Pages

Wednesday, March 10, 2010

Giatkan usaha cari istilah ilmiah

KUALA LUMPUR 9 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia- Malaysia (Mabbim) menggiatkan usaha mengembangkan istilah-istilah ilmiah khususnya dalam bidang sains dan teknologi dalam Bahasa Melayu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan masyarakat di rantau ini dapat mengungkapkan makna dan konsep baru pelbagai disiplin ilmu secara tepat dalam Bahasa Melayu.

‘‘Oleh itu, sudah tiba masanya Mabbim memberikan tumpuan kepada usaha pembinaan istilah, terutamanya melalui penghasilan karya-karya ilmiah.

‘‘Dengan cara ini ia bukan sahaja dapat mengembangkan istilah bahasa Melayu dengan lebih rancak, malah ia juga akan berkembang sebagai bahasa ilmu yang maju,,’’ katanya ketika berucap merasmikan Sidang ke-49 Mabbim di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom; Pengerusi Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Perwakilan Malaysia, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Dalam pada itu Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi meningkatkan usaha pengembangan istilah, penghasilan karya bahasa Melayu dan bahasa Indonesia perlu dipergiatkan lagi melalui penerbitan secara bersama oleh semua negara anggota Mabbim.

‘‘Misalnya, hasil penyelidikan institusi-institusi pengajian tinggi di ketiga-tiga negara terutamanya dalam bidang sains dan teknologi boleh diterbitkan secara bersama untuk meningkatkan kebolehpasaran karya.

‘‘Dengan demikian, kita bukan sahaja dapat berkongsi penemuan baru dalam pelbagai disiplin ilmu, tetapi juga memperkaya perpustakaan ilmu dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia,’’ katanya.

Selain istilah, Muhyiddin turut menyarankan agar pemasaran buku antara negara-negara anggota Mabbim dipermudahkan supaya buku berbahasa Melayu dan Indonesia dapat menembusi pasaran yang lebih luas.

‘‘Pada masa ini industri buku yang berbahasa Melayu atau Indonesia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan penerbitan dalam bahasa Inggeris.

‘‘Oleh itu saya yakin melalui cara ini, industri buku bahasa Melayu dan Indonesia dapat berkembang dengan lebih rancak lagi, sekali gus meningkatkan penggunaan bahasa ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Timbalan Perdana Menteri memberitahu, bahasa Melayu merupakan bahasa kelima paling ramai penuturnya iaitu menjangkau 280 juta penduduk seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment