Pages

Friday, April 30, 2010

Punca guru sekolah Cina kurang

Muhiddin Yussin (kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang pelajar cemerlang STPM sambil disaksikan oleh Shirley (dua dari kanan) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandaraya di Menggatal, semalam.

KOTA KINABALU 30 April - Keengganan pihak pengurusan sekolah aliran Cina menerima guru bukan Cina menyebabkan berlaku kekurangan tenaga pengajar di sekolah-sekolah tersebut di negeri ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Muhiddin Yussin berkata, tindakan pihak sekolah yang hanya mahukan guru Cina mengajar murid-muridnya menyebabkan kesukaran bagi pihaknya menempatkan guru sedia ada ke sekolah-sekolah terbabit.

"Sebenarnya kita mempunyai jumlah guru yang cukup untuk mengajar di sekolah aliran Cina, tetapi sesetengah sekolah tidak mahu menerima guru bukan Cina.

"Ini merupakan punca banyak sekolah Cina masih belum mempunyai guru yang cukup," katanya ketika menyampaikan anugerah kecemerlangan pelajar di Sekolah Menegah Kebangsaan Bandaraya di Menggatal dekat sini semalam.

Turut hadir Pengetua SMK Bandaraya, Shirley Tay.

Menurut Muhiddin, tindakan memilih guru berasaskan kepada kaum itu tidak sepatutnya berlaku dalam usaha memperkasakan pendidikan negara.

Katanya, adalah tidak salah mengambil guru pelbagai kaum untuk mengajar di sekolah-sekolah aliran Cina memandangkan guru berkenaan turut mempunyai kemahiran.

"Apa salahnya menerima guru bukan Cina untuk mengajar apatah lagi dalam mata pelajaran seperti Bahasa Melayu," katanya.

Menurut Muhiddin, beliau telah menghantar laporan mengenai perkara itu kepada Kementerian Pelajaran untuk tindakan lanjut.

Mengulas mengenai aduan daripada beberapa pembekal alat tulis bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) hanya memilih pembekal yang memberi komisen, beliau berkata, adalah tidak salah bagi mana-mana pihak untuk memilih pembekal tertentu.

Bagaimanapun jelasnya, pihak PIBG harus mengikut garis panduan yang ditetapkan kementerian dalam menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak.

"Selagi ia adalah satu hadiah dan PIBG tidak memintanya, tindakan itu masih boleh diterima," ujarnya.

PIBG perlu bentang maklumat SIP

KUALA LUMPUR 30 April - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu membentangkan maklumat mengenai Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) setiap kali mereka mengadakan mesyuarat bulanan atau tahunan bagi memastikan pelaksanaan program itu mendapat kerjasama daripada semua pihak.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan (gambar) berkata, PIBG harus bekerjasama untuk menyenaraikan keperluan dan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan di sekolah masing-masing.

''Kami menyambut baik mekanisme penambahbaikan sistem di sekolah dan sedia memberi kerjasama untuk menjayakannya.

''Oleh sebab itu, ibu bapa perlu dimaklumkan tentang kewujudan sistem ini kerana kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sahaja disumbang oleh pelajar dan guru-guru itu sendiri tetapi juga PIBG,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai SIP yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, melalui salah satu pendekatan program itu, guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan khusus kepada mana-mana guru sekiranya kaedah pengajaran mereka kurang berkesan.

SIP melibatkan tiga komponen utama membabitkan penarafan tahap pencapaian sekolah, penilaian kendiri pembangunan prestasi sekolah dan service line iaitu program sokongan oleh pihak kementerian.

Mohamad Ali berkata, pihak sekolah perlu bersikap terbuka dalam menerima cadangan khususnya daripada PIBG bagi tujuan peningkatan semua aspek yang melibatkan prasarana dan keselamatan sekolah, pelajar dan profesionalisme guru.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pihaknya akan memantau keberkesanan program itu sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan agar ia tidak dianggap sebagai tambahan beban kerja kepada guru.

''Program ini amat baik untuk menjadikan sistem pendidikan lebih kemas dan berjalan lancar, namun kita akan meneliti juga jika terdapat rungutan tentang program ini yang mungkin mengganggu tugasan utama guru.

''Bagaimanapun guru perlu berusaha dahulu, jika tidak, kita tidak tahu sejauh mana keberkesanannya,'' katanya.

Tambah beliau, program seperti itu seharusnya dilaksanakan pada awal tahun agar pihak sekolah boleh merancang terlebih dahulu pelaksanaannya sepanjang tahun dan tidak bertindih dengan program yang telah dirancang sebelum ini.

Thursday, April 29, 2010

791 pelajar cemerlang dirai

TANAH MERAH - Seramai 791 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) dan Sijil Tinggi Agama Pelajaran (STAM) diraikan dalam majlis anugerah cemerlang anjuran UMNO Bahagian Tanah Merah di sini, baru-baru ini.

Majlis terbabit diadakan bagi meraikan kejayaan mereka yang mencatat keputusan yang amat membanggakan dalam peperiksaan terbabit, dan sebagai pendorong semangat supaya mereka lebih berjaya apabila dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih baik.

Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, majlis ini adalah untuk meraikan pelajar-pelajar ini yang bertungkus lumus belajar bagi mencapai keputusan yang cemerlang.

“Dengan kesungguhan yang ditunjukkan pelajar-pelajar ini juga, ia turut membanggakan pihak sekolah dan ibu bapa pelajar terbabit.

“Sesungguhnya usaha ini adalah dari dorongan semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru yang banyak membantu meningkatkan pencapaian pelajar di sekolah masing-masing,” katanya.

Majlis terbabit juga turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Tanah Merah, Che Abdullah Mohd.

Sementara itu Che Abdullah berkata, beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaannya kepada UMNO Bahagian Tanah Merah yang sentiasa memberikan galakan kepada pelajar-pelajar yang mencapai keputusan cemerlang.

“Semoga usaha ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi menggalakkan pelajar-pelajar untuk terus mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras hasilkan kek terbesar

KUALA LUMPUR 29 April - Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras dan Hotel Pearl International berjaya menyediakan sebiji kek berukuran 2.7 meter lebar dan 1.3 meter tinggi, dipercayai kek terbesar pernah dihasilkan setakat ini, sempena ulang tahun ke-27 sekolah itu.

Kek dengan reka bentuk bangunan sekolah itu direka khas oleh Ketua Chef Hotel Pearl International, Alex Chin bagi memeriahkan sambutan ulang tahun sekolah itu selain mengumpul dana untuk membantu Majlis Kanser Negara (Makna).

Pengasas Sekolah Antarabangsa Cempaka, Datin Freida Pilus berkata, idea untuk menghasilkan kek terbesar itu dicetuskan dua pelajar tahun akhir sekolah tersebut iaitu Gabriel Tan Lye Zhang dan Ben Chai Win Jing.

''Lye Zhang dan Win Jing mengutarakan idea tersebut baru-baru ini setelah mereka mengikuti kursus perantis membuat kek di Hotel Pearl International pada cuti sekolah yang lalu,'' katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian sambutan ulang tahun Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras dan kempen membantu Makna, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dan Kewangan Hotel Pearl International, Datin Chiann Tan dan Koordinator Makna, Nisha Sanita Mohd. Norha.

Freida yang juga Exco Makna berkata, sepotong kek itu dijual pada harga RM10 kepada warga sekolah termasuk ibu bapa pelajar.

''Diharapkan dengan langkah ini secara tidak langsung dapat menggalakkan para pelajar untuk terus melakukan kerja-kerja amal,'' katanya.

Menurut beliau, pihak sekolah mensasarkan mengutip RM10,000 hari ini hasil jualan kek itu untuk disalurkan kepada Makna.

Pelajar terbaik SPM terima biasiswa Kijang Emas untuk teruskan pelajaran

KUALA LUMPUR 29 April - Lima penerima Biasiswa Kijang Emas Bank Negara menganggap biasiswa yang diterima telah membuka peluang kepada mereka untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menerusi biasiswa yang diperkenalkan sejak 2005 itu, pelajar terpilih berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang yang diminati di universiti-universiti terkemuka di luar negara.

Salah seorang penerima, Ameenah Azman, 18, berkata, beliau bersyukur dengan anugerah itu dan akan memanfaatkan biasiswa itu dengan sebaik mungkin demi mencapai cita-citanya untuk bergelar akauntan.

Selain Ameenah, empat lagi yang turut terpilih termasuklah Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, Gladys Tan Yee Kim yang akan ke Amerika Syarikat untuk menuntut dalam bidang psikologi.

Tiga lagi penerima ialah Nur Syuhadah Muhamad, Hu May Khei dan Nilam Devi Nath yang akan ke Britain untuk mendalami bidang perubatan.

Ameenah, bekas pelajar Kolej Tunku Kursiah, Seremban yang memperoleh 10 A+ berkata, beliau sangat menghargai biasiswa yang diterimanya itu kerana tidak mahu nasib malang ibu saudaranya berulang.

Kata gadis itu, ibu saudaranya adalah seorang pelajar cemerlang tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan dan gagal mendapat biasiswa.

"Walaupun pernah bergelar pelajar pintar, nasib tidak menyebelahi makcik saya kerana dia kini hanya bekerja di kantin sekolah.

"Jika dia berpeluang mendapat biasiswa dahulu, mungkin dia kini telah bergelar pegawai tinggi di mana-mana sektor,'' tegas gadis tersebut ketika menceritakan kisah hidup ibu saudaranya itu.

Terdahulu, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, sejak diperkenalkan, seramai 26 pelajar cemerlang telah berpeluang belajar di luar negara dalam pelbagai bidang.

"Pemberian biasiswa ini merupakan komitmen Bank Negara untuk mengasah bakat-bakat muda yang dimiliki oleh negara.

"Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan pembangunan modal insan yang penting untuk kemajuan negara pada masa depan," katanya.

SIP: Pendidikan berkualiti tanpa kompromi

PETALING JAYA 29 April - Guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan khusus kepada mana-mana guru sekiranya kaedah pengajaran mereka kurang berkesan untuk meningkatkan prestasi pelajar.

Pendekatan itu merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) yang bermatlamat untuk memperluaskan akses kepada pendidikan yang bermutu dan berkemampuan secara konsisten.

Program Pembangunan Prestasi Sekolah yang dilancarkan hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya merupakan salah satu inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, program itu mempunyai tiga komponen utama iaitu pertama, membabitkan penarafan tahap pencapaian sekolah berdasarkan Skor Komposit Sekolah.

Menurut beliau, melalui mekanisme itu setiap sekolah akan mengetahui kedudukan masing-masing dari segi prestasi akademik murid dan kualiti pengurusan sekolah secara keseluruhan.

"Dengan adanya maklumat ini, pihak sekolah akan dapat menentukan garis mula proses peningkatan prestasi sekolah dan menetapkan sasaran yang realistik.

"Komponen kedua pula, setiap sekolah akan dibekalkan dengan tool kit pembangunan prestasi sekolah, iaitu instrumen penilaian kendiri secara talian terus yang akan membantu sekolah menilai prestasi semasa.

"Melaluinya, pihak sekolah mampu mengenal pasti bidang-bidang yang perlu ditambah baik dan menyediakan pelan penambahbaikan secara terarah," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Tambah Muhyiddin, penilaian pencapaian sekolah secara kendiri bermaksud guru besar atau pengetua dapat mengesan kelemahan murid dalam mata pelajaran tertentu.

Justeru, langkah seterusnya, kata beliau, mengenal pasti punca kelemahan tersebut dan merancang tindakan susulan bagi mengatasinya.

"Jika kelemahan itu berpunca daripada kaedah pengajaran kurang berkesan, maka guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan untuk guru-guru mata pelajaran berkenaan dan memantau perkembangannya dari masa ke semasa," katanya.

Komponen ketiga, kata Muhyiddin, dikenali sebagai service line iaitu program sokongan di mana kementerian akan memberi bantuan tambahan kepada sekolah-sekolah yang paling memerlukannya terutama sekolah berprestasi rendah.

Katanya, maklumat keperluan sekolah itu dapat dikenal pasti melalui aplikasi tool kit yang diberikan.

Bantuan itu katanya, seperti menyediakan bimbingan kepada pengurusan sekolah, melaksanakan program pembinaan keupayaan guru dan membekalkan alat bantuan mengajar tambahan mengikut keperluan.

"Keunikan program ini ialah pihak sekolah tidak akan dibiarkan bersendirian dalam usaha untuk melonjakkan prestasi dan mengatasi kelemahan masing-masing," katanya.

Jelas Muhyiddin, SIP tidak bermaksud menggantikan sebarang bentuk program pembangunan prestasi sekolah sedia ada, tetapi ia berfungsi sebagai pelengkap kepada usaha-usaha murni yang sedang dilaksanakan.

"Saya berharap SIP akan merapatkan jurang pencapaian antara sekolah terutama bandar dan luar bandar,'' katanya.

Wednesday, April 28, 2010

Unisel dekati pendidik di Festival Hari Guru

SHAH ALAM 25 April - Universiti Industri Selangor (Unisel) akan menggunakan kesempatan pada Festival Hari Guru 2010 di Kuantan, Pahang pada 13 hingga 16 Mei ini untuk mendekatkan institusi itu dengan golongan pendidik.

Pengarah Bahagian Pemasaran, Komunikasi Korporat dan Antarabangsanya, Halid Hasbullah Boestamam (gambar) berkata, Unisel berharap para guru yang menghadiri festival itu akan mendapat maklumat yang tepat dan terkini mengenai universiti itu.

Tambahnya, guru tersebut akan menyampaikan maklumat itu kepada pelajar masing-masing dan seterusnya menarik minat mereka untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertiari di Unisel.

"Penyertaan ini juga sebagai salah satu cara Unisel menghargai profesion perguruan yang telah banyak membantu membina modal insan di negara ini," jelasnya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang ditubuhkan pada 24 Ogos 1999 ini menawarkan lebih daripada 85 kursus di peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah dan doktor falsafah (Ph.D).

Ia mempunyai dua kampus iaitu di Bestari Jaya, Kuala Selangor dan di Shah Alam.

Kampus Bestari Jaya menempatkan Fakulti Kejuruteraan, Teknologi Maklumat Industri, Perniagaan, Sains Sosial dan Industri, Pendidikan dan Bahasa, Sains Gunaan dan Matematik, Institut Kerjasama Malaysia-Indonesia (IKMI), Pusat Pembelajaran dan Pengajaran serta Pusat Teknologi dan Komunikasi Maklumat.

Manakala kampus di Shah Alam menempatkan Fakulti Bioteknologi dan Sains Hayat, Fakulti Biomedik dan Sains Kesihatan, Fakulti Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Komunikasi dan Media, Unisel Graduate School of Management, Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Institut Bio-IT Selangor, Pusat Pembangunan Perniagaan dan Program Ijazah Kerjasama Jepun.

Menurut Halid Hasbullah, Unisel menyasarkan kira-kira 4,000 kemasukan bagi sesi Jun tahun ini terutamanya kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Pelajar ini, katanya, boleh memilih sama ada mengambil program diploma ataupun asas (foundation).

"Unisel menyediakan 26 program pilihan di 10 buah fakulti untuk diploma manakala lima pilihan pengajian dalam program asas iaitu sains, pengurusan, kejuruteraan, pendidikan (TESL) dan biomedik," ujarnya.

Beliau memberitahu, Unisel dikenali dengan program yang mempunyai ciri-ciri industry driven yang memestikan setiap pelajarnya menjalani latihan industri selama tiga hingga enam bulan sebagai pendedahan kepada mereka tentang dunia kerja sebenar.

"Universiti ini mempunyai kira-kira 1,600 rakan kongsi industri yang menyediakan tempat kepada para pelajar untuk mendapat pengalaman serta memudahkan pembelajaran," jelas beliau.

Selain itu, Unisel turut dilengkapi dengan tenaga pensyarah yang berpengalaman, stabil dan telah diuji kebolehannya oleh pihak industri sendiri.

"Kemudahan prasarana yang lengkap serta disokong dengan kemudahan asrama yang boleh menempatkan seramai 8,000 pelajar dalam satu-satu masa serta kemudahan pengangkutan untuk pelajar juga disediakan," kata beliau.

Katanya lagi, sehingga kini Unisel telah melahirkan kira-kira 6,800 graduan dalam pelbagai bidang yang telah berkhidmat dalam industri dan ia jelas menunjukkan bahawa kadar kebolehgunaan tinggi yang dihasilkan setaraf dengan universiti tempatan yang lain.

"Dalam aspek memperbaiki mutu dan mengekalkan kualiti pendidikan, Unisel mempunyai penasihat industri yang sentiasa memantau perkembangan universiti dalam tempah 18 bulan sekali dengan memberi maklum balas tentang perkembangan universiti dan perkara berkaitan," ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, pelajar tidak seharusnya melepaskan peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam pendidikan profesional dengan ruang yang disediakan oleh Unisel.

"Para pelajar perlu meningkatkan kemahiran dan dalam masa yang sama meningkatkan ilmu akademik bagi menjamin kejayaan dalam melahirkan generasi berilmu dan mudah untuk mendapat pekerjaan apabila mereka tamat pengajian kelak," katanya.

35 peratus graduan PKB dapat kerja

KOTA BHARU 27 April - Lebih 35 peratus lulusan Politeknik Kota Bharu (PKB) tahun ini melangkah ke alam pekerjaan hanya dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

Ia suatu perkembangan memberangsangkan yang memperlihatkan lepasan institusi ini terus diyakini dari segi keupayaan mereka dan mudah diserapkan dalam pasaran.

Pengarah PKB, Che Ku Mamat Che Ku Abdullah berkata, angka itu diperoleh berdasarkan soal selidik yang dijalankan ke atas bekas penuntut selepas tamat pengajian pada sesi Januari dan Julai tahun lalu.

Pencapaian itu melebihi sasaran PKB yang menetapkan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada graduannya sudah bekerja dalam jangka waktu yang pendek itu.

"Pada tahun ini seramai 2,570 graduan telah berjaya kita lahirkan daripada pelbagai jurusan dan daripada jumlah itu, 870 orang atau 35.4 peratus sudah berjaya mendapat kerja sama ada di sektor awam atau swasta.

"Hanya 39.68 peratus yang belum bekerja sementara selebihnya melanjutkan pelajaran," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen PKB Kali Ke-23 di Dewan Sri Cahaya kelmarin.

Hadir menyampaikan diploma dan sijil kepada graduan adalah Presiden Kumpulan SUKIMI, Datuk Seri Ahmad Sukimi Ibrahim.

Memberikan penghormatan kepada kalangan korporat untuk menyampaikan diploma dan sijil kepada graduan sudah menjadi tradisi bagi PKB sebagai menghormati kejayaan mereka di samping sebagai perangsang kepada para graduan.

Seramai 1,274 graduan dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik hadir pada majlis konvokesyen pada hari pertama itu.

Pada majlis tersebut, dua graduan menerima Anugerah Pengarah bagi kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum iaitu Anuar Khamis, 38, (Diploma Ukur Bahan) dari Kuala Nerang, Kedah, dan Wan Muhd. Amin Wan Dolah, 21, (Sijil Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik) dari Machang, Kelantan.

Penyampaian diploma dan sijil kepada 1,183 graduan dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan pada hari kedua semalam pula disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustapha.

Pada hari kedua, Nor Azeera Abdul Halim, 23, dari jurusan diploma Pemasaran dan Muhammad Adib Mohd. Nasir, 22, dari jurusan sijil Mekanikal (Pertanian ) menerima Anugerah Pengarah.

Terdahulu dalam ucapannya, Che Ku Mamat berkata, PKB berbangga apabila 370 graduan tersebut lulus cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 3.5 dan layak mendapat Anugerah Ketua Jabatan pada tahun ini.

Katanya, dalam masa yang sama, bilangan graduan yang lulus dengan PNGK melebihi 3.0 pula mencapai angka 1,445 orang.

Che Ku Mamat bagaimanapun berkata, dengan kejayaan yang dicapai , ia tidak boleh ditafsir bahawa PKB hanya mementingkan aspek penguasaan ilmu dan kemahiran semata-mata.

"Kita bukan sahaja menekankan aspek penguasaan ilmu dan kemahiran, tetapi juga keterampilan dan keperibadian insan yang mulia.

"Di samping mahu melahirkan tenaga kerja yang berinovatif dan kreatif bersesuaian dengan perkembangan teknologi kini, penekanan kita terhadap aspek 'soft skills' seperti kepimpinan, komunikasi, nilai-nilai murni dan interpersonal adalah satu nilai tambah yang sedia ada dalam pakej akademik di politeknik," katanya.

Sementara itu, Ahmad Sukimi ketika ditemui berkata, graduan seharusnya lebih tabah menghadapi dunia luar yang penuh dengan cabaran.

"Kita mesti menjadi orang yang berguna bukan semata-mata untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain. Sebarang tekanan yang kita rasa sebenarnya adalah satu tahap pencapaian dalam hidup.

"Orang yang berjaya adalah mereka yang boleh berfikir untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah di sekelilingnya," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Sukimi meminta para majikan agar memberi peluang kepada mereka yang baru menamatkan pengajian untuk diambil bekerja.

Guru perlu tingkat kepemimpinan

JOHOR BAHRU: Golongan pendidik terutama guru diminta supaya meningkatkan daya kepemimpinan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata daya kepemimpinan berkualiti berupaya merangsang potensi pelajar untuk maju,” katanya ketika merasmikan Sambutan Jubli Emas dan Pelancaran Perkasa 50 tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail (SSI) di sini, semalam.

Saturday, April 24, 2010

Aktiviti joging boleh bawa risiko?

KUALA LUMPUR 24 April - Persatuan Fisioterapi Malaysia (MFA) mendakwa aktiviti larian di sekolah seperti merentas desa dan joging tidak sesuai untuk pelajar sekolah kerana ia mampu mendedahkan kepada risiko kecederaan seumur hidup.

Selain itu, persatuan itu turut mendakwa amalan membawa beg sekolah mengandungi buku teks yang terlalu berat juga mendedahkan kepada risiko masalah penyakit tulang belakang.

Presidennya, Dr. Balwant Singh Bains berkata, walaupun kajian spesifik belum dilaksanakan, tetapi berdasarkan pengalaman dan ujian klinikal, kira-kira 80 peratus daripada penyakit itu berpunca daripada aktiviti larian tanpa pengawasan betul daripada ahli fisioterapi.

Menurut beliau, aktiviti larian amat terdedah kepada permukaan tanah yang pelbagai seperti terlalu keras dan tidak sekata yang berada di sepanjang trek laluan mereka hingga mudah terdedah kepada kecederaan otot, ligamen dan tendon.

"Kecederaan ini mungkin hanya sedikit sahaja dan tidak disedari pada peringkat awal sehingga tidak memerlukan mereka terlantar atas katil. Lagipun ada pelajar yang tidak pandai mengadu sakit.

"Namun ada juga pihak yang mengambil mudah, meskipun jika ada anak-anak mengadu sakit tetapi kebanyakannya beranggapan hanya sakit biasa.

"Kami tidak kata berlari tidak boleh tetapi ia perlu mendapat nasihat terlebih dahulu daripada ahli fisioterapi bertauliah," katanya.

Tuesday, April 20, 2010

Pendidikan seks tidak perlu di sekolah - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 20 April - Pendidikan seks tidak perlu dijadikan sebagai subjek khas di sekolah-sekolah kerana ia sudah terdapat dalam pengajaran agama Islam, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, subjek khas mengenai seks tidak perlu tetapi memadai dengan menjelaskannya dengan baik mengenainya supaya anak-anak faham dan tidak mudah terpengaruh dengan nafsu.

Menurut beliau, dalam subjek agama Islam boleh dimasukkan perkara-perkara yang mengajar anak-anak berdisiplin dan mengawal nafsu kerana ia sebahagian daripada ajaran Islam.

“Akibat tidak mengawal nafsu bayi dibuang dalam tong sampah dan kerana itu dalam pembelajaran agama Islam perlu ditekankan tentang pentingnya pengawalan nafsu,” katanya pada sidang akhbar di sini. - Utusan

Sayangilah padang kita, jangan sewenangnya jadikan mangsa korban pembangunan

SAYA berasa janggal kalau ke sekolah yang tidak mempunyai padang.

Saya rasa kebanyakan daripada kita juga berperasaan sedemikian oleh kerana semasa kita bersekolah, padang merupakan sebahagian daripada sekolah.

Mungkin mereka yang belajar di bandar-bandar besar khususnya di Kuala Lumpur bersekolah yang tidak mempunyai padang.

Walaupun tidak dapat dibuktikan dengan data, tetapi adalah selamat sekiranya dikatakan bahawa padang di sekolah telah menurun jumlahnya.

Padang-padang di Kuala Lumpur juga memang sudah berkurangan akibat asakan pembangunan yang dilihat menjadi ukuran maju mundurnya negara.

Ketika saya bersekolah di tapak berhampiran dengan stesen bas Puduraya sekarang ini terdapat sebuah padang bola yang digunakan oleh Kelab Hong Chin.

Namun, padang itu sudah tidak ada lagi yang diikuti dengan ketiadaan pemain-pemain bola sepak yang mungkin menjadi pemain pasukan Kuala Lumpur.

Padang di sekolah menjadi korban kepada bangunan darjah atau kelas yang baru. Kalau tidakpun padang digunakan untuk membina makmal komputer.

Pendek kata padang merupakan penyelesaian yang paling mudah untuk menambah bangunan baru di sekolah-sekolah.

Semasa saya mula berkhidmat dengan kerajaan, terdapat satu garis panduan untuk membina bangunan-bangunan baru kerajaan termasuk sekolah.

