"Tidak semua yang kita ingin mampu kita perolehi sebagaimana tidak semua yang kita perolehi adalah yang kita inginkan"
"Kejayaan adalah tangga yang tidak dapat anda panjat dengan tangan di dalam poket"
"Orang yang selalu bersedih akan sukar mencapai apa yang dicita-citakan"
"Manusia yang berjaya akan memperolehi keuntungan daripada kesilapannya, dan mencuba lagi dengan cara yang lain"
"Kegagalan bermakna bahawa anda belum berjaya lagi"
"Ingatlah bahawa anda boleh gagal dalam apa sahaja dalam hidup asalkan tidak menjadi seorang yang gagal"
"Kegagalan bukan bermakna anda tidak mencapai apa-apa.Ia bermakna anda telah mempelajari sesuatu"
"Wang bukanlah segala-galanya, namun ia pasti menjadi penghubung dengan anak-anak anda"
"Ramai orang yang masih bergantung kepada kerja-kerja yang bergaji rendah kerana mereka takut gagal jika mencuba kerja lain"
"Nafsu mengatakan wanita cantik atas dasar rupanya, akal mengatakan wanita cantik atas dasar ilmu dan kepandaiannya, dan hati mengatakan wanita cantik atas dasar akhlaknya"
"Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah"
"Perkara yang paling manis dalam dunia ini ialah pujian seorang kekasih daripada perasaan cintanya. Ia lebih manis daripada madu yang paling enak di dunia ini"
''Bercakaplah yang benar walaupun ianya pahit''
''Sesungguhnya Allah s.w.t itu tidak melihat kepada tubuhmu, tidak pula melihat bentuk rupamu, tetapi Dia melihat kepada hatimu''
''Janganlah takut mencuba sesuatu yang baru, asalkan kalau kita yakin dengan kebaikan yang akan diperolehinya
''Janganlah mudah kita melemparkan kata-kata nista kepada orang lain sebab mungkin orang yang dinista itu lebih baik daripada kita. Orang yang baik juga sentiasa menjaga lidahnya daripada menyakiti hati orang lain''
Fikirkanlah dosa dan pahala... lalu laksanakanlah yang berpahala dan tinggalkan yang berdosa''
'Orang Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada orang Mukmin yang lemah''
''Berbuat baiklah, sesungguhnya Allah s.w.t menyukai orang-orang yang berbuat baik''
''Jadikanlah hari ini lebih baik dari hari semalam''
''Tidak akan masuk syurga bagi orang yang memutuskan silaturrahim'.
''Tunaikanlah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita dengan jujur''
''Berusahalah untuk menjadi kawan yang setia... .kita tetap bersama walaupun dalam keadaan yang susah''
''Ingatlah, kita tidak akan menjadi miskin atau susah hanya kerana kita berkongsi sedikit daripada harta kita dengan orang lain''
''Tidak kira betapa kecil atau besar sumbangan yang boleh kita berikan, yang penting kita berusaha sebaik mungkin dengan keupayaan yang ada pada diri kita''
''Sesuatu kejayaan adalah lebih bermakna apabila ia disertai usaha yang bersungguh-sungguh... orang yang mudah berputus asa tidak mungkin beroleh kejayaan yang cemerlang. Biarlah bersusah dahulu, asalkan senang kemudian''
''Pentingkan yang lebih penting kerana yang lebih penting itu lebih penting dari yang penting''
''Jangan terlalu memandang tinggi kepada orang lain sehingga memandang rendah kepada diri sendiri''
"Penghalang kepada kejayaan adalah fikiran sendiri, bukannya kecacatan atau kekurangan"
''Seorang anak tidak akan mengetahui kasih sayang ibu bapanya terhadapnya sehinggalah dia mempunyai anak sendiri''
"Kawan yang sebenar ialah seorang yang dapat menerima diri kita yang sebenar"
"Masa adalah sekolah di mana kita belajar. Masa adalah api di dalamnya kita terbakar"
"Manusia mesti menamatkan peperangan, jika tidak peperangan akan menamatkan manusia"
"Arus masa depan telah tiba & tiada cara melawannya"
''Kisah cinta yang sebenarnya tiada akhirnya''
"Bukti terbaik cinta ialah kepercayaan"
"Kita lebih banyak berusaha untuk menegakkan benang basah daripada berusaha memperbaiki kelemahan diri"
"Jika kita melakukan sesuatu dengan keikhlasan, nescaya ganjaran yang kita terima juga setanding dengan apa yang kita usahakan"
"Semangat yang kuat mampu mengatasi apa sahaja cabaran yang datang"
"Selagi kita mencuba dan berusaha, selagi itulah kita akan beroleh apa yang kita hajati"
''Dendam adalah manis. Balasannya adalah pahit''
''Fikiran membawa kepada pekerjaan. Pekerjaan membawa kepada kejayaan. Kejayaan membawa kepada impian''
Saturday, August 14, 2010
Himpunan Mutiara Kata
Friday, August 6, 2010
Ikhtiar Hidup Di Hutan
Ilmunya mudah dipelajari. Yang penting ialah semangat untuk hidup dalam menghadapi berbagai masalah dan cabaran. Biasanya dengan semangat yang kental, berbagai masalah dapat diatasi, termasuk berikhtiar mencari jalan keluar dengan selamat. Namun begitu tidak ada jaminan bahawa semua ikhtiar hidup pasti akan berjaya. Tetapi sekurang-kurangnya kita mesti cuba seberapa daya kearah kejayaan.
