Pages

Thursday, July 1, 2010

Bos FIFA minta maaf

JOHANNESBURG - Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter (gambar) telah meminta maaf kepada England dan Mexico yang menjadi mangsa kesilapan pengadil perlawanan sehingga menyebabkan keduadua negara itu tersingkir awal daripada saingan Piala Dunia 2010.

Blatter juga menjelaskan bahawa FIFA bersedia membuka semula proses perdebatan mengenai isu penggunaan tekno- logi video dalam kempen Piala Dunia akan datang.

"Biasanya kita akan akan mengecam sekiranya ada bukti jelas mengenai kesila- pan yang dilakukan pengadil," kata Blatter kelmarin.

Beliau juga menjelaskan, kredibiliti FIFA akan terjejas sekiranya tidak mempertim- bangkan semula cadangan penggunaan teknologi tersebut pada mesyuarat panel badan induk itu di Wales bulan depan.

"Selepas menyaksikan semula beberapa insiden yang berlaku membabitkan perlawanan antara England dan Jerman serta Argentina dan Mexico, kami akan membuka semula isu mengenai penggunaan teknologi ini. Itu sudah pasti," katanya lagi.

Blatter menambah, beliau telah meminta maaf kepada pegawai pasukan England dan Mexico selepas perlawanan tersebut.

"Pegawai pasukan England hanya berkata terima kasih manakala pegawai pasu- kan Mexico pula hanya menganggukkan kepala sahaja.

"Saya faham mereka tidak gembira dengan situasi itu. Ia bukanlah satu pengadi- lan yang bertaraf lima bintang."

Terdahulu, perdebatan mengenai penggunaan teknologi dalam bola sepak kembali hangat diperkatakan.

Semuanya gara-gara kesilapan pengadil ketika perlawanan antara England dan Jerman serta Argentina dan Mexico pada aksi pusingan kedua.

Carlos Tevez dilihat berada dalam kedu- dukan ofsaid ketika menjaringkan gol pertama Argentina sewaktu menewaskan Mexico 3-1 kelmarin.

Gol penyamaan Frank Lampard ketika England tewas 1-4 kepada Jerman, Ahad lalu pula tidak dikira biarpun bola sudah melepasi garisan gol.

Menjadi Isteri Solehah

Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.” Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah

Huraian

Pengajaran Hadis:

i) Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.

ii) Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul.

iii) Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.

iv) Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya. Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya.

v) Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab. Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, June 30, 2010

Siapa haram?

"Wahai semut, kasihanilah hamba. Hamba ini tidak meminta tinggal di perkampungan kalian. Jika diberi peluang, bukan sahaja menetap di sini, menghirup udara di sini pun, hamba tidak mahu," hanya kalbuku yang mampu menjerit.

Sejak 10 jam aku menjadi warga dunia, aku belum menatap keindahan. Aku keluar dari perut wanita ibu dengan sentapan kuat seorang lelaki. Tempat mereka memilih untuk melahirkanku adalah tandas kotor di sebuah ladang kelapa sawit. Aku kemudian dibalut dengan sehelai kain batik yang bertengik darah lalu dimasukkan dalam sebuah beg. Beg itu dizipkan.

"Kau tunggu di sini sayang. Aku akan buang 'cinta' kita ini di lokasi paling strategik," kata lelaki yang 'menyimpan' aku di dalam beg yang kini teroleng-oleng di tangannya. Lelaki itukah pasangan ibu? Aku menjerit kerana lemas. Lelaki itu membuka zip beg lalu menyumbat mulutku dengan kain yang sama. Beg itu dizipkan semula. Aku menderita.

"Wahai semut, berikan hamba sedikit cinta. Hingga saat ini, tiada siapa yang menyenangi kelahiran hamba hatta matahari pun belum menyambutku dengan cahayanya. Dan kau semut, kau juga mahu menggigit diri hamba?" Aku berbisik kepada sang semut yang ingin masuk ke mataku pula. Semut-semut itu terus melata ke segenap wajahku. Rasa kegelian menyirap dan kesakitan tidak tertanggung. Oh ibu, mengapa kau mahu membunuh anakmu?

