Pages

Friday, March 5, 2010

Pelajar asing wajib ambil subjek bahasa Melayu

PUTRAJAYA 5 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi akan mewajibkan kesemua 65,000 pelajar asing di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) mengambil subjek bahasa Melayu bagi membolehkan mereka memahami budaya setempat sekali gus mengembangkan bahasa tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kehadiran para pelajar asing di negara ini merupakan satu peluang untuk menambah bilangan penutur bahasa Melayu di dunia.

"Dalam konteks ini, Jabatan Bahasa Melayu dan Akademi Pengajian Melayu dalam universiti awam dilihat boleh membantu usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu.

"Jabatan-jabatan tersebut perlu mempunyai sasaran agar menjadi pusat perkembangan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, sama ada melalui penyediaan guru bahasa untuk memenuhi keperluan pelajar asing mahupun menjayakan program mobiliti pensyarah bahasa Melayu untuk mengajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada malam kemuncak Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

No comments:

Post a Comment