Pages

Monday, March 8, 2010

70% SAR, SMAN berdaftar SABK

GURUN 7 Mac - Kira-kira 30 peratus Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di seluruh negara masih belum berdaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, meskipun permintaan untuk mendaftar sebagai SABK meningkat, masih ada SAR atau SMAN tidak berbuat demikian kerana kekangan tertentu.

Kata beliau, antaranya tapak sekolah yang tidak diwakafkan kerana pemilikan secara individu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum urusan pendaftaran dapat dilakukan.

"Harapan kita adalah semua SAR dan SMAN berdaftar sebagai SABK demi kepentingan pelajar dan kebajikan guru-guru.

"Jika berdaftar sebagai SABK, mereka akan dapat merasai kemudahan seperti dikecapi oleh sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang lain," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Agama Pekan Gurun di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, pada tahun ini berlaku pertambahan sebanyak empat buah sekolah SABK di seluruh negara iaitu tiga buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah.

Mengenai Akta Halal yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada pertengahan tahun ini, beliau berkata, semua produk yang mempunyai logo halal yang tidak diiktiraf kerajaan tidak akan dibenarkan dipamerkan di ruang halal kedai atau pasar raya selepas akta itu berkuat kuasa.

Katanya, pihak yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan yang bakal ditetapkan kelak.

Menurut beliau, kesedaran individu, peniaga, pengusaha dan pengguna terhadap logo halal yang diiktiraf oleh kerajaan kini juga semakin tinggi selepas penyeragaman sijil dan logo halal oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

No comments:

Post a Comment