Aku ingin menyerah diri. Jika jodohku dengan kehidupan, aku berjanji pada Tuhan, aku tidak mahu menjadi manusia yang kejam. Aku tidak mahu membunuh manusia sesuka hati seperti yang ibu lakukan padaku. Aku juga tidak akan menggigit orang lain dan menceroboh wilayah-wilayah yang bukan kepunyaanku seperti semut- semut kecil ini. Malah, aku tidak pernah terfikir bahawa manusia yang dikurniakan akal fikiran dan perasaan sanggup melakukan kezaliman terhadap manusia lain. Aku tentu dapat memaafkan semut, tetapi ibu?

Aku mahu menangis lagi. Badanku rasa sangat gatal dan sakit. Aku juga lapar. Semut-semut tidak mahu menolongku. Dalam beg yang gelap itu, aku tidak dapat mengecami makhluk yang lain. "Tolong semut, tolong bukakan zip beg ini," jeritku namun sekadar di dalam hati. Tuhan, dengarkan janjiku, aku tidak akan membuat orang terhina dengan mencampakkan mereka ke tempat sampah. Seperti ibu dan pasangannya yang telah membuangku di sini. Tuhan, jikalau kehidupan menjadikan aku manusia zalim, maka aku rela Kau mengambil nyawaku sekarang.

DUA

Dalam kerajaan kami, pemimpin adalah yang tertinggi. Segala cakap dan arahannya akan kami patuhi, membangkanginya tidak sekali. Kata pemimpin lebih ampuh daripada arahan ibubapa. Mungkin ramai yang berkata, kami ini ahli yang taksub, tetapi itulah yang berlaku dalam kerajaan kami; kerajaan semut.

Kerja kami setiap hari adalah mengangkut makanan-makanan di setiap penjuru dunia untuk diberikan kepada kerajaan dahulu kemudian baharulah kepada keluarga. Kami tidak patut mengatakan sistem 'melebihkan' pemimpin ini sebagai sistem yang tidak adil. Ini kerana, setiap kami bekerja untuk semut-semut yang lain, bukan untuk seekor atau sebuah keluarga semut sahaja. Hasil pengumpulan makanan tadi diagihkan kepada seluruh masyarakat semut yang tidak berkasta. Masyarakat kami tiada yang miskin, tiada yang kaya, malah tiada yang sederhana. Kami semua sama; 1 Semut. Jika pada hari itu makanan lebih, maka semua keluarga semut akan 'kaya'. Sebaliknya juga begitu. Tapi dalam masyarakat kami, tiada istilah 'miskin' kerana manusia sangat 'pemurah' kepada bangsa semut. Kami tidak sukar 'mencuri' makanan manusia hatta dalam mulut atau dalam telinga mereka sekalipun.

Ketua kami adalah orang yang sangat berwibawa. Ia dari bangsa semut yang pernah memberi arahan kepada Nabi Sulaiman A.S. Ketokohannya sangat menonjol. Kerjanya sebagai pemikir dan perangka strategi untuk masyarakat semut tidak menghalangnya untuk sama-sama turun padang mencari makanan. Ketika ketua semut bersama kami, sukar dibezakan statusnya. Malah tubuhnya lebih kecil daripada kami. Entah dari mana dia mendapat 'akal' kerana memang setiap kami tidak dikurniakan akal fikiran oleh Yang Maha Esa. Inilah yang dinamakan anugerah atau bakat semulajadi seorang pemimpin. Dengan hal itu, sewajarnyalah kami memberikan segala ketaatan kepadanya.

Hari ini, ketua semut bersama kami keluar mencari makanan. Lokasinya adalah sebuah kawasan sampah di pinggiran taman perumahan. Ketua semut membahagikan kami kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama akan bekerja meneroka sumber-sumber makanan yang terdapat dalam tong sampah besar, manakala kumpulan kedua bersiap sedia mengangkut makanan yang dijumpai. Kami menjalar ke setiap pelosok sampah. Bau hanyir dan tengik sangat menakjubkan. Malahan, kami terpaksa bersaing dengan binatang kecil lain seperti ulat dan cacing yang sama-sama gemar menikmati sampah. Kaum semut tidak bergaduh dengan binatang lain. Jika sesuatu kawasan telah diteroka oleh kumpulan ulat, maka kami akan mencari lokasi yang lain. Kami menganggap ianya bukanlah rezeki untuk kami. Rezeki Yang Maha Esa amat luas. Sisa-sisa makanan manusia misalnya, kami yang menghabiskan. Apakah di kalangan manusia ada yang cemburu pada kami, kerana walaupun saiz tubuh kami amat-amat kecil, kami tidak pernah mendapat penyakit kencing manis walau sebanyak manapun gula yang kami makan. Hal ini adalah kelebihan dariNya buat bangsa semut yang tidak dikecapi manusia.

Sebuah beg hitam yang berada dalam tong sampah itu masih tidak diusik ulat-ulat. Kami ke sana dengan berbaris panjang. Ketua kami paling hadapan dan menyelinap melalui lubang zip. Kami merangkak ke atas tubuh seorang manusia kecil. Masuk ke rongga dan menggigit kulitnya yang lembut. Tiba-tiba ketua menjerit lantang.

"Semua keluar dan jangan sesiapa menggigit budak kecil ini lagi,"kata ketua. Kami serta-merta berhenti dan tidak bertanya mengapa arahan itu dikeluarkan. Kami berbaris semula dan mengikut ketua mencari makanan di luar beg hitam itu.

"Budak itu masih bernyawa. Kita tak boleh membunuhnya. Dia diperlukan masyarakat Islam untuk melawan Yahudi dan zionis. Aku mendengar dia berikrar kepada Tuhan tadi bahawa jika dia hidup, dia akan menjadi manusia yang baik. Kita patut menyokongnya," kata ketua. Kami mendengar sambil terus menghidu makanan.

"Wajarlah dia menjadi ketua semut, dia mempunyai hati yang murni dan tidak zalim," bisik salah seekor daripada kami tanpa didengar oleh ketua semut.

TIGA

Menjadi pengutip besi buruk bukanlah pilihan hidup. Tetapi itulah kerjanya sehari-hari kerana miskin dan tidak berilmu. Dia bangun awal pagi sebelum Subuh dan melihat tidak ramai orang Islam yang berjemaah di masjid. Dia, kadang-kadang bertemankan anjingnya, pergi mencari besi buruk di setiap tong sampah di kawasan perumahan itu. Oleh kerana acap disergah anjing-anjing lain, dia menukar strategi untuk tidak membawa anjingnya lagi.

Dia lelah dengan kehidupan. Kadang hatinya terdetik bahawa kematian dapat menamatkan penderitaannya ini. Namun, terkenangkan kata Samad, jirannya bahawa 'orang kafir' akan masuk neraka, dia jadi teramat takut. Betulkah aku akan masuk neraka? Dia sendiri buntu. Apakah agama yang diyakininya sekarang benar atau salah? Samad pernah menceritakan tentang agama Islam padanya. Katanya Islam itu agama rahmat untuk sekalian makhluk. Islam tidak membezakan orang kaya atau orang miskin, orang berkulit putih ataupun berkulit hitam sepertinya. Islam adalah satu-satunya agama Allah Yang Maha Esa. Sesiapa yang menganut agama Islam akan dijamin syurga apabila mati kelak.

Dia terfikirkan kata-kata Samad itu. Tetapi ada hal lain yang menghalangnya daripada memeluk agama Islam. Bila melihat kelakuan Samad sendiri dan orang-orang Melayu di daerahnya, mereka tidak berkelakuan seperti yang mereka serukan. Misalnya, Samad suka menghabiskan masa di kedai kopi, menuduh orang itu dan ini salah. Bermuka-muka dan suka mengampu. Malah Samad selalu memanggilnya ' keling hitam.' Dia rasa malu dan terhina dengan ejekan Samad. Justeru, hatinya juga tertutup untuk memeluk agama yang dianuti oleh Samad.

