Pages

Tuesday, July 6, 2010

Guna muzik sebagai terapi

BUKIT NANGKA - Menggunakan muzik sebagai terapi untuk anak istimewa patut dipraktikkan oleh setiap ibu bapa kerana dapat membantu perkembangan minda agar lebih cergas

Pengerusi Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Negeri Kelantan (PENAWAR), Datin Sri Khamarzam Ahmed Meah berkata, terapi muzik dapat membantu rawat kes trauma serta gangguan emosi malah meredakan tekanan emosi akibat bekerja.

“Rawatan dengan terapi muzik cukup baik untuk mereka kerana ianya dapat memberi sokongan emosi kepada selain membantu meredakan ketegangan perasaan dan fikiran ibu bapa.

“Menggunakan alat muzik, menyanyi, membuat persembahan secara berkumpulan serta menari adalah contoh untuk ibu bapa mempraktikkannya terutama sekali di rumah,” katanya.

Menurutnya, alternatif rawatan moden tersebut dilihat mampu meningkatkan kesihatan mental dan fizikal di kalangan anak-anak OKU.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Talentime PDK Piala Perdana Menteri bagi Zon Semerak Kasih di Kompleks UMNO Bahagian Jeli, dekat sini.

Program membabitkan tiga zon iaitu Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas itu dihadiri lebih 200 ibu bapa dan hadir bersama ialah Timbalan Pengarah 1 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, Che Ngah Ismail.

Petua Dimurahkan Rezeki Dan Dipanjangkan Umur

Hadith :

Dari Anas bin Malik r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang ingin supaya dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia memperhubungkan silaturrahim (hubungan kasih sayang).”

(Bukhari)

Huraian:

Silaturrahim berasal daripada bahasa Arab yang bererti menghubungkan ikatan kasih sayang. Silaturrahim merupakan suatu ikatan yang suci yang menuntut kita sebagai umat Islam sentiasa menjaganya malah seseorang itu tidak dikatakan beriman selagi ia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri. Masakan manusia boleh hidup keseorangan. tanpa bergantung harap dan menerima kasih sayang daripada orang lain. Oleh itu jalinan silaturrahim adalah amat penting bagi sesebuah ummah itu hidup lebih cemerlang dan berjaya kerana ukhuwwah yang dipupuk di atas rasa cinta dan kasih kerana Allah pasti akan memberikan kekuatan pada jiwa mana-mana individu.

Terpinggirkah GSTT?

Terdapat tanggapan yang tidak betul bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia tidak memberikan perhatian khidmat dan sumbangan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT). Tanggapan itu sebenarnya lebih merupakan tanggapan peribadi guru yang terlibat kerana memikirkan akan adanya tawaran secara automatik untuk diserapkan ke jawatan guru. Mereka beranggapan bahawa setelah berkhidmat sebagai GSTT maka peluangnya untuk menjadi guru terlatih lebih mudah atau tidak perlu bersaing secara saksama dengan calon lain yang turut memohon.

Seharusnya, seseorang yang diterima bekerja sebagai GSTT perlu sedar dan faham, mereka hanya dibayar elaun dan bukan gaji. Elaunnya berdasarkan jumlah hari bekerja dan tempoh tertentu. Jika tempoh yang dilaluinya itu adalah pendek, iaitu memenuhi kekosongan sementara di sesebuah sekolah kerana pelbagai faktor, secara jelasnya perkhidmatan itu hanya untuk menampung keperluan semasa.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak pernah memberikan jaminan bahawa setelah tamat tempoh bertugas sebagai GSTT, akan terus diterima untuk menjalani latihan perguruan sebelum layak ditawarkan sebagai seorang guru terlatih.

Seseorang yang berhasrat menjadi guru perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan dan syarat tersebut tidak termasuk pernah bertugas sebagai GSTT. Antara syarat wajib ialah melepasi tahap kelulusan minimum untuk memohon kemasukan ke program Diploma Perguruan ataupun Kursus Perguruan Lepasan Ijazah.

