Pages

Monday, June 28, 2010

Tonton rancangan satelit dalam kereta


PERJALANAN jauh tidak lagi bosan dengan menyaksikan rancangan televisyen satelit kegemaran menerusi SelfSat.

SEBELUM ini rancangan hebat yang disiarkan melalui televisyen satelit pasti tidak akan dapat ditonton ketika anda sedang memandu.

Lebih menggeramkan ketika itu jalan raya sesak sebagai contoh ketika mahu pulang ke kampung berhari raya.

Malah dalam senario sekarang, ketika perlawanan Piala Dunia sedang berlangsung, kaki bola yang ingin menyaksikan perlawanan pasukan pilihan mereka pasti akan gigit jari ketika terperangkap di dalam kenderaan.

Namun kini tidak lagi dengan kehadiran SelfSat, sistem antena satelit mudah alih dengan piring satelit nipis dan ringan yang boleh digunakan pada apa jua jenis kenderaan yang bergerak.

Kehadiran SelfSat membuatkan hiburan keluarga ketika dalam perjalanan menjadi lebih mudah.

Pasti yang yang tertanya bagaimana fungsi SelfSat kerana jika di rumah, antena satelit yang ada perlu ditala ke darjah yang tetap dan jika ini tidak dilakukan, pastinya siaran televisyen satelit itu tidak akan diterima.

Teknologi dan pembuatan SelfSat dilakukan di Korea dan ini merupakan pertama kali produk itu diperkenalkan di Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif GW Distribution Sdn. Bhd. (GWD), pengedar tunggal SelfSat di Malaysia, Andy Ng, SelfSat boleh digunakan untuk menyaksikan semua rancangan televisyen satelit berbayar yang ada di Malaysia sekarang.

“Setakat ini, produk mudah alih SelfSat hanya boleh digunakan di Semenanjung ekoran antena satelit itu telah di tetapkan pada darjah satelit sedia ada.

“Kami akan membawa masuk antena satelit yang sesuai untuk Sabah dan Sarawak dan kemungkinan dalam tahun ini juga, pengguna di Malaysia Timur akan boleh menyaksikan rancangan popular satelit mereka tahun ini juga,” katanya.

Menurut Andy, pakej SelfSet yang berharga RM2,990 didatangkan dengan antena satelit dengan tiga warna pilihan, kabel dan Digisat Power Inseter yang merupakan nadi kepada penggunaan SelfSat.

“Mungkin ada yang bertanya apa akan terjadi jika antena satelit dicuri dan adakah mereka boleh menggunakan antena itu.

“Jawapannya mudah, tidak. Ini berikutan antena satelit SelfSat itu memerlukan Digisat Power Inserter untuk berfungsi dan mereka yang mencuri antena itu tidak akan dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Menurut Andy, pengguna hanya perlu mempunyai pakej televisyen satelit berbayar sedia ada, dekoder dan monitor untuk disambungkan dengan antena satelit SelfSat.

“Pemasangan adalah mudah cuma saya cadangkan pengguna memasang sistem ini di pusat aksesori kenderaan supaya kabel yang disediakan akan disambung dengan betul,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keadaan hujan yang sering mengganggu siaran satelit dirumah, Andy berkata, perkara itu tidak boleh dielakkan dan ia turut berlaku pada sistem SelfSat.

Menurutnya, selain hujan, kenderaan yang berada di bawah rimbunan pokok dan memasuki terowong juga akan turut mengalami gangguan siaran.

“Ia sama dengan sistem GPS (Sistem penentu global) yang kita gunakan sekarang, namun SelfSat yang sudah dicuba ketika pemanduan dari Johor bahru ke Kuala Lumpur dalam keadaan hujan menunjukkan ia tidaklah seteruk dengan apa yang terjadi di rumah,” katanya.

Selain boleh dipasang pada semua jenis kenderaan darat yang mempunyai bumbung dan SelfSat boleh juga dipasang pada bot atau atau kapal.

“Namun, pengguna SelfSat pada kapal hanya boleh menonton siaran satelit jika berada di dalam lingkungan Semenanjung Malaysia atau berhampiran selatan Thailand dan berdekatan Sumatera,” katanya.

Antena satelit SelfSat yang mempunyai berat 3.3 kilogram hanya menggunakan kuasa elektrik 500mA pada kadar maksimum.

Sasar 30 sekolah lagi berstatus SBT

SEREMBAN 27 Jun - Kementerian Pelajaran menyasarkan 30 sekolah mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) menjelang tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sasaran itu selari dengan pengumuman dan hasrat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mensasarkan 50 buah sekolah di seluruh negara untuk mendapat status SBT menjelang tahun 2012.

"Pada masa ini sudah 20 buah sekolah telah mencapai status itu, termasuk enam sekolah rendah di seluruh negara yang mencapai status ini. Maka untuk tahun ini kita akan memilih 30 buah sekolah untuk diberi status ini.

"Saya juga berharap menerusi sasaran ini, pelbagai jenis sekolah seperti sekolah berasrama penuh, menengah, rendah termasuk sekolah jenis Kebangsaan Tamil dan Cina mampu tergolong dalam kumpulan sasar ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Projek Gemilang Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin (SKDJ) 2010/2015 di Nilai di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri; Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli; Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad; Guru Besar SKDJ, Azizah Abdul Latiff dan Yang Dipertua PIBG SKDJ, Ramli Abdul Karim.

SKDJ menetapkan matlamat mencapai status SBT pada 2015.

Mohd. Puad berkata, penilaian untuk status SBT akan dibuat berdasarkan laporan tahunan petunjuk keberhasilan dan pemeriksaan sekolah mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang ditetapkan.

"Bagi pemberian status SBT untuk sekolah rendah, sesebuah sekolah itu perlu mencapai markah komposisi melebihi 80 peratus secara keseluruhan

"Manakala untuk sekolah menengah ia memerlukan pencapaian markah komposisi melebihi 90 peratus dari penilaian berdasarkan SKPM," katanya.

Tuesday, June 22, 2010

Keputusan mansuh UPSR, PMR diketahui dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR 21 Jun - Keputusan sama ada untuk memansuhkan atau mengekalkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diketahui dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, ini disebabkan kerajaan masih meninjau pandangan daripada pelbagai pihak termasuk orang ramai berhubung perkara tersebut.

"Pihak kami kini dalam proses untuk mengumpulkan pandangan daripada semua pihak sebelum menghantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengumumkan keputusan yang telah diambil.

"Apa yang pasti, ia akan diketahui dalam sedikit masa lagi, mungkin seminggu dua lagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri semalam mengajak pakar pendidikan dan masyarakat memberi respons tentang rancangan pemansuhan UPSR dan PMR.

Menurut beliau, cadangan untuk memansuhkan dua peperiksaan itu difikirkan kerana sistem pembelajaran kini dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan berbanding memberi pendidikan holistik kepada pelajar.

Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikekalkan sebagai satu-satunya peperiksaan awam di sekolah.

Dalam pada itu, Alimuddin memberitahu, Kementerian Pelajaran sudah bersedia dengan sebarang keputusan yang akan diumumkan nanti.

"Buat masa sekarang, kita tunggu dan lihat perkembangan mengenai perkara ini terlebih dahulu," katanya.

Monday, June 21, 2010

Mansuh UPSR & PMR: Pandangan guru, ibu bapa dikaji

KUALA LUMPUR 21 Jun – Pandangan guru dan ibu bapa akan dikaji terlebih dahulu sebelum peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Menurut beliau, cadangan pemansuhan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah satu langkah yang positif untuk perkembangan pendidikan di negara ini, namun persetujuan semua pihak harus dipertimbangkan terlebih dahulu.

"Kita akan mengumpul pandangan guru-guru dan ibu bapa terlebih dahulu melalui sumber seperti akhbar dan media, dan pandangan mereka akan dibawa kepada Tan Sri Muhyiddin untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alimuddin juga berpendapat, pendidikan negara selama ini terlalu berorientasikan peperiksaan dan perubahan perlu dibuat selaras dengan falsafah pendidikan negara yang mementingkan pembangunan modal insan.

Sementara itu, beliau berkata, kemasukan pelajar ke sekolah menengah yang dinilai melalui UPSR sebelum ini akan diteruskan dengan penilaian akhir tahun sekolah sahaja.

"Kemasukan pelajar ke sekolah menengah akan dinilai melalui peperiksaan penilaian berasaskan sekolah,” katanya. – Bernama

Wednesday, June 16, 2010

Kenapa kita perlu menyokong Palestin

Pembunuhan, rampasan, dan penculikan penumpang kapal-kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang turut disertai oleh sukarelawan Malaysia, menjadi satu peringatan kepada semua rakyat Malaysia bahawa Israel melakukannya dengan bebas daripada hukuman, mengingkari undang-undang antarabangsa dan menghina pendapat awam dunia.

Kapal-kapal itu cuba untuk menghantar bantuan ke Gaza yang kini terkepung oleh Israel sejak 2006. Kepungan yang bertentangan dengan undang-undang ini telah menafikan penduduk Palestin kemudahan asas bagi keperluan harian mereka yang secara tidak langsung menjadikan mereka hidup dalam kebuluran.

Makanan, ubatan, air, simen, malah pensil dan sabun tidak dibenarkan masuk ke Gaza oleh pihak berkuasa Israel. Pada hakikatnya Israel telah berjaya dalam memusnahkan ekonomi Palestin; menjadikan 80% daripada penduduknya bergantung kepada bantuan makanan dan 90% hidup dalam kemiskinan; lebih separuh daripada isirumah makan hanya sekali sehari; lebih 60% kanak-kanak menghidap anemia dan kekurangan zat makanan; meracuni tanah dan airnya dan menyebabkan beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal sejak serangan tentera pada 2008-2009. Penduduk Palestin terperangkap di Gaza dan beratus orang lagi mati kerana mereka tidak dibenarkan keluar untuk mendapatkan rawatan perubatan yang dapat menyelamatkan nyawa.

Kita jangan lupa peranan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) dalam tragedi ini apabila mereka mengenakan sekatan ekonomi yang menyokong kepungan Israel untuk menghukum penduduk Gaza kerana memilih Hamas pada Januari 2006 dalam pilihan raya yang bebas dan adil.

Kepungan yang tidak berperikemanusiaan ini diperkukuhkan lagi apabila AS mendalangi rampasan kuasa yang gagal terhadap kerajaan yang diketuai Hamas di Gaza pada 2007. Dengan kerjasama rapat dari Mesir, Israel berjaya menukarkan Gaza kepada penjara terbuka untuk 1.5 juta penghuninya. Mesir kini menguatkan lagi penjara itu dengan menutup terowong bawah tanah yang digunakan untuk membawa makanan dan kemudahan lain ke Gaza.

Kita perlu jelas bahawa masalah Palestin bukanlah hanya krisis kemanusiaan. Isu utama ialah pendudukan tentera Israel secara haram dan perampasan ke atas penduduk Palestin. Kini hampir empat juta rakyat Palestin hidup di bawah pendudukan yang paling kejam dan lama dalam sejarah moden.

Di bawah pendudukan ini rakyat Palestin mengalami keganasan, pembunuhan, dan kekejaman di tangan tentera Israel pada setiap hari. Lebih 40 tahun Israel mengepung seluruh penduduk di sebalik halangan dan pusat pemeriksaan; merampas tanah dan air mereka; memusnahkan rumah, perniagaan dan tanaman mereka; memindahkan penduduk; membunuh orang awam dengan sewenang-wenangnya melalui serangan bersenjata untuk membunuh mereka yang disyaki militan; menjalankan penculikan, membunuh, menyiksa dan menghukum secara kolektif.

Pembunuhan dan jenazah golongan muda dan bayi yang terbunuh oleh serangan bom dan peluru senjata Israel menjadi satu pemandangan biasa pada setiap hari. Kanak-kanak dibunuh di pusat pemeriksaan, di jalan raya, dalam perjalanan ke sekolah dan di rumah mereka. Perangkaan ini kurang menarik berbanding pengeboman bunuh diri. Itulah ketidakadilan, penghinaan, penderitaan, dan keganasan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Palestin di tangan tentera Israel.

