Pages

Thursday, March 11, 2010

Nor Umairah cacat tetapi dapat 5A

IPOH 11 Mac - Kecacatan kedua-dua belah tangan dan terpaksa menulis menggunakan kaki tidak menghalang seorang pelajar perempuan di sini mencatat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Nor Umairah Ahmad Jamhari, 18, yang mengalami masalah saraf sehingga menyebabkan kedua-dua belah tangannya lumpuh, memperoleh 2A+, 3A, 3B+, 1B dan 1C dalam peperiksaan tersebut.

Dia mencatat A+ bagi kertas Bahasa Melayu dan Sejarah; Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Matematik (A); Kimia, Biologi dan Bahasa Inggeris untuk Sains dan Teknologi (B+); Fizik (B) dan C untuk kertas Matematik Tambahan.

Anak sulung daripada dua beradik itu bergantung sepenuhnya kepada keupayaan kaki untuk melakukan aktiviti seharian termasuk menulis dan makan.

Atas keazaman tinggi untuk berjaya, Nor Umairah sebelum ini berjaya mencatatkan keputusan 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2007 sehingga diberi Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2008.

Walaupun keputusan SPM itu tidak seperti diharapkannya, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, Teluk Intan ini tetap berpuas hati dengan apa yang diperolehi.

"Semasa peperiksaan percubaan, saya mendapat 6A dan berharap mendapat keputusan lebih baik daripada itu dalam peperiksaan sebenar.

"Namun, saya bersyukur dan berpuas hati dengan keputusan ini kerana telah melakukan yang terbaik," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2009 peringkat negeri Perak di sini hari ini.

Menarik mengenai anak kepada seorang guru ini ialah dia enggan diberi keistimewaan semasa menduduki peperiksaan itu kecuali meja yang lebih rendah bagi memudahkan dia menjawab soalan.

Menurut ibunya, Sanisah Mohamed, 39, anaknya itu berkeras tidak mahu diberi masa tambahan semasa menduduki peperiksaan SPM kerana mahu dilayan seperti pelajar normal walaupun terpaksa menulis menggunakan kaki.

"Dia mahu mengambil peperiksaan sama seperti pelajar lain kerana dia tidak mahu melihat kekurangan pada dirinya sebagai satu kelemahan," katanya.

Ditanya tentang perancangan, Nor Umairah memberitahu, dia mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi mengejar cita-citanya menjadi seorang peguam.

"Saya sudah pun menghantar borang permohonan masuk ke universiti dan berharap dapat mengambil bidang perundangan di sana," katanya.

Pada majlis tersebut, Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Radzi Abd. Jabar turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Nor Umairah dan seorang lagi pelajar OKU yang mencatatkan kecemerlangan dalam SPM, Tan Bing Xuan.

No comments:

Post a Comment