Pages

Wednesday, March 3, 2010

Utusan Malaysia-YPC taja biasiswa RM1 juta

PUTRAJAYA 3 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan skim Biasiswa Utusan-Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) bernilai RM1 juta kepada 200 pelajar kurang berkemampuan bagi melanjutkan pelajaran ke Kolej YPC.

Menurut Pengasas dan Pengerusi YPC, Datuk Syed Ali AlHabshee, tajaan biasiswa yang dilaksanakan sempena 10 tahun penubuhan yayasan itu akan diberikan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 khususnya dari golongan berpendapatan rendah.

''Objektif skim ini ditujukan kepada pelajar yang mendapat keputusan sederhana, sekurang-kurangnya lima kredit dan daripada keluarga berpendapatan rendah.

''Pelajar yang terpilih akan diberikan biasiswa sebanyak RM5,000 bagi menjalani pengajian peringkat asas kursus Perniagaan dan Teknologi Maklumat selama setahun di Kolej YPC," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran skim biasiswa itu di sini hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerjasama YPC dan akhbar Utusan Malaysia itu dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang disaksikan oleh Muhyiddin di kementeriannya di sini hari ini.

Utusan Malaysia diwakili oleh Pengurus dan Pengarang Pendidikannya, Wahid Hashim manakala YPC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC, Dr. Noel Robert.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Syed Ali berkata, pemberian biasiswa tersebut adalah mengikut gagasan konsep 1Malaysia iaitu terbuka kepada semua kaum melibatkan pelajar kurang berkemampuan dari seluruh negara.

Beliau berkata, melalui sebuah jawatankuasa bersama, YPC dan Utusan Malaysia akan mengenal pasti pelajar yang layak menerima biasiswa berkenaan.

''Tawaran biasiswa itu juga akan disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia mulai bulan ini melibatkan sesi pengambilan April ini.

''Pemberian biasiswa itu dibuat secara berperingkat dengan sesi ini disasarkan seramai 50 orang akan dipilih dan proses itu berjalan sehingga mencapai jumlah 200 orang pelajar," katanya.

Katanya, pelajar yang terpilih itu berpeluang melanjutkan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Teknologi e-Perniagaan dan Pengurusan dengan kerjasama Universiti Liverpool John Moores, United Kingdom.

Katanya, YPC kini mempunyai 700 pelajar dan jumlah itu akan tingkatkan kepada 4,000 orang apabila kampus utama Kolej YPC di Taman Maluri, Cheras bernilai RM32 juta siap hujung tahun ini.

Beliau berkata, sepanjang 10 tahun penubuhan YPC, sebanyak RM7 juta telah dikeluarkan bagi membantu pelajar-pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

Sebelum ini YPC bekerjasama dengan Utusan Malaysia dalam program teknik dan strategi menjawab soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM menerusi portal pendidikan Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment