Pages

Tuesday, May 25, 2010

Kambing bukan punca darah tinggi


Noh Omar melancarkan promosi daging kambing keluaran tempatan di Wisma Tani Putrajaya semalam sambil diperhati Datuk Johari Baharum (tengah).


PUTRAJAYA 24 Mei - Persepsi orang ramai terhadap daging kambing perlu diubah kerana amalan pemakanan daging itu bukan penyebab utama penyakit berbahaya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kajian membuktikan daging kambing mempunyai kandungan kolestrol, kalori dan lemak paling rendah berbanding sumber daging lain.

Berikutan itu, katanya, sebuah pasukan petugas khas akan diwujudkan dalam masa terdekat bagi meningkatkan promosi pemakanan daging kambing tempatan sekali gus mengikis stigma negatif mengenai pemakanan daging itu.

''Kementerian juga akan menjalankan kajian bersama Kementerian Kesihatan bagi meyakinkan orang ramai bahawa pemakanan daging kambing tidak menjadi sebab utama penyakit darah tinggi.

''Promosi juga akan dilakukan di tempat-tempat tumpuan pelancong khususnya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur iaitu di kawasan tumpuan pelancong Timur Tengah supaya orang ramai tidak risau untuk makan daging kambing yang menjadi makanan utama orang Arab," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan promosi daging kambing keluaran tempatan di sini hari ini.

Noh berkata, pelbagai langkah turut diatur bagi meningkatkan pemasaran daging kambing tempatan berikutan rungutan penternak kambing bahawa pengeluaran lebih tinggi daripada permintaan.

''Justeru, Jabatan Veterinar akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membuka lebih banyak gerai menjual daging kambing terutama di pasar tani seluruh negara.

''Pelbagai program juga telah dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan ke atas daging kambing import dari negara luar," katanya.

Bagaimanapun, Noh berkata, pengeluaran daging kambing dalam negara telah dapat ditingkatkan dari 1,600 tan metrik pada tahun 2006 kepada 2,100 tan metrik pada tahun lalu.

''Ini selari dengan peningkatan keperluan daging negara dari 17,800 matrik tan pada 2006 kepada 21,970 matrik tan pada tahun lalu," katanya.

Terapi seni mampu kawal pemikiran berkeceramuk

KUALA LUMPUR 25 Mei — Bidang seni bukan hanya untuk dinikmati oleh pencintanya tetapi juga boleh digunakan oleh doktor serta pakar psikologi dalam menyelami perasaan para pesakit melalui kaedah disebut “Art Therapy”.

Menegaskan demikian, Pegawai Psikologi dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Mohd Faeez Zakaria berkata, ”Art Therapy” merupakan terapi luahan melalui lukisan, tarian dan drama bagi mendiognasis masalah pesakit.

"Cara ini dapat membantu doktor dan pakar psikologi mengenalpasti masalah pesakit dan dapat memberikan rawatan yang tepat terutama bagi pesakit yang tidak mampu meluahkan masalah atau menceritakan sesuatu peristiwa yang menyakitkan hati mereka,” katanya pada pada seminar kaedah “Art Therapy”, di sini hari ini.

Mohd Faeez berkata, kaedah terapi ini juga dapat membantu merangsang minda kreatif pesakit malah sekaligus menonjolkan personaliti sebenar dalam diri mereka melalui hasil ciptaan mereka sendiri.

"Selain membantu pesakit meluahkan perasaan, kaedah itu juga secara perlahan dapat membantu pesakit mental mengawal pemikiran mereka yang berkecamuk,” katanya sambil menambah bahawa kaedah itu kini dipraktikkan di hospital di negara ini.

Seminar dua hari itu anjuran Balai Seni Lukis Negara dihadiri oleh 150 anggota Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dan dirasmikan Setiausaha Kanan (Pengurusan) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Dr Rothiah Omar. - Bernama

Sunday, May 23, 2010

CUEPACS mahu 2 bulan bonus

PULAU PINANG 22 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mempertimbangkan semula permintaannya untuk mendapatkan bonus dua bulan gaji dan memanjangkan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari.

