Pages

Friday, April 30, 2010

Punca guru sekolah Cina kurang

Muhiddin Yussin (kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang pelajar cemerlang STPM sambil disaksikan oleh Shirley (dua dari kanan) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandaraya di Menggatal, semalam.

KOTA KINABALU 30 April - Keengganan pihak pengurusan sekolah aliran Cina menerima guru bukan Cina menyebabkan berlaku kekurangan tenaga pengajar di sekolah-sekolah tersebut di negeri ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Muhiddin Yussin berkata, tindakan pihak sekolah yang hanya mahukan guru Cina mengajar murid-muridnya menyebabkan kesukaran bagi pihaknya menempatkan guru sedia ada ke sekolah-sekolah terbabit.

"Sebenarnya kita mempunyai jumlah guru yang cukup untuk mengajar di sekolah aliran Cina, tetapi sesetengah sekolah tidak mahu menerima guru bukan Cina.

"Ini merupakan punca banyak sekolah Cina masih belum mempunyai guru yang cukup," katanya ketika menyampaikan anugerah kecemerlangan pelajar di Sekolah Menegah Kebangsaan Bandaraya di Menggatal dekat sini semalam.

Turut hadir Pengetua SMK Bandaraya, Shirley Tay.

Menurut Muhiddin, tindakan memilih guru berasaskan kepada kaum itu tidak sepatutnya berlaku dalam usaha memperkasakan pendidikan negara.

Katanya, adalah tidak salah mengambil guru pelbagai kaum untuk mengajar di sekolah-sekolah aliran Cina memandangkan guru berkenaan turut mempunyai kemahiran.

"Apa salahnya menerima guru bukan Cina untuk mengajar apatah lagi dalam mata pelajaran seperti Bahasa Melayu," katanya.

Menurut Muhiddin, beliau telah menghantar laporan mengenai perkara itu kepada Kementerian Pelajaran untuk tindakan lanjut.

Mengulas mengenai aduan daripada beberapa pembekal alat tulis bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) hanya memilih pembekal yang memberi komisen, beliau berkata, adalah tidak salah bagi mana-mana pihak untuk memilih pembekal tertentu.

Bagaimanapun jelasnya, pihak PIBG harus mengikut garis panduan yang ditetapkan kementerian dalam menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak.

"Selagi ia adalah satu hadiah dan PIBG tidak memintanya, tindakan itu masih boleh diterima," ujarnya.

PIBG perlu bentang maklumat SIP

KUALA LUMPUR 30 April - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu membentangkan maklumat mengenai Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) setiap kali mereka mengadakan mesyuarat bulanan atau tahunan bagi memastikan pelaksanaan program itu mendapat kerjasama daripada semua pihak.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan (gambar) berkata, PIBG harus bekerjasama untuk menyenaraikan keperluan dan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan di sekolah masing-masing.

''Kami menyambut baik mekanisme penambahbaikan sistem di sekolah dan sedia memberi kerjasama untuk menjayakannya.

''Oleh sebab itu, ibu bapa perlu dimaklumkan tentang kewujudan sistem ini kerana kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sahaja disumbang oleh pelajar dan guru-guru itu sendiri tetapi juga PIBG,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai SIP yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, melalui salah satu pendekatan program itu, guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan khusus kepada mana-mana guru sekiranya kaedah pengajaran mereka kurang berkesan.

SIP melibatkan tiga komponen utama membabitkan penarafan tahap pencapaian sekolah, penilaian kendiri pembangunan prestasi sekolah dan service line iaitu program sokongan oleh pihak kementerian.

Mohamad Ali berkata, pihak sekolah perlu bersikap terbuka dalam menerima cadangan khususnya daripada PIBG bagi tujuan peningkatan semua aspek yang melibatkan prasarana dan keselamatan sekolah, pelajar dan profesionalisme guru.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pihaknya akan memantau keberkesanan program itu sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan agar ia tidak dianggap sebagai tambahan beban kerja kepada guru.

''Program ini amat baik untuk menjadikan sistem pendidikan lebih kemas dan berjalan lancar, namun kita akan meneliti juga jika terdapat rungutan tentang program ini yang mungkin mengganggu tugasan utama guru.

''Bagaimanapun guru perlu berusaha dahulu, jika tidak, kita tidak tahu sejauh mana keberkesanannya,'' katanya.