Garis panduan ini dikenali sebagai standard & cost yang mengawal cara bangunan itu dibina serta bahan-bahan yang digunakan.

Oleh sebab itu, sampai sekarang kita boleh melihat bangunan kerajaan hampir serupa bentuknya seperti yang kita lihat pada kompleks pejabat kerajaan di Jalan Duta.

Oleh kerana panduan ini, maka kos untuk membina sekolah terpaksa dikawal dan jalan yang paling mudah ialah membina bangunan baru di atas padang.

Ia lebih murah dibandingkan dengan bangunan baru dibina di atas bangunan yang sedia ada.

Maknanya kalau pembuat dasar memilih untuk menambah ruang baru secara menegak, maka kosnya akan menjadi mahal dibandingkan dengan menggunakan ruang yang kosong.

Atau pun kosnya akan bertambah kalau tapak yang baru dibeli untuk menyelamatkan padang sekolah.

Kita mungkin dapat menyelamatkan wang ringgit dengan mengorbankan padang-padang di sekolah atau di tempat-tempat yang lain.

Namun, kita berkemungkinan besar akan menanggung kos yang lebih tinggi akibat tiadanya padang di sekolah atau di tempat-tempat lain untuk remaja khususnya beriadah atau bersukan.

Kos menyelenggara pusat serenti, menangani kerenah mat rempit serta gejala sosial yang lain adalah lebih mahal perlu ditanggung dalam jangka panjang.

Saya melihat bahawa kempen 'Sayangilah dan Selamatkanlah Padang Kita' perlu menjadi slogan sekurang-kurangnya dua kementerian iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah supaya padang-padang dipelihara dan ditambah di bandar-bandar, di kawasan perumahan dan di kampung-kampung juga.

Orang kampung juga perlu bersukan dan beriadah khususnya bagi anak-anak muda.

Bagi Kementerian Pelajaran pula satu dasar yang tegas perlulah dimaktubkan supaya padang yang ada mesti dipelihara.

Bangunan yang baru perlu dibina secara menegak atau mencari tapak baru yang berdekatan tanpa mengorbankan padang.

Dasar 1 Murid 1 Sukan yang akan dilaksanakan mulai 2011 menghadapi masalah pada sebilangan sekolah oleh kerana ketiadaan padang.

Walaupun dasar ini masih boleh dilaksanakan tetapi memerlukan inisiatif yang berkesan daripada Pengetua atau Guru Besar.

Angkasa edar Utusan Malaysia di 1,828 koperasi sekolah

KUALA LUMPUR 19 April - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengedarkan akhbar Utusan Malaysia pada setiap hari persekolahan di 1,828 koperasi sekolah yang menjadi ahlinya di seluruh negara.

Usaha itu dilakukan bagi menjayakan program Akhbar@Sekolah yang akan dilancarkan secara rasmi pada Hari Koperasi Sekolah, 28 Jun ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, menerusi program itu, pihak Angkasa akan mengedarkan minimum 30 naskhah akhbar tersebut kepada setiap koperasi terbabit sepanjang sesi persekolahan.

Menurutnya, program tersebut adalah kerjasama pihaknya dengan Utusan Malaysia dan Lestari Utama Sdn. Bhd serta mendapat sokongan Kementerian Pelajaran.

''Objektif program ini adalah untuk menggalakkan minat keusahawanan pelajar melalui jualan akhbar selain mempertingkatkan perolehan koperasi sekolah.

''Pihak kami juga harap melalui program Akhbar@Sekolah ini, penggunaan tulisan jawi dapat ditingkatkan di kalangan pelajar dengan adanya sisipan akhbar Utusan Melayu yang diterbitkan setiap Isnin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis taklimat Program Koperasi Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2010 di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Angkasa, Armi Zainudin, Pengerusi Perhubungan Angkasa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ismail Nordin, wakil Kementerian Pelajaran, Kamaruddin Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif Lestari Utama Sdn. Bhd, Ishak Hamzah.

Sementara itu, Abdul Fattah berharap, koperasi sekolah di seluruh negara dapat mempelbagaikan aktiviti mereka bagi meningkatkan perolehan koperasi masing-masing.

''Koperasi sekolah harus melihat potensi mereka untuk meningkat maju dalam perniagaan.

''Kita mahu koperasi sekolah memperbanyakkan aktiviti dan mendedahkan pelajar kepada aspek keusahawanan," katanya.

Dalam pada itu, Armi berkata, pihaknya merancang beberapa program bagi mempergiatkan aktiviti koperasi.

Katanya, aktiviti yang dirancang termasuk pertandingan koperasi sekolah, pelancongan koperasi sekolah serta projek pembudayaan koperasi sekolah.

''Hasrat kami dengan aktiviti sebegini, pelajar dapat memperoleh pengalaman yang berguna untuk menjadi seorang usahawan,'' katanya.

RM2j mantapkan pendidikan di Sibu

SIBU 19 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha memantapkan sistem pendidikan di bandar ini akan diteruskan menerusi peruntukan RM2 juta bagi meningkatkan prasarana empat sekolah rendah di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha yang sebelum ini dilakukan mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew itu membabitkan kerja menaik taraf serta memperbesarkan Sekolah Kebangsaan (SK) Hua Hin, SK St. Mary, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tiong Hin dan SJKC Uk Daih.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, pegawai dari kementerian akan meninjau empat sekolah berkenaan dalam tempoh terdekat sebelum kerja meningkatkan kemudahan dilakukan dalam tempoh empat bulan.

"Sebelum ini saya telah mengumumkan senarai 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) namun tiada sekolah dari Sabah dan Sarawak berjaya tersenarai kerana kriteria yang ditetapkan adalah sangat tinggi di mana orang ramai perlu faham bahawa SBT hanya sekolah harian biasa," katanya di sini malam ini.

Beliau berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas dan Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, Sabah dan Sarawak akan mendapat perhatian istimewa dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang sedang memasuki peringkat akhir kajian dan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Kata Timbalan Perdana Menteri, semua projek itu akan tertumpu kepada usaha meningkatkan kemudahan asas di kawasan pedalaman kedua-dua negeri berkenaan supaya dapat dilakukan dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, katanya, peruntukan berjumlah RM400 juta bagi pembinaan projek tebatan banjir di Sarawak dijangka dimasukkan ke dalam RMK-10 dan sekiranya ia tidak dapat disiapkan, projek berkenaan akan dibawa ke RMK-11.

"Setakat ini, projek tebatan banjir berjumlah RM200 juta telah dilaksanakan di seluruh negeri ini membabitkan beberapa bandar utama termasuk di Kuching dan Sibu," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO menyifatkan pilihan raya kecil di Parlimen Sibu nanti sama pentingnya dengan Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Namun, ujarnya, buat masa ini tumpuan akan diberi kepada Hulu Selangor sebelum beliau sendiri mengetuai jentera BN menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu nanti.

"Pembangkang akan berterusan membuat pelbagai dakwaan bagi memburukkan Barisan Nasional di Sibu namun saya yakin pengundi di sini terus menyokong kita," katanya.

Sunday, April 18, 2010

Kempen tak tonton TV

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) akan mengadakan kempen 'Minggu Tidak Menonton Televisyen' di seluruh negara dengan menyasarkan golongan muda, pada 21 hingga 27 April 2010 ini.

Penyelaras Kempen Konsumer Kebangsaan (3K) Fomca, Datuk Paul Selva Raj, berkata usaha itu dilakukan berikutan kajian mendapati, kanak-kanak menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam sehari menonton televisyen, sekali gus membawa kepada gaya hidup tidak sihat.

“Dalam kajian pada 2005 membabitkan penggunaan peralatan berskrin termasuk televisyen, komputer dan telefon bimbit mendapati aktiviti masa lapang golongan muda ialah 87 peratus melayari internet, 73 peratus menonton televisyen, 42 peratus bermain permainan video dan 36 peratus menulis blog.

“Keseluruhannya, kesan negatif rentetan daripada masalah ini membawa kepada peningkatan masalah kegemukan, berat berlebihan serta diabetes yang membahayakan kesihatan jika tiada perancangan melakukan aktiviti lain bagi menggantikan masa menonton televisyen,” katanya di sini, semalam.

Semua pihak diminta mengurangkan penggunaan peralatan berskrin sebaliknya lebih banyak melakukan aktiviti aktif sebagai tanda menyokong kempen itu.

Risalah Minggu Tidak Menonton Televisyen diedarkan di Lembah Klang dan bandar utama manakala, pada hari terakhir kempen Fomca mengadakan sesi berkongsi pengalaman aktiviti apabila tidak menonton televisyen.

Sehingga kini katanya, sebanyak 5 tadika di seluruh negara menyatakan kesediaan mengambil bahagian dalam kempen ini.

- BERITA HARIAN

Pelaburan untuk kanak-kanak

NEW YORK 17 April – Pelaburan untuk kanak-kanak adalah langkah pertama bagi membina sebuah dunia yang makmur, aman dan harmoni kerana ia melahirkan sebuah dunia dan masyarakat umum yang baik, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, pelaburan awal dalam modal insan akan melahirkan sumber yang tidak ternilai harganya yang boleh digunakan bagi pembangunan ekonomi, kemajuan teknologi dan masyarakat yang pada keseluruhannya akan memberi manfaat dan kesan positif kepada semua golongan.

Rosmah menggariskan empat sebab mengenai keperluan pelaburan untuk kanak-kanak pada Forum Wanita Antarabangsa - First Ladies Speak - bertajuk Pelaburan Untuk Kanak-Kanak Untuk Masa Depan yang Lebih Baik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Pada konvensyen khas yang dipengerusikan oleh presiden forum itu Datin Amy Hamidon, Rosmah disertai oleh isteri Perdana Menteri Jamaica, Lorna Golding untuk berkongsi pandangan mereka dalam perkara itu.

Rosmah berkata, “kanak-kanak yang mendapat pendidikan yang baik kemungkinan menjadi seorang yang lebih sihat, produktif dan warganegara yang baik, yang boleh mendorong kepada kurangnya insiden penyakit sosial seperti penyalahgunaan dadah, pengangguran atau jenayah.”

Rosmah berkata, sebab itu kenapa banyak negara memperuntukkan sejumlah besar wang bagi pendidikan dalam bajet tahunan kerana ia dapat menjana pulangan ekonomi yang lebih tinggi dan mengurangkan kos sosial.

Ketika berucap pada audiens antarabangsa yang antara lain terdiri daripada isteri-isteri diplomat antarabangsa dan isteri wakil luar negara ke PBB, Rosmah bagaimanapun berkata, guru pertama bagi kanak-kanak mestilah ibu bapa dan bukan sekolah.

“Tanpa mengira berapa banyak pendidikan secara formal diberikan, penyakit sosial masih boleh berlaku jika sistem kekeluargaan tidak berfungsi,” tegas beliau.

Rosmah yang juga penaung Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia (YHKM) berkata, pelaburan bagi kanak-kanak juga dapat meningkatkan keberkesanan dalam pelaburan awam yang lain dalam pendidikan dengan meningkatkan kesediaan seorang kanak-kanak untuk belajar dan kesan bergandanya ialah ia membolehkan pendidikan seterusnya menjadi lebih berkesan, meningkatkan prestasi sekolah dan mengurangkan keperluan untuk mengulang gred.

Beliau berkata, ia bukan sahaja menyumbang kepada penyemaian nilai-nilai, peranan dan etika tetapi ia akhirnya akan membentuk kepaduan sosial dan pertumbuhan ekonomi.

Friday, April 16, 2010

Nisbah pengambilan guru pelatih lelaki, wanita diseimbangkan

HULU SELANGOR 16 April – Mulai tahun ini, nisbah pengambilan calon lelaki dan wanita untuk mengikuti kursus latihan perguruan akan diseimbangkan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Fuad Zarkashi.

Katanya, pada pengambilan pelatih guru tahun ini, 50 peratus calon adalah lelaki dan nisbah sama untuk wanita, di mana 40 peratus pelatih adalah dari Semenanjung dan 30 peratus masing-masing dari Sabah dan Sarawak.

"Ini adalah salah satu langkah kementerian bagi memastikan pelatih dari Sabah dan Sarawak boleh dihantar semula ke negeri asal mereka selepas tamat latihan, manakala pelatih lain berkhidmat di Semenanjung.

"Ketika ini guru dari Semenanjung dihantar berkhidmat di Sabah dan Sarawak dan sebaliknya. Ini menimbulkan banyak masalah di samping kita dapat mengatasi masalah pertukaran guru ke kawasan pedalaman,” katanya.

Fuad berkata demikian dalam sesi dialog bersama persatuan ibu bapa dan guru dari sekolah-sekolah di sekitar Batang Kali, dekat sini, hari ini. – Bernama

Nasib dua beradik OKU mahir mengurut

JOHOR BAHRU 15 April - Mereka mempunyai kemahiran mengurut, namun dua beradik ini sukar mendapat pekerjaan bagi menampung kehidupan.