Tangannya menarik keluar sebuah beg hitam. Pelik. Beg itu terasa berat. Apakah ada besi di dalamnya? Spontan dia membuka zip. Dan matanya terpaku tidak berkelip. Bayi? Dia terus mengangkat bayi yang berbungkus kain itu. Kesan darah melekat di tangannya. Jemarinya mendekati hidung dan ubun-ubun si bayi. Ya! Dia masih hidup. Bayi ini masih hidup!

Fikirannya kini bergalau resah. Kepada siapakah mahu diserahkan bayi comel ini? Tentu pada orang Melayu kerana bayi ini bukan dari kaum lain. Dia mengambil keputusan untuk pergi ke masjid di depan tamannya. Biasanya, orang Islam yang pergi ke masjid adalah orang baik. Dia berlari sambil fikirannya tidak berhenti berfikir, mengapa orang Islam sanggup membuang anak? Bukankah Islam agama yang sejahtera?

Di depan tangga masjid, dia menunggu para jemaah selesai menunaikan solat Subuh. Melihat para jemaah itu berbaris dalam satu saf dengan wajah tunduk ke lantai, hatinya rasa sayu. Inikah kebenaran Islam yang sebenar? Dia terusik apabila mendengar sang imam membaca al-Quran. Tangannya semakin kuat memeluk bayi yang terpejam lena. Selesai solat, para jemaah membaca zikir dan berdoa. Kakinya sudah tidak sabar lagi mendekati mereka. Bayi di tangannya sudah bergerak-gerak.

"Pak Imam" jeritnya. Semua jemaah yang sedang bersalaman menoleh padanya. Dia menggamit Imam mendekatinya. Hatinya sendiri rasa kotor untuk memijak lantai masjid yang suci. Iman dan beberapa jemaah berlari padanya. Tanpa bicara dia menyerahkan bayi itu kepada imam.

"Allahh,..kau jumpa di mana budak ni?" tanya imam.

"Dekat tong sampah besar di sana.." katanya. Pak Imam memeluk bayi kecil yang mulai merengek. Di mata Imam sudah mengalir air jernih.

"Sanggup mereka buang anak yang tidak berdosa ni. Aku malu! Malu anak bangsaku sendiri tergamak buang bayi. Samy..terima kasih. Kau dah selamatkan budak ni. Moga-moga, Allah beri kau hidayah dan kehidupan yang lebih baik," kata imam padanya.

"Haramkah?" tanyanya. Semua mata memandangnya.

"Tidak..bayi ini tidak haram. Yang berdosa adalah ibu dan lelaki yang membuangnya. Mereka itu sama sahaja dengan sikap zionis Israel. Allah sahajalah yang dapat membalas kejahatan puak-puak ini," kata Imam lagi. Dia mengangguk kemudian menggigit bibir.

"Er..maksud saya, haram atau tidak saya masuk ke tandas masjid, saya nak basuh tangan yang berdarah ini?" katanya. "Eh..pergilah..pergilah.." kata imam menepuk bahunya sambil diiringi senyum para jemaah.

Usah jaga anak macam bela ayam


Peserta kursus Kecemerlangan Kerjaya dan Pengurusan Rumah Tangga di Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 29 Jun - Peningkatan gejala sosial di negeri ini berpunca daripada sikap ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka seperti 'menternak ayam dan itik'.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, ibu bapa sekarang tidak peka dengan perkembangan anak-anak kerana menganggap peranan mereka hanya cukup sekadar menyediakan makan dan minum.

Justeru katanya, walaupun ada anak perempuan mereka yang hamil, tetapi ia tidak dapat dikesan kerana tidak ada hubungan erat antara ibu bapa dengan anak.

"Kalau keluarga itu rapat, perkara seperti ini tidak akan terlepas pandang terutama sekali jika ibu selalu memeluk anaknya, maka dia tahu setiap perubahan fizikal anak.

"Tetapi itu tidak berlaku kerana kini ramai yang jaga anak macam ternak ayam dan itik, cukup sekadar bagi makan tetapi perkembangan fizikal, rohani dan mental semua tidak dijaga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Kecemerlangan Kerjaya dan Pengurusan Rumah Tangga (Kakitangan Lelaki) di Dewan Teratai, Kota Darulnaim di sini semalam.

