Pages

Sunday, February 28, 2010

Boleh mohon semula KWAPM

PENSIANGAN 27 Feb. - Para pelajar yang belum menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) tetapi tersenarai dalam program e-Kasih dibenarkan untuk membuat permohonan semula.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, bagaimanapun mereka perlu mendapatkan pengesahan pihak sekolah atau ketua kampung bagi memastikan benar-benar layak menerimanya.

"Sebelum ini kita gunakan senarai e-Kasih tetapi masih ada yang tercicir daripada menerimanya. Justeru dalam mesyuarat baru-baru ini kita putuskan untuk tidak menggunakan sepenuhnya senarai e-Kasih bagi pemberian KWAPM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatannya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Salung, di Nabawan, dekat sini, malam semalam.

Perjalanan ke sekolah tersebut mengambil masa kira-kira sejam dari pekan Nabawan menggunakan jalan balak.

Sementara itu Puad berkata, langkah tersebut akan membolehkan nasib pelajar miskin khususnya di luar bandar dapat dibela selain membolehkan mereka meneruskan persekolahan.

Mengenai permintaan supaya jalan-jalan balak yang digunakan untuk menghubungkan sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dinaik taraf, beliau berkata, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa jika jalan itu tidak digazet sebagai rizab jalan.

"Jalan balak yang menghubungkan sekolah di pedalaman tidak digazetkan sebagai rizab jalan, oleh itu kementerian tidak dapat berbuat apa-apa kerana jalan itu milik konsesi balak.

"Kalau kita buat pun, ia akan rosak cepat kerana digunakan untuk membawa balak, tambahan pula kementerian tidak mempunyai kuasa menaik taraf jalan kerana ia di bawah bidang kuasa pihak lain," katanya.

Bagaimanapun kata Puad, bagi kemudahan lain, pihak kementerian akan berusaha menyediakannya termasuk projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang masih belum dilaksana.

Jelas Puad, jika projek-projek RMK-9 tidak sempat disiapkan, ia akan disenaraikan dan menjadi keutamaan dalam RMK-10.

"Kita memang ada kekurangan dalam Bajet 2010 tetapi kita akan kaji semula perkara itu memandangkan pada September nanti, kita akan menerima peruntukan tambahan," katanya.

No comments:

Post a Comment