Pages

Wednesday, March 24, 2010

Kementerian Pelajaran diminta perluaskan aktiviti tulisan jawi

KUALA LUMPUR 24 Mac — Kementerian Pelajaran diminta supaya memperluaskan lagi aktiviti penulisan jawi di sekolah-sekolah bagi meningkat dan membudayakan penggunaan tulisan itu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata walaupun Kementerian Pelajaran sudah melaksanakan program pengajian Jawi, Al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain yang dikenali sebagai j-QAF di sekolah-sekolah, usaha menjalankan aktiviti bagi membudayakan tulisan jawi di kalangan pelajar masih perlu ditingkatkan.

"Pengajian j-QAF adalah penentuan menerusi akademik, yang saya maksudkan adalah pergiatkan dari segi aktiviti atau usaha yang perlu diambil dalam membudayakan terutamanya pelajar, dalam menanam minat menggunakan tulisan itu.

"Contohnya pembekalan suratkhabar jawi (Utusan Mealyu) ke sekolah-sekolah, misalnya jika ada 10,000 sekolah yang beli akhbar (jawi) ini, maka sudah ada 10,000 naskah Utusan yang boleh dijual. Ini meringankan beban untuk mempromosi tulisan jawi,” katanya selepas melancarkan Wajah Baru Akhbar Jawi Utusan Melayu Mingguan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua PNM Datuk Raslin Abu Bakar dan Ketua Pengarah Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak. - Bernama

No comments:

Post a Comment