Menurut Wan Ubaidah, pertambahan institusi pendidikan tinggi (IPT) di negeri ini juga menjadi punca kepada pergaulan bebas apabila semakin ramai pelajar terpaksa berjauhan dengan keluarga dan tinggal menyewa.

Katanya, kesempatan berjauhan daripada keluarga selalunya digunakan oleh golongan remaja untuk memperluaskan hubungan sosial mereka.

Sementara itu menurut beliau, pihaknya sedang dalam proses menyiapkan modul Dasar Keluarga Mawaddah yang digubal kerajaan negeri sebagai panduan kepada masyarakat dalam membentuk keluarga bahagia.

"Kami memang bimbang dengan peningkatan masalah sosial remaja seperti buang anak, berkhalwat dan sebagainya.

"Modul ini sebagai panduan kepada setiap ahli keluarga untuk menilai diri masing-masing dan sejauh mana mereka berjaya melakukan tanggungjawab," tegas beliau.

Tuesday, June 29, 2010

Musuh Jangan Dicari, Jika Bertemu Pantang Mundur

Hadith :


Abu Hurairah r.a berkata:”Nabi SAW bersabda:”Janganlah kamu berharap untuk bertemu musuh, tetapi apabila kamu bertemu musuh maka bertahanlah.” (Bukhari dan Muslim)

Huraian:

Dalam kehidupan ini sebagai manusia kita sering berhadapan dengan perkara yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Oleh itu hendaklah kita sentiasa berhati-hati dan jangan sengaja melakukan perkara yang menimbulkan kemarahan orang lain atau dengan perkataan lain jangan kita sengaja mencari musuh kerana ia menunjukkan sikap orang yang sombong dan bongkak.

Namun jika ditakdirkan kita bertemu dengan musuh maka bertahanlah dan jangan mudah menyerah kalah. Bersabarlah dan mohonlah kekuatan daripada Allah SWT semoga kita berada di pihak yang benar.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

UiTM tawar pengajian percuma kepada pekerja tidak mampu

SHAH ALAM 28 Jun – Golongan pekerja yang berminat untuk mendapatkan pendidikan tinggi namun tidak berkemampuan kini berpeluang berbuat demikian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengajian secara percuma itu akan ditawarkan pada masa terdekat dan pelajar akan mengikutinya menerusi program pengajian jarak jauh dan luar kampus di semua kampus UiTM.

“Tawaran ini merupakan satu tanggungjawab sosial (CSR) UiTM yang diusahakan sendiri oleh universiti itu melalui program Mengubah Destini Anak Bangsa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan dengan Penuntut Baru UiTM, di sini hari ini.

Khaled berkata tawaran itu adalah untuk semua peringkat umur.

Mereka yang berminat akan mengikuti satu program pengajian khas sebelum diserapkan ke peringkat diploma bagi mengikuti kursus bersesuaian pada semester berikutnya bergantung kepada keputusan yang dicapai, kata beliau.

Katanya maklumat lanjut mengenai tawaran pengajian itu boleh didapati menerusi iklan yang akan disiarkan oleh UiTM.

Di bawah program CSR yang sama juga, Khaled berkata, UiTM telah mengambil kira-kira 5,000 penuntut daripada anak golongan miskin yang tidak mendapat keputusan cemerlang bagi mengikuti pengajian pradiploma.

“Kesemua mereka dipilih akan ditempatkan di semua kampus UiTM dan akan mengikuti pengajian peringkat pradiploma selama enam bulan secara percuma,” katanya.

Khaled berkata, mereka yang mendapat keputusan cemerlang akan ditawarkan pengajian peringkat diploma mengikut bidang bersesuaian.

Seramai 60,000 penuntut baru UiTM mendaftar untuk mengkuti pengajian pada sesi pengajian kali ini.

Khaled turut meminta universiti lain terutama universiti swasta memberikan biasiswa membantu mereka yang tidak berkemampuan. – BERNAMA

Monday, June 28, 2010

Tonton rancangan satelit dalam kereta


PERJALANAN jauh tidak lagi bosan dengan menyaksikan rancangan televisyen satelit kegemaran menerusi SelfSat.

