Pages

Thursday, May 5, 2011

Kit Fertigasi DIY atau Kit Pengairan Titis DIY

Fertigasi DIY ( Kit Fertigasi atau Kit Pengairan Titis) pada dasarnya bermaksud:

Melakukan sendiri pemasangan sistem fertigasi atau pengairan titis sendiri tanpa bantuan orang lain yang perlu dibayar upah.

Bagi mereka yang tidak berpenglaman berkenaan perkara ini pastikan anda terus membaca catatan ini sehingga tamat.

Nota:
Pengairan Titis - Sistem yang mengalirkan air secara

berjadual terus kepada zon pengakaran pokok.
Fertigasi - Membekalkan baja pada sistem pangairan titis yang telah disediakan, dimana campuran baja dan air (pada kepekatan tertentu mengikut ukuran meter EC) dialirkan terus ke zon pengakaran pokok.

Untuk kerja mudah banyak Kit fertigasi dijual dipasaran dan sememangnya boleh didapati secara online tanpa pelanggan perlu memikirkan apakah perlatan yang perlu dibeli untuk memasang sendiri sistem fertigasi mini atau sistem pengairan titis mini dihalaman rumah.

Kepada mereka yang tidak berpengalaman dalam sistem fertigasi atau pengairan titis ini dan ingin mencuba sememangnya digalakkan namun begitu anda perlulah mempunyai sedikit pengetahuan asas berkenaan Fertigasi sebelum boleh mencuba Kit tersebut.

Apa yang perlu kita tahu berkenaan Kit Fertigasi ini ialah ianya :

- Kit fertigasi atau pengairan titis yang telah direka khas untuk dipasang secara mudah untuk skala kecil terutamanya dihalaman rumah, dimana peralatan telah disediakan pada kebiasaanya adalah hampir lengkap, biasanya tiada yang 100% lengkap, secara jujurnya masih ada satu atau dua perlatan lain yang perlu anda beli sendiri untuk memastikannya Kit tersebut benar-benar 100% lengkap.

- Ada pembekal yang hanya menyediakan peralatan asas seperti pam akuarium dan penyambung, baja, benih, poly paip, nipple, polibeg,dripper, timer serta manual pemasangan.

- Ada juga pembekal yang turut menyediakan tong ar, media tanaman dll.

Persoalannya adakah manual itu lengkap untuk membolehkan pengguna memasang sendiri Kit Tersebut dari A hingga Z tanpa sebarang masalah atau masih berada didalam dilema?

Apakah lain-lain perlatan yang masih perlu dibeli?

Perlu dipastikan adakah Kit tersebut turut disediakan media semaian (peatmoss) serta tray semaian (atau anda perlu semai terus pada media tanaman, media tanaman (tanah/sabut/sekam atau campuran bahan tersebut) atau anda perlu gunakan tanah dan membeli sendiri tanah tersebut, bahan kawalan serangga dan kulat, baja, tong air, injap pelampung, stop cock (kunci air) serta fittings dan "white tape" untuk sambungan paip (dimana kita hanya perlu tanggalkan kepala paip air yang terdapat pada halaman diluar rumah dan sambungkan fitting yang disediakan, juga sambungkan kembali kepala paip yang lama (untuk mengekalkan kemudahan akses pili air paip seperi dulukala) dan ianya terus boleh disambungkan ke tong air yang dilengkapi injap pelampung serta stop cock dan seterusnya bolehlah menyempurnakan pemasangan sistem fertigasi sehingga selesai serta perlu menyediakan sambungan bekalan elektrik kepada pam/timer.

Sekiranya anda sememangnya maklum isi kandungan yang terdapat pada Kit dan bersedia untuk membeli lain-lain bahan dan berupaya menyiapkan pemasangan tersebut itu sememangnya objektif pembelian kit itu tercapai dengan ertikata lain anda mempunyai sedikit pengetahuan berkenaan asas Fertigasi atau Pengairan Titis secara teknikal.

Sebaliknya jika anda mengharapkan 100% Kit tersebut Lengkap, maka anda perlu tanyakan kepada pembekal tentang apa bahan atau peralatan yang dibekalkan bersama Kit tersebut dan sistem macam mana yang anda perlukan serta pastikan ianya seperti yang anda bayangkan, untuk itu satu panggilan telefon kepada pembekal boleh membantu anda, ini adalah bagi mengelakkan kekeliruan terutamanya kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam hobi Fertigasi atau pengairan titis ini dan masih tidak nampak gambaran keseluruhannya, apa yang boleh diakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh kit yang disediakan.

Anda tidak perlu membuat keputusan terburu-buru untuk membeli Kit Fertigasi malah anda perlu membandingkan perbezaan Kelengkapan Kit Fertigasi Tersebut secara terperinci, harga tidak menjadi ukuran, apalah salahnya mengeluarkan bajet lebih sedikit yang mungkin berbeza diantara RM50 hingga RM100, apa yang penting anda berpuas hati dengan apa yang anda beli. Diantara perkara yang penting pada Kit tersebut adalah ianya boleh dipasang seperti yang anda bayangkan serta anda boleh mendapat khidmat pelanggan yang baik ( sudah tentu melalui email atau panggilan telefon dan pastikan anda yang telefon pembekal kerana keuntungan jualan Kit Fertigasi Tersebut tidak sebanyak mana untuk membayar bil telefon mereka)

Anda juga perlu tahu had Kit Fertigasi yang dibekalkan, bukan "semuanya boleh", ia tertakluk juga kepada had pemasangan tersendiri berbanding skala ladang.

Objektif Kit Pengairan Titis selepas ianya siap dipasang adalah seperti berikut:

- Untuk Taman Dapur atau untuk Pokok hiasan dll.