Malangnya kita tidak dapat membaca kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia ini di dalam media korporat Barat kerana laporan mereka yang berat sebelah.

Israel terus mengembangkan penempatan haram di wilayah yang diduduki yang melanggar undang-undang antarabangsa. Ia telah membina tembok pemisah di dalam tanah Palestin yang jelas melanggar undang-undang dan sesuatu yang tidak bermoral menurut Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Keganasan sistematik terhadap penduduk dan tanah mereka jelas merupakan strategi untuk menafikan rakyat Palestin terhadap tanah mereka dan menghapuskan budaya, geografi, identiti, masyarakat dan sejarah kewujudan mereka.

Pencerobohan Israel selama tiga minggu ke atas Gaza pada 27 Disember 2008 – 20 Januari 2009 membunuh lebih 1,400 penduduk Palestin, di mana lebih 80% daripadanya merupakan orang awam. Enam ribu empat ratus buah rumah musnah dan kira-kira 75% bangunan musnah sehingga hari ini akibat kepungan yang berterusan.

Sepanjang pembunuhan ini tiada satu pun kuasa Barat yang mengutuk kekejaman itu. Presiden AS Barack Obama yang baru dilantik tidak dapat melakukan apa-apa kerana ia adalah rencana bekas Presiden Bush.

Kemusnahan ke atas Gaza dicapai dengan penggunaan teknologi ketenteraan AS: F-16, helikopter Apache, fosforus putih, depleted uranium, bom kluster, dan senjata baru seperti dense inert material explosives (DIME) yang menyebabkan kecederaan yang tidak pernah dirawat oleh doktor sebelum ini. Senjata ini disediakan oleh AS yang kebanyakannya sebagai geran ketenteraan. Pada hakikatnya Gaza digunakan sebagai makmal untuk menguji keberkesanan pembunuhan dengan senjata baru ini.

Pada September 2009, Misi Mencari Fakta diketuai oleh Hakim Richard Goldstone mendapati terdapat beberapa bukti menunjukkan pencabulan serius oleh Israel terhadap hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan di Gaza dan Israel telah melakukan satu jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan.

AS mengutuk Laporan Goldstone dan menganggapnya ‘cacat’ dan ‘tidak seimbang’. Sekutu Eropah juga gagal untuk mengesahkannya. Pentadbiran Obama juga telah menyekat sebarang pertimbangan Majlis Keselamatan berhubung laporan itu bagi memastikan Israel dilindungi daripada siasatan terhadap jenayah perang.

Dalam episod terbaru, di mana Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 10 orang awam, sokongan AS yang berterusan kepada Israel yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa sekali lagi dapat dilihat. Majlis Keselamatan PBB gagal untuk mengemukakan resolusi terhadap Israel malah AS hanya mengeluarkan ‘kenyataan presiden’ yang mengkritik dengan lemah sepertimana yang dianggap oleh Menteri Luar Turki sebagai ‘perompak dan lanun’ dan ‘pembunuhan yang dilakukan oleh sebuah negara’.

Amat jelas sekali sikap dwistandard yang diamalkan oleh kuasa Barat menunjukkan kepada kita bahawa undang-undang antarabangsa tidak tertakluk kepada mereka dan rakan-rakan. Oleh sebab itu, Israel terus menikmati perlindungan AS dan sekutu Eropah dan tidak tertakluk kepada sekatan atau resolusi Majlis Keselamatan.

Tetapi terdapat berita baik untuk kita semua. Warga dunia kini dapat melihat dasar hipokrit dan pengecut kerajaan mereka terhadap Palestin dan kegagalan PBB dalam mendukung undang-undang antarabangsa berhubung Israel.

Tidak lagi sekadar sokongan kemanusiaan, kini pergerakan perpaduan global semakin berkembang untuk memulakan kempen boikot terhadap Israel. Rakyat biasa dan pengguna menggesa supaya tindakan diambil terhadap Israel sepertimana yang dilakukan terhadap rejim apartheid Afrika Selatan dengan ‘boikot, menarik pelaburan dan sekatan’ (BDS).