Kita perlu ketahui bahawa didalam hutan bukanlah seperti di pekan atau di kampung dimana berbagai barangan dan bahan sentiasa boleh dibeli untuk makan atau diguna bagi keselesaan hidup. Jadinya setiap orang yang minat mengembara ke hutan harus membuat persiapan yang mencukupi. Dengan kata lain beliau perlu membawa pakaian yang sesuai dan peralatan serta makanan yang mencukupi bagi tempoh kembaraannya.
Bekalan dan peralatan yang patut dibawa untuk kembara di hutan ialah:
. Khemah, beg tidur dan tikar getah
. Macis, pemetik api, parang, lampu picit serta bateri
. Peta, kompas
. Beras, kopi, teh, gula, garam, minyak masak
. Ikan kering, cili kering, bawang, kunyit, rempah dsbnya
. Periok, pinggan dan sudu plastik serta pisau dapur
. Makanan ringan seperti Mi sedia atau biskut kering
. Sepasang baju dan seluar panjang, topi serta kasut dan stoking
. Sepasang baju dan seluar ganti serta sehelai sarong
. Ubat dan alatan pertolongan cemas serta peralatan dandanan
Peralatan Ikhtiar Hidup
Persediaan diatas amat sempurna untuk ke hutan. Tetapi biasanya bagi seseorang yang hilang di hutan, peralatan tersebut jarang sekali dibawa bersama sebab terlalu berat atau tidak dirancang untuk tinggal lama di hutan.
Oleh itu selain pakaian, peralatan yang harus dibawa adalah seperti berikut:
. Macis, pemetik api dan parang
. Lampu picit dan bateri
. Ubat pertolongan cemas wisel dan peralatan dandanan
. Hammock (buaian) dan ponco
. Kain jarang (untuk tutup muka dan badan sewaktu tidur)
. Sarong tangan
Hammock diikat di pokok dan jadikan buaian untuk tidur. Ponco diguna sebagai bumbung untuk megelak dari hujan. Kain jarang dipakai sebagai selimut dan sarong tangan bagi mengelak dari gigitan nyamuk.
Peralatan Terpenting
Jika senarai peralatan diatas tidak juga dibawa, maka yang paling terpenting dibawa ialah:
. Macis atau petik api
. Parang
Tanpa kedua barangan diatas, ikhtiar hidup masih lagi dilakukan. Tetapi ia bertambah sukar. Sebabnya api penting dalam usaha ikhtiar hidup. Bagitu juga parang yang sangat berguna menebang dan memotong kayu untuk membuat tempat perlindungan atau memotong buluh untuk alat memasak.
Membina Perlindungan
Yang utama dalam Ikhtiar Hidup di hutan ialah membina sebuah perlindungan atau dangau untuk tempat tidur serta berteduh dari hujan.
Membina dangau mengambil masa lebih kurang selama 3 jam. Yang penting ialah mengumpul bahan binaan seperti kayu atau
buluh serta daun dan akar atau rotan yang boleh dikutip diatas
tanah atau dipotong dari pokok-pokok yang terdapat dikawasan berhampiran.
Setelah bahan-bahan tersebut dikumpul, 4 batang kayu panjang dipacak diatas tanah dengan secukup kejapnya menjadi satu struktur 6 kaki tinggi, 7 kaki panjang dan 4 kaki lebar. Kemudiannya stuktur ini kira-kira pada ketinggian 3 kaki dari tanah diikat dengan rotan kepada 4 batang kayu atau buluh untuk di lapik dengan beberapa batang kayu kecil sebagai lantai. Batang kayu tambahan dipakai bagi memperkuatkan lantai. Seterusnya daun-daun lebar diikat disebelah atas dangau sebagai bumbung.