Tambah beliau, program seperti itu seharusnya dilaksanakan pada awal tahun agar pihak sekolah boleh merancang terlebih dahulu pelaksanaannya sepanjang tahun dan tidak bertindih dengan program yang telah dirancang sebelum ini.

Thursday, April 29, 2010

791 pelajar cemerlang dirai

TANAH MERAH - Seramai 791 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) dan Sijil Tinggi Agama Pelajaran (STAM) diraikan dalam majlis anugerah cemerlang anjuran UMNO Bahagian Tanah Merah di sini, baru-baru ini.

Majlis terbabit diadakan bagi meraikan kejayaan mereka yang mencatat keputusan yang amat membanggakan dalam peperiksaan terbabit, dan sebagai pendorong semangat supaya mereka lebih berjaya apabila dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih baik.

Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, majlis ini adalah untuk meraikan pelajar-pelajar ini yang bertungkus lumus belajar bagi mencapai keputusan yang cemerlang.

“Dengan kesungguhan yang ditunjukkan pelajar-pelajar ini juga, ia turut membanggakan pihak sekolah dan ibu bapa pelajar terbabit.

“Sesungguhnya usaha ini adalah dari dorongan semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru yang banyak membantu meningkatkan pencapaian pelajar di sekolah masing-masing,” katanya.

Majlis terbabit juga turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Tanah Merah, Che Abdullah Mohd.

Sementara itu Che Abdullah berkata, beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaannya kepada UMNO Bahagian Tanah Merah yang sentiasa memberikan galakan kepada pelajar-pelajar yang mencapai keputusan cemerlang.

“Semoga usaha ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi menggalakkan pelajar-pelajar untuk terus mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras hasilkan kek terbesar

KUALA LUMPUR 29 April - Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras dan Hotel Pearl International berjaya menyediakan sebiji kek berukuran 2.7 meter lebar dan 1.3 meter tinggi, dipercayai kek terbesar pernah dihasilkan setakat ini, sempena ulang tahun ke-27 sekolah itu.

Kek dengan reka bentuk bangunan sekolah itu direka khas oleh Ketua Chef Hotel Pearl International, Alex Chin bagi memeriahkan sambutan ulang tahun sekolah itu selain mengumpul dana untuk membantu Majlis Kanser Negara (Makna).

Pengasas Sekolah Antarabangsa Cempaka, Datin Freida Pilus berkata, idea untuk menghasilkan kek terbesar itu dicetuskan dua pelajar tahun akhir sekolah tersebut iaitu Gabriel Tan Lye Zhang dan Ben Chai Win Jing.

''Lye Zhang dan Win Jing mengutarakan idea tersebut baru-baru ini setelah mereka mengikuti kursus perantis membuat kek di Hotel Pearl International pada cuti sekolah yang lalu,'' katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian sambutan ulang tahun Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras dan kempen membantu Makna, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dan Kewangan Hotel Pearl International, Datin Chiann Tan dan Koordinator Makna, Nisha Sanita Mohd. Norha.

Freida yang juga Exco Makna berkata, sepotong kek itu dijual pada harga RM10 kepada warga sekolah termasuk ibu bapa pelajar.

''Diharapkan dengan langkah ini secara tidak langsung dapat menggalakkan para pelajar untuk terus melakukan kerja-kerja amal,'' katanya.

Menurut beliau, pihak sekolah mensasarkan mengutip RM10,000 hari ini hasil jualan kek itu untuk disalurkan kepada Makna.

Pelajar terbaik SPM terima biasiswa Kijang Emas untuk teruskan pelajaran

KUALA LUMPUR 29 April - Lima penerima Biasiswa Kijang Emas Bank Negara menganggap biasiswa yang diterima telah membuka peluang kepada mereka untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menerusi biasiswa yang diperkenalkan sejak 2005 itu, pelajar terpilih berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang yang diminati di universiti-universiti terkemuka di luar negara.

Salah seorang penerima, Ameenah Azman, 18, berkata, beliau bersyukur dengan anugerah itu dan akan memanfaatkan biasiswa itu dengan sebaik mungkin demi mencapai cita-citanya untuk bergelar akauntan.

Selain Ameenah, empat lagi yang turut terpilih termasuklah Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, Gladys Tan Yee Kim yang akan ke Amerika Syarikat untuk menuntut dalam bidang psikologi.

Tiga lagi penerima ialah Nur Syuhadah Muhamad, Hu May Khei dan Nilam Devi Nath yang akan ke Britain untuk mendalami bidang perubatan.

Ameenah, bekas pelajar Kolej Tunku Kursiah, Seremban yang memperoleh 10 A+ berkata, beliau sangat menghargai biasiswa yang diterimanya itu kerana tidak mahu nasib malang ibu saudaranya berulang.

Kata gadis itu, ibu saudaranya adalah seorang pelajar cemerlang tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan dan gagal mendapat biasiswa.

"Walaupun pernah bergelar pelajar pintar, nasib tidak menyebelahi makcik saya kerana dia kini hanya bekerja di kantin sekolah.

"Jika dia berpeluang mendapat biasiswa dahulu, mungkin dia kini telah bergelar pegawai tinggi di mana-mana sektor,'' tegas gadis tersebut ketika menceritakan kisah hidup ibu saudaranya itu.

Terdahulu, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, sejak diperkenalkan, seramai 26 pelajar cemerlang telah berpeluang belajar di luar negara dalam pelbagai bidang.

"Pemberian biasiswa ini merupakan komitmen Bank Negara untuk mengasah bakat-bakat muda yang dimiliki oleh negara.

"Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan pembangunan modal insan yang penting untuk kemajuan negara pada masa depan," katanya.

SIP: Pendidikan berkualiti tanpa kompromi

PETALING JAYA 29 April - Guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan khusus kepada mana-mana guru sekiranya kaedah pengajaran mereka kurang berkesan untuk meningkatkan prestasi pelajar.

Pendekatan itu merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) yang bermatlamat untuk memperluaskan akses kepada pendidikan yang bermutu dan berkemampuan secara konsisten.

Program Pembangunan Prestasi Sekolah yang dilancarkan hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya merupakan salah satu inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, program itu mempunyai tiga komponen utama iaitu pertama, membabitkan penarafan tahap pencapaian sekolah berdasarkan Skor Komposit Sekolah.

Menurut beliau, melalui mekanisme itu setiap sekolah akan mengetahui kedudukan masing-masing dari segi prestasi akademik murid dan kualiti pengurusan sekolah secara keseluruhan.

"Dengan adanya maklumat ini, pihak sekolah akan dapat menentukan garis mula proses peningkatan prestasi sekolah dan menetapkan sasaran yang realistik.

"Komponen kedua pula, setiap sekolah akan dibekalkan dengan tool kit pembangunan prestasi sekolah, iaitu instrumen penilaian kendiri secara talian terus yang akan membantu sekolah menilai prestasi semasa.

"Melaluinya, pihak sekolah mampu mengenal pasti bidang-bidang yang perlu ditambah baik dan menyediakan pelan penambahbaikan secara terarah," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Tambah Muhyiddin, penilaian pencapaian sekolah secara kendiri bermaksud guru besar atau pengetua dapat mengesan kelemahan murid dalam mata pelajaran tertentu.

Justeru, langkah seterusnya, kata beliau, mengenal pasti punca kelemahan tersebut dan merancang tindakan susulan bagi mengatasinya.

"Jika kelemahan itu berpunca daripada kaedah pengajaran kurang berkesan, maka guru besar atau pengetua boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan untuk guru-guru mata pelajaran berkenaan dan memantau perkembangannya dari masa ke semasa," katanya.

Komponen ketiga, kata Muhyiddin, dikenali sebagai service line iaitu program sokongan di mana kementerian akan memberi bantuan tambahan kepada sekolah-sekolah yang paling memerlukannya terutama sekolah berprestasi rendah.

Katanya, maklumat keperluan sekolah itu dapat dikenal pasti melalui aplikasi tool kit yang diberikan.

Bantuan itu katanya, seperti menyediakan bimbingan kepada pengurusan sekolah, melaksanakan program pembinaan keupayaan guru dan membekalkan alat bantuan mengajar tambahan mengikut keperluan.

"Keunikan program ini ialah pihak sekolah tidak akan dibiarkan bersendirian dalam usaha untuk melonjakkan prestasi dan mengatasi kelemahan masing-masing," katanya.

Jelas Muhyiddin, SIP tidak bermaksud menggantikan sebarang bentuk program pembangunan prestasi sekolah sedia ada, tetapi ia berfungsi sebagai pelengkap kepada usaha-usaha murni yang sedang dilaksanakan.

"Saya berharap SIP akan merapatkan jurang pencapaian antara sekolah terutama bandar dan luar bandar,'' katanya.