BDS yang dimulakan oleh pertubuhan awam Palestin pada 2005 untuk mengakhiri sikap Israel yang bebas daripada hukuman dan mendukung hak asasi manusia sejagat kini mendapat sokongan komuniti dunia melibatkan kesatuan sekerja, ahli akademik, pihak gereja, individu dan NGO.

Sudah pun terdapat banyak kejayaan terhadap boikot pengguna seperti penolakan produk makanan di Eropah: Di Britain pihak Sainsbury dan Tesco menerima tekanan untuk mengenal pasti produk ‘petempatan’ yang mana penjualannya melanggar klausa hak asasi manusia dalam perjanjian perdagangan EU dengan Israel.

Kempen terhadap produk kecantikan Ahava buatan petempatan haram Tebing Barat memaksa syarikat itu menggugurkan duta selebriti Kristin Davis bintang dalam Sex in the City. Produk Ahava kini sedang diboikot di Eropah.

Kempen BDS lain ialah mensasarkan Caterpillar yang mana jentera beratnya digunakan oleh tentera Israel untuk memusnahkan rumah rakyat Palestin.

Di Ireland, bantahan terhadap Veolia (dikenali di UK kerana menjalankan kereta api Connex dan kontrak sanitasi) kepada Dewan Bandar Raya Dublin meminta supaya majlis bandar raya itu tidak memperbaharui atau menandatangani sebarang kontrak dengan syarikat itu. Di Australia, Veolia kehilangan bidaannya untuk loji penyahmasinan bernilai berbilion dolar. Kontrak Veolia untuk mengendalikan sistem metro di Stockholm juga tidak diperbaharui. Veolia adalah syarikat Perancis yang merancang untuk membina sistem keretapi di Baitulmuqadis dan membina secara haram kawasan pembuangan sampah Tovlan di Tebing Barat.

Menarik pelaburan daripada syarikat yang melakukan perniagaan di Israel dan syarikat Israel sudah pun berlaku. Gereja Presbyterian AS mengundi untuk ‘proses memilih menarik balik pelaburan dalam perbadanan multinasional yang menjalankan perniagaan dengan Israel’. Pelajar Berkeley, Universiti California meluluskan usul dalam senat universiti menggesa ditarik pelaburan daripada syarikat yang membekalkan Israel dengan bahan yang digunakan oleh tenteranya.

Norway mengeluarkan syarikat Elbit Systems Ltd., Israel yang membina tembok pemisah di wilayah yang diduduki daripada portfolio dana pencen global negara itu. Elbit Systems membina sistem elektronik bagi pengawasan, perisikan dan komunikasi. Gereja England juga telah memutuskan untuk menarik pelaburan £2.2 juta daripada Caterpillar.

Kempen BDS telah memberikan momentum sejak 22 hari Israel melakukan pembunuhan di Gaza.

Seminggu selepas pembunuhan Israel di Gaza, South African Transport dan Allied Workers Union enggan untuk memunggah muatan daripada kapal Israel di Durban.

The Scottish Trade Union Congress turut mengikut langkah South African Trade Union Federation COSATU dan Irish Congress of Trade Union untuk melaksanakan BDS terhadap Israel. The British Trade Union Congress mewakili lebih 6.5 juta pekerja juga turut melakukan boikot.

Pergerakan BDS turut menggesa artis di mana sahaja tidak ke Israel. Santana telah membatalkan jelajahnya dan U2 juga turut memutuskan untuk ke sana. Kumpulan rock AS Pixies turut membatalkan konsert di Tel Aviv minggu ini akibat desakan daripada hasil kempen di dalam Israel.

Jenayah perang Israel yang didedahkan di Gaza bermakna pemimpin politik dan tentera Israel kini terpaksa memeriksa dengan peguam dan ejen pelancongan mereka sebelum membuat perjalanan ke negara yang mempunyai undang-undang universal jurisdiction. Pada Disember 2009, majistret London mengeluarkan waran tangkap terhadap Tzipi Livni, bekas Menteri Luar Israel kerana jenayah perang di Gaza. Pada September, ‘imuniti diplomatik’ telah menyelamatkan Ehud Barak, Menteri Pertahanan Israel ketika pencerobohan Gaza daripada ditahan oleh Scotland Yard.