Dangau yang siap memberi semangat kepada penghuninya untuk hidup. Sekurang-kurangnya ia memberi perlindungan dari cuaca buruk dan biasanya binatang hutan akan berelak dari kawasan tersebut. Lebih-lebih lagi jika api dipasang ditepinya
Mencari Air dan Makanan
Walaupun hutan merupakan satu kawasan yang mengelirukan bagi seseorang yang tersesat didalamnya, ia mempunyai berbagai pokok-pokok dan tumbuhan serta makanan yang boleh menyelamatkan nasib simalang. Pertamanya hutan sentiasa mempunyai sumbar air untuk minum. Banyak sungai-sungai kecil yang terdapat di hutan. Kadang-kadang terdapat air terjun di lereng-lereng bukit yang airnya bersih untuk di minum.
Air sungai yang keroh pula boleh juga di minum selepas di tapis dengan pasir dan batu. Untuk lebih selamat air boleh dimasak bagi menghapus bakteria yang berbahaya.
Untuk makan, hutan sebenarnya mempunyai berbagai bahan yang boleh mengisi perut yang lapar. Umpamanya di sungai kecil pun ada banyak ikan yang boleh ditangkap dengan mengguna berbagai cara mudah. Bubu boleh dibuat dari buluh dan diikat dengan rotan. Kemudian bubu ini diletak di saloran air yang biasa dilalui ikan. Untuk menentukan ikan akan mengikut arus ke dalam bubu, permukaan bahagian anak sungai berkenaan boleh ditambak dengan tanah atau batu supaya arus airnya disalorkan melalui kawasan yang dikenakan bubu. Cara demikian boleh menghasilkan banyak ikan terperangkap didalam bubu.
Selain dari ikan, terdapat berbagai tumbuhan di hutan yang boleh dimakan. Rebung umpamanya mudah didapati di rumpun-rumpun buluh. Malahan nasib seseorang yang hilang akan berubah jika ia menemui pokok buluh di hutan. Batang buluh berguna untuk membuat tiang dan lantai dangau. Daunnya boleh disusun dan diselit di bahagian atas dangau sebagai bumbung dan rebungnya boleh dimasak atau pun dimakan sebagai ulam.
Pokok pisang dan pokok ubi juga banyak terdapat di hutan. Kadang-kadang kalau nasib baik mungkin terjumpa pokok buah cempedak atau langsat dan durian. Walaupun pisang, ubi, cempedak, langsat dan durian hutan tidak bagitu sedap seperti yang ditanam di kampong, makanan ini sangat perlu untuk hidup.
Tempat yang mudah mencari sumbar makanan di hutan ialah di kawasan tebing sungai. Biasanya pokok seperti nipah, bayas, rotan, pegaga, terung belanda, senduduk, teratai dan lain-lain tumbuh dikawasan tepi air. Semuanya yang disebut diatas boleh dimakan. Batang bayas pula boleh ditebang dan umbutnya sangat sedap dimakan. Sebatang umbut bayas dengan ukuran 4 kaki panjang boleh menjadi bekalan makanan untuk 2 atau 3 orang beberapa hari.
Menyedia Api
Dari sudut ikhtiar hidup di hutan, api dianggap paling pentng. Oleh itu seseorang yang memasuki hutan sudah tentu membawa macis atau petik api.
Api boleh dinyalakan dengan membakar ranting-ranting kecil serta daun kering yang diatur dalam bentuk tepee atau piramid setinggi 1 atau 2 kaki. Apabila ranting ini menyala dengan baik, ranting-ranting yang lebih besar dimasukkan supaya apinya akan menjadi lebih kuat.
Seterusnya batang-batang kayu sebesar paha ditambah kepada api yang membara sehinggalah ia menjadi cukup besar untuk berbagai guna. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai macis atau pemetik api, tidak bermana ia tidak boleh berusaha membuat api. Malahan ada berbagai cara bagi membuat api.
Masyarakat dizaman silam memang mengguna berbagai cara untuk mendapat api.Antaranya ialah dengan menggesek batu untuk menghasilkan percikan api yang kemudiannya di tangkap oleh daun kering menjadi bara. Bara itu ditiup sehingga ia menyala menjadi api. Ada juga api dihasilkan dengan menggunakan 2 jenis kayu. Satu kayu lembut yang dijadikan dulang dan satu kayu keras yang dipakai sebagai pengguris. Dihujung kayu dulang itu dibuat satu lubang untuk mengumpul habuk kayu akibat penggurisan bertubi-tubi keatas dulang oleh kayu keras. Apabila kayu pengguris itu digeselkan tidak berhenti-henti haba panas akan dirasai diikuti dengan asap yang keluar dari bakaran bara habuk kayu yang terperangkap dalam lubang dulang. Bara yang panas itu dipindah keatas daun-daun dan ranting-ranting kering yang telah disediakan. Apabila ditiup bara itu akan menyala dan apinya boleh diguna untuk masak.