- Melakukan siraman automatik, iaitu mengalirkan air mengikut program yang telah disetkan pada timer untukmenghidupkan pam air (pam akuarium untuk kes ini)

- Anda perlukan soket bekalan elektrik untuk memasang timer

- Timer perlu diprogram mengikut jadual siraman yang diperlukan

- Bekalan elektrik perlu disambung dari Timer ke Tong air untuk menghidupkan pam

- Pam akuarium ditengelamkan kedalam tong air sambungkan pada paip poli 16mm atau fitting yang dibekalkan (jika berkenaan) keluar dari tong air.

- Tong air perlu mempunyai sumber air masuk iaitu dari pili paip yang memerlukan kemasan (fitting) tertentu termasuk injap pelampung (seperti " toilet lushing"). Juga perlu ditebuk sebanyak 2 lubang, dimana 1 lubang untuk dipasangkan injap pelampung dan 1 lubang lagi untuk sambungan bekalan elektrik pam serta saluran keluar paip poly 16mm ketanaman

- Paip poly yang keluar dari tong air itu boleh disambung kepada paip poly 16mm lain untuk menyalurkan air ke tanaman samada secara lurus/terus iaitu memanjang sebagai contoh 10meter, atau boleh menggunakan kemasan (fitting) "Tee" dan "Elbow" untuk membentuk sambungan paip 4 segi atau bentuk L bagi mengikut tapak atau tanah tempat tanaman tersebut.
- Hujung ("far end") paip poly 16mm perlu dimatikan dengan menggunakan "end clip" atau "barb", sekiranya sambungan paip poly 16mm dibuat berbentuk 4 segi mengikut tapak tanaman, maka lebih elok gunakan "Tee" dan sambung terus kepada paip poly yang disambungkan kepada pam air tadi.

- Paip poli perlu ditebuk, anda perlukan penebuk mudah, sambngkan nipple (start joiner) - elok guna nipple biasa ( nipple 2 way atau 4 way tidak cukup elok kerana mudah tercabut), kemudian 1 hujung nipple disambungkan kepada micro tube 4/6mm (lembut - senang sambung) atau 3/8mm (keras - susah sambung) - ada diantara pembekal tidak mengetahui fakta ini, kemudian hujung micro tube yang lagi satu disambungkan kepada penitis (dripper)

- Menyediakan media tanaman iaitu campuran tanah, sekam, cocopeat (sabut kelapa mesin), compose atau lain-lain lagi mengikut kesesuaian pada bekas tanaman yang sesuai polibeg bersaiz 15cm x 15cm atau 16cm x 16cm atau pasu yang boleh memuatkan isi kandungan yang sman banyak dengan polibeg tersebut tadi.

- Benih boleh disemai terus kedalam media tanaman, atau sekiranya dibekalkan media semaian (peatmoss) serta tray semaian, benih boleh disemai kemedia semaian mengikut teknik tertentu (diluar skop catatan ini)

- Pam yang telah siap dipasang dengan paip poly 16mm serta micro tube dan dripper perlu diuji untuk untuk memastikan air keluar pada semua dripper dan tidak ada kebocoran pada mana-mana sambungan

- Jumlah air yang perlu dialirankan bagi media tanaman biasa seperti campuran tanah dan pasir tidak dapat dipastikan secara terperinci, hanya dengan cara agak-agak sahaja.

- Tips - air tidak keluar mengalir dari bahagian bawah polibeg, jika keluar pun pada kadar lembab sahaja, kerana tujuan utama pengairan titis ialah siraman automatik dan menjimatkan air. Siraman perlu diulangi beberapa kali sehari, untuk median tanah dan campuran pasir dicadangakan siraman diantara 2 atau 3 kali sahaja pada selama antara 3 hingga lima minit (bargantung juga pada keadaan cuaca serta zaiz tanaman samada kecil atau besar. Pokok kecil memerlukan air sehingga 1 liter 1 hari manakala pokok besar memerlukan air diantara2 hingga 3 liter air sehari pada pada dedahan matahari penuh (pagi sampai petang), namun bergantung juga pada kadar pegangan air media tanaman.

- Sekiranya media menggunakan campuran cocopeat dan sekam, atau cocopeat sahaja atau sekam sahaja, siraman diperlukan diantara 5 hingga 6 kali sehari, jumlah air bagi tanaman kecil sehingga 1 liter dan bagi tanaman yang sudah besar memerlukan air diantara 2 hingga 3 liter pada dedahan matahari penuh (pagi sampai petang). Mengikut amalan kaedah fertigasi.

- Anak tanaman perlu dikawalan dari serangga perosak sehingga mengeluarkan hasil bagi tanaman, sekiranaya untuk tanaman hiasan kawalan serangga perosak adalah minima dan mungkin tidak diperlukan langsung. Sekiranya mengguankan racun perlu berhati-hati dan jauhkan kanak-kanak dari pokok tersebut serta dari bahan racun dan juga tempat simpanan racu perlulah dikunci untuk ekselamatan anak-anak. Juga terdapat racun yang diperbuat secra organik.

- Kaedah membaja, cara mudah - korek lubang jauh dari pangkal tanaman sebagai contoh 3 inci bagi anak tanamna atau sejauh 5 ke 6 inci bagi pokok yang telah besar ( akar yang menyerap baja adalah akar muda dan akar muda ini tidak berada pada pangkal pokok, juga bagi mengelakkan pokok mati kerana "kepanasan" baja kimia kerana kandungan garam yang tinggi, bagi baja organik kebiasaannya tidak menjadi masalah asalkan tidak mengandungi unsur baja kimia, letakan baja pada suaktan yang sesuai mengikut label, kamus lubang tadi dan pacakan dripper, apabila air dialirkan ia akan melembabkan baja serta bahan baja tadi akan mengalir keluar dan diserap oleh media tanaman dan akan diserap oleh pokok. Awas jangan letak baja terlalu banayak, memadai satu sudu camca teh untuk seminggu bagi anak pkok yang kecil dan 1 sudu makan bagi pokok yang telah melebihi ketinggian 15cm, pada asasnya tiada kaedah yang betul-betul tepat perlu cuba dan agak-agak serta perhatikan perkembang pertumbuhan pokok, sehingga tamat musim bagi tanaman taman dapur atau sampai bila-bila bagi pokok hiasan.

Manakala perbezaan Kit Fertigasi dengan Kit Pengairan Titis ialah penggunaan baja seperi berikut:

- Air perlu dibiarkan masuk ke tong air sehingga penuh

- Tutup stop cock untuk mematikan sumber air bagi tujuan membancuh baja serta mengelakan baja menjadi cair

- Masukan baja kedalam tong air dan bancuh jika perlu ( biasanya baja yang dibekalkan adalah jenis soluble atau larut air), untuk skala hobi, kepekatan baja tidak krikal seperti skala pertanian
- Patikan timer berada dalam keadan auto dan telah diprogramkan mengukut jadual siraman.

- Perlu mengulangi proses mengisi air kedalam tong sebelum tong kehabisan air dan membancuh baja seperi diatas sehingga tanaman mengeluarkan hasil dan perlu dibuang selepas tamat musim

- Bagi skala pertanian atau percubaan Sistem Fertigasi sebenar mengikut disiplin ladang, perlu menyediakan tong untuk stok baja iaitu 2 tong, 1 untuk stok baja A dan 1 lagi untuk stok baja B. Selain itu untuk mereka yang menggunakan air selain dari air paip mungkin memerlukan tong ke-3 untuk stok asid dan/atau tong ke-4 untuk stok alkali bagi memastikan PH air adalah berkeadaan baik.

Dipasaran kebanyakan Kit Dijual menggunakan tajuk "Kit Fertigasi" dan tiada yang menggunakan tajuk "Kit Pengairan Titis". Saya rasa anda telah faham apa itu pengairan titis dan apa itu fertigasi selepas membaca kesemua catatan diatas.

Adalah dinasihatkan supaya anda memahami sepenuhnya apa yang boleh dilakukan oleh Kit tersebut dan tidak merasa kecewa atau tertipu apabila mendapati ada peralatan atau bahan yang tidak dibekalkan bersama Kit.

Adakah anda perlukan sistem untuk siraman air kosong secara automatik iaitu Kit Sistem Pengairan Titis atau Kit Fertigasi yang juga memerlukan kawalan baja selain dari kawalan air.

Walaupun ianya adalah Kit, pengetahuan berkenaan sistem pengairan titis dan fertigasi tetap diperlukan bagi menjamin kejayaan pengunaan Kit tersebut.

Saya percaya ramai diantara mereka yang membeli Kit Fertigasi ini akhirnya hanya menggunakannya sebagai Pengairan Titis sahaja iaitu mengalirkan air kosong kepada tanaman mereka melainkan mereka yang benar-benar berminat berkenaan Fertigasi serta menjadikan aktiviti berkebun sebagai suatu hobi yang kekal. sepanjang hayat.

Tuesday, April 19, 2011

Sistem Fertigasi

Kenapa anda perlu mengunakan sistem ini?

Pengeluaran sayuran samada sayuran berdaun dan sayuran berbuah masih belum cukup untuk menampung keperluan domestik.Pengunaan sistem fertigasi adalah alternatif utama bagi menampung keperluan ini.

Kaedah Fertigasi adalah satu kaedah alternatif yang baik dan berdaya maju.Pengurusan tanaman adalah aspek paling penting dalam menjamin kejayaan pengeluaran tanaman makanan khususnya penanaman secara fertigasi. Bakal pengusaha atau usahawan mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup.

Matlamat pengurusan tanaman ialah pengeluaran konsisten dengan kualiti hasil yang tinggi pada tahap optima serta menguntungkan.Fertigasi berasal daripada perkataan fertigation (fertilizer & irrigation). Ia merupakan adalah cabang dari komponen chemigation. Boleh ditakrifkan sebagai satu kaedah penanaman di mana baja(dalam bentuk larutan) diagihkan ke zon perakaran tanaman melalui sistem pengairan.Dua asa utama fertigasi iaitu baja (dalam bentuk larutan) dan sistem pengairan. Bekas tanaman dan jenis media adalah alternatif mengatasi masalah penanaman. Fertigasi dipraktikkan sebagai satu kaedah alternatif. Penerimaan dan penggunaan kaedah ini masih rendah dan menjadi suatu kaedah atau teknologi yang amat diperlukan pada masa akan datang.Kaedah Fertigasi mempunyai kelebihan tersendiri berbanding dengan kaedah konvensional:

* Pemberian nutrien lengkap yang boleh dikawal mengikut kehendak tanaman berdasarkan jenis dan peringkat pertumbuhan sesuatu tanaman.
* Media tumbesaran dan persekitaran menjamin kebersihan dan menghindarkan masalah penyakit.
* Mengatasi masalah tanah seperti tidak subur, perumah penyakit dan perosak.
* Meningkatkan hasil per unit kawasan dengan kepadatan tinggi.
* Tiada masalah merumpai sekali gus mengurangkan kos buruh.
* Kualiti hasil yang lebih baik.
* Penggunaan baja yang cekap. Mencapai 85% berbanding kaedah tabur hanya 30%
* Mengurangkan penggunaan racun keatas tanaman terutamanya jika jejaring kalis serangga diguna pakai.
* Hasil lebih tinggi , boleh mencapai sehingga 700% atau tujuh kali ganda.
* Pengurusan tanaman yang lebih sistematik.

Monday, January 10, 2011

Kecekapan pendidik bentuk generasi masa depan


ROSMAH Mansor menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) Dalam Pendidikan K-12 di Riyadh, Arab Saudi, semalam.