Setelah mengemukakan permohonan, pihak KPM membuat tapisan bagi memilih mereka yang terbaik sebelum dipanggil menduduki peperiksaan scholastik. Setelah lulus ujian tersebut, mereka akan dipanggil untuk temuduga dan keputusan temuduga itulah akan menentukan sama ada seseorang terpilih atau tidak ke program latihan perguruan yang ditetapkan.

Perlu disedari bahawa seseorang yang memilih kerjayanya sebagai seorang guru mestilah mempunyai nilai dan memenuhi kriteria tertentu. Dalam membuat pilihan itu, KPM yang mempunyai jumlah permohonan yang ramai, maka mereka yang benar-benar memenuhi syarat dan lulus dalam temuduga akan ditawarkan. Tentunya, kalaulah bekas GSTT yang mempunyai kelayakan, melepasi ujian saringan dan lulus temuduga, ia akan turut terpilih, jika ikut membuat permohonan setelah tawaran iklan berkenaan dikeluarkan.

KPM membuat ketetapan sedemikian kerana kerjaya perguruan bukanlah satu bentuk kerjaya yang boleh dianggap memadai dan senang. Seseorang guru mestilah mempunyai nilai sahsiah yang baik kerana tanggungjawabnya adalah mendidik para pelajar. Harus disedari bahawa pendidikan secara holistik bukan hanya sekadar menyampaikan pengetahuan berdasarkan kurikulum, tetapi turut melibatkan aspek tingkahlaku, kemahiran bersosial dan keadaban. Tugas guru ialah membina modal insan untuk memenuhi keperluan negara dan bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan sukatan mata pelajaran yang ditetapkan.

Kualiti pendidikan tidak hanya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata. Ia turut mengambil kira cara seseorang itu memimpin para pelajar dan impak bimbingan yang diberikan sehingga mampu melahirkan seorang yang benar-benar memahami makna terpelajar. Bagi memenuhi tanggungjawab tersebut, tidak pula bermakna GSTT tidak mempunyai kualiti yang diharapkan, tetapi pengalaman tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai satu kelebihan dan keistimewaan, ia masih bergantung kepada syarat asas yang ditetapkan.

Memangnya KPM memerlukan khidmat GSTT, kerana itu adalah penyelesaian jangka pendek apabila menghadapi masalah kekurangan guru terlatih. Apabila guru terlatih dilantik, ia dengan sendirinya menunjukkan tidak ada kekosongan berlaku, maka KPM berhak untuk menamatkannya. KPM tidak pernah menafi atau meminggirkan khidmat bakti GSTT dan kerana itulah dibayar elaun selayaknya sepanjang perkhidmatannya.

Memang ada kes di mana GSTT diberikan peluang untuk dilantik sebagai guru terlatih, iaitu setelah berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan, termasuk mendapat latihan Kursus Dalam Cuti, sama ada di peringkat KPLI ataupun ditawarkan ke kursus Sarjana Muda Perguruan sepenuh masa selama 5 tahun jika belum mempunyai ijazah pertama. Malah yang lebih penting ialah mata pelajaran yang dipilih atau mempunyai kelebihan pada peringkat kelayakan asas. Jika matapelajaran tersebut dalam kumpulan mata pelajaran kritikal, peluangnya mungkin lebih mudah. Sebaliknya, jika mata pelajaran bukan dalam kumpulan kritikal, ia akan menjadi lebih sukar untuk ditawarkan mengikuti kursus perguruan selanjutnya.

KPM perlu membuat pilihan yang betul dan terbaik, kerana tanggungjawab membina modal insan bukanlah mudah sebagaimana difikirkan oleh sesetengah orang. Kelulusan yang baik bukanlah melambangkan kita sudah memadai, modal yang insan yang kita perlu hasilkan ialah mampu bersaing, kreatif, mempunyai ketahanan mental dan fizikal, sahsiah yang bertepatan dengan nilai keinsanan manusia serta inovatif.

Jerman guna taktik petak segi empat

Justify Full


Gambar menunjukkan Miroslav Klose dari Jerman menerima hantaran bola daripada seorang pemain sebelum dia menjaringkan gol semasa menentang skuad Argentina di Stadium Green Point, Afrika Selatan pada Sabtu lalu.