Wednesday, April 28, 2010

Unisel dekati pendidik di Festival Hari Guru

SHAH ALAM 25 April - Universiti Industri Selangor (Unisel) akan menggunakan kesempatan pada Festival Hari Guru 2010 di Kuantan, Pahang pada 13 hingga 16 Mei ini untuk mendekatkan institusi itu dengan golongan pendidik.

Pengarah Bahagian Pemasaran, Komunikasi Korporat dan Antarabangsanya, Halid Hasbullah Boestamam (gambar) berkata, Unisel berharap para guru yang menghadiri festival itu akan mendapat maklumat yang tepat dan terkini mengenai universiti itu.

Tambahnya, guru tersebut akan menyampaikan maklumat itu kepada pelajar masing-masing dan seterusnya menarik minat mereka untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertiari di Unisel.

"Penyertaan ini juga sebagai salah satu cara Unisel menghargai profesion perguruan yang telah banyak membantu membina modal insan di negara ini," jelasnya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang ditubuhkan pada 24 Ogos 1999 ini menawarkan lebih daripada 85 kursus di peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah dan doktor falsafah (Ph.D).

Ia mempunyai dua kampus iaitu di Bestari Jaya, Kuala Selangor dan di Shah Alam.

Kampus Bestari Jaya menempatkan Fakulti Kejuruteraan, Teknologi Maklumat Industri, Perniagaan, Sains Sosial dan Industri, Pendidikan dan Bahasa, Sains Gunaan dan Matematik, Institut Kerjasama Malaysia-Indonesia (IKMI), Pusat Pembelajaran dan Pengajaran serta Pusat Teknologi dan Komunikasi Maklumat.

Manakala kampus di Shah Alam menempatkan Fakulti Bioteknologi dan Sains Hayat, Fakulti Biomedik dan Sains Kesihatan, Fakulti Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Komunikasi dan Media, Unisel Graduate School of Management, Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Institut Bio-IT Selangor, Pusat Pembangunan Perniagaan dan Program Ijazah Kerjasama Jepun.

Menurut Halid Hasbullah, Unisel menyasarkan kira-kira 4,000 kemasukan bagi sesi Jun tahun ini terutamanya kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Pelajar ini, katanya, boleh memilih sama ada mengambil program diploma ataupun asas (foundation).

"Unisel menyediakan 26 program pilihan di 10 buah fakulti untuk diploma manakala lima pilihan pengajian dalam program asas iaitu sains, pengurusan, kejuruteraan, pendidikan (TESL) dan biomedik," ujarnya.

Beliau memberitahu, Unisel dikenali dengan program yang mempunyai ciri-ciri industry driven yang memestikan setiap pelajarnya menjalani latihan industri selama tiga hingga enam bulan sebagai pendedahan kepada mereka tentang dunia kerja sebenar.

"Universiti ini mempunyai kira-kira 1,600 rakan kongsi industri yang menyediakan tempat kepada para pelajar untuk mendapat pengalaman serta memudahkan pembelajaran," jelas beliau.

Selain itu, Unisel turut dilengkapi dengan tenaga pensyarah yang berpengalaman, stabil dan telah diuji kebolehannya oleh pihak industri sendiri.

"Kemudahan prasarana yang lengkap serta disokong dengan kemudahan asrama yang boleh menempatkan seramai 8,000 pelajar dalam satu-satu masa serta kemudahan pengangkutan untuk pelajar juga disediakan," kata beliau.

Katanya lagi, sehingga kini Unisel telah melahirkan kira-kira 6,800 graduan dalam pelbagai bidang yang telah berkhidmat dalam industri dan ia jelas menunjukkan bahawa kadar kebolehgunaan tinggi yang dihasilkan setaraf dengan universiti tempatan yang lain.

"Dalam aspek memperbaiki mutu dan mengekalkan kualiti pendidikan, Unisel mempunyai penasihat industri yang sentiasa memantau perkembangan universiti dalam tempah 18 bulan sekali dengan memberi maklum balas tentang perkembangan universiti dan perkara berkaitan," ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, pelajar tidak seharusnya melepaskan peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam pendidikan profesional dengan ruang yang disediakan oleh Unisel.

"Para pelajar perlu meningkatkan kemahiran dan dalam masa yang sama meningkatkan ilmu akademik bagi menjamin kejayaan dalam melahirkan generasi berilmu dan mudah untuk mendapat pekerjaan apabila mereka tamat pengajian kelak," katanya.