Presidennya, Omar Osman berkata, permintaan tersebut seharusnya diberikan perhatian berikutan keadaan ekonomi yang semakin pulih dan untuk mengurangkan beban kira-kira 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.

Jelas beliau, kedua-dua tuntutan tersebut terkandung di dalam kertas cadangan kesatuan yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tahun lalu tetapi tidak dapat dipertimbangkan berikutan krisis ekonomi.

"Kita sedar, tuntutan berkenaan tidak ditolak kerajaan tetapi tidak dapat dipenuhi apabila negara dilanda krisis ekonomi pada tahun lalu.

"Ceupacs amat memahami keadaan yang berlaku dan setuju ia ditangguh buat sementara tetapi tahun ini ekonomi negara semakin pulih dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan 10.1 peratus untuk suku pertama.

"Jadi, amat wajar kedua-dua cadangan ini terutama pemberian bonus disemak semula. Kita harap ia akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2011 di Parlimen Oktober ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat kepada kira-kira 200 ahli Kesatuan Pembantu Tadbir Kesihatan Pulau Pinang di sini hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri mengumumkan ekonomi negara mencatat prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan 10.1 peratus dalam suku pertama tahun ini, berbanding 4.4 peratus bagi suku keempat tahun lalu.

Peningkatan itu adalah yang tertinggi sejak suku pertama 2000, iaitu ketika KDNK mencatat pertumbuhan 11.7 peratus.

Omar berkata, tuntutan tersebut adalah wajar untuk menambah kuasa beli, selain meningkatkan kebajikan kakitangan awam supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan, produktif dan cemerlang.

"Untuk tujuan tersebut, saya telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk yang terbaru pada 5 April lalu bagi memastikan cadangan berkenaan dikaji semula dan dipertimbangkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Omar berkata, pihaknya memberikan sokongan penuh terhadap usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta kerajaan memanjangkan tempoh cuti bersalin daripada 60 kepada 90 hari.

Katanya, cadangan Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu perlu dilaksanakan segera berdasarkan tekanan dan bebanan hidup yang terpaksa dipikul oleh pekerja wanita ketika ini.

Jelas beliau, tempoh cuti bersalin yang tidak mencukupi selain cuti rehat yang sudah dikurangkan kepada 25 hari antara faktor yang menyukarkan pekerja wanita meluangkan masa bersama keluarga selain mencari kemudahan menjaga anak.

"Kami merasakan sudah tiba masa kerajaan memenuhi tuntutan supaya cuti itu ditambah. Jika tidak 90 hari, sekurang-kurangnya 80 hari kerana ia amat munasabah.

"Walaupun ada pekeliling menyatakan setiap agensi perlu menyediakan kemudahan menjaga anak, namun hanya 10 peratus agensi kerajaan yang melaksanakannya.

"Perkara ini memberikan tekanan kepada golongan pekerja bawahan yang kurang mampu," katanya

Lesen perguruan tidak akan dilaksana

KUALA LUMPUR 22 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, para pendidik tempatan tidak perlu memiliki lesen perguruan yang dikeluarkan oleh mana-mana badan profesional bagi mengajar di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, setelah diteliti, cadangan itu tidak praktikal untuk dilaksanakan kerana kerajaan telah mempunyai sistem tersendiri bagi menilai prestasi guru-guru yang sedang berkhidmat.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, pengeluaran lesen perguruan oleh badan profesional juga dilihat tidak sesuai memandangkan sistem persekolahan awam di negara ini disediakan secara percuma oleh kerajaan.

''Saya sudah meneliti perkara itu dan berpendapat ia tidak sesuai. Kita tidak akan laksanakan.

''Kalau didapati prestasi mereka (guru-guru) ini tidak begitu baik kita akan hantar kursus, jadi soal pelesenan ini tidak bangkit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari Keluarga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus sempena Program Juara Rakyat Parlimen Setiawangsa anjuran Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas tentang cadangan supaya guru-guru tempatan perlu memiliki lesen perguruan yang dikeluarkan oleh sebuah badan profesional seperti diumumkan timbalannya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi di Kota Bharu semalam.

Mohd. Puad memberitahu, pengeluaran lesen perguruan seperti yang dimiliki oleh doktor atau peguam berupaya memastikan guru-guru tempatan terus dipercayai masyarakat.

Muhyiddin menjelaskan, idea lesen perguruan itu disuarakan oleh sebahagian guru besar dan guru-guru yang menyertai program 'retreat' Kementerian Pelajaran baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, para penduduk PPR di seluruh negara digalakkan supaya mendapatkan bantuan kerajaan dalam menubuhkan prasekolah di penempatan masing-masing.

Selain mendapatkan bantuan RM10,000 daripada kerajaan seperti diumumkan baru-baru ini, jelas beliau, kementeriannya juga bersedia melatih guru-guru bagi mengajar kanak-kanak peringkat prasekolah yang dibina di PPR.

Satu murid satu sukan mulai 2011

KUALA LUMPUR 22 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dasar satu murid bergiat dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sebagai salah satu komponen program transformasi pendidikan bermula tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar yang mendapat reaksi positif warga pendidikan itu bertujuan mengembalikan kegemilangan sukan ke peringkat sekolah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, melalui penglibatan dalam bidang sukan, negara mampu melahirkan pelajar yang mempunyai semangat untuk bertanding dan bersaing secara sihat.

“Sebab itu saya yakin bila kemeriahan aktiviti sukan dikembalikan di sekolah, anak-anak kita akan terbentuk sahsiahnya bukan sahaja dari segi akademik bahkan kurikulum yang tidak kurang pentingnya.

“Sukan merupakan aktiviti yang boleh merapatkan hubungan, meningkatkan kesepakatan dan menyemarakkan semangat esprit de corp iaitu saling bantu membantu antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Perlawanan Bola Sepak Piala Sultan Azlan Shah 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Victoria, di sini hari ini.

Pada perlawanan berkenaan, SMK Victoria menang bergaya menewaskan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dengan jaringan 4-0.

Perlawanan bola sepak Piala Sultan Azlan Shah yang sebelum ini dikenali sebagai Laksamana Cup merupakan perlawanan tradisi setiap tahun antara kedua buah sekolah sejak 1949.

Mengulas mengenai penganjuran Piala Sultan Azlan Shah, Muhyiddin berkata, ia merupakan satu medan terbaik untuk mencungkil bakat bola sepak di kalangan pelajar kedua buah sekolah untuk ditingkatkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, kerajaan sememangnya berhasrat untuk melihat sekolah-sekolah premier seperti SMK Victoria dan MCKK melahirkan pelajar yang seimbang dan melakar kecemerlangan dalam bidang akademik dan sukan.

Friday, May 21, 2010

Perluas aspek keselamatan jalan raya di peringkat sekolah


Ismail Lasim bersama Rozano Saad (tengah) menyampaikan piala kepada Sekolah Kebangsaan Seremban 2B yang muncul juara keseluruhan bagi kategori sekolah rendah dan Sekolah Menengah Kebangsaan King George V muncul juara kategori sekolah menengah pada majlis penutup pertandingan lalu lintas Shell/MKJR peringkat negeri di Gelanggang Basikal MPS, semalam.


SEREMBAN 20 Mei – Kerajaan negeri akan memperluaskan aspek keselamatan jalan raya melalui penubuhan Kelab Keselamatan Jalan Raya di peringkat sekolah bagi memupuk kesedaran di kalangan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim berkata, penubuhan kelab itu bukan sahaja memberi impak positif kepada pelajar malah ia membentuk kesedaran mengenai undang-undang jalan raya.

Jelasnya, setakat ini sebanyak 60 buah sekolah di seluruh negeri ini telah menubuhkan kelab berkenaan dan sambutannya amat menggalakkan.