Kempen terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah perang di Gaza untuk dibawa ke muka pengadilan merupakan bahagian penting daripada kempen keadilan untuk Palestin.

Kini Malaysia telah menyaksikan dan mengalami sendiri keganasan Israel, apa yang diperlukan ialah menguatkan perpaduan kita dengan rakyat Palestin dan menyokong kempen BDS. Dengan turut menyertai penentangan tanpa keganasan global, kita turut menyuarakan kekejaman kuasa Barat dalam dasar penghapusan etnik Israel di Palestin. BDS hanya satu-satunya harapan untuk memaksa Israel mengakhiri pendudukan mereka.

Sehubungan itu, kami menggesa Menteri Pengangkutan mempertimbangkan dengan serius dasarnya memandangkan terdapat pendedahan yang menyatakan pelabuhan Malaysia turut memberikan perkhidmatan kepada kapal-kapal Israel. Dasar kerajaan Malaysia dan sokongan kepada Palestin mestilah padu dan boleh dipercayai.

SM Mohamed Idris,

Presiden

Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Tuesday, June 1, 2010

Niat, cara perlu praktikal

MELIHAT kembali 'dosa' yang telah kita lakukan memang berat dan sukar untuk ditelan kerana jadam pahitnya. Apatah lagi jika telinga kita nipis ketika menerima kritikan.

Sementara ada yang mengikat perut dek bajet yang ketat, ada juga yang bermewah-mewahan dan melakukan aktiviti yang langsung tidak berfaedah - atau dalam bahasa kasarnya - berpeleseran.

Berbilion ringgit dihabiskan untuk membangunkan keseronokan yang membazir, tetapi pada akhirnya tidak mencapai objektif yang diharapkan. Mewujudkan jawatan dengan gaji dan pangkat yang tidak munasabah dengan kerja, bidang kerja yang entah ke mana dan apa - adalah barah di segelintir sektor mewah milik kerajaan, yang diurus tadbir secara mewah juga - tetapi yang dikutip daripada rakyat.

Inilah yang dikatakan kemudahan kelas pertama, mentaliti kelas ketiga. Dalam kata yang lebih tegas, bagai kera mendapat bunga.

Petronas - serta agensi milik kerajaan 'yang sewaktu dengannya' adalah antara agenda yang diharap dapat bersama-sama membantu membangunkan sektor pendidikan negara ke satu tahap yang lebih tinggi daripada sekarang, bukan semakin merosot dan mengancam masa depan pelajar dengan aktiviti picisan yang berakhir seperti debu atau menuang air di daun keladi.

Perancangan yang cukup lemah, tidak mempunyai objektif yang jelas, tenggelam dan lemas dalam kemewahan, dan gaya hidup segelintir kakitangannya - yang tidak sepatutnya - menjadikan duit ditabur sahaja ke dalam longkang dan dinikmati oleh segelintir umat manusia yang beruntung dan kekenyangan.

Berbelanja untuk berseronok-seronok - makan malam mewah, artis popular, neon bergemerlapan - semuanya dibolehkan, tapi bila hendak melabur dalam pendidikan, maka semuanya mahal, membazir dan tidak ada bajet. Malah segala aktiviti pendidikan diperniagakan dengan memeras duit kerajaan atau pelanggan - seperti pelajar dan sekolah. Wajarkah?

Organisasi yang mengaut untung yang cukup banyak daripada hasil perut bumi di Malaysia itu sepatutnya memulangkan semula kepada anak-anak kita dalam cara yang betul dan ikhlas. Janganlah hanya melabur berapa sen sahaja atas nama tangungjawab sosial korporat (CSR) kerana hendak memperaga jasa.

Banyak perkara yang boleh difikirkan dan ingin dicadangkan di ruangan Perspektif ini, bukan untuk menyakiti hati sesiapa, tetapi sekadar renungan tentang perkara sekecil-kecilnya sehingga kepada yang berat.