Mungkin nasib Aziziey Ab. Rahman, 21, dan adiknya, Mohamad Hafiz, 20, tidak begitu cerah seperti insan lain hanya kerana mereka tergolong dalam kelompok orang kurang upaya (OKU).

Aziziey yang buta, pekak dan sawan belajar mengurut secara tradisional daripada neneknya, manakala Mohamad Hafiz yang buta, pernah mengikuti kursus refleksologi di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Indahpura.

Dua beradik ini seperti anak-anak lain ingin membantu ibu bapa, Rohani Ibrahim, 43, dan Ab. Rahman Ahmad, 46, menambah pendapatan keluarga dengan titik peluh sendiri.

Menurut Ab. Rahman, setakat ini hanya Mohamad Hafiz yang berpeluang menggunakan kemahirannya sebagai tukang urut di Azlan Foot Refleksologi, Batu Pahat, sejak sebulan lalu.

Sebagai bapa, Ab. Rahman sentiasa risau apabila mengenangkan nasib anak keduanya yang bekerja jauh dari keluarga.

"Nak buat macam mana, saya terpaksa lepaskan dia bekerja walaupun berat hati. Sayang kalau ilmu yang dia ada tidak digunakan.

"Kalau ada peluang bekerja di kawasan berhampiran, hati saya tidak perlu risau selalu," katanya terus terang.

Ab. Rahman yang ditemui di rumahnya di Flat Taman Sri Stulang di sini berkata, bagaimanapun anak sulungnya, Aziziey tidak mampu bekerja tanpa pemerhatian.

Menurutnya, disebabkan Aziziey buta dan pekak, dia tidak berani melepaskan anaknya bekerja di luar tanpa pengawasan.

Dia yang bekerja sebagai buruh bagi menanggung empat orang anak berkata, Aziziey menawarkan perkhidmatan urutan badan tetapi tidak mendapat sambutan.

"Saya ada tampal iklan memaklumkan perkhidmatan refleksologi dan urutan tradisional tetapi ia tidak membantu. Itulah kalau ada yang datang ke rumah, barulah Aziziey boleh mengurut.

"Aziziey ini banyak sangat penyakitnya. Saya berharap sangat kalau ada pihak yang sudi membantu Aziziey mendapatkan alat bantuan pendengaran agar hidupnya berubah sedikit," katanya.

Mereka yang ingin membantu dua beradik istimewa ini boleh menghubungi Ab. Rahman di talian 017-7241090.

Yayasan TM taja Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia sempena Hari Guru Kebangsaan

KUALA LUMPUR 15 April - Yayasan Telekom Malaysia (TM) akan menaja akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sempena Hari Guru Kebangsaan 2010 yang akan berlangsung di East Coast Mall, Kuantan, Pahang dari 13 hingga 16 Mei ini.

Cek tajaan berjumlah RM5,200 disampaikan oleh Naib Presiden, Perancangan Pembangunan Insan dan Pembangunan Kepimpinan, Kumpulan Pengurusan Pembangunan Insan Kumpulan TM, Dr. Zainal Abu Zarim kepada Pengurus Pemasaran Wilayah Tengah, Utusan Melayu (M) Berhad, Rosman Zulkifli di Menara TM di sini semalam.

Kumpulan Utusan akan mengedarkan 1,000 naskhah akhbar tajaan itu setiap hari sepanjang berlangsungnya sambutan Hari Guru Kebangsaan itu nanti.

"Ini merupakan sebahagian dari sumbangan Yayasan TM yang begitu mengutamakan pendidikan untuk semua peringkat masyarakat,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, tahun ini Yayasan TM akan memperuntukkan RM30 juta berbanding tahun lalu hanya RM26 juta untuk penajaan pengajian.

"Ia meliputi biasiswa kecil untuk pelajar sekolah menengah sehinggalah kepada mahasiswa yang mengikuti pengajian peringkat diploma, ijazah, sarjana dan juga doktor falsafah di universiti tempatan dan juga luar negara,'' tegas beliau.

Malah katanya, Yayasan TM kini menaja 3,227 mahasiswa di peringkat universiti di dalam dan juga luar negara.

"Sejak ditubuhkan pada 1994, Yayasan TM telah menaja 11,000 pelajar dengan peruntukan RM500 juta,'' katanya.

Zainal berkata, Yayasan TM juga menaja lima sekolah angkat di luar bandar dalam tempoh dua tahun sejak Julai lalu.

Thursday, April 15, 2010

Koperasi sekolah edar Utusan Malaysia

KUALA TERENGGANU 14 April - Kementerian Pelajaran tiada sebarang halangan membenarkan akhbar Utusan Malaysia dijual atau diedar ke sekolah-sekolah menerusi koperasi yang berdaftar.

Timbalan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihak Angkasa telah menerima surat daripada kementerian berhubung kelulusan tersebut.

Jelasnya, dengan kelulusan itu setiap koperasi sekolah dipelawa mengedar dan menjual akhbar Utusan Malaysia di sekolah masing-masing dengan harga istimewa setiap hari.

Langkah itu, menurutnya, bertujuan meningkatkan kesedaran membaca di samping menjadikan akhbar sebagai alat bantuan pengajaran serta pembelajaran di kalangan pelajar dan guru.

Katanya, program dengan kerjasama Utusan Melayu (M) Berhad dan Lestari Utama Sdn. Bhd. itu juga boleh meningkatkan pendapatan koperasi sekolah melalui keuntungan hasil penjualan akhbar Utusan Malaysia setiap hari.

"Menerusi kaedah ini, koperasi sekolah digalakkan menjual akhbar Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia dengan harga lebih murah daripada harga pasaran," katanya selepas merasmikan majlis taklimat Program Koperasi Sekolah 2010 di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden Angkasa, Armi Zainuddin; Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Sheikh Harun Sheikh Ismail dan Penolong Pengurus Pemasaran Utusan Malaysia Zon Timur, Azlan Abdul Aziz.

Mengulas lanjut Abdul Fattah berkata, pemilihan akhbar Utusan Malaysia dibuat memandangkan ia menyediakan sisipan pendidikan lengkap seperti Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) bagi memudahkan para pelajar membuat ulang kaji.

Selain itu jelasnya, sisipan Utusan Melayu Mingguan setiap Isnin boleh membantu para pelajar meningkatkan lagi penguasaan bacaan dan tulisan jawi yang merupakan khazanah dan warisan Melayu.

"Adalah diharapkan agar sebanyak 1,821 koperasi sekolah yang berada di bawah naungan Angkasa dapat menggunakan peluang tersebut untuk manfaat bersama," katanya.

Menurutnya, koperasi sekolah yang berminat untuk menyertai program tersebut boleh melayari laman sosial www.facebook.com dengan carian Akhbar@Sekolah atau menghubungi pejabat Utusan Melayu (M) Berhad berhampiran.

Swasta, ahli akademik cipta kreativiti dan inovasi pendidikan

KUALA LUMPUR 14 April - Kerjasama pelbagai pihak terutama sektor swasta dan ahli akademik perlu untuk menjadikan sistem pendidikan negara lebih berinovasi dan kreatif bagi meningkatkan kualiti bidang tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha memperluaskan pendidikan berkualiti tinggi tidak hanya terletak di bahu kerajaan, sebaliknya, boleh dibantu oleh banyak pihak.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihak yang boleh memainkan peranan tersebut antaranya guru, pakar akademik, universiti-universiti, para pengkaji, sektor industri dan juga pembuat dasar.

''Mereka yang terlibat ini boleh menyumbang dalam pelbagai kaedah mengikut kepakaran masing-masing. Kita harus menerapkan teknik inovatif dan kreativiti itu dalam semua perkara yang kita lakukan," katanya.

Beliau menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia ke-14 ''Pembangunan Minda Generasi Muda-Terhadap Kreativiti dan Inovatif dalam Sistem Pendidikan'' di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, guru perlu menjadi lebih inovatif dalam menyampaikan ilmu sementara pakar pendidikan perlu inovatif dalam mereka bentuk kurikulum yang dapat merangsang pemikiran kreatif pelajar.

Selain itu, katanya, penglibatan pihak universiti juga dapat dibuat melalui penawaran kursus-kursus yang menepati permintaan pasaran.

Muhyiddin menegaskan, usaha tersebut selaras dengan sasaran baru kerajaan dalam sektor pendidikan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang turut menawarkan pelbagai insentif lain termasuk aspek kurikulum.

Beliau berkata, kerajaan akan memberi penekanan kepada aspek kurikulum baru iaitu menerapkan elemen kreativiti dan inovasi dalam pembelajaran dan pengajaran.

''Saya berharap dengan pelaksanaan kaedah terbaru seperti membuat kajian dan mencari sumber bagi subjek yang dipelajari di luar bilik darjah dan teknik pembelajaran dalam kumpulan itu, para guru akan lebih cenderung untuk memperkenalkan teknik-teknik pengajaran yang baru.

''Saya turut percaya hasil pelaksanaan kurikulum baru itu dapat dilihat menerusi keupayaan tenaga pengajarnya yang telah memperbaharui kaedah pembelajaran terkini di dalam bilik darjah,'' jelas beliau.

Muhyiddin menambah, usaha kerajaan meningkatkan daya kreativiti dan inovasi di kalangan generasi muda tidak akan tercapai tanpa melibatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

''Semua langkah yang kerajaan perkenalkan itu khususnya kepada generasi muda adalah untuk memastikan mereka boleh bersaing,'' katanya.

SMK Dato’ Ismail dibuka semula Ahad ini

KOTA BAHARU 15 April - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ismail di Pasir Puteh yang ditutup mulai Selasa lalu berikutan seorang pelajarnya disahkan positif Influenza A (HINI), akan dibuka semula Ahad ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Hussein Awang berkata, tindakan itu diambil selepas langkah-langkah pencegahan dilakukan oleh pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kelantan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua pelajar yang disyaki dijangkiti virus itu akan terus dikuarantin sebaik ia disahkan bebas daripada mengalami simptom penyakit itu.

"Kita akan membuka semula sekolah itu Ahad ini selepas berpuas hati dengan langkah-langkah pencegahan dan pelajarnya bebas daripada disyaki mengalami simptom serangan selsema itu,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah Kota Baharu di sini, hari ini.

Menurut Hussein, inilah kali pertama sekolah di negeri ini ditutup sepanjang tempoh empat bulan tahun ini kerana disyaki terlibat dengan wabak itu. - Bernama

Wednesday, April 14, 2010

Sekolah perlu fokus mutu pembelajaran

KANGAR 13 April – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pemimpin sekolah agar meningkatkan prestasi pelajar serta sekolah masing-masing dan bukannya berusaha untuk mendapatkan insentif semata-mata.

Beliau berkata, apa juga insentif yang disalurkan sama ada daripada kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mestilah memfokuskan peningkatan mutu pembelajaran seterusnya meningkatkan pencapaian pelajar.

“Walau apa pun rangsangan yang disalurkan itu, saya berharap ia akan dapat membantu kerajaan dalam memajukan pelajar dan bidang pelajaran di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu melancarkan Bengkel Pemikiran Kritis Dalam Pembelajaran Matematik dan Program Pemerkasaan Pelajar Cemerlang Perlis Siri II di sini hari ini.

Program anjuran bersama Jemaah Datuk-Datuk Perlis (Jemaah), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Jabatan Pelajaran Perlis dan kerajaan negeri Perlis itu turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat serta Presiden Jemaah, Datuk Seri Che Md. Noor Md. Arshad.

Dalam pada itu Muhyiddin turut memuji pelaksanaan program tersebut dan seharusnya dijadikan contoh oleh NGO dan negeri-negeri lain.

Teknik baru didik anak autistik memikat Rosmah

WASHINGTON 14 April - Kejayaan sekolah Ivymount di Rockville dekat sini membantu kanak-kanak autistik supaya lebih berkeyakinan dan mampu berinteraksi melalui teknik pengajaran dengan muzik, nyanyian serta tarian menarik perhatian Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri Perdana Menteri berkata, kejayaan sekolah itu yang merupakan sekolah harian bukan berasaskan keuntungan “amat memberangsangkan”.

"Walaupun kanak-kanak ini lembam dan autisme, tetapi mempunyai bakat yang tersendiri dalam diri mereka, dan jika diberi pendedahan dalam muzik, mereka bukan sahaja ada bakat tetapi juga mampu mengubah lagu dan sebagainya,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.

Rosmah yang juga Presiden Bakti berkata demikian selepas mengadakan lawatan bersama anggota badan itu ke sekolah Ivymount yang terletak kira-kira 20km dari ibu kota Amerika Syarikat.

