Pages

Monday, April 5, 2010

Kecacatan tidak halang Wan Aini belajar seperti orang lain

BESUT 4 April - Kekurangan diri tidak pernah mematahkan semangat insan istimewa, Wan Aini Wan Ibrahim, 21, untuk belajar sama seperti orang lain.

Bahkan kekurangan yang dihadapi sejak lima bulan lalu menjadi pembakar semangatnya untuk terus berjuang bagi mencapai cita-cita bergelar seorang pendidik.

Berkat sokongan ibu bapa, dia enggan mengaku kalah meskipun kadangkala kekurangan diri banyak membataskan pergerakannya.

Itulah hakikat yang terpaksa diterima dan dia tetap pasrah walaupun kehilangan kedua belah kaki dan sebelah tangan selain dua jari kanannya akibat virus kencing tikus atau leptospirosis yang dihidapi.

Semuanya bermula ketika dia sedang mengikuti semester pertama di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak dalam bidang Pengajian Malaysia Dengan Pendidikan apabila tiba-tiba menghidap demam teruk tiga hari berturut-turut.

Anak sulung lima beradik itu kemudian dihantar dua kali ke Klinik Desa Tanjung Malim untuk mendapat rawatan dan pada peringkat awal, dia disyaki menghidap demam denggi berdarah.

Kemudiannya, setelah demam semakin teruk, dia dirujuk ke Hospital Slim River dan semasa di hospital itu, dia tidak sedarkan diri (koma) selama kira-kira 17 hari sebelum disahkan menghidap virus kencing tikus.

Dalam tempoh itu juga, kedua belah kaki dan tangan kiri serta dua batang jari kanannya mula membusuk dan mati (gangren). Atas permintaan keluarga, Wan Aini dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Gadis dari Kampung Durian Telor, Pasir Akar, Hulu Besut itu terpaksa menerima hakikat kedua-dua kaki pada paras bawah lutut, tangan kiri dan dua jari tangan kanannya dipotong akibat penyakit itu.

Ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Dr. Abdulah Md. Zin di Kampung La Hulu Besut semalam, Wan Aini berkata, dia reda dengan keadaan dirinya sekarang.

Dia yang ditemani bapa, Wan Ibrahim Wan Abdullah, 64, dan ibunya, Hafizah Muda, 49, terpaksa menggunakan kerusi roda sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut untuk memudahkannya bergerak.

Menurut Wan Aini, minggu depan, dia akan menjalani ujian fisioterapi dengan memakai sepasang kaki palsu yang disumbangkan oleh pihak kebajikan HRPZII.

Wan Aini berharap, dengan kaki palsu itu, pergerakannya nanti akan menjadi lebih mudah bagi membantunya menyambung semula pengajian di UPSI Julai nanti.

"Saya tetap bersemangat untuk meneruskan pengajian di UPSI dan akan saya buktikan bahawa kecacatan saya ini bukan penghalang besar untuk mencapai kejayaan.

"Lagipun, saya harap tidak menghadapi masalah ketika belajar di UPSI kerana saya akan dibantu oleh beberapa orang rakan yang sanggup menghulurkan pertolongan," ujarnya.

Tambahnya, walaupun terpaksa bermula dari awal pada semester nanti setelah setengah tahun pengajiannya terhenti, dia menyifatkannya sebagai takdir Tuhan, malah terselit hikmah di sebalik itu.

No comments:

Post a Comment