Pages

Thursday, March 11, 2010

Pindah sekolah terjejas banjir

KINABATANGAN 11 Mac - Usaha memindahkan lebih 50 sekolah di Sabah dan Sarawak yang sering ditenggelami banjir akan diletakkan di bawah projek keutamaan utama di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masalah tersebut perlu diselesaikan segera bagi mengelak ia terus berlarutan sehingga menjejaskan pembelajaran pelajar.

"Kita telah menyenaraikan sekolah-sekolah tersebut dan sebahagiannya sudah dilaksanakan di bawah RMK-8.

"Oleh kerana jumlahnya banyak dan melibatkan kos besar maka ia akan mengambil sedikit masa," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri. Mohd. Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Timbalan Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Sabah melawat tapak projek penempatan mangsa banjir di Kampung Pelangi di sini.

Menteri Pelajaran itu berkata, pada masa ini perkara yang perlu diselesaikan kementerian adalah masalah berkaitan tapak dan peruntukan yang akan digunakan bagi membina sekolah-sekolah tersebut.

Sementara itu, dalam ucapannya, Muhyiddin menjelaskan, masalah pembangunan rakyat yang belum selesai bukan bermakna kerajaan gagal menunaikan janji kepada rakyat.

Beliau berkata, sebagai sebuah masyarakat yang dinamik dan bercita-cita mahu maju ke hadapan, permintaannya juga akan pelbagai dan sentiasa berubah-ubah.

Oleh itu, katanya, kerajaan tidak mampu melaksana atau menunaikannya secara menyeluruh.

"Bagaimanapun apa yang kerajaan lakukan adalah berusaha memastikan pendapatan setiap isi rumah sentiasa bertambah, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM30.3 juta bagi membangunkan Jalan Tundun Bohangin - Kinabatangan yang dijangka memberi manfaat kepada 800 penduduk.

Selain itu, RM17.6 juta diperuntukkan bagi membekal air bersih ke 13 kampung membabitkan 1,016 rumah manakala RM39.5 juta disediakan untuk membekal elektrik menggunakan sistem solar hibrid ke empat kampung membabitkan 217 rumah.

"Sebanyak RM400,000 diperuntukkan bagi membina empat jeti untuk kemudahan penduduk di daerah ini," kata Muhyiddin.

No comments:

Post a Comment