Jurulatih Jerman, Joachim Loew buat pertama kalinya mendedahkan taktik yang menyebabkan pasukan bola sepaknya mengamalkan pendekatan permainan moden sehingga menumbangkan pasukan lawan dengan jaringan gol yang banyak pada Kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Skuad Jerman itu yang tidak mempunyai ramai bintang bola sepak membuat kejutan apabila melangkat ke separuh akhir dengan mudah berbanding pasukan seperti Brazil, Argentina dan England yang tewas di peringkat awal. Apakah rahsia pasukan Jerman itu yang pernah menjadi juara Piala Dunia pada 1954, 1974 dan 1990.

Jurulatih Jerman itu buat pertama kalinya mendedahkan kejayaan pasukan itu kepada sebuah akhbar di Jerman yang menyiarkan kenyataannya semalam.

Loew mendedahkan bahawa dia menggunakan taktik petak segi empat sama bagi memenangi perlawanan dan seterusnya Piala Dunia.

Jerman sememangnya dikenali sebagai sebuah pasukan yang berjaya tetapi kali ini, mereka turut menonjolkan corak permainan bola sepak yang menakjubkan.

Pasukan itu mara ke separuh akhir Piala Dunia setelah menewaskan Australia 4-0, Ghana 1-0, tewas kepada Slovakia 1-0 dan seterusnya menundukkan England 4-1 serta Argentina 4-0. Bagaimana Loew mencapai kejayaan tersebut?

"Perancangan tentang corak permainan kami di Piala Dunia 2010 telah lama difikirkan iaitu sejak daripada undian perlawanan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 4 Disember, tahun lalu," katanya Loew.

Menurutnya, pasukan Jerman cuma boleh merangkul Piala Dunia dengan corak serangan agresif sekali gus menyukarkan pihak lawan semasa di padang.

"Kaedah yang digunakan Itali bagi memenangi Piala Dunia pada 2006 dengan mengamalkan corak bertahan dan menang cuma menerusi satu gol sudah lapuk. Anda tidak akan ke mana-mana dengan bermain seperti itu sekarang. Kami merancang untuk Piala Dunia sehingga mencapai ke perlawanan akhir," jelasnya.

Taktik jurulatih berusia 50 tahun itu akhirnya membuahkan hasil apabila Jerman berjaya menjaring 13 gol setakat ini. Pasukan bola sepak berkenaan juga merupakan yang paling agresif pada Piala Dunia kali ini.

Bagaimana taktik Loew berkesan?

Dia membahagikan padang bola kepada 18 petak segi empat sama yang sama luas.

"Bagaimana kami menyusun dan mengawal permainan di petak-petak berkenaan merupakan faktor paling utama untuk permainan bola sepak yang hebat," kata Loew.

"Setiap pemain perlu tahu posisi mereka pada petak-petak itu supaya tiada pemain bergerak ke serata padang dengan sewenang-wenangnya. Sesetengah petak itu perlu sentiasa dikawal," jelasnya.

Taktik itu bermakna bola sentiasa bergerak dari satu petak ke petak lain sehingga mereka mendekati gol lawan.

Penyerang Jerman, Lukas Podolski dan Thomas Müller sentiasa mengawal bahagian kiri dan kanan padang.

Pemain tengah, Mesut Ozil mengawal segi empat sama di antara garisan tengah padang dan kawasan penalti pasukan lawan manakala Bastian Schweinsteiger melindungi kawasan di antara kawasan penalti pasukannya dan garisan tengah. Taktik tersebut menjadikan Schweinsteiger pemain paling penting dalam skuad Jerman.

Dia merupakan penggerak pasukan Jerman dengan menggerakkan Ozil dan pemain-pemain sayap selain mengatur barisan pertahanan.

"Schweinsteiger mengepalai dan mengatur pasukan itu dengan sempurna," ujar Loew.

Jurulatih berkenaan menamakan taktik keduanya sebagai 'sepak dan lari'.

"Permainan bukan berakhir apabila kami memiliki bola. Saya mahu melihat pemain-pemain bergerak dalam petak mereka dan meminta bola. Dengan cara ini, corak permainan kami adalah lebih dinamik dan lancar.

"Saya tahu beberapa pemain kami amat pandai bermain seperti itu," katanya.

