Pages

Sunday, February 28, 2010

Dua guru terkorban dalam nahas

PASIR PUTEH 28 Feb. – Setiap awal pagi Ahad, Ab. Halim Mustapa, 27, yang tinggal di jajahan Bachok akan datang menjemput dua rakannya, Rosdi Ismail dan Wajidi Mayushoh di Kota Bharu dengan menaiki kereta untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop di Gua Musang.

Bagi tiga orang guru ini, jarak 200 kilometer ke sekolah itu bukanlah satu masalah untuk berulang-alik setiap minggu bagi menunaikan tanggungjawab sejajar dengan kerjaya yang mereka pilih.

Bagaimanapun, pagi ini ketiga-tiga mereka tidak sampai ke sekolah setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 80.6, Jalan Kota Bharu- Gua Musang yang menyebabkan Rosdi dan Wajidi maut manakala Ab. Halim mengalami cedera ringan.

Dalam nahas kira-kira pukul 5.10 pagi itu, Rosdi, 32, yang berasal dari Kampung Selising, Pasir Puteh, maut di tempat kejadian manakala Wajidi, 32, dari Tanah Merah, meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK) kira-kira pukul 8 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Supritendan Ab. Rahim Che Ghani memberitahu, kereta Perodua Kancil yang dipandu Ab. Halim cuba mengelak sekumpulan lembu yang berada di atas jalan.

“Kenderaan itu kemudian dikatakan membrek secara mengejut menyebabkan ia terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas.

“Berikutan pertembungan itu, bahagian kiri kereta Kancil itu rosak teruk menyebabkan penumpang yang berada di sebelah kiri kenderaan itu cedera teruk pada bahagian kepala dan badan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, balu kepada Allahyarham Rosdi, Cik Nur Ilyana Che Mat, 30, berkata, suami dan dua rakannya itu akan tinggal di kuarters guru pada hari persekolahan dan pulang setiap hujung minggu dengan berkongsi kenderaan.

Suaminya yang memulakan tugas di sekolah berkenaan awal Januari lalu sentiasa berazam untuk membantu pelajar di sekolah itu cemerlang dalam pelajaran kerana menyedari ia bukan suatu tugas yang mudah.

“Dia sangat komited terhadap kerjanya. Kemalangan yang tidak terduga itu berlaku dalam perjalanannya bersama-sama rakan guru untuk memulakan tugasnya pada pagi Ahad.

“Suami saya sering berulang-alik dari Ulu Kelantan ke rumah kerana pada masa yang sama amat bertanggungjawab dan menyayangi keluarga. Lebih-lebih lagi anak tunggal kami, Amir Wafiq Tabrani, 4, yang begitu manja dengannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Cik Nur Ilyana yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di pejabat Bernama Kota Bharu berkata, beberapa hari sebelum kejadian, suaminya bersikap pelik apabila sering melarangnya daripada melakukan kerja rumah.

“Saya tidak dibenarkan mengemas rumah atau memasak, sebaliknya semua tugas itu dilakukan olehnya. Apa yang saya hairan ialah dia tidak pernah bersikap sedemikian sebelum ini,” katanya sebak.

No comments:

Post a Comment