RIYADH 9 Jan. – Antara cabaran paling besar yang dihadapi guru dan pendidik masa kini ialah sama ada mereka memiliki kecekapan yang secukupnya dalam mempersiapkan dan membentuk generasi akan datang, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, profesion sebagai pendidik pada era globalisasi berdepan dengan cabaran yang lebih besar berbanding pada era sebelum ini.

“Berlalu sudah zaman di mana pelajar menjadi pendengar setia, tanpa banyak benda lain yang boleh menarik tumpuan mereka daripada memberi perhatian kepada guru dan buku.

“Hari ini, dengan revolusi yang dibawa oleh ICT (teknologi komunikasi maklumat), pengajaran dan pembelajaran tidak lagi terkepung di dalam bilik darjah semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya bertajuk ‘Kompetensi Guru Dalam Membentuk Generasi Akang Datang’ pada Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) Dalam Pendidikan K-12 di sini hari ini.

Dalam ucaptama 30 minit itu, Rosmah yang juga pengerusi jawatankuasa kerja dasar Permata Negara berkata, kecekapan pada abad ke-21 menuntut guru memiliki kecekapan di luar batas bidang kandungan atau pengetahuan serta kemahiran mudah untuk membolehkan mereka memenuhi tuntutan kontemporari dan masa depan yang kompleks.

“Kecekapan ini termasuk berhubung pemikiran kritis dan penyelesaian masalah kreativiti dan inovasi, ketangkasan dan kebolehsesuaian, kepintaran dan keusahawanan, semangat ingin tahu dan imaginasi untuk meningkatkan keupayaan dalam urusan pembelajaran sepanjang hayat,” kata Rosmah.

Di samping itu, kata beliau, guru juga perlu memiliki pengetahuan dan kepakaran untuk membentuk pengalaman pembelajaran bersifat produktif serta mampu mengenal pasti gaya pemikiran dan pembelajaran pelajar.

Beliau berkata, oleh kerana dalam bidang pendidikan tidak wujud pendekatan yang mampu memenuhi keperluan semua kelompok pelajar, maka seseorang guru yang cekap perlu memahami dan mampu memenuhi keperluan pelbagai gaya pembelajaran pelajar.

Sesetengah pelajar mampu memahami pelajaran lebih cepat daripada pelajar lain, manakala pelajar istimewa pula mampu menyempurnakan silibus dalam masa separuh daripada tempoh biasa yang diperlukan.

“Oleh itu, guru perlu memiliki kepekaan tinggi tentang kadar penyerapan ilmu yang berbeza antara pelajar dan perlu memiliki kemampuan untuk mengendalikan kelas secara interaktif, menarik dan berkesan.

“Ini melibatkan penggunaan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran, termasuk peralatan teknologi komunikasi maklumat,” katanya.

Rosmah berkata, generasi hari esok perlu sedar tentang tentang isu kemasyarakatan yang bersifat global, faham tentang integrasi ekonomi, menghargai hubung kait dan keperluan pergantungan antara manusia, menghormati dan memelihara kepelbagaian budaya serta memahami tentang kesan tindakan manusia terhadap alam sekitar.

“Persoalannya ialah sudahkah kita memupuk pengetahuan yang diperlukan itu dalam diri anak-anak kita untuk membolehkan mereka menjadi pemimpin dan warga yang baik serta bertanggungjawab untuk membentuk masa depan dunia?

“Adakah kita mendidik mereka supaya berusaha ke arah mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan teknologi serta memupuk dan membentuk masyarakat yang harmoni, yang mengambil kira kebajikan anggotanya?” tanya beliau.

Pendekatan pendidikan ini, kata beliau, memerlukan kefahaman lebih mendalam tentang masalah global dan mengutamakan cara beretika untuk memajukan, mengguna pakai dan mengamalkan teknologi serta komited terhadap tadbir urus yang betul dan amalan terbaik secara global, kata beliau.

“Untuk membentuk hari esok yang lebih baik, kita perlu memulakan langkah hari ini juga dan kita perlu memastikan anak-anak kita dipersiapkan sepenuhnya untuk menghadapi sebarang cabaran yang mungkin mereka hadapi.

“Oleh kerana para guru mempunyai peranan amat penting dalam aspek ini, kita perlu memantapkan kecekapan mereka agar mereka mampu memberi yang terbaik dalam apa jua perkara yang mereka lakukan,” katanya.

Persidangan itu dianjurkan Kementerian Pelajaran Arab Saudi di bawah naungan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah Bin Abdul Aziz, yang bertujuan mengeratkan gandingan antara kerajaan, pertubuhan awam dan sektor swasta untuk menyokong TQM dalam Pendidikan K-12. – BERNAMA

Monday, November 8, 2010

Disleksia bukan OKU

Setiap insan dilahirkan dengan ciri berbeza. Perbezaan inilah menjadikan setiap individu itu istimewa. Begitu juga dengan kanak-kanak yang disahkan mengalami disleksia.

Mereka hanya mengalami sejenis gangguan dalam pembelajaran ketika peringkat kanak-kanak dan bukanlah sejenis penyakit.

Kebiasaannya, kanak-kanak dengan disleksia mengalami gangguan membaca, menulis, mengeja dan mengira walaupun mereka mempunyai pemikiran yang normal.

"Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukan bodoh, apatah lagi tergolong dalam golongan orang kurang upaya (OKU). Mereka sebenarnya cerdik. Cuma mereka mengalami masalah pembelajaran.

''Disebabkan mereka istimewa, kaedah pengajaran juga perlu istimewa dan pastinya ia berlainan dengan kanak-kanak lain," kata Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin.

Menurut beliau, setiap individu disleksia mengalami kecelaruan berbeza antara satu sama lain. Walaupun begitu karakter biasa adalah kesukaran mengeja, memproses fonologi (bunyi) dan tindak balas visual-verbal.

Sebagai contoh sesetengahnya mempunyai masalah menyebut perkataan yang panjang.

Bukan kerana tidak boleh menyebut, tetapi mereka keliru untuk menyusun suku kata dengan betul, katanya.

"Misalnya jika disuruh mengeja perkataan istimewa mereka mampu mengeja dengan betul, tetapi bila disuruh eja perkataan diam ia menjadi "diyam" kerana mereka mengeja mengikut bunyi," kata beliau.

Selain itu, katanya, kanak-kanak disleksia juga sering mengalami masalah mengeja perkataan yang mempunyai konsonan berturutan seperti 'ng' dan 'ny.'

Disebabkan kesukaran mengikut turutan itu menjadikan mereka mudah lupa mengenai turutan seperti sifir dan nama hari.

Masalah disleksia, katanya, boleh diperbaiki seandainya kanak-kanak terbabit diberi bantuan awal sebelum mereka memasuki persekolahan lagi.

Mengikut perangkaan, kata beliau, 400,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami disleksia dan bermakna setiap dua daripada 20 kanak-kanak mengalami masalah itu.

Kata beliau, disleksia boleh dikesan ketika kanak-kanak tadi di peringkat prasekolah lagi. Seandainya mereka masih tidak boleh membaca atau gagal mengenali abjad biar pun sudah setahun menduduki kelas, mereka patut diberi perhatian.

"Masalah berlaku apabila ibu bapa tidak mengambil serius dan menganggap ia perkara biasa. Lalu masalah ini berlanjutan ke peringkat sekolah rendah.

"Ketika ini baru mereka mula menyalahkan anak dengan menganggap dia bodoh, pemalas dan lembap. Ini merosakkan anak itu sendiri," katanya.

Bagi Sariah, masalah disleksia di Malaysia kurang diberi perhatian dan tiada kajian khusus mengenainya. Ini berbeza jika dibandingkan dengan negara-negara Barat yang mengambil serius masalah seperti ini.

Tidak hairanlah andai beberapa individu berjaya seperti bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dan pelukis terkenal, Leonardo Da Vinci merupakan bekas penghidap disleksia.

Sebagai persatuan yang bertanggungjawab dengan masalah berkaitan, Persatuan Disleksia Malaysia kata Sariah menyediakan kelas khas bagi kanak-kanak sebegini.

Menurutnya, kaedah dan persekitaran sekolah tersebut semestinya berbeza dengan biasa dan sebagai sebuah NGO, terdapat beberapa kekangan yang membataskan perjalanan usaha mereka.

"Kami mempunyai tempat dan kewangan yang terhad. Begitu juga dengan bilangan guru. Di ibu pejabat, kita mempunyai lima orang guru yang setiap seorang diberi tanggungjawab menyelia maksimum lima orang murid," katanya.

Menurut beliau, kanak-kanak disleksia perlukan lebih perhatian dan penekanan. Jika mereka ditempatkan di dalam kelas yang ramai, masalah akan berlaku.

Sebelum diterima masuk, mereka akan diberi penilaian untuk mengenalpasti masalah yang dialami. Jelas beliau lagi, jika sekadar disleksia, proses pembelajaran kanak-kanak tadi tidak sukar.

Bagaimanapun, bagi kanak-kanak disleksia yang mengalami masalah lain seperti hiperaktif, ADHD dan sebagainya ia lebih sukar.

Menurut Sariah, menyedari kaedah pengajaran kanak-kanak disleksia berbeza dengan kanak-kanak biasa, pihaknya mencipta satu suasana yang tidak terlalu stres seperti di dalam bilik darjah biasa.

Kelas dalam bentuk kumpulan kecil yang dipenuhi pelbagai aktiviti menguji minda menarik minat mereka.

Selain ibu pejabat di Jalan Ampang Hilir, Persatuan Disleksia Malaysia juga mempunya cawangan lain di Titiwangsa (Kuala Lumpur), Subang Jaya, Tanjong Bungah (Pulau Pinang), Ipoh (Perak), Bandar Indera Mahkota (Pahang), Taiping (Perak) dan Langkawi (Kedah).

Saturday, August 14, 2010

Himpunan Mutiara Kata

"Tidak semua yang kita ingin mampu kita perolehi sebagaimana tidak semua yang kita perolehi adalah yang kita inginkan"


"Kejayaan adalah tangga yang tidak dapat anda panjat dengan tangan di dalam poket"


"Orang yang selalu bersedih akan sukar mencapai apa yang dicita-citakan"


"Manusia yang berjaya akan memperolehi keuntungan daripada kesilapannya, dan mencuba lagi dengan cara yang lain"


"Kegagalan bermakna bahawa anda belum berjaya lagi"


"Ingatlah bahawa anda boleh gagal dalam apa sahaja dalam hidup asalkan tidak menjadi seorang yang gagal"


"Kegagalan bukan bermakna anda tidak mencapai apa-apa.Ia bermakna anda telah mempelajari sesuatu"


"Wang bukanlah segala-galanya, namun ia pasti menjadi penghubung dengan anak-anak anda"


"Ramai orang yang masih bergantung kepada kerja-kerja yang bergaji rendah kerana mereka takut gagal jika mencuba kerja lain"


"Nafsu mengatakan wanita cantik atas dasar rupanya, akal mengatakan wanita cantik atas dasar ilmu dan kepandaiannya, dan hati mengatakan wanita cantik atas dasar akhlaknya"


"Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah"


"Perkara yang paling manis dalam dunia ini ialah pujian seorang kekasih daripada perasaan cintanya. Ia lebih manis daripada madu yang paling enak di dunia ini"


''Bercakaplah yang benar walaupun ianya pahit''


''Sesungguhnya Allah s.w.t itu tidak melihat kepada tubuhmu, tidak pula melihat bentuk rupamu, tetapi Dia melihat kepada hatimu''


''Janganlah takut mencuba sesuatu yang baru, asalkan kalau kita yakin dengan kebaikan yang akan diperolehinya


''Janganlah mudah kita melemparkan kata-kata nista kepada orang lain sebab mungkin orang yang dinista itu lebih baik daripada kita. Orang yang baik juga sentiasa menjaga lidahnya daripada menyakiti hati orang lain''


Fikirkanlah dosa dan pahala... lalu laksanakanlah yang berpahala dan tinggalkan yang berdosa''


'Orang Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada orang Mukmin yang lemah''


''Berbuat baiklah, sesungguhnya Allah s.w.t menyukai orang-orang yang berbuat baik''


''Jadikanlah hari ini lebih baik dari hari semalam''


''Tidak akan masuk syurga bagi orang yang memutuskan silaturrahim'.


''Tunaikanlah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita dengan jujur''


''Berusahalah untuk menjadi kawan yang setia... .kita tetap bersama walaupun dalam keadaan yang susah''


''Ingatlah, kita tidak akan menjadi miskin atau susah hanya kerana kita berkongsi sedikit daripada harta kita dengan orang lain''


''Tidak kira betapa kecil atau besar sumbangan yang boleh kita berikan, yang penting kita berusaha sebaik mungkin dengan keupayaan yang ada pada diri kita''


''Sesuatu kejayaan adalah lebih bermakna apabila ia disertai usaha yang bersungguh-sungguh... orang yang mudah berputus asa tidak mungkin beroleh kejayaan yang cemerlang. Biarlah bersusah dahulu, asalkan senang kemudian''


''Pentingkan yang lebih penting kerana yang lebih penting itu lebih penting dari yang penting''


''Jangan terlalu memandang tinggi kepada orang lain sehingga memandang rendah kepada diri sendiri''


"Penghalang kepada kejayaan adalah fikiran sendiri, bukannya kecacatan atau kekurangan"


''Seorang anak tidak akan mengetahui kasih sayang ibu bapanya terhadapnya sehinggalah dia mempunyai anak sendiri''


"Kawan yang sebenar ialah seorang yang dapat menerima diri kita yang sebenar"


"Masa adalah sekolah di mana kita belajar. Masa adalah api di dalamnya kita terbakar"


"Manusia mesti menamatkan peperangan, jika tidak peperangan akan menamatkan manusia"


"Arus masa depan telah tiba & tiada cara melawannya"


''Kisah cinta yang sebenarnya tiada akhirnya''


"Bukti terbaik cinta ialah kepercayaan"


"Kita lebih banyak berusaha untuk menegakkan benang basah daripada berusaha memperbaiki kelemahan diri"


"Jika kita melakukan sesuatu dengan keikhlasan, nescaya ganjaran yang kita terima juga setanding dengan apa yang kita usahakan"


"Semangat yang kuat mampu mengatasi apa sahaja cabaran yang datang"


"Selagi kita mencuba dan berusaha, selagi itulah kita akan beroleh apa yang kita hajati"


''Dendam adalah manis. Balasannya adalah pahit''


''Fikiran membawa kepada pekerjaan. Pekerjaan membawa kepada kejayaan. Kejayaan membawa kepada impian'' 

Friday, August 6, 2010

Ikhtiar Hidup Di Hutan

Ikhtiar Hidup Di Hutan adalah satu ilmu yang sangat berguna bagi sesiapa yang minat aktiviti kembara di kawasan perhutanan tropika seperti di negara kita ini.

Ilmunya mudah dipelajari. Yang penting ialah semangat untuk hidup dalam menghadapi berbagai masalah dan cabaran. Biasanya dengan semangat yang kental, berbagai masalah dapat diatasi, termasuk berikhtiar mencari jalan keluar dengan selamat. Namun begitu tidak ada jaminan bahawa semua ikhtiar hidup pasti akan berjaya. Tetapi sekurang-kurangnya kita mesti cuba seberapa daya kearah kejayaan.

Kita perlu ketahui bahawa didalam hutan bukanlah seperti di pekan atau di kampung dimana berbagai barangan dan bahan sentiasa boleh dibeli untuk makan atau diguna bagi keselesaan hidup. Jadinya setiap orang yang minat mengembara ke hutan harus membuat persiapan yang mencukupi. Dengan kata lain beliau perlu membawa pakaian yang sesuai dan peralatan serta makanan yang mencukupi bagi tempoh kembaraannya.

Bekalan dan peralatan yang patut dibawa untuk kembara di hutan ialah:

. Khemah, beg tidur dan tikar getah
. Macis, pemetik api, parang, lampu picit serta bateri
. Peta, kompas
. Beras, kopi, teh, gula, garam, minyak masak
. Ikan kering, cili kering, bawang, kunyit, rempah dsbnya
. Periok, pinggan dan sudu plastik serta pisau dapur
. Makanan ringan seperti Mi sedia atau biskut kering
. Sepasang baju dan seluar panjang, topi serta kasut dan stoking
. Sepasang baju dan seluar ganti serta sehelai sarong
. Ubat dan alatan pertolongan cemas serta peralatan dandanan

Peralatan Ikhtiar Hidup
Persediaan diatas amat sempurna untuk ke hutan. Tetapi biasanya bagi seseorang yang hilang di hutan, peralatan tersebut jarang sekali dibawa bersama sebab terlalu berat atau tidak dirancang untuk tinggal lama di hutan.

Oleh itu selain pakaian, peralatan yang harus dibawa adalah seperti berikut:

. Macis, pemetik api dan parang
. Lampu picit dan bateri
. Ubat pertolongan cemas wisel dan peralatan dandanan
. Hammock (buaian) dan ponco
. Kain jarang (untuk tutup muka dan badan sewaktu tidur)
. Sarong tangan

Hammock diikat di pokok dan jadikan buaian untuk tidur. Ponco diguna sebagai bumbung untuk megelak dari hujan. Kain jarang dipakai sebagai selimut dan sarong tangan bagi mengelak dari gigitan nyamuk.

Peralatan Terpenting
Jika senarai peralatan diatas tidak juga dibawa, maka yang paling terpenting dibawa ialah:

. Macis atau petik api
. Parang

Tanpa kedua barangan diatas, ikhtiar hidup masih lagi dilakukan. Tetapi ia bertambah sukar. Sebabnya api penting dalam usaha ikhtiar hidup. Bagitu juga parang yang sangat berguna menebang dan memotong kayu untuk membuat tempat perlindungan atau memotong buluh untuk alat memasak.

Membina Perlindungan
Yang utama dalam Ikhtiar Hidup di hutan ialah membina sebuah perlindungan atau dangau untuk tempat tidur serta berteduh dari hujan.

Membina dangau mengambil masa lebih kurang selama 3 jam. Yang penting ialah mengumpul bahan binaan seperti kayu atau
buluh serta daun dan akar atau rotan yang boleh dikutip diatas
tanah atau dipotong dari pokok-pokok yang terdapat dikawasan berhampiran.

Setelah bahan-bahan tersebut dikumpul, 4 batang kayu panjang dipacak diatas tanah dengan secukup kejapnya menjadi satu struktur 6 kaki tinggi, 7 kaki panjang dan 4 kaki lebar. Kemudiannya stuktur ini kira-kira pada ketinggian 3 kaki dari tanah diikat dengan rotan kepada 4 batang kayu atau buluh untuk di lapik dengan beberapa batang kayu kecil sebagai lantai. Batang kayu tambahan dipakai bagi memperkuatkan lantai. Seterusnya daun-daun lebar diikat disebelah atas dangau sebagai bumbung.

Dangau yang siap memberi semangat kepada penghuninya untuk hidup. Sekurang-kurangnya ia memberi perlindungan dari cuaca buruk dan biasanya binatang hutan akan berelak dari kawasan tersebut. Lebih-lebih lagi jika api dipasang ditepinya

Mencari Air dan Makanan
Walaupun hutan merupakan satu kawasan yang mengelirukan bagi seseorang yang tersesat didalamnya, ia mempunyai berbagai pokok-pokok dan tumbuhan serta makanan yang boleh menyelamatkan nasib simalang. Pertamanya hutan sentiasa mempunyai sumbar air untuk minum. Banyak sungai-sungai kecil yang terdapat di hutan. Kadang-kadang terdapat air terjun di lereng-lereng bukit yang airnya bersih untuk di minum.

Air sungai yang keroh pula boleh juga di minum selepas di tapis dengan pasir dan batu. Untuk lebih selamat air boleh dimasak bagi menghapus bakteria yang berbahaya.

Untuk makan, hutan sebenarnya mempunyai berbagai bahan yang boleh mengisi perut yang lapar. Umpamanya di sungai kecil pun ada banyak ikan yang boleh ditangkap dengan mengguna berbagai cara mudah. Bubu boleh dibuat dari buluh dan diikat dengan rotan. Kemudian bubu ini diletak di saloran air yang biasa dilalui ikan. Untuk menentukan ikan akan mengikut arus ke dalam bubu, permukaan bahagian anak sungai berkenaan boleh ditambak dengan tanah atau batu supaya arus airnya disalorkan melalui kawasan yang dikenakan bubu. Cara demikian boleh menghasilkan banyak ikan terperangkap didalam bubu.

Selain dari ikan, terdapat berbagai tumbuhan di hutan yang boleh dimakan. Rebung umpamanya mudah didapati di rumpun-rumpun buluh. Malahan nasib seseorang yang hilang akan berubah jika ia menemui pokok buluh di hutan. Batang buluh berguna untuk membuat tiang dan lantai dangau. Daunnya boleh disusun dan diselit di bahagian atas dangau sebagai bumbung dan rebungnya boleh dimasak atau pun dimakan sebagai ulam.

Pokok pisang dan pokok ubi juga banyak terdapat di hutan. Kadang-kadang kalau nasib baik mungkin terjumpa pokok buah cempedak atau langsat dan durian. Walaupun pisang, ubi, cempedak, langsat dan durian hutan tidak bagitu sedap seperti yang ditanam di kampong, makanan ini sangat perlu untuk hidup.

Tempat yang mudah mencari sumbar makanan di hutan ialah di kawasan tebing sungai. Biasanya pokok seperti nipah, bayas, rotan, pegaga, terung belanda, senduduk, teratai dan lain-lain tumbuh dikawasan tepi air. Semuanya yang disebut diatas boleh dimakan. Batang bayas pula boleh ditebang dan umbutnya sangat sedap dimakan. Sebatang umbut bayas dengan ukuran 4 kaki panjang boleh menjadi bekalan makanan untuk 2 atau 3 orang beberapa hari.

Menyedia Api
Dari sudut ikhtiar hidup di hutan, api dianggap paling pentng. Oleh itu seseorang yang memasuki hutan sudah tentu membawa macis atau petik api.

Api boleh dinyalakan dengan membakar ranting-ranting kecil serta daun kering yang diatur dalam bentuk tepee atau piramid setinggi 1 atau 2 kaki. Apabila ranting ini menyala dengan baik, ranting-ranting yang lebih besar dimasukkan supaya apinya akan menjadi lebih kuat.

Seterusnya batang-batang kayu sebesar paha ditambah kepada api yang membara sehinggalah ia menjadi cukup besar untuk berbagai guna. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai macis atau pemetik api, tidak bermana ia tidak boleh berusaha membuat api. Malahan ada berbagai cara bagi membuat api.