Semua sesi latihan tersebut dirakamkan dan corak larian setiap pemain dianalisis.

"Anda tidak dapat merancang gerakan sempurna semasa sesi latihan. Namun, terdapat mekanisme dan prosedur yang sentiasa sama. Kami akan memperbaiki dua aspek berkenaan," jelas Loew.

Contoh terbaik mekanisme sama itu adalah corak serangan balas pantas oleh Jerman yang membawa kepada kemenangan 4-1 ke atas England.

Serangan balas bermula dengan hantaran jauh daripada Miroslav Klose yang diikuti oleh hantaran lintang daripada Ozil seterusnya jaringan gol oleh Muller.

"Itulah gerakan yang sempurna," ujar Loew.

Pada masa yang sama, dia turut menggunakan taktik psikologi untuk mendapatkan yang terbaik daripada setiap anak buahnya.

Sebelum perlawanan menentang Argentina bermula, Loew menunjukkan beberapa gambar demam Piala Dunia yang melanda rakyat Jerman. "Gambar-gambar itu menaikkan semangat juang kami semua," katanya.

Monday, July 5, 2010

Sifat pemaaf Rasulullah

NABI Muhammad SAW ialah seorang nabi dan rasul yang memiliki akhlak terpuji. Baginda seorang insan mulia yang sanggup memaafkan kesalahan orang lain.

Pada suatu hari, ketika baginda sedang berehat-rehat, datanglah seorang wanita Yahudi membawa hidangan yang lazat berupa kambing panggang.

Wanita itu mengetahui bahawa Rasulullah amat gemar kambing panggang.

Bahagian kegemaran baginda ialah paha kanan bahagian depan. Lalu wanita tersebut menabur racun di atas kambing panggang itu.

Dia melebihkan racun di paha kanan hadapan kambing yang dihidangkan itu.

Setelah melihat hidangan itu, maka Rasulullah pun berasa lapar. Selepas membaca bismillah, baginda pun makan dengan berselera sekali.

Baginda makan bersama seorang sahabat, Bisyir bin Barra bin Ma'rur. Namun, sewaktu baginda sedang mengunyah makanan itu, timbul perasaan was-was di hati.

Rasulullah pun meluahkan kembali daging kambing panggang yang sedang dikunyah.

Ternyata suara hati baginda itu benar. Bisyir bin Barra bin Ma'rur telah menjadi korban. Sahabat baginda itu meninggal dunia kerana termakan racun dalam makanan tersebut.

Rasulullah pun bertanya dan wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang tanpa berselindung berkata: "Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang rasul, sudah pasti engkau akan mendapat petunjuk mengenai hal ini. Tetapi kalau engkau hanya orang biasa, maka aku pasti merasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau telah banyak membawa kemusnahan kepada kaum Yahudi."

Rasulullah mendengar penjelasan wanita itu dengan tenang. Kemudian, baginda pun memaafkan wanita itu. Baginda tidak menghukum wanita itu walaupun perbuatannya itu telah mengakibatkan kematian seorang sahabat baginda.

Baginda sanggup memberi kemaafan kepada seorang wanita yang ternyata mahu membunuh baginda.

Thursday, July 1, 2010

Jangan Berfikir Untuk Bersedekah

Assalamualaikum wbt kepada semua Sahabat Fitrah. Semoga berada di bawah naungan Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saW., sabdanya: ”
Ada seorang lelaki berkata, “Aku hendak bersedekah malam ini.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan disedekahkannya kepada perempuan lacur. Esok pagi orang banyak mempercakapkan bahawa tadi malam ada pelacur yang diberi orang sedekah. Orang itu berujar, “Wahai, Allah! Segala puji bagi-Mu yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur. Aku akan bersedekah lagi.” Dia pergi pula membawa sedekahnya, lalu diberikannya kepada orang kaya.

Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang memberi sedekah kepada orang kaya. Lalu orang yang bersedekah itu berkata, “Wahai, Allah! Untuk-Mulah segala puji, kerana Engkau telah menjadikan sedekahku jatuh kepada orang kaya. Aku akan bersedekah lagi.” Dia pergi pula membawa sedekahnya, dan diberikannya kepada si pencuri. Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang bersedekah kepada pencuri. Orang yang bersedekah itu pun berujar pula, “Segala puji bagi Allah yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur, kepada orang kaya, dan kepada pencuri.’