Sekolah itu yang ditubuhkan hampir 50 tahun lepas bermula dengan seorang pelajar kini mempunyai lebih 200 pelajar berumur dari empat hingga 21 tahun yang mempunyai “kekurangan keupayaan termasuk kurang daya kebolehan pembelajaran khusus, pelbagai kekurangan berkomunikasi atau kelemahan bahasa, kecacatan mental dan masalah kesihatan lain dan autisme. - Bernama

Tuesday, April 13, 2010

Utusan Malaysia alat bantuan pembelajaran

KUALA KRAI 12 April - Membeli senaskah akhbar Utusan Malaysia hari ini umpama membeli produk 'lima dalam satu' kerana pengisiannya yang padat dengan pelbagai bahan yang sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Timbalan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, banyak sumber ilmu yang diperolehi daripada akhbar itu dan ia dapat dibahagikan kepada pelbagai kategori.

"Saya tertarik dengan pengisiannya yang saya anggap beli satu barang tetapi mendapat bahan lain yang tidak kurang menariknya malah ia bagaikan bonus.

"Misalnya selain bahan berita, sisipan yang terdapat di dalamnya amat bernilai.

"Antaranya sisipan ADaP untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah alat bantu pembelajaran dan latihan yang amat baik kepada pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Program Koperasi Sekolah-Sekolah Jajahan Kuala Krai di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Wan Muhamad Sabri Wan Harun; Pengerusi Angkasa Kelantan, Tuan Ludin Tuan Lochik; Penyelia Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Wan Mohd Zain Wan Abdullah dan Perunding Lestari Utama Sdn. Bhd. yang diwakili Mohd Farid Mansor.

Seramai 116 guru daripada 58 sekolah hadir mendengar taklimat yang disampaikan oleh pegawai Bahagian Promosi dan Pengembangan SKM, Jamaliah Ismail berhubung dengan Konvensyen Keusahawanan Koperasi Sekolah 2010.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya bekerjasama dengan SMK dan Lestari Utama Sdn Bhd untuk mengedarkan akhbar Utusan Malaysia menerusi koperasi di sekolah-sekolah di seluruh negara sebagai bahan bacaan tambahan terbaik kepada warga sekolah dengan kos yang rendah.

"Selain bahan pendidikan, sisipan seperti Utusan Melayu, Mega, Wow, Estidotmy, Pancaindera dan beberapa sisipan bermusim seperti Felda, saya anggap adalah bahan bacaan umum untuk meningkatkan kefahaman mengenai isu semasa di samping memberikan hiburan," ujarnya.

Sebagai orang Melayu, beliau juga bangga kerana Utusan Malaysia satu-satunya akhbar yang masih mengeluarkan naskah Utusan Melayu dalam tulisan Jawi yang kini semakin terhad di pasaran.

Tambahnya, menerusi pengedaran di koperasi sekolah keluarga yang melanggannya lebih berjimat kerana harga yang ditawarkan lebih rendah malah turut memberi keuntungan kepada pihak sekolah.

RM4.9 juta geran permulaan

RAWANG 12 April - Kerajaan memperuntukkan RM4.9 juta untuk geran permulaan prasekolah swasta pada tahun ini bagi membantu pengusaha baru membuka lebih banyak prasekolah terutama di kawasan miskin bandar dan di luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, geran tersebut akan disalurkan kepada 426 pengusaha baru yang layak dengan setiap mereka akan menerima RM10,000 untuk tujuan itu.

"Ini adalah inisiatif baru yang kerajaan perkenalkan sebagai galakan kepada penubuhan lebih banyak prasekolah oleh pihak swasta terutama di kawasan yang tidak dapat dicapai kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan geran berkenaan kepada pengusaha-pengusaha baru di Tadika Wawasan Gemilang di Bandar Sungai Buaya di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan menjangkakan peruntukan bagi geran tersebut akan terus meningkat kepada RM5 juta setahun pada masa depan.

Terdahulu dalam ucapannya Muhyiddin berkata, kerajaan sedar ada pihak yang mempertikaikan pemberian geran tersebut kepada pengusaha prasekolah swasta.

"Dengan tegas dan telus saya nyatakan bahawa ini bukannya gimik pilihan raya tetapi ini adalah komitmen kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk bidang pendidikan yang berkualiti,'' jelasnya.

Katanya, tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan kerana kerajaan mahu melihat setiap rakyat daripada semua golongan sosio ekonomi terbela.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan juga akan menyeragamkan geran per kapita sebanyak RM100 kepada setiap kanak-kanak prasekolah milik agensi kerajaan dan dalam masa sama berusaha meningkatkan bantuan makanan daripada RM1.50 kepada kadar yang lebih tinggi.

Usaha lain katanya, termasuk menyediakan latihan yang lebih berkualiti kepada guru-guru prasekolah memandangkan masih ramai yang belum mendapat latihan yang sewajarnya.

Jelasnya, semua itu dilaksanakan demi memastikan sasaran kerajaan untuk meningkatkan kadar kemasukan kanak-kanak ke prasekolah bermula pada usia empat dan lima tahun mencapai 87 peratus menjelang 2012 berbanding sebanyak 67 peratus sekarang.

Tubuh pusat seni kanak-kanak, remaja lepas waktu sekolah dikaji

WASHINGTON 13 April - Datin Seri Rosmah Mansor berminat untuk menubuhkan sebuah pusat pendidikan seni dalam pelbagai disiplin untuk kanak-kanak dan remaja.

Beliau berkata, pusat itu penting untuk kanak-kanak dan remaja daripada kumpulan berpendapatan rendah di kawasan berisiko tinggi.

Menurut beliau, penubuhan pusat tersebut adalah ke arah mewujudkan persekitaran yang selamat untuk mereka selepas waktu sekolah.

Katanya, pusat seperti ini mampu mengurangkan masalah sosial di kalangan kanak-kanak dan remaja yang sering ditinggalkan oleh ibu bapa yang bekerja.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia selepas melawat Sitar Arts Centre di sini, semalam.

Rosmah yang juga Presiden Badan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan Pengerusi Permata bagaimanapun berkata, beliau perlu membincangkan perkara itu dengan kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan mengenai kaedah pelaksanaan pusat berkenaan.

Isteri Perdana Menteri itu mengadakan lawatan di Sitar Arts Centre dengan disertai lebih 20 anggota Bakti, termasuk isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datin Seri Masnah Rais.

Hadir sama, isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah dan isteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datin Seri Shuryani Shuaib. - Bernama

Saturday, April 10, 2010

'Anak saya dipaksa tukar pengakuan'

KUANTAN 10 April - "Anak saya dipaksa menukar pengakuan supaya menafikan dakwaannya dibuli oleh empat pelajar lelaki yang juga rakan sekelasnya."

Demikian tegas ibu mangsa buli Geng Kapak apabila pihak sekolah seolah-olah mahu menutup kes anaknya, Norizan Janal Abidi, 15, yang menjadi mangsa buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mahmud Mat, Pekan dekat sini, baru-baru ini.

Menurut Jelimah Abdullah, 40, dia kecewa kerana anak keempatnya itu bukan sahaja tidak mendapat pembelaan tetapi dituduh mereka-reka cerita pula.

"Saya sedih lihat dia menangis kerana tertekan. Sepatutnya sesi kaunseling yang dihadirinya akan membuatkan dia semakin tenang tetapi sebaliknya yang berlaku.

"Norizan memaklumkan kepada saya bahawa salah seorang pegawai yang terlibat dalam sesi kaunseling tersebut memaksanya supaya menafikan semua dakwaannya semata-mata mahu menjaga imej sekolah," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Khamis lalu akhbar melaporkan seorang pelajar perempuan cedera di muka dan punggung selepas dibuli sekumpulan pelajar lelaki yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng Kapak.

Kejadian pada pukul 1 tengah hari itu menimpa Norizan pelajar tingkatan tiga sekolah tersebut selepas dia dikatakan enggan menyerahkan wang yang diminta oleh geng itu.

Tambah Jelimah, dia sendiri berjumpa dengan beberapa anggota polis dan bertanya mengenai perkembangan kes anaknya.

"Mereka (anggota polis) sendiri yang beritahu saya bahawa budak-budak lelaki tersebut telah mengaku mengasari anak saya dan mereka juga menyebut sebagai Geng Kapak kerana terpengaruh dengan televisyen.

"Justeru, apa yang saya harapkan ialah pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri siasat perkara ini dengan adil dan telus.

"Jangan hanya kerana mahu jaga nama baik sekolah anak saya pula yang menjadi mangsa sehingga dituduh mereka-reka cerita," tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif berkata, Norizan mungkin dikenakan tindakan jika siasatan mendapati dia berbohong.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Norizan tidak berasas kerana tiada kekerasan berlaku ke atasnya seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Bagaimanapun laporan siasatan tersebut telah dihantar ke pihak kementerian dan keputusannya akan diketahui sedikit masa lagi.

"Sekiranya keputusan daripada siasatan itu mendapati mangsa berbohong maka tindakan akan dikenakan ke atasnya kerana telah menjejaskan imej sekolah dengan dakwaan palsu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang 2010 di Sekolah Berasrama Penuh In tegrasi Kuantan di sini hari ini.

Friday, April 9, 2010

Buli: Majlis permuafakatan jadi kecoh

PEKAN 8 April - Majlis permuafakatan yang bertujuan menyelesaikan kes buli membabitkan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mahmud Mat di sini bertukar menjadi tegang ekoran pihak terbabit saling tuduh-menuduh.

Suasana menjadi semakin panas apabila ibu bapa salah seorang daripada empat pelajar lelaki yang dikatakan membuli Norizan Janal Abidi, 15, tidak berpuas hati atas tindakan ibu mangsa yang mendedahkan kes tersebut kepada media dan polis.

Kekecohan itu sekali gus menyebabkan majlis permuafakatan membabitkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jemaah Nazir dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), polis, pihak sekolah dan ibu bapa pelajar terbabit yang sepatutnya berakhir dengan perdamaian menjadi sebaliknya.

Dalam kekecohan itu, ibu bapa salah seorang ahli kumpulan 'Geng Kapak' menyalahkan ibu mangsa, Jelimah Abdullah, 40, yang memperbesar-besarkan isu tersebut kepada media dan polis.

Jelimah bagaimanapun mempertahankan dakwaannya dan tidak berhasrat memperbesar-besarkan isu tersebut kerana tujuan sebenarnya adalah untuk menjamin keselamatan anaknya di sekolah.

Dia mendakwa, anaknya semakin tertekan selepas menghadiri sesi kaunseling apabila pihak sekolah dan PPD seolah-olah menuduhnya berbohong dalam isu berkenaan.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPN, Jaafar Idris pula berkata, pihaknya mengakui berlaku salah faham sehingga menjejaskan majlis permuafakatan yang dirancang itu.

"Kes ini akan disiasat dengan segera sebelum sebarang tindakan diambil," katanya.

Menurut Jaafar, keempat-empat pelajar yang didakwa membuli mangsa telah dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan masing-masing.

"Mangsa pula telah menjalani sesi kaunseling bersama pihak sekolah dan PPD," jelasnya.

Beliau menambah, PPD dan pihak sekolah diarah menjalankan siasatan bagi menyiapkan laporan terperinci mengenai kes tersebut dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahya Othman berkata, keempat-empat pelajar lelaki terbabit telah dipanggil untuk diambil keterangan.

Segera ajar subjek kesihatan reproduktif

KUALA LUMPUR 8 April - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menggesa supaya pengajaran mengenai kesihatan reproduktif kepada murid sekolah seawal usia 12 tahun disegerakan.

Menurutnya, pengajaran subjek itu perlu dipercepatkan bagi membendung gejala kehamilan luar nikah yang menjurus kepada pembuangan bayi.

"Pengajaran mengenai kesihatan reproduktif tidak boleh dilengahkan. Walaupun ada subjek mengenainya namun ia tidak cukup mendalam. Kita mesti ajar mereka secara ilmiah, saintifik dan berhemah.

"Justeru saya meminta Kementerian Pelajaran agar mengambil berat isu ini dan pertingkatkan masa pengajaran untuk subjek tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen Kami Prihatin di KL Sentral di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, pihaknya telah mengesyorkan modul kesihatan reproduktif ini kepada Kementerian Pelajaran namun masih tertangguh kerana ramai menganggap isu tersebut sebagai sensitif dan tabu.

Sedangkan kata beliau, kehamilan luar nikah turut berlaku kepada remaja yang berumur 14 atau 15 tahun kerana tidak mengetahui risiko akibat melakukan hubungan seks.

"Seandainya remaja mengetahui mengenai tubuh mereka, maka perkara seperti kehamilan luar nikah bukan sahaja dapat dikawal malah mengurangkan kes pembuangan bayi," tegasnya.

Rumah guru jadi sasaran kakitangan bukan pengajar

KOTA KINABALU 9 April - Kekurangan rumah guru di kawasan luar bandar di Sabah dirumitkan lagi dengan penempatan juruteknik komputer seramai 76 orang di sekolah rendah dan menengah bulan lepas.

Presiden Kesatuan Guru-guru Sabah (STU), Suhaimi Othman berkata, terdapat guru-guru yang terpaksa berkongsi tempat tinggal bagi menyelesaikan masalah tempat tinggal juruteknik komputer berkenaan.

"Lebih mendukacitakan lagi ialah tidak ada seorang pun daripada juruteknik komputer itu berasal dari Sabah.

"Memandangkan jawatan juruteknik komputer hanya memerlukan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia dengan kemahiran komputer, adalah lebih baik peluang itu diberikan kepada bekas murid-murid kami yang turut mempunyai kelayakan sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Suhaimi berkata, sekiranya jawatan itu diberikan kepada masyarakat tempatan yang tinggal berhampiran sekolah di mana mereka ditugaskan, masalah tempat tinggal dapat dielakkan.

Beliau berkata, STU bersedia memberi bantuan kepada Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan calon-calon tempatan yang layak untuk ditemuduga bagi mengisi jawatan tersebut. - Bernama

Thursday, April 8, 2010

Bidang kuasa beban guru dibincang

KUALA LUMPUR 4 April - Jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi mengkaji beban guru di seluruh negara masih lagi di peringkat perbincangan bagi menentukan anggota dan bidang kuasanya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut berkata, selepas perkara itu diputuskan, pihaknya akan membentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita akan tentukan dahulu siapa anggota jawatankuasa tersebut, bidang kuasanya serta perangkaan kasar tindakan yang diambil kepada menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Penubuhan dan Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Yayasan Guru Malaysia Berhad di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan, Abdullah Mahmood.

Rabu lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru di seluruh negara.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas kementerian mendapati aduan tersebut berasas kerana terdapat guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan untuk mengajar.

Dalam pada itu, Alimuddin yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Guru Malaysia Berhad berkata, penubuhan koperasi tersebut membolehkan organisasi itu terus membela kebajikan 129,124 orang ahlinya.

Bila guru luah rasa...

Oleh WAHID HASHIM
pendidikan@utusan.com.my

Tabik dan salam semua guru.

Dengan rasa rendah diri, saya memohon maaf sekiranya berlaku kesilapan fakta ,dalam kolum Perspektif Mysekolah Isnin lalu, berjudul Mencemburui Gaji Guru. Saya menerima puluhan warkah e-mel daripada guru, ada pro dan kontra. Ada yang menghentam peribadi saya 360 darjah tanpa saya sempat membela diri - tanpa belas kasihan. Namun saya tidak menyimpan sebarang sentimen.

Tidak sangka saya akan guru-guru kita yang pandai menulis dalam nada sebegitu keras. Tetapi ada juga yang bersetuju dengan pendapat saya itu, dan mahu saya terus membongkar dan melondehkan hakikat.

Tapi dalam diri saya masih mempunyai kewarasan pertimbangan. Maka saya berpendapat kalau saya menyiarkan pandangan yang saling bertentangan itu, tentu masyarakat akan menjadi tambah keliru - mana satu yang betul dan yang mana satu salah tentang guru-guru kita ini.

Namun begitu, saya tetap percaya bahawa guru berhak mendapat apa yang setimpal dengan beban tugasan mereka - khususnya guru yang mengajar, yang memimpin, yang mendidik, dan yang menjadi lilin kepada kesamaran dan kegelapan di pedalaman - walau mereka sendiri terpaksa bergelap.

Keikhlasan, keberanian pengorbanan, perjuangan dan kemahuan yang tidak boleh diukur dengan apa-apa juga alat pengukur itu hanya boleh dihargai dengan ucapan terima kasih dan syabas.

Mungkin sedikit penghargaan boleh diluahkan melalui sejambak bunga, kad ucapan, ciuman pada tangan atau persembahan penghargaan pada hari-hari yang istimewa seperti Hari Guru, hari lahir, perayaan dan sebagainya.

Sesungguhnya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Berikut saya petik sebahagian daripada reaksi e-mel:

Sepucuk e-mel daripada Shafarizan Mohamed, eddeved@hotmail.com berkata, gaji pokok permulaan guru DG1 P1T4 bersamaan RM1,967.82, bukan RM2,500 sehingga RM2,700.

Kata beliau, tidak adil membuat 'pukul rata' bahawa semua guru yang ada di Malaysia ini tergila-gila kepada kenaikan pangkat dan kenaikan gaji.

''Sebelum saudara terbawa-bawa dengan tuduhan ini, saya cadangkan agar saudara memohon untuk kursus Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sekiranya saudara berumur belum 35 tahun dan masuk ke mana-mana institut perguruan kalau nak tahu macam mana kami menghadapi perkara-perkara yang tak masuk akal dan mencabar," tegas beliau.

Tambah beliau: ''Saya bersyukur dan berterima kasih akhirnya kepada bapa saya kerana memaksa saya memilih kerjaya sebagai guru kerana setelah setahun saya menjadi guru, baru saya memahami maksud saya itu. Tugas sebagai seorang guru bagi saya lebih menyeronokkan kerana:

i) kerja kurang daripada lima jam,

ii) tidak terlalu pening kepala dan

iii) tiap-tiap hari jumpa murid yang comel dan petah bercakap menyebabkan kita bersemangat nak mengajar mereka."

Tambah beliau: ''Bagi saya biarlah akaun gaji duniawi saya tidak seberapa asalkan akaun gaji akhirat saya melimpah ruah kerana saya percaya Allah sahaja yang boleh menilai kerja saya dan keikhlasan saya."

Elia Hasimi di eliahasimi@yahoo.com pula menceritakan susahnya bertugas di pedalaman.

Berikut ialah luahan isi hati beliau.

''Saya sendiri seorang guru dan bertugas di kawasan pedalaman. Kalau hendak ke sekolah saya, kita akan naik van dari bandar S ke bandar K. Selepas itu, kita perlu naik perahu selama lima minit untuk menaiki van ke tebing sungai yang satu lagi selama 15 minit. Setelah sampai di situ, kita perlu naik long boat selama satu jam ke sekolah. Kami hanya keluar sekali seminggu untuk mendapatkan bekalan makanan.

Hanya beberapa rumah staf di sini mempunyai Astro. Itu pun bukan disediakan oleh kerajaan. Saya pernah pada satu ketika dahulu memiliki antena televisyen biasa. Semua ditanggung sendiri. Untuk pengetahuan saudara, bukan senang bertugas di kawasan seperti ini lebih-lebih lagi dalam kalangan guru beragama Islam. Oleh itu, saya rasa usaha yang bagus kerajaan sediakan rumah untuk kami berteduh.

Yang paling kelakar saya baca tulisan saudara ialah berkenaan dapur pun disediakan oleh kerajaan. Sebenarnya dapur dan tong gas kami beli dan bawa sendiri dari pekan. Bukan mudah bertugas di tempat ini lebih-lebih lagi tiada coverage (liputan) untuk talian telefon. Kalau nak bertelefon, kena panjat bukit yang tinggi baru dapat coverage.

Anda tidak berada di tempat kami, dan anda tidak rasa apa yang kami rasa."

Adni Atha e-mel athaadni@yahoo.com.my dalam coretannya bertajuk Pendidik Pedalaman Wajar Di Hormati menegaskan, setelah 20 tahun menabur bakti, hampir 13 tahun saya mengajar di pedalaman, tiada yang percuma, di pedalaman, semuanya memerlukan perbelanjaan yang besar. Semua perkakas terpaksa dibeli, seperti katil, tilam, apatah lagi jika hendak memasang Astro.

Jangan menyalahkan guru atas kurniaan gaji yang Kementerian Pelajaran berikan, tetapi carilah mengapa pihak KPM memberi elaun pedalaman kepada warga pendidikan di pedalaman.

Berkenaan akujanji pula, pengirim e-mel itu berkata, ''bagi guru-guru yang baru dilantik, mereka diwajibkan 'bersumpah' untuk menyimpan rahsia serta menjalankan tugas dengan penuh amanah dalam borang akujanji.

Selain daripada itu, para guru juga diberikan sasaran tertentu seperti Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang perlu dicapai untuk digunakan oleh ketua jabatan (Guru Besar/Pengetua) menilai prestasi dipenghujung tahun dalam borang Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).

Hal ini bermakna semua warga pendidik sudah ada akujanji atau Bai'ah seperti yang saudara sebutkan."

Tambah pengirim e-mel itu: ''Kami warga pendidik amat mengharapkan sokongan berterusan daripada semua pihak dalam menjayakan hasrat murni kerajaan untuk mewujudkan rakyat celik huruf dan angka melalui NKRA Pendidikan."

Pengirim e-mel fazlinfy@gmail.com mengirim e-mel dalam bahasa Inggeris dan saya alih bahasa. Lebih kurang seperti berikut: ''Saya tinggal di dalam rumah yang disediakan oleh kerajaan.

Rumah itu kosong, kecuali almari pakaian di setiap bilik dan kabinet dapur. Tiada katil, tiada tilam dan sudah tentulah tiada peti televisyen. Jika seorang guru baru masuk ke sebuah rumah yang sudah lengkap, maka itu adalah titik keringat penghuni guru sebelum mereka.

Saya terpaksa menunggu enam bulan sebelum saya memiliki televisyen dan dekoder. Saya terpaksa tidur di atas tilam angin. Saya tinggal bergelap bila solar hybrid mengalami kerosakan yang teruk, dan solar hybrid kadang kala mengalami kerosakan menyebabkan kami tinggal dalam kegelapan - sehinggalah ke hari ini."

Katanya: ''Sekolah di pedalaman masih kekurangan guru dan kakitangan. Guru menjalankan tugas pentadbiran untuk melicinkan perjalanan harian. Sekolah di bandar mempunyai juruteknik dan pustakawan mereka sendiri. Tetapi di pedalaman tidak ada semua itu. Guru terpaksa menjadi juruteknik dan pustakawan."

Ada Guru Pusat Sumber terpaksa mengajar 37 waktu subjek English kerana kekurangan guru English. Dengan 37 waktu mengajar, maka guru-guru ini hanya tinggal satu masa senggang setiap hari, menyebabkan tugas pentadbiran di perpustakaan menjadi perlahan."

Kata beliau: ''Mengajar di pedalaman dengan murid yang sedikit lebih susah daripada mengajar sebuah kelas dengan 40 orang murid, kerana faktor kurang pendedahan dalam kalangan murid. Dengan kepadatan waktu mengajar tujuh hingga lapan waktu sehari menyebabkan cikgu kehabisan tenaga dek keletihan pada penghujung waktu dalam sehari."

Tentang elaun pedalaman, katanya, bila tinggal di pedalaman banyak duit dihabiskan untuk pengangkutan.

''Ambil contoh berikut, seorang guru yang ingin mengeluarkan duit terpaksa ke Sandakan kerana tiada mesin ATM di Beluran. Kos pengangkutan dengan bot dari Kampung Bukit Besi ke Beluran berharga RM25 seorang. Kalau guru ini tidak mempunyai kereta, dia terpaksa membayar RM18 lagi untuk ke Sandakan.

Kos yang sama terpaksa ditanggungnya apabila tugasnya selesai dan hendak berpatah balik ke Kampung Bukit Besi. Kesemuanya akan menelan kos RM86. Kesemua ini akan menyebabkan elaun pedalamannya habis.

Hal ini belum termasuk tiket penerbangan yang mahal jika hendak pulang ke Semenanjung untuk bertemu yang tersayang."

Seterusnya beliau bertanya: ''Encik Wahid, kalau anda cemburu dengan gaji dan elaun guru pedalaman, kenapa tidak saudara datang dan tinggal di pedalaman, dan mengajar di sini, Anda juga akan mendapat insentif. Apa kata saudara?"

Berikut ialah jawapan saya, di sudut hati saya, saya sangat mencintai profesion perguruan. Jika diberi peluang mengapa tidak?

Jika ada kesempatan dan ruang, saya akan siarkan lagi beberapa e-mel minggu hadapan di ruangan istimewa Mysekolah ini.

Utusan Malaysia padat informasi pendidikan pelajar

KUALA LUMPUR 5 April - Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya, di sini, mengambil pendekatan proaktif dengan melanggan Utusan Malaysia ke arah meningkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah tersebut.

Guru Penolong Kanan sekolah tersebut, Sofia Nor Molhit berkata, sisipan seperti program Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), e.Lab, Tutor dan Estidotmy menjadi bahan pilihan sekolah itu dalam usaha memperlengkapkan pengetahuan bermutu kepada para pelajar.

"Informasi pendidikan yang padat menjadikan sekolah ini memilih untuk melanggan Utusan Malaysia.

"Kandungan yang variasi dengan gaya bahasa yang mudah difahami dapat membantu pelajar semasa latihan menulis karangan,'' katanya selepas majlis penerimaan langganan akhbar ini sempena Bulan Bahasa peringkat sekolah tahun 2010 di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Eksekutif Pemasaran Utusan Malaysia Zon Tengah 3, Ahmad Faizi Amzah.

Sementara itu, Ahmad Faizi berkata, sekolah itu melanggan 300 naskah akhbar Utusan Malaysia setiap minggu dengan jumlah keseluruhan 2,600 naskah untuk tahun ini.