Masyarakat dizaman silam memang mengguna berbagai cara untuk mendapat api.Antaranya ialah dengan menggesek batu untuk menghasilkan percikan api yang kemudiannya di tangkap oleh daun kering menjadi bara. Bara itu ditiup sehingga ia menyala menjadi api. Ada juga api dihasilkan dengan menggunakan 2 jenis kayu. Satu kayu lembut yang dijadikan dulang dan satu kayu keras yang dipakai sebagai pengguris. Dihujung kayu dulang itu dibuat satu lubang untuk mengumpul habuk kayu akibat penggurisan bertubi-tubi keatas dulang oleh kayu keras. Apabila kayu pengguris itu digeselkan tidak berhenti-henti haba panas akan dirasai diikuti dengan asap yang keluar dari bakaran bara habuk kayu yang terperangkap dalam lubang dulang. Bara yang panas itu dipindah keatas daun-daun dan ranting-ranting kering yang telah disediakan. Apabila ditiup bara itu akan menyala dan apinya boleh diguna untuk masak.

Memasak
Memasak tanpa periuk atau kuali boleh dibuat dalam keadaan terdesak. Batang buluh boleh dijadikan alat memasak seperti yang digunakan oleh masyarakat Melayu membuat lemang. Umpamanya ikan yang ditangkap dengan bubu boleh dibalut dengan daun dan dimasukkan kedalam buluh yang disediakan. Seterusnya air secukupnya dimasukkan ke dalam buluh. Kemudiannya buluh itu disandarkan ketepi api untuk memasakkan ikan. Setelah masak, buluh itu dibelah untuk mendapat ikan dan kuahnya.

Sayur juga boleh direbus dalam buluh sebelum dimakan. Mungkin kalau tidak sabar menunggu masakan dalam buluh, ikan boleh dipanggang diatas bara api dengan menggunakan buluh sebagai pengapit ikan.Ubi juga boleh dibakar diatas bara api sebelum dimakan.

Menunggu Bantuan
Dengan adanya tempat perlindungan dan bahan makanan maka besar kemungkinan orang yang hilang itu dapat bertahan seberapa lama mungkin sebelum tiba anggota mencari dan menyelamat untuk menamatkan penderitaan yang dihadapinya.

Mencari Jalan Keluar
Sekiranya pihak yang hilang itu lebih daripada satu orang dan berkemampuan untuk mencari jalan keluar dan mendapat bantuan, maka mereka harus merancangnya dengan cara teratur. Pilih 2 orang yang cergas diantara mereka untuk menuju kearah perkampungan manusia diluar hutan. Jika ada anak sungai berdekatan, maka sebuah rakit boleh dibina dengan menggunakan buluh-buluh atau kayu yang dikumpul. Rakit itu dibawa ke sungai dan dinaiki oleh 2 orang yang dipilih untuk mencari pertolongan. Mereka juga diberi bekalan makanan supaya tidak kelaparan.

6 Cara Penjagaan Tayar Kenderaan

Tayar komponen paling utama dan terpenting bagi sesebuah kenderaan. Jika rosak, ia boleh menyebabkan kemalangan, sekali gus mengancam nyawa pemandu dan penumpang tanpa diduga.

Cuba periksa tayar kereta anda. Perhatikan di antara satu bunga tayar dengan satu bunga tayar lain terdapat satu penyambung. Jika penyambung itu mempunyai ketinggian yang sama dengan bunga, ini bermakna ia perlu ditukar dalam tempoh tiga hingga empat bulan, bergantung kepada sekerap mana anda menggunakan kenderaan.

Berikut beberapa panduan apabila anda mahu menukar tayar kereta.

Pertama
Pilih saiz yang sesuai dengan keupayaan kereta kita. Sebagai contoh, jika Proton Wira 1.3 dan hendak menggunakan sport rim, cukuplah setakat saiz rim 14 inci kerana jika menggunakan saiz 15 inci, kekuatan pecutan kereta akan menurun, speedometer tidak merekodkan bacaan tepat, semua peralatan penyerap hentak akan lebih pendek jangka hayat.

Kedua
Selepas mendapat saiz sesuai,Perhatikan di bahagian tepi tayar. Terdapat satu rangkaian nombor yang dicetak tenggelam ke permukaan tepi tayar. Sebenarnya rangkaian nombor ini memberikan kita maklumat mengenai tarikh tayar dikilangkan (minggu dan tahun).

Maklumat ini kita boleh gunakan untuk tujuan keselamatan. Mengikut piawaian tayar antarabangsa, ia hanya boleh bertahan selama dua tahun selepas dikilangkan.

Ketiga
Mengenai saiz, cuba perhatikan rangkaian nombor dan huruf yang tercetak timbul di permukaan tepi tayar. Sebagai contoh 205/50 VR 16 bermaksud tayar itu mempunyai kelebaran 205 mm, ketebalan (dari rim ke permukana jalan) adalah 50 peratus daripada kelebaran 205 mm dan untuk kegunaan rim bersaiz 16 inci. Huruf VR bermaksud, tayar itu sesuai untuk kelajuan sehingga 240 km/j tanpa menjejaskan kekuatan dan ketahanan tayar.

Keempat
Kebanyakan kita lebih suka memilih tayar import. Bagaimanapun, kebanyakan tayar berkenaan dibuat berdasarkan iklim dan apabila digunakan di Malaysia yang panas terik, jangka hayatnya lebih pendek.

Kelima
Tayar sepatutnya ditukar kedudukannya setiap tiga bulan. Caranya, tayar depan kiri ditukarkan ke kanan belakang dan tayar depan kanan ditukarkan ke kiri belakang.

Keenam
Sekiranya kadar kehausan bunga di bahagian tepi kiri dan kanan lebih cepat berbanding di tengah, ini bermaksud selama tekanan angin tayar kurang.