Pages

Wednesday, March 10, 2010

Jadi teks utama Kesusasteraan Melayu

KUALA LUMPUR 9 Mac - Kementerian Pelajaran disaran menjadikan buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Airmata sebagai teks utama mata pelajaran Kesusasteraan Melayu khususnya di tingkatan enam.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, ini kerana buku tersebut mengandungi semangat perjuangan bangsa dan agama serta berupaya menjadi teladan bagi menghadapi kehidupan dalam era globalisasi kini.

Menurutnya, kisah Natrah atau nama Kristiannya Huberdina Maria Hertogh @ Bertha juga menceritakan tentang dasar hegemoni penjajah yang sentiasa berusaha mendominasi penduduk asal tanah jajahan.

"Pada hemat saya, penghasilan buku ini bukan sekadar biografi biasa kerana penulis berjaya mengungkapkan pelbagai tema besar yang melingkungi kehidupan masyarakat ketika itu dan masih relevan hingga masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku itu di UTM Kampus Antarabangsa di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zaini berkata, UTM telah mewujudkan lebih 50 stesen bacaan (Reading Stations) sejak awal 2009 di tempat menunggu serta laluan utama kampus bagi membolehkan warganya berkongsi bahan bacaan dalam bentuk buku, novel dan majalah.

"Saya berpendapat, konsep stesen bacaan ini perlu diperluaskan termasuklah ke sekolah dan maktab," katanya.

No comments:

Post a Comment