Pages

Tuesday, May 4, 2010

Doa malaikat, pahala besar buat jemaah bersolat di saf depan

Kita biasa melihat jemaah yang memenuhi saf depan ketika bersolat jemaah di masjid atau di surau, kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas. Kalau ada anak muda sekali pun, maka ia boleh dihitung dengan jari.

Yang muda, yang gagah bertenaga dan belia remaja santai lebih selesa bersolat di barisan saf belakang. Tahukah kita bahawa beruntungnya jika kita bersolat di saf paling hadapan kerana kita akan didoakan oleh malaikat dan mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW ada berpesan kepada kita semua: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat berselawat kepada orang yang berada di saf yang pertama.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Inilah bukti anjuran Islam dalam menggalakkan umat agar berebut untuk menunaikan solat di barisan pertama.

Kemudian Rasulullah SAW juga mengatakan bahawa jika manusia mengetahui fadilat bersolat di saf hadapan, nescaya mereka berebut-rebut untuk mendapatkan tempat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Jadi, seharusnyalah kita sebagai umat Islam bermotivasi untuk berada di saf depan ketika melaksanakan solat berjemaah. Sekarang marilah kita secara jujur meninjau keadaan di masjid dan surau ketika ini yang menunjukkan betapa ramai di kalangan kita sudah tidak menghiraukan akan pesanan Nabi kita agar mengambil peluang untuk berada di saf depan.

Dalam keadaan dewasa ini, kita terpaksa akui bahawa kebanyakan daripada kita sudah tidak mementingkan kelebihan berada di saf depan ketika menunaikan solat. Apa yang penting, asalkan solat berjemaah saja?

Marilah kita ghairah untuk merebut tempat di saf pertama setiap kali mendirikan solat berjemaah. Tanamkan azam yang mantap supaya kita tidak ketinggalan saf itu. Untuk menjayakan visi itu maka hendaklah kita segera ke masjid untuk solat berjemaah.
Marilah kita hayati peringatan Nabi SAW ini: “Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan.” (Hadis riwayaat Abu Daud, At-Tirmidzi).

Ini ada satu kisah bagaimana Nabi SAW mendidik sahabat dalam mengerjakan solat berjemaah. Daripada Sa’ed Al-Khudry R.A. bahawa Rasulullah SAW mendapati ada di kalangan sahabatnya melambat-lambatkan diri mereka untuk menyertai saf pertama, lantas Baginda SAW mengingatkan mereka:

“Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka.” (hadis riwayat Muslim). Perhatikan baik-baik akan sabda Nabi SAW itu. “….akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan meninggalkan saf yang pertama…”. Mungkin kitalah kaum yang dikatakan Nabi SAW itu? Fikir dan renungkanlah.

Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW ada mengatakan: “Hadirilah solat Jumaat, dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan berterusan menjauhkan sehingga ia akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun ia memasukinya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Sewajarnya pesanan Nabi SAW itu menjadi pedoman buat kita supaya tidak membiarkan diri memilih saf belakang untuk bersolat jemaah di masjid. Jangan biarkan diri kita berasa selesa dan seronok bersolat di saf belakang, sebaliknya mulalah memilih dan segera mara ke saf paling depan dan hampir dengan imam.

Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa solat berjemaah yang berkualiti ialah solat seseorang yang di saf paling hadapan. Inilah golongan yang didoakan malaikat dan mendapat jaminan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

Ramai sedar pelan persaraan tetapi tidak bertindak - Citibank

Kajian terbaru Ciitibank Bhd. (Citibank) mendedahkan ramai yang tidak memiliki pelan persaraan meskipun mereka menyedari penting untuk memilikinya.

Citibank ketika mendedahkan kajian tabiat pengurusan kewangan terbaru, Citi Fin-Q 2009 yang dijalankan tahun lalu, mendapati hanya 27 peratus daripada 500 responden mempunyai pelan berkenaan.

Ketua Perniagaan Pelaburannya, Jeremy Ho berkata, meskipun wujud kesedaran yang tinggi, tindakan selanjutnya adalah bergantung kepada keputusan individu.

Beliau berkata, seseorang itu tidak perlu menjadi kaya terlebih dahulu untuk mempunyai pelan persaraan rasmi, tetapi sebaliknya mengambil langkah pelaburan yang bijak.

Katanya, mana-mana individu boleh mendapatkan khidmat rundingan dengan institusi kewangan bergantung kepada kestabilan kewangan masing-masing.

''Citibank juga mempunyai perkhidmatan rundingan mengenai pelbagai aspek pelaburan termasuk persaraan. Ia memberi pilihan kepada pelanggan untuk membuat pelaburan bijak masing-masing,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Mengulas lanjut tentang kajian Citi Fin-Q 2009, beliau berkata, kajian itu merupakan kali ketiga dilaksanakan oleh Citibank di seluruh Malaysia membabitkan 500 responden yang dipilih secara rawak menerusi laman webnya sekitar Oktober tahun lalu.