Kemudian orang itu didatangi malaikat seraya katanya :”Sedekah anda sudah diterima baik oleh masing-masing orang yang anda beri sedekah. Adapun perempuan lacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur; kepada si kaya, semoga dia menyedari dirinya dan bersedekah pula; dan untuk si pencuri, semoga dia berhenti mencuri.”[HR Muslim]

Berdasarkan hadis ini jelas sekali kepada kita bahawa sedekah kita tetap diterima oleh Allah seandainya ada keikhlasan di atas apa yang disedekahkan oleh kita. Sesiapa pun yang menerima sedekah kita tidak menjadi masalah, walaupun mungkin pada pandangan nilaian mata manusia sedekah yang kita lakukan berlaku di luar adat manusia. Tetapi bila kita membaca mafhum hadis ini jelas sekali apabila kita timbul niat untuk bersedekah, maka jangan kita berfikir panjang kepada siapa dan berapakah jumlahnya yang akan kita keluarkan untuk bersedekah.

Lelaki yang disebut di dalam hadis ini tidak menghiraukan apa jua perkataan yang keluar walaupun sedekah yang dikeluarkan tidak menepati nilaian mata manusia, namun apa yang lebih penting ialah nilaian amal kebajikan di sisi Allah SWT.

Jadilah golongan yang memberi kerana kedudukannya jauh lebih mulia berbanding mereka yang menerima. Allah SWT amat memuliakan golongan yang memberi ini, tetapi seandainya mereka memberi tetapi dalam keadaan si penerima tidak redha dan merasa benci dengan pemberian dan sedekahnya kerana wujud kejian dan kata-kata yang tidak baik, maka adakah ianya mendapat rahmat di sisi Allah? Mudah-mudahan amal baik kita ini diterima oleh Allah SWT.

Bos FIFA minta maaf

JOHANNESBURG - Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter (gambar) telah meminta maaf kepada England dan Mexico yang menjadi mangsa kesilapan pengadil perlawanan sehingga menyebabkan keduadua negara itu tersingkir awal daripada saingan Piala Dunia 2010.

Blatter juga menjelaskan bahawa FIFA bersedia membuka semula proses perdebatan mengenai isu penggunaan tekno- logi video dalam kempen Piala Dunia akan datang.

"Biasanya kita akan akan mengecam sekiranya ada bukti jelas mengenai kesila- pan yang dilakukan pengadil," kata Blatter kelmarin.

Beliau juga menjelaskan, kredibiliti FIFA akan terjejas sekiranya tidak mempertim- bangkan semula cadangan penggunaan teknologi tersebut pada mesyuarat panel badan induk itu di Wales bulan depan.

"Selepas menyaksikan semula beberapa insiden yang berlaku membabitkan perlawanan antara England dan Jerman serta Argentina dan Mexico, kami akan membuka semula isu mengenai penggunaan teknologi ini. Itu sudah pasti," katanya lagi.

Blatter menambah, beliau telah meminta maaf kepada pegawai pasukan England dan Mexico selepas perlawanan tersebut.

"Pegawai pasukan England hanya berkata terima kasih manakala pegawai pasu- kan Mexico pula hanya menganggukkan kepala sahaja.

"Saya faham mereka tidak gembira dengan situasi itu. Ia bukanlah satu pengadi- lan yang bertaraf lima bintang."

Terdahulu, perdebatan mengenai penggunaan teknologi dalam bola sepak kembali hangat diperkatakan.

Semuanya gara-gara kesilapan pengadil ketika perlawanan antara England dan Jerman serta Argentina dan Mexico pada aksi pusingan kedua.

Carlos Tevez dilihat berada dalam kedu- dukan ofsaid ketika menjaringkan gol pertama Argentina sewaktu menewaskan Mexico 3-1 kelmarin.

Gol penyamaan Frank Lampard ketika England tewas 1-4 kepada Jerman, Ahad lalu pula tidak dikira biarpun bola sudah melepasi garisan gol.