“Kita melihat aspek pendidikan jalan raya bukan hanya tertumpu untuk golongan tertentu sahaja, tetapi ia boleh diperluaskan di semua peringkat lebih-lebih lagi pelajar sekolah.

“Oleh itu, penubuhan Kelab Keselamatan Jalan Raya di sekolah mampu memberi impak positif terhadap nilai kesedaran apabila mereka berada di jalan raya,” katanya.

Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Pertandingan Lalu Lintas Shell dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kilang Penapis Shell, Port Dickson, Rozano Saad.

Sementara itu, Ismail juga menjelaskan pihaknya menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat korporat bersama kerajaan negeri dalam usaha memupuk kesedaran mengenai aspek keselamatan jalan raya.

Malah katanya, ia juga dilihat sebagai satu perkongsian pintar dalam memastikan jumlah kemalangan yang dilihat terus meningkat dikurangkan melalui program pendidikan seperti ini.

“Kita di peringkat kerajaan negeri juga akan menganjurkan pelbagai program yang bersesuaian termasuklah memberi kursus kepada guru-guru sekolah mengenai aktiviti keselamatan jalan raya.

“Pendekatan ini diambil bagi membolehkan para pelajar dan guru diberi pendedahan mengenai keselamatan jalan raya supaya dipraktikkan di semua sekolah di negeri ini,” katanya.

Jangan sisihkan anak istimewa


Petugas Program Pemulihan Dalam Komuniti bergambar bersama pelatih di Kompleks Serting, baru-baru ini.


JEMPOL 20 Mei – “Jangan tunggu elaun naik, baru hendak hantar anak ke sini. Tolong fikirkan masa depan anak ini, sudahlah mereka kurang berkeupayaan tidak dapat ke sekolah biasa.”

Demikian kata-kata yang diluahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli mengenai segelintir ibu bapa yang hanya ingin menghantar anak ke Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sekiranya elaun pelatih dinaikkan.

Beliau yang juga penaung di PDK Serting menyifatkan anak-anak ini terlalu istimewa dan harus diberi kasih sayang yang lebih dari insan yang normal.

“Jangan sisihkan mereka, anggaplah mereka seperti anak yang normal. Curahkan kasih sayang pada mereka. Mereka tidak minta dilahirkan sebegitu dan jangan sekat hak mereka.

“Hantarlah mereka ke PDK, di sini mereka akan memperoleh ilmu dan kemahiran. Kadangkala anak kita kelihatan normal, tetapi hasil ujian mendapatinya mempunyai masalah. Terimalah kenyataan andai perkara itu berlaku,” katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian itu menekankan menuntut ilmu amat penting kepada semua golongan termasuk ‘insan istimewa’ ini.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Jempol, Mustafal Bakri Muhammad Yusof, berkata setiap pelatih yang mendaftar di PDK akan diberi elaun sebanyak RM150 sebulan.

“Bagi kes terlantar pula RM300 akan dimasukkan ke dalam akaun penjaga mereka. Ia boleh digunakan untuk membeli barang keperluan pelatih. Wakil dari PDK akan melawat mereka di rumah dan memberikan latihan susulan.

“Di sini kami juga mengamalkan sistem ‘punch card’. Ia bertujuan melatih pelatih berdisiplin dan menepati masa. Jadi mereka tidak akan lewat ke PDK,” katanya.

Tambah beliau, pihak JKM juga sentiasa melakukan pemantauan untuk mencari anak-anak istimewa yang belum didaftarkan ke PDK.

“Seandainya JKM mendapat tahu ada penjaga yang mempunyai anak istimewa tetapi tidak menghantarnya ke PDK, mereka akan ke rumah itu dan cuba memujuk agar penjaga menghantar anaknya di sini. Semuanya demi kebaikan anak-anak ini,” katanya lagi.

Jumlah keseluruhan pelatih yang mendaftar di PDK Jempol sebanyak 328 manakala kes terlantar mencapai jumlah 106 orang.

Sehingga kini terdapat tujuh PDK di dalam kawasan Jempol dan sebuah lagi dijangka dibuka di Jeram Padang.