di bangku sekolah dan menjadi sebati apabila mereka menempuh alam pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata, guru akan diwajibkan bertugas di pedalaman dan luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai salah satu langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan itu.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran juga akan mewajibkan guru baru mengajar di pedalaman sekali gus mengelakkan sistem pendidikan negara dalam kepincangan berikutan keengganan guru bertugas di kawasan berkenaan.

Hashim menambah, para guru seharusnya menjadi contoh yang baik kepada anak didik mereka dengan menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi dalam memberi pendidikan kepada anak bangsa walaupun terpaksa mengajar di pedalaman.

Menurutnya, hanya dengan semangat patriotisme rakyatnya yang tinggi, sesebuah negara itu boleh mencapai kemajuan.

Utusan Malaysia-YPC taja biasiswa RM1 juta

PUTRAJAYA 3 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan skim Biasiswa Utusan-Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) bernilai RM1 juta kepada 200 pelajar kurang berkemampuan bagi melanjutkan pelajaran ke Kolej YPC.

Menurut Pengasas dan Pengerusi YPC, Datuk Syed Ali AlHabshee, tajaan biasiswa yang dilaksanakan sempena 10 tahun penubuhan yayasan itu akan diberikan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 khususnya dari golongan berpendapatan rendah.

''Objektif skim ini ditujukan kepada pelajar yang mendapat keputusan sederhana, sekurang-kurangnya lima kredit dan daripada keluarga berpendapatan rendah.

''Pelajar yang terpilih akan diberikan biasiswa sebanyak RM5,000 bagi menjalani pengajian peringkat asas kursus Perniagaan dan Teknologi Maklumat selama setahun di Kolej YPC," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran skim biasiswa itu di sini hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerjasama YPC dan akhbar Utusan Malaysia itu dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang disaksikan oleh Muhyiddin di kementeriannya di sini hari ini.

Utusan Malaysia diwakili oleh Pengurus dan Pengarang Pendidikannya, Wahid Hashim manakala YPC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC, Dr. Noel Robert.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Syed Ali berkata, pemberian biasiswa tersebut adalah mengikut gagasan konsep 1Malaysia iaitu terbuka kepada semua kaum melibatkan pelajar kurang berkemampuan dari seluruh negara.

Beliau berkata, melalui sebuah jawatankuasa bersama, YPC dan Utusan Malaysia akan mengenal pasti pelajar yang layak menerima biasiswa berkenaan.

''Tawaran biasiswa itu juga akan disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia mulai bulan ini melibatkan sesi pengambilan April ini.

''Pemberian biasiswa itu dibuat secara berperingkat dengan sesi ini disasarkan seramai 50 orang akan dipilih dan proses itu berjalan sehingga mencapai jumlah 200 orang pelajar," katanya.

Katanya, pelajar yang terpilih itu berpeluang melanjutkan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Teknologi e-Perniagaan dan Pengurusan dengan kerjasama Universiti Liverpool John Moores, United Kingdom.

Katanya, YPC kini mempunyai 700 pelajar dan jumlah itu akan tingkatkan kepada 4,000 orang apabila kampus utama Kolej YPC di Taman Maluri, Cheras bernilai RM32 juta siap hujung tahun ini.

Beliau berkata, sepanjang 10 tahun penubuhan YPC, sebanyak RM7 juta telah dikeluarkan bagi membantu pelajar-pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

Sebelum ini YPC bekerjasama dengan Utusan Malaysia dalam program teknik dan strategi menjawab soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM menerusi portal pendidikan Utusan Malaysia.

Bantu pelajar kurang kemampuan

PUTRAJAYA 3 Mac - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan swasta di negara ini disaran membantu kerajaan menyediakan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bagi memastikan golongan itu tidak ketinggalan dalam penguasaan pendidikan sekali gus dapat meningkatkan modal insan terutama membabitkan bidang sains dan teknologi.

Menurutnya, meskipun kerajaan mengeluarkan peruntukan sehingga berbilion ringgit bagi menyediakan biasiswa namun masih ramai lagi pelajar miskin perlu diberi bantuan.

"Bilangan pelajar yang masih perlukan sokongan kewangan amat besar terutama mereka yang datang daripada keluarga miskin.

"Walaupun kita memberi keutamaan kepada mereka yang kurang berkemampuan, masih terdapat lagi anak-anak pintar yang di atas sebab-sebab tertentu tidak mendapat pembiayaan," katanya.

Beliau berucap melancarkan Skim Biasiswa Utusan-Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Kerjasama YPC dan akhbar Utusan Malaysia itu dimeterai melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan Muhyidddin yang juga Menteri Pelajaran.

Melalui biasiswa bernilai RM1 juta itu, 200 pelajar kurang berkemampuan menikmati bantuan biasiswa berjumlah RM5,000 bagi tempoh pengajian selama setahun di Kolej YPC.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, inisiatif yang diambil oleh Utusan Malaysia dan YPC amat dialu-alukan oleh kerajaan dan diharap langkah itu diikuti oleh NGO dan yayasan yang lain.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah satu komitmen kepada anak Malaysia kerana ia terbuka kepada para pelajar dari pelbagai kaum sekali gus melambangkan gagasan 1Malaysia.

"Kerjasama Utusan dan YPC itu merupakan satu gabungan yang baik dan ia perlu diteruskan.

"Kalau boleh lagi banyak yayasan (menaja biasiswa) adalah lebih baik," katanya.

