Pages

Tuesday, March 30, 2010

'Saya tidak mahu ke sekolah lagi'

MIRI 29 Mac - "Minggu ini saya sudah berhenti sekolah," kata Liziana Layah, 12, dengan sayu memberitahu penulis.

Dia yang sepatutnya mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terpaksa melupakan hasratnya itu kerana faktor kemiskinan keluarga. Bapanya, Layah Lerang terlantar sakit kerana disyaki diserang demam malaria. Di sisi Layah, duduk isteri, Isi Deng dan anak bongsu mereka, Joshua, 2, yang sedang menggaru-garu mukanya akibat kudis.

Liziana yang fasih berbahasa Melayu leka bermain-main dengan Joshua.

Gadis cilik itu terpaksa melupakan hasratnya untuk belajar kerana memberi laluan kepada dua orang adiknya yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Long Jekitan.

Layah memberitahu, sudah dua minggu dia terlantar dan tidak terdaya untuk bangun mencari rezeki.

Walaupun petugas Jabatan Kesihatan Miri mengunjungi Ba'Purau untuk melakukan semburan kabus dan memberi ubat malaria, namun ketika itu Layah tiada di kampung.

"Mereka datang ketika saya sedang mengusahakan padi huma, jadi tiada ubat untuk saya," katanya ketika ditemui semasa operasi pendaftaran bergerak oleh Unit Khas Bergerak (UKB) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Miri dan Limbang.

Tambahnya, sebelum sakit, doktor udara ada mengambil sampel darah berikutan kawasan tersebut mudah mendapat jangkitan malaria.

Mengenai kudis pada muka Joshua, Layah memberitahu telah membawa anak bongsunya itu mendapatkan rawatan.

"Mula-mula kelihatan baik tetapi apabila ubat sudah tiada, anak saya itu mula menggaru-garu kudisnya sehingga luka dan berdarah," katanya.

Seorang lagi kanak-kanak yang keciciran sekolah ialah Amy Hashim, 18. Dia bagaimanapun memang tidak mahu bersekolah dan hanya sempat menamatkan persekolahan sehingga ke darjah enam.

Amy yang baru berkahwin itu mengakui tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah menengah.

"Memang saya tidak mahu sekolah lagi dan saya boleh membaca sikit-sikit.

"Selepas darjah enam saya tidak mahu lagi ke sekolah," katanya sambil menambah perjalanan jauh menyebabkan dia bosan ke sekolah.

No comments:

Post a Comment