Memasak
Memasak tanpa periuk atau kuali boleh dibuat dalam keadaan terdesak. Batang buluh boleh dijadikan alat memasak seperti yang digunakan oleh masyarakat Melayu membuat lemang. Umpamanya ikan yang ditangkap dengan bubu boleh dibalut dengan daun dan dimasukkan kedalam buluh yang disediakan. Seterusnya air secukupnya dimasukkan ke dalam buluh. Kemudiannya buluh itu disandarkan ketepi api untuk memasakkan ikan. Setelah masak, buluh itu dibelah untuk mendapat ikan dan kuahnya.
Sayur juga boleh direbus dalam buluh sebelum dimakan. Mungkin kalau tidak sabar menunggu masakan dalam buluh, ikan boleh dipanggang diatas bara api dengan menggunakan buluh sebagai pengapit ikan.Ubi juga boleh dibakar diatas bara api sebelum dimakan.
Menunggu Bantuan
Dengan adanya tempat perlindungan dan bahan makanan maka besar kemungkinan orang yang hilang itu dapat bertahan seberapa lama mungkin sebelum tiba anggota mencari dan menyelamat untuk menamatkan penderitaan yang dihadapinya.
Mencari Jalan Keluar
Sekiranya pihak yang hilang itu lebih daripada satu orang dan berkemampuan untuk mencari jalan keluar dan mendapat bantuan, maka mereka harus merancangnya dengan cara teratur. Pilih 2 orang yang cergas diantara mereka untuk menuju kearah perkampungan manusia diluar hutan. Jika ada anak sungai berdekatan, maka sebuah rakit boleh dibina dengan menggunakan buluh-buluh atau kayu yang dikumpul. Rakit itu dibawa ke sungai dan dinaiki oleh 2 orang yang dipilih untuk mencari pertolongan. Mereka juga diberi bekalan makanan supaya tidak kelaparan.
6 Cara Penjagaan Tayar Kenderaan
Cuba periksa tayar kereta anda. Perhatikan di antara satu bunga tayar dengan satu bunga tayar lain terdapat satu penyambung. Jika penyambung itu mempunyai ketinggian yang sama dengan bunga, ini bermakna ia perlu ditukar dalam tempoh tiga hingga empat bulan, bergantung kepada sekerap mana anda menggunakan kenderaan.
Berikut beberapa panduan apabila anda mahu menukar tayar kereta.
Pertama
Pilih saiz yang sesuai dengan keupayaan kereta kita. Sebagai contoh, jika Proton Wira 1.3 dan hendak menggunakan sport rim, cukuplah setakat saiz rim 14 inci kerana jika menggunakan saiz 15 inci, kekuatan pecutan kereta akan menurun, speedometer tidak merekodkan bacaan tepat, semua peralatan penyerap hentak akan lebih pendek jangka hayat.
Kedua
Selepas mendapat saiz sesuai,Perhatikan di bahagian tepi tayar. Terdapat satu rangkaian nombor yang dicetak tenggelam ke permukaan tepi tayar. Sebenarnya rangkaian nombor ini memberikan kita maklumat mengenai tarikh tayar dikilangkan (minggu dan tahun).
Maklumat ini kita boleh gunakan untuk tujuan keselamatan. Mengikut piawaian tayar antarabangsa, ia hanya boleh bertahan selama dua tahun selepas dikilangkan.
Ketiga
Mengenai saiz, cuba perhatikan rangkaian nombor dan huruf yang tercetak timbul di permukaan tepi tayar. Sebagai contoh 205/50 VR 16 bermaksud tayar itu mempunyai kelebaran 205 mm, ketebalan (dari rim ke permukana jalan) adalah 50 peratus daripada kelebaran 205 mm dan untuk kegunaan rim bersaiz 16 inci. Huruf VR bermaksud, tayar itu sesuai untuk kelajuan sehingga 240 km/j tanpa menjejaskan kekuatan dan ketahanan tayar.
Keempat
Kebanyakan kita lebih suka memilih tayar import. Bagaimanapun, kebanyakan tayar berkenaan dibuat berdasarkan iklim dan apabila digunakan di Malaysia yang panas terik, jangka hayatnya lebih pendek.
Kelima
Tayar sepatutnya ditukar kedudukannya setiap tiga bulan. Caranya, tayar depan kiri ditukarkan ke kanan belakang dan tayar depan kanan ditukarkan ke kiri belakang.
Keenam
Sekiranya kadar kehausan bunga di bahagian tepi kiri dan kanan lebih cepat berbanding di tengah, ini bermaksud selama tekanan angin tayar kurang.