Ho berkata, kajian itu menunjukan 42 peratus juga amat mengetahui apa yang ingin dilakukan dengan wang gaji masing-masing dalam tempoh enam bulan tersebut manakala 51 peratus pula mempunyai idea yang baik tentang melaburkannya.

Beliau menambah, kajian itu turut melaporkan sebanyak 74 peratus responden mengetahui tentang kepentingan persaraan dan menyedari mereka akan menuju ke arah tersebut.

"Apabila seseorang berada di tahap usia masih muda, mereka belum memikirkan untuk memiliki sebarang pelan persaraan sebaliknya memberi tumpuan kepada mengumpul harta dan kekayaan,'' katanya.

Ketika ditanya sama ada kajian itu menunjukkan terdapat perubahan dalam aliran pelaburan di kalangan responden, Ho menambah, ia menunjukkan peningkatan dalam pengurusan kewangan.

Katanya, sebanyak 53 peratus responden berkata, mereka mahu membuat pelaburan dalam saham dan unit amanah manakala 48 peratus lagi pula melabur di dalam simpanan tetap.

"Setelah kegawatan ekonomi memberi kesan pada separuh kedua 2008 dan separuh pertama 2009, rakyat didapati semakin berhati-hati dalam pelaburan masing-masing dan memilih untuk melabur dalam simpanan tetap.

"Namun, sekarang, kami meramalkan aliran itu akan berubah iaitu semakin ramai yang akan membuat pelaburan dalam saham dan unit amanah sejajar dengan pemulihan ekonomi,'' tambah beliau.

Peluang guru menulis

Pendidik yang berminat untuk menghasilkan buku dalam bidang pendidikan, pengurusan dan pentadbiran boleh menemui Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. untuk merealisasikan impian anda.

Pengarah Urusannya, Mok Sheau Bin berkata, syarikatnya bersedia menjadi platform kepada pendidik yang berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing untuk diterbitkan sama ada dalam bahasa Melayu, Inggeris atau Mandarin.

Menurut beliau, mereka yang berminat boleh bertemu dengannya atau wakil syarikat di Festival Hari Guru (FHG) 2010 anjuran Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran di East Coast Mall, Kuantan, Pahang pada 13 hingga 16 Mei ini.

Penyertaan itu, ujar Sheau Bin, akan mengukuhkan lagi penerimaan masyarakat umum dan warga pendidik khasnya terhadap produk terbitan syarikat yang ditubuhkan pada 2005 itu.

"Pada peringkat awal kami hanya menerbitkan buku-buku bagi memenuhi keperluan guru pelatih sahaja tetapi kini terdapat lebih daripada 100 tajuk dalam pelbagai peringkat pendidikan, pengurusan dan pentadbiran bermula dari sekolah menengah sehingga ke tahap kolej dan universiti," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya lagi, melalui penglibatan dalam FHG, syarikat itu berharap dapat memberi sumbangan dalam bidang pendidikan negara terutamanya dalam penerbitan buku berbahasa Melayu.

Pada masa sama, kata Sheau Bin, pihaknya berharap usaha ini akan menarik minat lebih ramai guru dan pensyarah untuk turut sama memberi sumbangan idea dan sukatan dalam menerbitkan buku sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme mereka.

"Ia juga akan membantu dalam memberi peluang kepada guru-guru untuk meneruskan pembelajaran sepanjang hayat selain dapat meningkatkan mutu pendidikan negara," jelas Sheau Bin.

Penerbitan Multimedia, jelasnya, amat menggalakkan pensyarah khususnya dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk berkarya menghasilkan buku-buku bermutu yang memenuhi aspirasi bakal guru, pendidik dan generasi 1Malaysia.

Selain itu, katanya, buku-buku dan bahan rujukan yang diterbitkan memenuhi keperluan semua peringkat perguruan dari Gred 17 hingga Gred 54 yang lengkap dan terbaru serta menepati format peperiksaan terkini.

Produk lain terbitannya termasuk buku Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), komik subjek Sejarah Tingkatan satu hingga lima, set perpustakaan, bahan sokongan pembelajaran berbentuk perisian multimedia, bahan rujukan dan latihan peperiksaan guru di samping pelbagai rangkaian tajuk buku pendidikan bagi pelajar IPGM, institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan IPT swasta.

"Bahan rujukan dan set perpustakaan yang dikeluarkan sesuai digunakan oleh guru di sekolah, Jabatan Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri yang boleh dijadikan bahan bacaan umum dan khusus untuk tujuan pembelajaran sepanjang hayat," ujarnya.

Beliau memberitahu, Penerbitan Multimedia turut berjaya memenuhi keperluan para penjawat awam khasnya dari Kementerian Pelajaran Malaysia dalam aspek kemajuan kerjaya.