SEBELUM ini rancangan hebat yang disiarkan melalui televisyen satelit pasti tidak akan dapat ditonton ketika anda sedang memandu.

Lebih menggeramkan ketika itu jalan raya sesak sebagai contoh ketika mahu pulang ke kampung berhari raya.

Malah dalam senario sekarang, ketika perlawanan Piala Dunia sedang berlangsung, kaki bola yang ingin menyaksikan perlawanan pasukan pilihan mereka pasti akan gigit jari ketika terperangkap di dalam kenderaan.

Namun kini tidak lagi dengan kehadiran SelfSat, sistem antena satelit mudah alih dengan piring satelit nipis dan ringan yang boleh digunakan pada apa jua jenis kenderaan yang bergerak.

Kehadiran SelfSat membuatkan hiburan keluarga ketika dalam perjalanan menjadi lebih mudah.

Pasti yang yang tertanya bagaimana fungsi SelfSat kerana jika di rumah, antena satelit yang ada perlu ditala ke darjah yang tetap dan jika ini tidak dilakukan, pastinya siaran televisyen satelit itu tidak akan diterima.

Teknologi dan pembuatan SelfSat dilakukan di Korea dan ini merupakan pertama kali produk itu diperkenalkan di Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif GW Distribution Sdn. Bhd. (GWD), pengedar tunggal SelfSat di Malaysia, Andy Ng, SelfSat boleh digunakan untuk menyaksikan semua rancangan televisyen satelit berbayar yang ada di Malaysia sekarang.

“Setakat ini, produk mudah alih SelfSat hanya boleh digunakan di Semenanjung ekoran antena satelit itu telah di tetapkan pada darjah satelit sedia ada.

“Kami akan membawa masuk antena satelit yang sesuai untuk Sabah dan Sarawak dan kemungkinan dalam tahun ini juga, pengguna di Malaysia Timur akan boleh menyaksikan rancangan popular satelit mereka tahun ini juga,” katanya.

Menurut Andy, pakej SelfSet yang berharga RM2,990 didatangkan dengan antena satelit dengan tiga warna pilihan, kabel dan Digisat Power Inseter yang merupakan nadi kepada penggunaan SelfSat.

“Mungkin ada yang bertanya apa akan terjadi jika antena satelit dicuri dan adakah mereka boleh menggunakan antena itu.

“Jawapannya mudah, tidak. Ini berikutan antena satelit SelfSat itu memerlukan Digisat Power Inserter untuk berfungsi dan mereka yang mencuri antena itu tidak akan dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Menurut Andy, pengguna hanya perlu mempunyai pakej televisyen satelit berbayar sedia ada, dekoder dan monitor untuk disambungkan dengan antena satelit SelfSat.

“Pemasangan adalah mudah cuma saya cadangkan pengguna memasang sistem ini di pusat aksesori kenderaan supaya kabel yang disediakan akan disambung dengan betul,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keadaan hujan yang sering mengganggu siaran satelit dirumah, Andy berkata, perkara itu tidak boleh dielakkan dan ia turut berlaku pada sistem SelfSat.

Menurutnya, selain hujan, kenderaan yang berada di bawah rimbunan pokok dan memasuki terowong juga akan turut mengalami gangguan siaran.

“Ia sama dengan sistem GPS (Sistem penentu global) yang kita gunakan sekarang, namun SelfSat yang sudah dicuba ketika pemanduan dari Johor bahru ke Kuala Lumpur dalam keadaan hujan menunjukkan ia tidaklah seteruk dengan apa yang terjadi di rumah,” katanya.

Selain boleh dipasang pada semua jenis kenderaan darat yang mempunyai bumbung dan SelfSat boleh juga dipasang pada bot atau atau kapal.

“Namun, pengguna SelfSat pada kapal hanya boleh menonton siaran satelit jika berada di dalam lingkungan Semenanjung Malaysia atau berhampiran selatan Thailand dan berdekatan Sumatera,” katanya.

Antena satelit SelfSat yang mempunyai berat 3.3 kilogram hanya menggunakan kuasa elektrik 500mA pada kadar maksimum.