Friday, July 23, 2010
Solat Jumaat, Musafir dan Beberapa Isu Berkaitan
Persoalan musafir tidak terlepas daripada perbincangan mengenai Solat Fardhu Jumaat berjemaah. Dalam topik ini terdapat beberapa perkara yang perlu dibincangkan, samada kerana kepentingannya mahupun kerana beberapa persoalan yang sering timbul mengenainya. 3 isu berkaitan yang akan dibicarakan adalah: [1] Hukum solat Jumaat bagi orang musafir, [2] Solat Jumaat dengan jumlah jemaah yang kurang dari 40 orang dan [3] Solat Jumaat dalam suasana jemaah yang penuh sesak.
Pertama - Hukum solat Jumaat bagi orang musafir.
Menurut pendapat majoriti fuqaha, seseorang yang menghadiri suatu perjalanan atau musafir yang mencukupi syarat-syarat mengqasarkan solat, tidak diwajibkan untuk menghadiri solat Jumaat. Ini adalah kerana tidak diterima sebarang riwayat bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ada melaksanakan solat Jumaat dalam mana-mana ekspedisi atau peperangan atau perjalanan yang beliau lakukan sepanjang hidupnya. Ini juga dicontohi oleh para sahabat beliau radiallahu-anhum di mana tidak dinukilkan sebarang riwayat dari mereka, samada ketika masa kehidupan Nabi atau selepas kewafatan beliau, bahawa mereka ada melakukan solat Jumaat ketika musafir.[1]
Walaubagaimanapun amat dianjurkan seseorang yang bermusafir itu agar tetap berusaha untuk menghadiri solat Jumaat berjemaah sebagai mengelak dari pergeseran dengan pendapat lain yang mengatakan solat Jumaat tetap wajib sekalipun bagi orang musafir. Pendapat yang mewajibkan ini berhujah atas dasar bahawa tiada nas atau dalil sahih yang mengatakan bahwa seseorang yang musafir tidak perlu menghadiri solat Jumaat. Oleh kerana tiada dalil yang mengecualikan suasana musafir, maka hukum solat Jumaat ini kembali pada perintah asal, iaitu tetap wajib bagi semua orang, mastautin mahupun musafir.
Tambahan lagi Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak mengecualikan seorang musafir dari solat Jumaat tetapi hanya mengecualikan mereka yang terdiri daripada [1] wanita, [2] budak belum baligh, [3] orang sakit dan [4] hamba sahaya. Sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam Jumaat adalah benar, wajib atas semua umat Islam dengan berjemaah kecuali empat golongan - hamba sahaya, wanita, anak-anak atau orang sakit. [2]
Adapun riwayat yang berbunyi Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka wajib ke atasnya solat Jumaat kecuali wanita atau orang musafir atau hamba sahaya atau orang sakit adalah tersangat daif kedudukannya[3], demikian juga sebuah lagi riwayat lain yang bermaksud Tidak wajib Jumaat atas orang musafir adalah juga daif kedudukannya[4]. Kedua-dua hadith yang daif ini tidak boleh dijadikan hujah pegangan atau sumber rujukan hukum.
Justeru itu sekalipun majoriti para fuqaha berpendapat bahawa solat Jumaat tidak wajib ke atas orang musafir, tetapi sebagai pilihan yang selamat lagi dipertengahan, adalah amat disyorkan bagi seseorang itu untuk tetap berusaha menghadiri solat Jumaat berjemaah. Anjuran ini menjadi lebih berat mengingatkan banyaknya fadilat-fadilat Hari Jumaat itu sendiri beserta keutamaan solatnya, sebagaimana yang banyak dipesan oleh baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Tambahan lagi solat Jumaat di kala musafir membuka peluang untuk kita berkenalan dengan komuniti tempatan dan beramah mesra lagi memperluaskan hubungan sesama umat.
Kedua - Solat Jumaat dengan jumlah jemaah yang kurang dari 40 orang.
Adakalanya apabila kita menghadiri solat Jumaat di masjid-masjid atau surau-surau di negara-negara di mana umat Islamnya wujud sebagai kaum minoriti, kita akan dapati solat Jumaat mereka dihadiri oleh bilangan jemaah yang kurang dari 40 orang. Maka dalam suasana ini bagaimanakah hukum solat Jumaat tersebut mengingatkan kepada pendapat masyhur tempatan yang mengatakan bahawa bilangan minimum bagi jemaah solat Jumaat adalah 40 orang ?
Dalam hal ini penulis tidak akan membicarakan hukum solat Jumaat yang dihadiri kurang daripada 40 orang tetapi sebaliknya akan mengupas dasar rujukan bilangan 40 itu sendiri. Pendapat yang mengatakan bahawa jumlah minimum jemaah solat Jumaat adalah 40 orang adalah berdasarkan kepada hadith berikut ini:
Abdurrahman bin Ka'ab menceritakan bahawa apabila ayahnya mendengar seruan azan hari Jumaat, dia mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah. Maka aku (Abdurrahman) bertanya kepada ayahku: Apabila engkau mendengar seruan azan lalu mengapa engkau mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah ?
Jawab ayahku: Kerana dialah yang pertama kali melakukan solat Jumaat bersama kami di Hazm Annabit, terletak di tanah berbatu Bani Bayadhah, iaitu di Naqi'ul Khadhamat.
Aku bertanya: Berapa orang (yang hadir) ketika itu ?
Jawab ayahku: 40 orang.[5]
Hadith di atas dijadikan sumber rujukan oleh pihak yang berpendapat bahawa jumlah minimum bagi jemaah solat Jumaat adalah 40 orang. Walaubagaimanapun pengkajian mendalam oleh ahli-ahli hadith serta fiqh mendapati bahawa hadith di atas tidak boleh dijadikan sumber patukan hukum 40 orang sebagai bilangan minimum kerana hadith tersebut hanya menyatakan jumlah jemaah yang hadir dan tidak pula membatasi jumlah tersebut. Justeru itu hadith di atas tidak boleh dijadikan hujah bagi menghadkan bilangan minimum jemaah bagi satu-satu solat Jumaat yang dilaksanakan. Imam asy-Shaukani menulis: Bahawa tidak ada pengertian di dalam hadith di atas untuk mensyaratkan 40 orang, sebab kisah di atas adalah satu kejadian yang terjadi secara kebetulan. Telah ditetapkan dalam ilmu usul bahawa kejadian secara kebetulan tidak boleh dijadikan hujah untuk hal-hal yang bersifat umum.[6]
Selain itu pihak yang menghadkan jumlah minimum 40 orang juga merujuk kepada atsar sahabat berikut ini, di mana Abdullah ibnu Mas'ud radiallahu-anhu telah diriwayatkan berkata: Kami solat Jumaat bersama Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan aku (Ibnu Mas'ud) adalah orang terakhir yang datang sedang jumlah kami adalah 40 orang laki-laki.[7] Atsar ini juga tidak boleh dijadikan rujukan tepat kerana ia hanya menceritakan secara kebetulan bahawa jumlah jemaah adalah 40 orang dan bukannya pula mensyaratkan jumlah minimum 40 orang.
Apa yang benar dalam hal ini adalah - tidak ada jumlah minimum bilangan jemaah yang disyaratkan oleh syari'at bagi mensahkan sesuatu solat Jumaat itu. Dalam beberapa riwayat-riwayat lain jelas tertera bahawa solat Jumaat pernah didirikan di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dengan jumlah yang kurang dari 40 orang.[8]
Pernah sekali suatu rombongan perdagangan dari Syam tiba di kala Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sedang memberi khutbah solat Jumaat lalu para jemaah terus keluar dan menuju kepada rombongan tersebut sehingga yang tertinggal di masjid hanya 12 orang sahaja. Solat Jumaat itu diteruskan dengan jemaah yang 12 tersebut tanpa apa-apa halangan atau pembatalan dan tidak pula diulangkan.[9]
Yang sahih adalah - apabila sahaja sesuatu solat Jumaat itu menepati syarat-syarat jemaah, iaitu ada imam dan ada makmum, maka itu adalah mencukupi sebagai syarat sah solat tersebut. Imam asy-Shaukani menganalisa: Ketahuilah, tidak ada landasan dalil untuk mensyaratkan jumlah 80, 30, 10, 9 mahupun 7 orang, begitu pula sahnya Jumaat hanya dengan satu orang sahaja. Pihak-pihak yang menganggap sahnya Jumaat hanya dengan 2 orang sahaja beralasan bahawa jumlah ini adalah berdasarkan hadith dan ijma'. Mereka berpendapat tidak ada dalil yang mengsyaratkan jumlah tertentu padahal jemaah dalam solat apajua sudah sah hanya dengan 2 orang, tidak ada perbezaan antara solat Jumaat dan solat jemaah. Dan tidak ada nas dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bahawa solat Jumaat tidak sah kecuali dengan jumlah sekian-sekian orang. Pendapat inilah yang paling kuat dan rajih menurut saya.[10]
Prof. Dr. Wahbah Zuhaili juga telah menulis: Jelas kepada pengarang bahawa sembahyang Jumaat perlu kepada perhimpunan jemaah. Apabila tercapai jemaah yang ramai mengikut kebiasaan maka diwajibkan sembahyang Jumaat dan hukumnya adalah sah. Dan tidak terdapat nas yang jelas yang mensyaratkan bilangan tertentu tetapi jemaah adalah syarat yang disepakati semua ulama' bagi sembahyang Jumaat kerana sudah maklum di dalam syara' bahawa jemaah itu terdapat ketika sembahyang.[11]
Kesimpulan dalam perbicaraan ini adalah bahawa tidak ada jumlah minimum jemaah yang perlu untuk dijadikan syarat sah solat Jumaat. Asal sahaja dalam sesuatu perhimpunan itu menepati syarat jemaah, iaitu ada imam dan ada makmum maka itu adalah memadai. Sudah tentu semakin ramai jemaah semakin afdal solat tersebut tetapi ini adalah sekadar keutamaan dan bukan syarat ketetapan. Oleh itu seseorang yang menyertai solat Jumaat yang dihadiri oleh bilangan jemaah yang kurang dari 40 orang, samada di seberang mahupun di tanah air, maka solatnya itu beserta solat para jemaah lainnya adalah tetap sah.