Cuba sekali-sekala bila kita melintas di depan sebuah pusat pameran sains di Menara Berkembar Petronas, kita lihat berapa caj yang dikenakan kepada setiap kepala kanak-kanak comel daripada kampung dan pedalaman yang datang dari jauh dan dekat. Kenapa hendak mengambil kesempatan?

Isu pokoknya ialah apakah sebenarnya peranan pusat sains mewah tersebut? Apa yang ada di dalam pusat sains tersebut? Gajet mainan, mendengar celoteh abang dan kakak - atau apa?

Cuba anda melawat ke Pusat Sains Negara di Bukit Kiara. Anda akan melihat seribu satu kekurangan berbanding Pusat Sains di Singapura mahupun di California.

Saya pernah berkunjung di kedua-dua buah pusat sains itu, dan saya melihat kita tidak inovatif dalam mengurus sumber, memanfaatkan peluang, dan tidak pandai menjangka risiko.

Apakah perlunya dua pusat sumber pembelajaran sains (Petrosains dan Pusat Sains Negara) di dalam radius beberapa kilometer?

Saya dan anak-anak tertarik ke Singapura dan California kerana tawaran sains berhibur (science is fun) jauh lebih menarik daripada di Petrosains - yang saya lihat lebih kepada Sains ialah funfair. Pergilah sendiri untuk merasainya. Kenapa pula tidak dikelompokkan sahaja kedua-dua pusat sains ini (Petrosains dan Pusat Sains Negara) atas satu nama supaya Bukit Kiara lebih seronok dikunjungi rakyat?

Untuk menambah keberkesanannya, maka kita boleh meniru inisiatif Pusat Sains California mengadakan sekolah untuk komuniti setempat dengan beberapa pendekatan baru dan sistem persekolahan yang baru. Mungkin boleh difikirkan sebuah sekolah asrama separa swasta yang dibiayai oleh Petrosains yang kaya itu. - khusus untuk pelajar miskin luar bandar yang prodigy. Mungkin ini satu lagi showcase pendidikan negara yang unik. Sebuah sekolah di dalam Pusat Sains Negara.

Sebelum segelintir pihak terus berbelanja mewah dan menghabskan duit rakyat, sesuatu mesti dilakukan. Kita mungkin tidak bankap, tetapi kita diajar oleh guru di sekolah bahawa sikap boros ialah sahabat syaitan.

Hukuman rotan bendung gejala sosial


AHMAD Maslan menyematkan pingat Anugerah Tokoh Guru kepada Mohd. Yusop Ibrahim di Pontian, Johor, semalam.


PONTIAN 31 Mei - Hukuman rotan terhadap pelajar yang melanggar peraturan sekolah perlu dikembalikan bagi membina tahap disiplin dan ketahanan diri yang tinggi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, langkah itu juga merupakan cara mendidik para pelajar di peringkat awal bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam kegiatan tidak bermoral yang kini semakin membimbangkan.

Beliau berkata, jika dahulu gejala sosial hanya berkisar kepada kegiatan merempit, namun kini kejadian hamil anak luar nikah agak membimbangkan.

''Tadi saya pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dimaklumkan terdapat tiga hingga empat anak luar nikah didaftarkan pada setiap bulan.

''Baru-baru ini pun saya dimaklumkan terdapat kes seorang pelajar tingkatan lima di Pontian melahirkan anak. Perkara ini amat membimbangkan saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Daerah Pontian 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut di sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru kepada bekas guru, Mohd. Yusop Ibrahim, 62.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, hukuman rotan bagaimanapun harus mengikut kaedah dan garis panduan yang telah ditetapkan.

''Semasa bersekolah dahulu daya pun pernah kena rotan, tetapi bukan sebab kerana saya melanggar peraturan tetapi sebab tidak beratur. Saya berpendapat guru merotan adalah untuk mendidik pelajar," ujarnya

Dalam pada itu, beliau berkata, Parlimen Pontian akan menganjurkan anugerah sekolah cemerlang pada tahun ini yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu sekolah menengah kebangsaan, sekolah kebangsaan, sekolah agama dan sekolah jenis kebangsaan Cina.

Katanya, bagi sekolah menengah pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM20,000 manakala tiga kategori lain bakal menerima wang tunai RM10,000.