"Ini merupakan tahun ketiga SMK Cheras Jaya membuat langganan daripada pihak kami sekali gus membuktikan akhbar ini mampu membantu meningkatkan prestasi akademik.

"Sekolah ini akan mendapat lebih kurang 300 naskah seminggu iaitu pada Rabu dan Khamis kerana terdapat sisipan pendidikan untuk pelajar PMR dan SPM pada hari-hari tersebut,'' kata Ahmad Faizi.

Dalam pada itu, pelajar-pelajar bukan Melayu yang ditemui berkata, akhbar Utusan Malaysia banyak membantu mereka meningkatkan penguasaan dalam subjek Bahasa Malaysia.

Seorang pelajar, Tan Wen Chian, 17, berkata, pembacaan akhbar yang kerap memudahkannya memahami tatabahasa bahasa Melayu.

"Gaya bahasa yang teratur dalam penulisan dapat membantu saya menguasai bahasa Melayu dengan baik,'' katanya.

Rakannya, Letchumanan Santhil Nathan, 17, berkata, penguasaan ilmu dapat dilakukan lebih cepat melalui bacaan akhbar kerana ia merupakan satu bentuk persiapan minda kepada pelajar.

"Kepelbagaian isu dalam akhbar ini menjadikannya sesuai untuk bacaan semua peringkat usia, malah ibu bapa saya turut berminat membaca Utusan Malaysia,'' jelasnya.

Seorang lagi pelajar, Jabir Singh a/l Baldev Singh, 17, memberitahu, contoh soalan dalam sisipan ADaP mampu merangsang daya kemahiran berfikir pelajar.

"Saya harap rakan-rakan lain dapat memanfaatkan sisipan ADaP yang terdapat dalam akhbar ini sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan nanti,'' katanya.

Wednesday, April 7, 2010

Malaysia latih guru negara membangun

PARIS 6 April - Malaysia menawarkan kepakaran latihan perguruan kepada negara-negara membangun bagi membantu mereka mencapai sasaran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi mencapai dasar Pendidikan Untuk Semua (EFA) pada 2015.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen Malaysia itu akan beliau sampaikan semasa berucap selama lapan minit pada hari kedua Sesi Ke-184 Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO di sini esok.

Katanya, program latihan perguruan untuk negara-negara kurang membangun itu akan menggunakan peruntukan AS$5 juta (RM17.5 juta) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Persidangan Agung UNESCO Ke-35, September tahun lalu.

''Secara keseluruhannya, Malaysia lebih berjaya dalam mencapai EFA. Kita akan berkongsi pengalaman dalam mesyuarat ini bagaimana untuk mengambil langkah bersama-bersama dengan semua negara anggota UNESCO bagi mencapai sasaran dasar EFA pada 2015.

''Malaysia ada sedikit kemudahan (latihan perguruan), jadi kalau ada negara yang memerlukan bantuan dalam latihan-latihan khususnya dalam perguruan, kita sedia membantu dan berkongsi pengalaman supaya mereka boleh menyediakan peluang ini dan sasaran EFA dicapai di negara-negara yang agak mundur,'' katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia sebelum menghadiri hari pertama Sesi Ke-184 Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO di sini hari ini.

Ia adalah kali pertama Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menghadiri mesyuarat lembaga tersebut. Pada hari kedua mesyuarat esok, beliau akan menyampaikan ucapan sebagai pembahas pertama.

Muhyiddin memberitahu, beliau akan membincangkan secara terperinci pengagihan peruntukan AS$5 juta daripada Malaysia kepada UNESCO itu dalam pertemuannya dengan Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova di ibu pejabat pertubuhan tersebut esok.

''Kita akan bincang bidang-bidang kerjasama yang boleh ditawarkan Malaysia menggunakan peruntukan tersebut," katanya.

Timbalan Perdana Menteri menambah, beliau yakin perbincangan dalam mesyuarat lembaga eksekutif tersebut kali ini masih tertumpu kepada dasar EFA dan perkembangan pencapaian dasar itu di setiap negara anggota.

Menurutnya, walaupun UNESCO menetapkan sasaran supaya semua negara anggota menyediakan peluang pendidikan dan pembelajaran serta infrastruktur berkaitan kepada semua penduduk pada 2015, malangnya hanya beberapa negara anggota yang telah memenuhinya manakala sebahagian besar tidak mampu mencapainya.

''Ini kerana masalah keupayaan negara-negara tersebut dalam meneruskan program-program pendidikan disebabkan kegawatan ekonomi dunia yang menjejaskan negara-negara membangun dan itu menjadi masalah besar kepada negara terlibat," katanya.

Bagi Malaysia, jelas Muhyiddin, negara kini berada di landasan yang betul untuk mencapai EFA pada 2015 dengan tahap pendidikan rakyat di peringkat membanggakan manakala kerajaan pula menyediakan peruntukan sebesar 25 peratus belanjawan tahunan untuk memajukan bidang tersebut.

"Di Malaysia, kita agak beruntung. Kecuali di beberapa tempat sahaja, kerajaan telah pun menyediakan peluang pembelajaran kepada anak-anak kita di seluruh negara.

"Kita yakin dapat mencapai sasaran EFA pada 2015 kerana sehingga kini bagi setiap warganegara Malaysia, tiada sekatan untuk mereka mendapat pendidikan, kita sediakan sekolah-sekolah di mana saja mereka berada di seluruh negara sampai ke kawasan pedalaman.

"Rakyat tidak menghadapi langsung masalah untuk mendapat peluang pelajaran bermula daripada peringkat pendidikan asas di prasekolah pada usia enam tahun, itu tiada masalah," katanya.

Bagaimanapun, tambah Muhyiddin, kerajaan sedang memberi sedikit tumpuan di beberapa negeri terutama di Sabah bagi penyediaan peluang pendidikan kepada anak-anak pendatang yang belum dipastikan statusnya dan ia tidak melibatkan jumlah yang besar.

"Dalam dasar EFA, kita sepatutnya menyediakan peluang pelajaran kepada anak-anak pendatang ini. Kita sudah mengambil langkah-langkah ke arah itu, tetapi kita mahu melihat secara lebih dekat masalah ini dan inisiatif berkaitan sudah pun bermula di Sabah," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia juga akan berkongsi pengalaman dengan negara-negara lain menerusi UNESCO dalam bidang pendidikan Islam moden yang turut mengandungi pendidikan arus perdana.

Menurutnya, draf usul mengenainya sudah dipersetujui di peringkat pegawai dan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat lembaga eksekutif kali ini.

Tambahnya, langkah Kerajaan Persekutuan menawarkan kepada kerajaan-kerajaan negeri, swasta dan persendirian untuk mengambil alih sekolah-sekolah agama di Malaysia terbukti mampu meningkatkan kualiti pendidikan yang ditawarkan dan tidak terlalu tertumpu kepada pelajaran agama semata-mata.

Cuepacs minta kadar faedah pinjaman perumahan dua peratus

KUALA LUMPUR 7 April - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan supaya mengurangkan kadar faedah pinjaman perumahan penjawat awam kepada dua peratus dariada empat peratus sekarang.

Ia bagi diselaras dengan kadar pasaran semasa.

"Banyak bank kini mengenakan kadar yang kurang daripada empat peratus dan kerajaan patut mengambil langkah yang sama untuk menyelaras kadar berkenaan,” kata Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin.

Beliau memberi alasan bahawa kadar empat peratus itu sudah lama diperkenalkan iaitu sejak awal 70-an.

"Oleh kerana sudah hampir 40 tahun, keadaan sudah berbeza maka penyesuaian perlu dilakukan,” katanya. - Bernama

Pelajar perempuan cedera dibuli `geng kapak'

PEKAN 7 April - Seorang pelajar perempuan cedera di muka dan punggung selepas dibuli sekumpulan pelajar lelaki yang menggelarkan diri mereka sebagai `geng kapak' di sini semalam.

Kejadian pada pukul 1 tengah hari itu menimpa Norizan Janal Abidi, 15, pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mahmud Mat di sini selepas dia dikatakan enggan menyerahkan wang yang diminta oleh `geng kapak' itu yang juga merupakan rakan sekelasnya.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut. - Utusan

Tuesday, April 6, 2010

Kelas disleksia di 12 sekolah

KUANTAN 5 April - Persatuan Disleksia Malaysia (PDM) merancang mewujudkan kelas pendidikan khas di 12 sekolah bagi membantu kanak-kanak disleksia di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi PDM, Saariah Amirin berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa sekolah di Pahang, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Kedah untuk kelas tersebut bagi kanak-kanak yang mengalami kesukaran menulis, mengeja dan membaca.

Setakat ini, kata beliau, pihaknya mengendalikan tiga sekolah pendidikan khas kepada 80 kanak-kanak di Kuala Lumpur.

"Saya yakin hasrat mewujudkan lebih banyak sekolah yang menyediakan pendidikan khas bagi kanak-kanak disleksia dapat direalisasikan dengan pembabitan dan sumbangan pihak swasta," katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Pusat Disleksia Pahang di Indera Mahkota di sini baru-baru ini.

Hadir sama, bekas juara dunia Formula Satu (F1) , Sir Jackie Stewart dan Eksekutif Kumpulan Royal Bank of Scotland (RBS) di Malaysia, Andrew Sill.

Pada majlis itu, RBS menyampaikan sumbangan RM70,000 kepada PDM.

Menurut Saariah, dianggarkan 300,000 kanak-kanak disleksia di seluruh Malaysia tidak mendapat kemudahan pembelajaran sewajarnya.

"Golongan ini jika tidak diberi bimbingan sempurna, akan memberi kesan serius terhadap aspek sosioekonomi negara," katanya.

Beliau turut menghargai sokongan RBS dan Jackie Stewart yang membantu persatuan itu menyediakan akses pendidikan untuk kanak-kanak disleksia di negara ini.

Dalam pada itu, Andrew ketika ditemui berkata, sebahagian sumbangan tersebut adalah untuk membiayai pembukaan sekolah baru bagi kanak-kanak disleksia di seluruh negara.

Sistem pendidikan aliran agama Malaysia ke UNESCO

PARIS 5 April - Cadangan Malaysia dan empat negara Islam lain membawa usul mengenai pembangunan pendidikan formal aliran agama ke arus perdana global dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di sini esok, akhirnya dipersetujui negara-negara maju dan Afrika yang sebelum itu membantah draf usul berkenaan.

Bagaimanapun, kelima-lima negara terlibat bersetuju menarik balik usul yang mengandungi perkataan 'madrasah' dan menyokong usul alternatif yang menggantikannya dengan perkataan 'inklusif' berikutan bantahan negara terlibat yang mengaitkan pendidikan madrasah dengan isu keganasan dan pelampau.

Selain Malaysia, negara Islam yang telah mengemukakan usul Pembangunan Pendidikan Moden, Berkualiti dan Madrasah kepada Pengerusi Lembaga Eksekutif UNESCO, Eleonora Mitrofanova ialah Afghanistan, Indonesia, Iraq dan Pakistan.

Ia turut disokong Arab Saudi, Brunei, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Filipina, Jepun, Nigeria, Senegal dan Tanzania.

Malaysia dan Pakistan merupakan negara anggota Lembaga Eksekutif UNESCO yang turut dianggotai 56 negara lain.

Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO, Datuk Kenneth J. Luis berkata, draf usul asal itu ditarik balik oleh Malaysia, Pakistan dan Indonesia pada Khamis lalu diikuti Afghanistan dan Iraq keesokannya dan bersetuju menyokong usul baru, Pembangunan Pendidikan Moden, Berkualiti dan Inklusif, yang akan dibentangkan oleh Saint Lucia dalam mesyuarat lembaga eksekutif bermula esok.

Menurutnya, walaupun usul alternatif itu tidak memasukkan perkataan madrasah, namun semua negara anggota bersetuju dan menerima bahawa pembangunan pendidikan formal aliran agama di negara-negara Islam bukan semata-mata mengajar pengetahuan ilmu Islam dan pengajian al-Quran dan ia perlu terus dibangunkan.

Tambahnya, Malaysia menerusi draf usul pertama itu telah menjelaskan bahawa pendidikan aliran agama di negara-negara Islam turut mengajar subjek-subjek aliran perdana seperti Sains dan Matematik.

"Kita berkompromi dengan usul alternatif itu selepas Saint Lucia yang mengetuai bantahan terhadap usul pertama memasukkan perkataan inklusif di dalamnya sekali gus mengakui pendidikan aliran Islam di Malaysia dan negara Islam lain bukan semata-mata mengajar al-Quran dan ilmu Islam sebaliknya turut mengandungi subjek aliran perdana.

"Dengan itu, negara-negara Barat dan Afrika kini lebih faham dan tidak lagi tersalah anggapan bahawa pendidikan aliran Islam sebagai tempat melahirkan pengganas atau hanya mengajar ilmu Islam," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hotel penginapan beliau di sini hari ini.

