Pages

Thursday, February 25, 2010

48,446 calon lulus penuh STPM

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Sebanyak 48,446 atau 92.55 peratus daripada 55,663 calon yang mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas lulus penuh dengan sekurang-kurangnya mencatatkan kelulusan satu mata pelajaran.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak memberitahu, daripada jumlah itu sebanyak 4,316 calon lulus lima mata pelajaran, 29,670 lulus empat mata pelajaran), 9,797 lulus tiga mata pelajaran, 7,412 lulus dua mata pelajaran dan 6,251 lulus satu mata pelajaran.

Tambahnya, sebanyak 15 calon mencapai keputusan cemerlang iaitu memperoleh Gred A dalam lima mata pelajaran iaitu enam dalam aliran sains dan sembilan dalam aliran sastera berbanding 13 orang pada tahun 2008.

''Jumlah calon yang lulus lima dan empat mata pelajaran meningkat sebanyak 2,855 kepada 24,986 berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak 22,131 calon.

''Prestasi calon yang memperoleh keputusan yang baik iaitu Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 ke atas ialah 35.93 peratus dengan 331 calon mendapat PNGK 4.00,'' katanya.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkata demikian ketika mengumumkan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 di Majlis Peperiksaan Malaysia di sini hari ini.

Dzulkifli memberitahu, daripada 331 calon yang mendapat PNGK 4.00 sebanyak 184 adalah perempuan dan 147 pula calon lelaki.

Tambahnya, sebanyak 10 mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Arab, Kesusasteraan Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Sejarah, Geografi, Ekonomi, Perakaunan, Matematik T dan Biologi mencatatkan peningkatan prestasi.

Sementara itu katanya, tiga mata pelajaran iaitu Matematik Lanjutan T, Komputer dan Sains Sukan mencatatkan penurunan prestasi.

''Sebanyak 10 mata pelajaran lagi tidak berubah prestasi iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Syariah, Usuluddin, Pengajian Perdagangan, Matematik S, Fizik, Kimia dan Seni Visual,'' katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 97.5 peratus calon menjawab dalam Bahasa Inggeris untuk tujuh mata pelajaran iaitu Matematik S, Matematik T, Matematik Lanjutan T, Komputer, Fizik, Kimia dan Biologi.

Katanya, jurang prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara berdasarkan jumlah yang mendapat kelulusan lima A, empat A dan tiga A iaitu 12.14 peratus bagi kawasan bandar dan 7.06 peratus bagi kawasan luar bandar.

Mengenai pelajar cemerlang, Dzulkifli memberitahu, terdapat dua calon dari aliran sains dan tiga calon dari aliran sastera mencapai gred A dalam semua kertas peperiksaan yang diambil.

Pelajar terbabit ialah Yap Jun Fai dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik Petaling Jaya, Yong Kai Yi dari Sekolah Menengah Tinggi Muar, Ayu Faridah Nor Azman dari Sekolah Menengah Dato' Haron Tanjung Karang, Hoo Xiao Mei dari Sekolah Menengah Clifford Kuala Lipis dan Muhamad Najmuddin Firdaus Abdullah dari Sekolah Menengah Ayer Lanas Jeli.

Sementara Nurul Imani Zakaria dari Sekolah Menengah Seri Aman Pasir Puteh diumumkan sebagai pelajar cemerlang bagi kategori luar bandar dengan mencapai Gred A untuk lima mata pelajaran.

''Masmin Mensih dari Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi pelajar istimewa cemerlang bagi kategori rabun dengan mendapat kelulusan Gred A bagi Sejarah, Gred B bagi Pengajian Am dan Bahasa Malaysia serta Gred C bagi Ekonomi.

''Muhammad Raizan Ab. Rahman dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Petaling Jaya pelajar istimewa cemerlang dalam kategori spastik iaitu mendapat Gred A bagi Pengajian Am, Bahasa Malaysia dan Ekonomi serta Gred C bagi Matematik T,'' katanya.

Dzulkifli memberitahu, Loh Wei Siong dari Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lintang, Kuching pula pelajar istimewa cemerlang dalam kategori buta dengan memperoleh Gred A untuk mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah dan Pengajian Perniagaan.

No comments:

Post a Comment