"Kami diiktiraf sebagai penerbit bahan rujukan peperiksaan PTK yang produktif dan berautoriti," katanya.

Monday, May 3, 2010

Mahasiswa OKU terima bantuan kewangan tambahan

TEMERLOH 3 Mei – Penuntut orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan menerima kadar bantuan bulanan baru mulai Julai ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementerian itu akan memperuntukkan RM300 sebulan kepada penuntut OKU sebagai tambahan kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan yang diterima mereka ketika ini.

Beliau berkata, kadar baru itu berdasarkan keperluan masa kini dalam membantu mengurangkan bebanan hidup golongan berkenaan.

"Dengan bantuan baru ini, maka tiada lagi alasan mahasiswa OKU untuk tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi seperti mana orang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis gotong-royong dan beramah mesra dengan pelatih-pelatih Pusat Latihan Orang Buta Taman Harapan di sini, semalam.

Beliau berkata, pada masa ini, terdapat 979 mahasiswa OKU di IPTA seluruh negara yang mengikuti pengajian dalam pelbagai jurusan termasuk sastera, ekonomi dan undang-undang. – Bernama

Sunday, May 2, 2010

Kesatuan guru mohon ditimbang 11 insentif

KUALA LUMPUR 1 Mei - Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyenaraikan 11 insentif bagi golongan pendidik untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Penetapan insentif berkenaan dibuat pada Mesyuarat Khas Memartabatkan Profesion Perguruan yang diadakan oleh Kongres hari ini untuk dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran.

Presiden Kongres, Jamale Paiman berkata, insentif itu termasuk mewujudkan kaedah perkhidmatan bersepadu guru lulusan diploma dan ijazah, penambahbaikan struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kenaikan pangkat pegawai pendidikan lepasan diploma (PPLD), mewujudkan gred tambahan DGA40 dan penambahan staf sokongan.

Menurutnya, permohonan insentif itu telah dikemukakan dua tahun lepas dan pernah dibincangkan di peringkat menteri.

''Perkara yang dipohon merupakan kaedah terbaik dalam membentuk laluan kerjaya di sektor pendidikan. Ia bertujuan mengurangkan beban tugas guru,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.

Tambah Jamale, Kongres turut bersetuju supaya Kementerian Pelajaran mempertimbangkan untuk mempercepatkan pengesahan jawatan gred DGA34 dan DGA48, memperluaskan gred DG38 untuk guru besar dan pengelola cemerlang kepada semua jawatan manakala kedudukan pegawai pendidikan daerah (PPD) pada gred DG52 dan DG54.

''Di samping itu, kami berharap kementerian tidak meletakkan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam Kementerian Pelajaran serta mengambil semula guru bagi program pengajian Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF).

''Kami juga berharap kerajaan mengkaji peruntukan tuntutan perjalanan para pegawai kerana jumlahnya yang rendah menjejaskan tugasan pemantauan dan penyeliaan yang lebih kerap,'' katanya.

PIBG diminta tingkat usaha bantu tangani masalah sosial pelajar

KOTA KINABALU 2 Mei - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diminta supaya bergerak lebih aktif dalam memainkan peranan penting membantu usaha menangani masalah sosial di kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, peningkatan jumlah remaja yang terjebak dengan gejala sosial antara lain disebabkan kegagalan masyarakat mendidik dan memantau aktiviti harian mereka.

"Jadi saya berharap pihak PIBG akan memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pihak pengurusan sekolah demi memastikan pembangunan akademik dan sahsiah diri pelajar dapat dibentuk sebaik mungkin sekali gus menyumbang kepada prestasi cemerlang sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis perasmian program jualan pasar ria Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Likas di sini hari ini. - Bernama

Pengagihan wang ihsan kepada murid sekolah dikaji semula

BACHOK 2 Mei - Pengagihan wang ihsan daripada Kerajaan Pusat kepada lebih 100,000 pelajar miskin di sekolah rendah di Kelantan yang membabitkan peruntukan RM20 juta akan dikaji semula.

Pengerusi Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, ini berikutan keputusan kerajaan untuk meneruskan semula bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajaran Miskin (KWAPM) yang ditangguh sebelum ini berikutan ekonomi negara semakin pulih.

"Kita tidak mahu mereka menerima bantuan sebanyak dua kali berturut-turut”, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan berhubung pengagihan wang ihsan kepada penerima lain akan diketahui dalam tempoh terdekat selepas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed mendapat kelulusan Kabinet.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan RM5 juta untuk membantu keluarga yang menjadi mangsa bencana alam seperti ribut dan banjir serta waris kepada satu keluarga yang maut dalam kemalangan jalan raya akan diteruskan.

Dr. Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, ekonomi negara dijangka berkembang lebih lima peratus tahun ini. - Bernama