Ketiga - Solat Jumaat dalam suasana jemaah yang penuh sesak.
Jikalau sebentar tadi kita membicarakan status hukum solat Jumaat dalam suasana bilangan jemaah yang sedikit, kini kita bicarakan pula status solat Jumaat dalam suasana jemaah yang ramai lagi penuh sesak sehingga menyebabkan seseorang itu tidak dapat sujud dengan sempurna. Adakalanya sesuatu komuniti itu mempunyai masjid yang kecil tetapi jumlah umat yang ramai sehingga apabila tiba waktu solat Jumaat, masjid menjadi sempit lagi penuh sesak sehingga apabila seseorang itu hendak sujud, dia hanya dapat bersujud di atas belakang atau di atas kaki jemaah di hadapannya. Maka dalam situasi begini adakah sah solatnya ?
Menurut para fuqaha dari mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali, solat dalam suasana di atas adalah tetap sah sekalipun seseorang itu tidak dapat melakukan sujudnya dengan sempurna kerana ia dipandang sebagai satu kesukaran yang sememangnya tidak dapat dielakkan. Ia dikaitkan umpama seorang pesakit yang disebabkan oleh keuzurannya, tidak dapat sujud dengan sempurna melainkan sekadar yang mampu.[12]
Sekalipun dalam etika bersujud Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telahpun mensyaratkan cara-cara, posisi serta kedudukannya, tetapi syarat tersebut termasuk sesuatu yang dimaafkan jikalau ia tidak dapat dilaksanakan kerana sesuatu halangan atau kesukaran yang bukan disengajakan. Dalam hal ini kita teringat kepada sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Apa yang aku tegah kamu darinya maka hendaklah kamu jauhinya dan apa yang aku perintah kamu dengannya maka hendaklah kamu laksanakan sedaya mampu. [13]
Kesimpulan.
1. Tidak diwajibkan solat Jumaat ke atas orang musafir. Walaubagaimanapun amat dianjurkan untuk tetap menghadirinya sebagai pilihan terbaik antara dua pendapat serta kerana banyaknya fadilat solat itu sendiri.
2. Tidak disyaratkan apa-apa jumlah minimum bagi bilangan jemaah solat Jumaat.
3. Solat Jumaat adalah tetap sah sekalipun seseorang itu tidak dapat sujud dengan sempurna disebabkan oleh suasana masjid yang penuh sesak.
RUJUKAN:
[1] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/284-286 ; Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/252.
[2] Maksud hadith dari Thariq bin Syihab radiallahu-anha, Sunan Abu Daud - no: 1026 dan disahihkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani, al-Iraqi dan asy-Shaukani, Nail-ul-Authar, 3/527.
[3] Riwayat di atas ditakhrij oleh Imam ad-Daruquthni dan al-Baihaqi dari Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu, dinyatakan kelemahannya oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 3/527-528.
[4] Maksud hadith dari Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma diriwayat oleh at-Thabrani dalam al-Ausath, didaifkan kedudukannya oleh Imam as-Sha'nani dalam Subul-us-Salam, 2/236.
Perbincangan mengenai hukum solat Jumaat bagi orang musafir adalah luas dan oleh itu para pembaca sekalian dijemput mengkaji kitab-kitab fiqh muktabar bagi mencari jawapan yang paling mendekati kebenaran. Ada juga yang memilih hukum pertengahan dengan mencadangkan agar orang yang bermusafir tidak wajib melaksanakan solat Jumaat ketika dalam perjalanan tetapi hanya melaksanakan ia ketika di persinggahan atau apabila berada di destinasi (Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/237). Lihat juga analisa serta tahqiq yang dihujahkan oleh Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie dalam kitabnya Koleksi Hadith-hadith Hukum, vol 3, ms 235 dan seterusnya.
[5] Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 1028 , dinilai hasan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Nail-ul-Authar, 3/535.
[6] Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 5/536.