Muhyiddin yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Charlers De Gaulle di sini pukul kira-kira 7 pagi ini (1 petang waktu Malaysia), buat kali pertama akan menghadiri mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO yang berlangsung di ibu pejabatnya di sini esok dan Rabu.

Turut mengiringi beliau ialah isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran, Ali Abdul Ghani turut menyertai delegasi tersebut selain Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba.

Sementara itu, Kenneth berkata, Timbalan Perdana Menteri yang akan berucap sebagai pembahas pertama pada hari kedua mesyuarat lembaga tersebut akan menyentuh mengenai isu-isu pendidikan global dan berkongsi pengalaman Malaysia memajukan sistem pendidikan.

Menurutnya, beliau juga akan berkongsi pengalaman negara dalam melaksanakan program Pendidikan Untuk Semua (EFA) dan pembangunan pendidikan Malaysia yang kini berada di landasan yang betul untuk mencapai EFA pada 2015.

"Malaysia berharap negara-negara kurang membangun terutama di Afrika akan mencapai tahap EFA sekurang-kurangnya untuk pendidikan peringkat rendah.

"Negara-negara anggota UNESCO perlu memberi perhatian terhadap keperluan negara-negara kurang membangun untuk menyediakan 18 juta orang guru dan kemudahan asas sebelum mencapai EFA," katanya.

Menurut Kenneth, mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO kali ini dijangka lebih banyak menyentuh mengenai pembangunan semula Haiti yang dilanda gempa bumi baru-baru ini dan mengakibatkan kemusnahan bangunan-bangunan institusi pendidikan. - Utusan

Monday, April 5, 2010

Kecacatan tidak halang Wan Aini belajar seperti orang lain

BESUT 4 April - Kekurangan diri tidak pernah mematahkan semangat insan istimewa, Wan Aini Wan Ibrahim, 21, untuk belajar sama seperti orang lain.

Bahkan kekurangan yang dihadapi sejak lima bulan lalu menjadi pembakar semangatnya untuk terus berjuang bagi mencapai cita-cita bergelar seorang pendidik.

Berkat sokongan ibu bapa, dia enggan mengaku kalah meskipun kadangkala kekurangan diri banyak membataskan pergerakannya.

Itulah hakikat yang terpaksa diterima dan dia tetap pasrah walaupun kehilangan kedua belah kaki dan sebelah tangan selain dua jari kanannya akibat virus kencing tikus atau leptospirosis yang dihidapi.

Semuanya bermula ketika dia sedang mengikuti semester pertama di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak dalam bidang Pengajian Malaysia Dengan Pendidikan apabila tiba-tiba menghidap demam teruk tiga hari berturut-turut.

Anak sulung lima beradik itu kemudian dihantar dua kali ke Klinik Desa Tanjung Malim untuk mendapat rawatan dan pada peringkat awal, dia disyaki menghidap demam denggi berdarah.

Kemudiannya, setelah demam semakin teruk, dia dirujuk ke Hospital Slim River dan semasa di hospital itu, dia tidak sedarkan diri (koma) selama kira-kira 17 hari sebelum disahkan menghidap virus kencing tikus.

Dalam tempoh itu juga, kedua belah kaki dan tangan kiri serta dua batang jari kanannya mula membusuk dan mati (gangren). Atas permintaan keluarga, Wan Aini dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Gadis dari Kampung Durian Telor, Pasir Akar, Hulu Besut itu terpaksa menerima hakikat kedua-dua kaki pada paras bawah lutut, tangan kiri dan dua jari tangan kanannya dipotong akibat penyakit itu.

Ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Dr. Abdulah Md. Zin di Kampung La Hulu Besut semalam, Wan Aini berkata, dia reda dengan keadaan dirinya sekarang.

Dia yang ditemani bapa, Wan Ibrahim Wan Abdullah, 64, dan ibunya, Hafizah Muda, 49, terpaksa menggunakan kerusi roda sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut untuk memudahkannya bergerak.

Menurut Wan Aini, minggu depan, dia akan menjalani ujian fisioterapi dengan memakai sepasang kaki palsu yang disumbangkan oleh pihak kebajikan HRPZII.

Wan Aini berharap, dengan kaki palsu itu, pergerakannya nanti akan menjadi lebih mudah bagi membantunya menyambung semula pengajian di UPSI Julai nanti.

"Saya tetap bersemangat untuk meneruskan pengajian di UPSI dan akan saya buktikan bahawa kecacatan saya ini bukan penghalang besar untuk mencapai kejayaan.

"Lagipun, saya harap tidak menghadapi masalah ketika belajar di UPSI kerana saya akan dibantu oleh beberapa orang rakan yang sanggup menghulurkan pertolongan," ujarnya.

Tambahnya, walaupun terpaksa bermula dari awal pada semester nanti setelah setengah tahun pengajiannya terhenti, dia menyifatkannya sebagai takdir Tuhan, malah terselit hikmah di sebalik itu.

Korporat diseru bantu pembangunan kokurikulum sekolah

KUALA LUMPUR 4 April – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru sektor korporat supaya terlibat sama dalam membantu pembangunan sekolah khususnya dalam memajukan aktiviti kokurikulum.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha tersebut merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial korporat yang dapat membantu kerajaan memperkasakan institusi sekolah dan pendidikan negara.

Menurutnya, pembangunan di bidang kokurikulum sememangnya perlu dipertingkatkan selari dengan keupayaan akademik, seterusnya untuk membantu negara mencapai status negara maju.

“Saya sedar cabaran untuk mengekalkan kegemilangan amat sukar dan laluan untuk menjadi terbaik antara yang terbaik amat getir tetapi komitmen semua pihak boleh mencetuskan semangat juang yang kental.

“Kita bukan sahaja mesti membina kekuatan berpasukan tetapi juga kekuatan logistik dan perlu seiring dengan masa,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Makan Malam Ulang Tahun Ke-100 Penubuhan Pasukan Pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang. Hadir sama, pengetua sekolah itu, Maslan Buniran.

Majlis makan malam itu bertujuan mengumpul dana bagi kegunaan pasukan pancaragam sekolah tersebut termasuk menyertai Pertandingan Pancaragam Dunia di sini tahun ini.

Pasukan pancaragam SMK Victoria merupakan juara Pertandingan Pancaragam Dunia di Monza, Itali, Julai lalu.

Sementara itu, Zulkurnain dalam sidang akhbar sebelum majlis tersebut berkata, beliau kesal dengan laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang mempersoalkan tentang kemudahan sukan di sekolah negara ini.

Katanya, kecemerlangan sukan tidak semestinya bergantung kepada tahap kemudahan yang ada di sekolah.

Menurut beliau, adalah sukar bagi kerajaan untuk menyediakan segala kemudahan di sekolah seperti padang atau kolam renang berdasarkan beberapa kekangan.

Gagal patuhi syarat: Program susu sekolah ditangguh

KUALA LUMPUR 5 April — Program Susu Sekolah (PSS) akan ditangguh sehingga pengilang terlibat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan sijil ”Hazard Critical Control Point” (HACCP), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, satu jawatankuasa bersama telah ditubuhkan antara kementeriannya dan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menetapkan pemerolehan sijil tersebut bagi mengelakkan pengulangan kes-kes keracunan susu di sekolah.

"Sejak dua tahun lepas, kementerian dan KKM sudah mengadakan beberapa mesyuarat dan lakukan audit ke atas pengilang, tetapi sampai hari ini pengilang masih belum buat penambahbaikan atau pengubahsuaian seperti yang disyaratkan oleh pensijilan HACCP." katanya. - Bernama

Sunday, April 4, 2010

Saser terima ganjaran RM100,000 terbaik SPM

SEREMBAN 3 April - Kejayaan Sekolah Menengah Sains Seremban (Saser) memperoleh pencapaian sekolah terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 melayakkan sekolah itu mendapat ganjaran RM100,000 daripada kerajaan negeri hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia merupakan hadiah sebagai tanda penghargaan di atas kejayaan Saser itu.

Di samping itu, katanya, ganjaran diharapkan dapat membakar semangat sekolah-sekolah lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka.

"Ganjaran RM100,000 itu bukan menjadi kiraan besar tetapi terjemahan daripada kegembiraan kerajaan negeri dengan pencapaian ini yang sekali gus mengharumkan nama Negeri Sembilan.

"Bukan saja kerana skuad bola sepak menang Piala Malaysia, kita bagi bonus tetapi jadi sekolah terbaik juga akan dapat bonus kerana kita mahu semua orang menjadi terbaik," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi Kali Ketujuh Pelajar Tingkatan 5 Saser di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Muhammad dan Pengetua Saser, Sabuddin Sani.

Pada majlis yang sama Mohamad turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada sekolah tersebut.

Beliau pada masa sama menyeru agar semua pihak terus berusaha keras demi meningkatkan dan mempertahankan kejayaan tersebut.

"Sudah empat tahun dinobatkan sekolah ini terbaik dan saya berharap semua pihak berusaha menguruskan kejayaan ini dengan baik.

"Walaupun sudah cemerlang, namun bukan mudah untuk mengekalkan ia agar orang lain tidak dapat memotong kita di hadapan," katanya lagi.

Ujarnya, kejayaan tersebut juga mampu menjadi pemangkin kecemerlangan kepada sekolah-sekolah lain demi terus melonjakkan prestasi akademik negeri ini.

Sementara itu dalam majlis tersebut, empat pelajar cemerlang turut menerima anugerah khas yang disampaikan oleh Menteri Besar.

Mereka ialah Nik Ahmad Rusydan Nik Hafizi bagi Anugerah Tertinggi Pengetua; Muhammad Syamil Abdullah Sani (Anugerah Akademik Terbaik); Muhammad Qamar Mohd. Zaki (Anugerah Kepimpinan) dan Fathul Hadi Rosli (Anugerah Kokurikulum).

Sebanyak 106 pelajar turut menerima anugerah setelah memperoleh A dalam semua matapelajaran SPM 2009.

Robot 'Humanoid' SMTTJ jadi tumpuan

SEREMBAN 3 April - Robot 'Humanoid' yang dibangunkan oleh enam pelajar Sekolah Menengah Teknik Tuanku Ja'afar (SMTTJ) mendapat perhatian pada Bengkel Mega Ke arah Rakan Inovasi yang berlangsung di sekolah itu di sini hari ini.

Robot yang diterima dari Korea Selatan itu dengan dua unit berharga RM10,000 dibangunkan sejak setahun lalu untuk mengikut struktur dan kehendak dalam program yang dicipta dalam perisian komputer.

Enam pelajar yang terlibat dalam projek tersebut ialah Mohd. Ariff Shahrin, 16; Mohd. Farhan Azhar, 17; Muhammad Khair Khalid, 16; Aiman Hafiz Mohd. Salleh, 17; Syafiq Najib, 17 dan Shahir Ahmad Ghani, 17.

Kata Mohd. Farhan, projek pembangunan dua robot 'Humanoid' itu dibuat dengan kerjasama Politeknik Port Dickson, tetapi penstrukturan dan data dalam komputer dibuat sendiri oleh pelajar SMTTJ.

''Kita berbangga dengan robot 'Humanoid' ini kerana ia dibangunkan dengan dua sistem sensor, di mana boleh menghasilkan bunyi dan pada masa yang sama mengikut rentak dan kemahuan pengendali, sebagaimana datanya diprogramkan dalam komputer.

''Robot ini boleh melakukan apa sahaja dengan syarat data itu dimasukkan terlebih dahulu sebelum ia dapat menggerakkan robot berkenaan," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Bengkel Mega Ke arah Rakan Inovasi di SMTTJ hari ini.

Bengkel itu anjuran akhbar Utusan Malaysia dan Zull Design Autotronic Sdn. Bhd. Ia dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datin Wahidah Wong Abdullah.

Hadir sama Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid dan Pengetua SMTTJ, Arshad Md. Yusof serta Pengarah Urusan Zull Design Autotronic Sdn. Bhd., Zulkifli Haron.

Mohd. Farhan yang turut mengikuti pembelajaran dalam kejuruteraan mekanikal di sekolah itu memberitahu, sebelum membangunkan robot berkenaan, kesemua pelajar itu telah menghadiri kursus tiga hari di Politeknik Port Dickson.

''Robot yang dibangunkan itu belum dipertontonkan lagi, sebaliknya masih menjadi bahan kajian sekolah ini," katanya.

Sementara itu, Aiman memberitahu, untuk menghasilkan data dalam komputer memerlukan penelitian, lebih-lebih lagi ia mencerminkan pergerakan spontan robot 'Humanoid' berkenaan.

''Untuk memastikan kelancaran robot itu, di mana memerlukan mesin berkenaan menendang bola dan bertepuk tangan pun memerlukan data dan kod berbeza bagi menghasilkannya.

''Ia memerlukan kesabaran yang tinggi," katanya yang turut menjadi peserta dalam bengkel hari ini.