Justeru, beliau berharap para pelajar yang akan dipilih menerima biasiswa itu dapat mengambil peluang untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Saya berharap pelajar yang terpilih mengambil peluang itu dengan sebaik mungkin dan selepas ambil sijil dan diploma, mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti," katanya.

Wajib bertugas di pedalaman?

KUALA LUMPUR 2 Mac – Kerajaan akan menimbangkan untuk mewajibkan semua guru bertugas di kawasan pedalaman antara tiga dengan lima tahun daripada tempoh perkhidmatan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kumpulan sasaran untuk menyahut cabaran itu ialah guru-guru yang masih belum berkeluarga.

Katanya, langkah itu akan menjadi satu bentuk dorongan dan cabaran baru kepada warga pendidik untuk bertugas di kawasan pedalaman di atas dasar khidmat sosial kepada negara.

Beliau berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah penempatan guru di kawasan pedalaman yang menjadi salah satu cabaran besar yang dihadapi Kementerian Pelajaran pada masa ini.

“Dalam tempoh 30 tahun guru berkhidmat, mungkin boleh antara tiga ke lima tahun dari tempoh itu mereka memberi perkhidmatan di kawasan pedalaman.

“(Ini) sebagai satu kewajipan, bukan sebagai satu pilihan dan ini memang perlu kita lihat,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sewaktu ditemu bual dalam rancangan Agenda Awani yang disiarkan oleh stesen televisyen Astro, di sini malam ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sebenarnya telah menyediakan beberapa bentuk galakan untuk guru bertugas di kawasan pedalaman seperti elaun sara hidup maksimum RM1,500 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, yang lebih penting ialah kesungguhan dan kesediaan warga perguruan untuk berkorban demi anak bangsa.

“Kalau semua nak pergi ke kawasan bandar, tidak ada pihak yang bersedia untuk berkorban mendidik anak- anak di pedalaman. Ini adalah satu kepincangan dalam sistem (pendidikan) kita,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai arahan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan, Muhyiddin berkata, pihak sekolah tidak wajar memberikan pelbagai alasan untuk tidak mematuhinya.

Muhyiddin mengakui antara masalah yang ditimbulkan ialah sesetengah sekolah terutama yang tidak mempunyai prasarana sukan mencukupi seperti kemudahan padang dan kelengkapan.

Beliau berkata, mereka masih mempunyai alternatif lain seperti menjalinkan kerjasama menang-menang dengan persatuan sukan, badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menggunakan kemudahan yang dimiliki oleh pihak berkenaan.

“Sukan mempunyai prospek yang amat besar dan saya yakin ia mampu dilaksanakan serta pada masa yang sama, kerajaan sedia memberikan kerjasama sewajarnya.

“Selain itu, kerajaan juga mempunyai tujuan bersifat serampang dua mata dalam melaksanakan dasar ini iaitu bagi menangani masalah terlalu ramai kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti,” katanya.

Tuesday, March 2, 2010

300 murid anak Orang Asli keracunan makanan

GUA MUSANG 2 Mac - Hampir semua 300 murid anak Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, dekat sini, mengalami sakit perut, muntah dan pening dipercayai keracunan makanan selepas makan tengah hari di kantin asrama sekolah itu semalam.

Sebahagian mereka dikejarkan ke Hospital Gua Musang manakala sebahagian lagi dibawa ke Hospital Tanah Rata di Cameron Highlands.

Asrah Along, 47, berkata, anaknya bergegas pulang ke rumah mengadu sakit perut dan muntah selepas makan nasi berlauk telur rebus di kantin asrama sekolah terbabit hingga keadaannya menjadi letih selepas itu.

Bimbang dengan keadaan kesihatan anaknya yang letih, beliau membawa anaknya ke sekolah untuk dimaklumkan kepada guru.

"Kami pergi ke sekolah semula bersama anak kerana keadaannya semakin teruk dan terpaksa menunggu beberapa jam untuk dihantar ke hospital. Anak kami beritahu telur rebus yang dimakan itu berbau busuk dipercayai sudah lama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Halang Angah, 53, pula berkata, beliau terkejut apabila anaknya pulang dalam keadaan keletihan dan pakaian sekolah terkena muntah.

Beliau berkata, anaknya mengadu pening kepala sebelum merujuk perkara berkenaan kepada pihak sekolah. - Bernama

Ajar pendidikan seks - guru Malaysia belum bersedia

KUALA LUMPUR 2 Mac - Guru-guru di Malaysia masih belum bersedia untuk mengendalikan pendidikan seks di sekolah kerana mereka kurang latihan profesional dalam subjek itu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.

Beliau berkata, walaupun kesatuan itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan seks di sekolah-sekolah tetapi sesuatu yang menyedihkan apabila guru-guru kurang latihan formal dari segi kerumitan dan sensitiviti subjek itu dan tidak yakin untuk mengajarnya.

Beliau menambah, guru-guru juga takut mereka mungkin disaman oleh ibu bapa jika melakukan kesilapan dalam menyampaikan pengetahuan seks kepada murid-murid.

Sehubungan itu, katanya, pihak kesatuan berharap Kementerian Pelajaran berbincang dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai baik buruk usaha itu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya. - Bernama

Pelajar vokasional maut dirempuh van

KUANTAN 2 Mac - Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah basikal sebelum dirempuh sebuah van di Kilometer 8, Jalan Triang-Temerloh, Temerloh, semalam.

Kejadian pada pukul 4.45 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Mohamad Dazlisham Fatthullah, 17, pelajar Sekolah Menengah Vokasional, Sanggang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Triang. - Utusan