[7] Maksud atsar sahabat riwayat Imam al-Baihaqi dari Nail-ul-Authar, 3/537 , dikemukakan oleh Imam asy-Shaukani tanpa membicarakan status kekuatannya. Sebagai analisa, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili ada mengemukakan sebuah atsar berlainan yang juga berasal dari Abdullah ibnu Mas'ud yang menerangkan bahawa jumlah minima jemaah solat Jumaat adalah 40 orang dan tidak sah jikalau jumlah ini dikurangi. Walaubagaimanapun atsar ini yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi tidak dikemukakan sumber rujukannya dan ia juga tidak dijadikan dalil pegangan oleh Dr. Wahbah Zuhaili sendiri. Lihat kitab beliau - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/295.
[8] Kajian lanjut terhadap riwayat-riwayat ini, sila lihat buku Solat Jumaat: Sejarah dan Tatacara Perlaksanaannya, ms 113-124 oleh A. Chodri Romli, terbitan Al-Hidayah, M'sia, 1994.
[9] Maksud pengajaran hadith dari Sunan Tirmizi - no: 3365, dikemukakan sebagai hujah oleh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/294 dan A. Chodri Romli - Solat Jumaat: Sejarah dan Tatacara Perlaksanaannya, ms 27-28.
[10] Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 5/538.
[11] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/296.
[12] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/330.
[13] Maksud hadith dari Abu Hurairah radiallahu-anhu riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Syarh Matan al-Arba'in an-Nawawi, no: 09.
http://hafizfirdaus.com/
Tuesday, July 20, 2010
Renungkan...............
"Apa yang kita capai tahun depan, atau lima tahun akan datang atau sepuluh tahun akan datang, adalah berdasarkan keputusan yang kita buat hari ini"
Monday, July 19, 2010
Dengki-mendengki, Sindir-menyindir
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir-menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Sementara itu, jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. (Bukhari & Muslim)
Diriwayatkan daripada Abu Ayub al-Ansari r.a. katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Haram bagi seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila kedua-duanya bertemu saling memalingkan mukanya. Sementara itu, yang terbaik di antara kedua-duanya adalah mereka yang mula mengucapkan salam. (Bukhari & Muslim)
Friday, July 16, 2010
Pengganti Waja ala Mitsubishi Lancer 2.0 GT
Ramai yang memperkatakan tentangnya tetapi peminat kereta sudah menjangkakan bahawa model gantian itu adalah salinan versi Mitsubishi Lancer 2.0 GT yang dipertingkatkan.
Bagi Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, perkara itu sememangnya bukan rahsia lagi cuma tiada pendedahan terperinci dibuat setakat ini.
"Memang benar akan ada model baru menggantikan Proton Waja menjelang suku keempat tahun ini dan kita sememangnya bekerjasama dengan pengeluar peralatan tulen (OEM) untuk mengeluarkan model ini, saya rasa anda semua sudah tahu siapa mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Proton Exora versi dipertingkatkan di sini hari ini.
Menurut pemerhati industri, kemasukan kembali 'ciri Mitsubishi' dalam Proton itu adalah hasil kerjasama pembangunan kejuruteraan terbaru antara Proton dan Mitsubishi Motors Corporation (MMC), yang juga bekas pemegang sahamnya.
Difahamkan model yang menggantikan Waja akan menampilkan beberapa perubahan kosmetik dalaman dan luaran berbanding model Lancer 2.0 GT sedia ada di pasaran.
Antaranya, ia akan menggunakan enjin dengan kapasiti yang lebih kecil sedikit, iaitu 1.8 liter (kemungkinan dari enjin Proton Putra), komponen dalaman menggunakan produk keluaran vendor tempatan yang terpilih serta beberapa ciri lain yang dapat menjadikan model itu mampu menawarkan harga lebih berdaya saing.
Harga jualan yang dicadangkan untuk model ini di antara RM80,000 hingga RM85,000 manakala model sedia ada Mitsubishi Lancer 2.0 GT yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dijual pada harga RM120,598.10 tanpa insurans di negara ini. Model itu diedarkan oleh Mitsubishi Motors Malaysia Sdn. Bhd.
Menurut Syed Zainal Abidin, pihaknya merancang memasang kereta itu di kilangnya di Shah Alam selain menggunakan bantuan teknikal serta kepakaran dari Mitsubishi dalam mengeluarkan komponen serta sokongan dan perkhidmatan selepas jualan.
Sementara itu, Proton menyasarkan tempahan secara konsisten antara 2,300 hingga 2,400 buah sebulan bagi Proton Exora versi dipertingkatkan yang dilancarkan hari ini.
Dijual pada harga atas jalan bermula RM58,988 bagi (B-Line MT), RM65,998 (M-Line MT), RM70,998 (M-Line AT) dan RM76,998 (H-Line AT).
"Pembeli boleh membuat tempahan mulai hari ini di semua cawangan Proton Edar di seluruh negara dan masa menunggu untuk model ini ialah sebulan dari tarikh tempahan," katanya.